Thursday 20 August 2015

Cara Tangani Panik?? Iye ke??



Salam CINTA dikejauhan ini...

Lama tidak menaip bicara hati di sini.... kesibukan dalam cubaan merealisasikan impian membatasan masa akak... namun hari ini, dalam masa kebuntuan mengarang ayat yang padu... akak lakarkan sedikit coretan yang merapu... bukan idea takde, ada dan banyak... namun setakat idea tanpa penghayatan dan seninya bicara buku... apa gunanya... sebagai seorang penulis contengan yang alam tidak nyata ini... akak telah membina satu 'tanda' untuk akak rupanya... akak tidak sedari itu semua jika tiada yang bercerita... rupanya gaya penulisan dan penceritaan telah akak bina tanpa akak sedari.. emm ramai yang menyukainya... namun akak percaya...yang tidak suka pun ramai... biasalah tu setiap manusia tidak akan pernah sempurna... dan bukan semua orang akan sukakan kita sepertimana kita juga adakalanya tidak sukakan seseorang... sebab? kadangkala sesuatu perkara itu tidak ada sebab..

sekarang akak sebenarnya mendapat serangan PANIK... panik apabila dateline semakin menghampiri... ia menghimpit sesak nafas dan jantung akak... akak jarang melayan rasa panik itu namun adakalanya kepala masih teringatkan date... jika itu terjadi... perbagai cara akak lakukan untuk hilangkan rasa panik itu antaranya ialah...

1- Akak akan upkan teaser cerita-cerita lain...
2- Akak mula mencari gambar-gambar yang menarik, download dan akak edit. Bukan edit gambar tu tapi ia lebih kepada akak menambah kata-kata ke atas gambar.
3- Mula timbul segala macam kata-kata rapuan daripada akak yang akak upkan di fb akak...
4- Cuba siapkan secepat mungkin....

Ok itu sahaja rapuan daripada akak hari ini... dan terimalah sebahagian panic akak...

SEMILIR KASIH ( novel yang ketiga bakal akak siapkan...)

Segalanya kudendangkan...
seputih hati kuberikan...
Moga leraian kasih kau lagukan...
Aku tak punya jiwa...
JIka itu penyebab lara...
Aku hanya sekujur tubuh...
Tanpa harapan cinta...
Jika sudi lenyapkan duka...
Nyanyian syahdu...
Cinta dan lara bersatu..
lenyapkan segala nestapa...

~ Ruby Nur Airis ~







Thursday 13 August 2015

Cerpen : BILA BULAN BERBICARA


Kata-kata : Hidup tidak sesenang yang ditulis dan dimadahkan. Setiap satunya ada misteri di dalamnya. Jika kita berkehendak dan diizinkan oleh DIA. Pasti semua perkara akan jadi mudah. InsyaAllah.


Bila Bulan Berbicara

Nukilan Ruby Nur Airis


Biarlah bulan berbicara..

Menyambung cerita tentang dia..

Dengarkan tentang rasa..

Moga hasrat tidak dipersia..

Biarlah bulan berbicara..

Hanya dia dan dia yang berkata..

Usah dirisau apakah punca..

Kerana aku tahu tentang dia..

Bila aku dan bulan berbicara..

Tanyalah semua tentang dia..

Aku pasti tentang jawapannya..

Namun jangan tanya tentang aku..

Kerana aku sendiri tidak tahu..

Siapakah aku dari pandangan mata itu..


            Udara pagi-pagi hari memang nyaman. Lebih-lebih lagi ketika di kampung. Tanpa adanya pencemaran dari udara seperti di bandar. Amir menarik nafas panjang-panjang. Ahhhh, segarnya! Dia meregangkan tangan dan kaki. Bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan. Tangan dan kakinya silih berganti, berayun dan meregang. Senaman ringkas atau pun warming up yang sering dia lakukan sebelum dia berjogging. Amir sekarang kelihatan lebih santai dengan hanya mengenakan pakaian untuk beriadah. Dengan hanya sepasang t’shirt berleher bulat bewarna putih dan seluar trek suit bewarna biru gelap, kesegakan dia tidak dapat disangkal lagi.

            Perlahan-lahan Amir memulakan rentak. Lariannya sekata. Tidak laju dan tidak pula terlalu perlahan. Nama pun jogging, sudah semestinya rentak larian sebegitu. Dalam dua tiga minggu ini, Amir sering ke kampung itu. Kampung Semarak Hati, nama yang unik untuk sesebuah kampung. Entah apa maksud disebalik nama itu, Amir pun tidak tahu dan dia tidak mahu ambil tahu sebenarnya. Apa yang dia tahu kini ialah dia selesa bercuti di hujung minggu di kampung itu.  

            “Assalamualaikum, Amir!” sapa Izuan yang sudah beriringan berlari bersama.

            Amir tersenyum, “Waalaikummussalam,” membalas.

            Larian keduanya diperlahankan dan langsung berhenti. Masing-masing kemudiannya membuat senaman yang ringkas. Menggerak-gerakkan kaki dan tangan kiri dan kanan. Tertib. Seketika kemudian mereka berjalan menuju ke sebuah bangku yang terdapat di taman rekreasi itu. melepaskan lelah dan penat setelah satu pusingan taman itu telah mereka kelilingi tadi.

            “Macam mana bro?” tanya Izuan.

            “Macam mana apa? Aku tak faham.” Amir mengelap peluh yang meleleh di dahinya dengan tuala kecil yang selalu dia bawa ketika berjoging.

            Izuan ketawa sambil menepuk-nepuk bahu Amir, “Yang tulah… kan kau kata nak jumpa seseorang di kampung ni dan sebab tulah kau sanggup datang sini tiap minggu.” Izuan menerangkan maksud pertanyaannya tadi.

            “Ooo… yang tu. Malam nanti aku akan jumpa dia. Harap dia adalah datang malam ni macam seminggu lepas,” Amir mempamerkan senyumannya. Pandangannya jauh ke hadapan. Terbayangkan seseorang itu.

            “Malam? Kenapa malam? Siapa sebenarnya ni bro?” Izuan kehairanan. Berkerut-kerut dahinya memandang Amir yang sudah menampakkan gigi tersengih.

            “Adalah… kau tak boleh tahu. Hidup ini diselubungai rahsia!!” Amir bingkas bangun selepas menjawab pertanyaan Izuan.

            Berlari-lari anak. “Aku perlu dapatkan beberapa pusingan lagi pagi ni,” jerit Amir sebelum dia berlari lebih laju lagi.

            Izuan menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah Amir yang hampir sebaya dengannya. Dia mengenali Amir semenjak pemuda itu menginap di salah satu rumah kepunyaan ayahnya yang telah dijadikan homestay. Selama 2 hingga 3 minggu ini, Amir kerap datang dan menginap di homestay. Hujung minggu sahaja Amir akan datang. Seorang anank muda yang punyai semangat hidup yang tinggi. Sebenarnya Izuan tidak tahu apakah pekerjaan Amir yang sebenar tetapi rasanya pemuda itu mesti mempunyai kerjaya yang elok berdasarkan jenama kereta dan pakaiannya. Amir pernah memberitahunya dia mempunayi dua jenis pekerjaan. Dan hanya di hujung minggu dia akan membuat kerjanya yang kedua.

#########

            “Sudah lama tunggu?” suara yang dinanti menyapa Amir.

            Amir senyum tanpa menjawab.

            “Kenapa pandang saya macam tu? Mata macam tak berkelip?”

            “Saya pandang begini ada sebabnya?” Amir sengaja meninggalkan persoalan kepada si gadis.

            “Kenapa?”

            “Saya bimbang Aisyah akan hilang dari pandangan jika saya berpaling ke arah lain ataupun berkelip sekalipun. Saya tak mahu saat-saat saya menikmati keindahan di hadapan mata, tiba-tiba dia hilang.” Amir menyatakan kebenaran tentang perasaan hati.

            Gadis yang dipanggil Aisyah tadi ketawa kecil. Lembut pada pendengaran Amir. Umpama benang sutera yang dipintal menjadi kain yang paling lembut iaitu kain sutera. Kelembutan semulajadi begitu memikat. Menawan hati lelakinya semenjak kali pertama mereka bertemu. Wajah gadis itu dipandangnya lagi. Hatinya berbunga indah tatkala si gadis mengukir kuntum senyuman kepadanya.

            “Awak ingat tak bila kali pertama kita bertemu?” Amir sengaja bertanya.

            “Ingat… masa tu awak macam nampak hantu ajee,” seloroh Aisyah. Dia ketawa kecil.

            Amir turut ketawa. Hantu apanya kalau cantik jelita begitu. 1001 kali diberitahu pun dia tidak akan percaya. Wajah bersih Aisyah ditatapnya. Mata yang bundar, bibirnya nipis dan merah, pipi licin dan seakan disapukan pemerah pipi di situ. Rambutnya sentiasa bersanggul, berkebaya dan bersarung batik. Cantik dan seanggunnya wanita melayu.

            “Kenapa ye hari tu awak menangis?” Amir memberanikan diri bertanya. Persoalan itu memang sudah lama berlegar di benaknya semenjak hari pertama bertemu.

            “Awak betul-betul nak tahu sebab apa saya menangis?”Aisyah menyoal.

            Amir menganggukkan kepalanya. Dia betul-betul mahu tahu apakah yang sebenarnya berlaku kepada Aisyah 2 minggu lepas. Bagaimana seorang perempuan bersendirian di malam hari dan menangis kesedihan. Ketika itu dia baru balik dari pekan berdekatan untuk makan malam. Sengaja dia ke pekan walaupun di kampung itu terdapat lebih dari dua buah juga kedai makan. Waktu beroperasinya sampai ke pukul 2.00 pagi.

            Kereta yang dipandunya tiba-tiba hampir melanggar seseorang yang melintas. Mujur cepat dia menekan brek dan secepat itu juga dia turun dari kereta, “Cik… cik tak apa-apa?” tanya Amir sambil bertinggung.

            Perempuan itu memanggung kepala dan memperlihatkan wajah. Subhanallah… cantik seumpama bidadari. Perumpamaan itu sememangnya boleh dipakai. Hampir terbuka mulut Amir dan hatinya beberapa kali menyebut subhanallah… Cantik secantiknya. Seingat Amir, dalam usianya sekarang inilah kali pertama dia bertemu dengan perempuan secantik itu.

##########

            “Kenapa Aisyah menangis?” tanya Amir lagi.

            “Sebelum saya bercerita, saya mohon Amir percaya dan bersedia. Itu saja,” pinta Aisyah. Mata coklatnya memandang Amir yang sudah mengerutkan dahi.

            “Ingat tak masa kita mula-mula bertemu?”

            Amir menganggukkan kepalanya, “Awak cerita yang awak sedang mencari ayah awak di kampung tapi tak bertemu. Hinggalah ke malam dan dalam perjalanan balik tu yang saya hampir terlanggar awak.”

            “Nampak tak bulan tu?” Aisyah menunjuk ke arah bulan di langit.

            “Nampak. Sekarang bulan sedang mengambang penuh. kenapa? Apa kena mengena antara bulan dengan cerita yang bakal awak ceritakan?” Amir kehairanan. Matanya tidak lepas memandang bulan dan Aisyah bergilir-gilir.

            “Apa yang awak akan lakukan jika bulan tu boleh berbicara?” menyoal dengan teka teki yang mengelirukan.

            “Bila bulan berbicara? Tentunya saya akan terpaku tanpa kata. Nak dengar tak satu kata-kata atau lebih tepat lagi satu puisi. Itupun kalau boleh dinamakan puisi.”

            Aisyah mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia mengukir senyuman membalas senyuman yang dilemparkan Amir.

            “Biarlah bulan berbicara… menyambung cerita tentang dia… dengarkan tentang rasa… moga hasrat tidk dipersia. Biarlah bulan berbicara… hanya dia dan dia yang berkata… usah dirisau apakah punca… kerana aku tahu tentang dia. Bila aku dan bulan berbicara… tanyalah semua tentang dia… aku pasti jawapannya… namun jangan tanya tentang aku… kerana aku sendiri tidak tahu… siapakah aku dari pandangan mata itu.”

            Aisyah berkaca di mata, “Awak jahat!”

            “Kenapa pulak?” menyoal kehairanan.

            “Awak telah buat saya jatuh hati dengan awak. Saya tak sepatutnya jatuh hati dengan awak. Itu syarat yang pertama dari dia,” Aisyah mengesat matanya. Namun disebalik birai matanya masih bersisa air mata.

            Amir ketawa kuat. Dia tidak menyangka sebenarnya Aisyah menyatakan rasa hatinya. Nampaknya dia tidak bertepuk sebelah tangan. Sedari awal pertemuan, Amir sudah jatuh hati dengan Aisyah. Gadis yang sedikit misteri namun dia tidak perdulikan itu semua. Baginya hanya cinta dalam hati dan ianya berbalas. Hati lelakinya kembang dengan bunga-bunga kasih. Jiwanya bersinar bagaikan mentari di pagi hari.

            Namun tawanya terhenti. Dahinya berkerut, “Syarat? Syarat apa? Siapa yang memberi syarat tu?” bertalu-talu soalan ditanya.

            “Sebelum itu saya nak awak bersedia. Kalau tak nak percaya pun takpelah tapi saya tak pernah berbohong tentang sesuatu,” masih berteka-teki. Namun wajah Aisyah muram. Dia menunduk seketika sebelum memandang tepat ke wajah Amir.

            Bercerita tanpa sekatan. Berbicara tanpa halangan. Aisyah menceritakan semuanya. Tentang hakikat siapakah dirinya yang sebenar. Tentang ayah yang dia cari. Tentang syarat pertama, kedua dan ketiga yang dikenakan kepadanya. Namun berkali-kali Aisyah menyatakan dia tidak berbohong atau sengaja mereka cerita. Semuanya benar tiada pembohongan. Amir terdiam tanpa kata. Benarlah rupanya apabila bulan berbicara, dia akan terpaku tanpa kata!

            Selesai bercerita, Aisyah menanti penuh sabar apa yang akan Amir bicarakan. Dia memandang penuh harapan. Amir turut memandang Aisyah. Wajah, tingkah dan tutur katanya penuh kelembutan. Tidak mungkin ada pembohongan pada pemilik nama itu. Aisyah, nama yang penuh kelembutan dan kebenaran. Aisyah, nama secantik orangnya. Mustahil orang secantik Mahsuri akan berbohong. Jadi, Amir percaya semuanya. Walau rasa kelat menelan hakikat sebuah kebenaran.

            “Kalau begitu… walau beribu tahun sekali pun. Saya akan tetap menunggu awak. Menanti dengan setia moga waktu terlerai syarat itu, awak akan menjadi milik saya,” putus Amir. Dia tekad. Halangan cimta tidak akan dijadikan apa-apa alasan untuk berundur dari mencari bahagia.

            “Terima kasih awak. Tepat rupanya rasa cinta ini saya serahkan. Moga tiba waktu syarat terlerai, kita bertemu dan bersama. Namun buat masa ini, hanya jika cahaya bulan ada menerangi malam. Waktu itu barulah saya bisa munculkan diri. Harap awak sabar menanti pabila waktu bulan tidak kelihatan. Segelap malam itulah segelap hati saya tika itu.  segelap malam tika itulah saya akan merindu,” Aisyah jujur memberitahu rasa hatinya.

            Tiba-tiba angin bertiup. Makin lama makin kencang. Aisyah sudah cemas, “Awak… saya harus pulang sekarang. Jika diizinkan-Nya kita akan bertemu esok, di sini seperti biasa.”

            Tanpa sempat Amir menjawab atau berkata apa-apa, Aisyah segera berlari-lari anak. Bagaikan mengejar sesuatu. Lariannya kadang-kadang perlahan, kadang-kadang laju. Sesekali dia menoleh ke belakang. Memandang dikejauhkan kekasih hati. Amir terpaku melihat langkah Aisyah. Gadis cantik itu bagaikan terbang terawang-awang di udara. Berlari tanpa menjejakkan kakinya ke tanah. Dia bagaikan melayang namun rupanya kaki masih jejak di bumi. Si gadis jauh dan terus jauh sebelum hilang dikegelapan malam yang masih disinari cahaya bulan yang makin melimpah mempamerkan dirinya.

            “Aisyah, gadisku. Aku akan menunggumu. Percayalah. Akukan tunggu!” Amir berkata-kata sendirian sebelum dia turut meninggalkan tempat yang dijadikan pertemuan mereka berdua.

###########

            “Izuan… kau tahu tak cerita lama-lama tentang susur galur keturunan kau?” Amir bertanya ketika dia dan Izuan sedang bersarapan di kedai Makcik Gemuk.

            “Tau jugak sikit-sikit. Kenapa?” kening diangkat tinggi.

            “Boleh kau cerita tak sikit-sikit?”

            “Kau ni kenapa? Tengah buat research pasal orang dulu-dulu ke?” Izuan terusan bertanya. Sedikit kehairanan.

            “Ahahh, nak research sikit untuk next project aku. kau taukan aku kerja apa. Kerja tak menentu macam nilah Izuan… kena usaha sendiri. Kena banyak bertanya, banyak mengkaji, banyak berjalan.” Amir menerangkan tentang skop kerjanya.

            “Nak aku cerita bila? Sekarang?” sesuap nasi lemak dimasukkan ke dalam mulutnya.

            “Boleh ke sekarang? Tak kacau kau ke?”

            “Kacau apa pulak? Aku bukan tengah buat kerja pun. Makan je… aku tak kisah nak bercakap walau sedang makan pun… kalau nasi terkeluar dari mulut aku, terbang atas muka kau… kau sapu je… hahahaaa.” Izuan ketawa besar dan ada beberapa butir nasi dari mulutnya terjatuh atas meja.

##########

            “Jadi sampai sekarang moyang kau tak tahu ke mana anak bongsu dia selalu pergi?” soal Amir. Dia begitu teruja mendengar cerita daripada Izuan.

            “Aku tak pasti tentang tu tapi tok aku cakap, adik bongsu dia tu selalu cakap nak jumpa seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Sebelum kelakuan pelik adik tok aku tu, dia pernah cakap nak cari ayah mereka. Itu sajalah yang dia tahu. perkara-perkara selebihnya dia tak tahu,” bersungguh Izuan menceritakan perihal adik kepada datuknya.

            “Habis tu ke mana adik atuk kau sekarang?” Amir bertanya lagi.

            “Dia… masih ada. Tapi hanya tok aku yang tahu adik dia di mana sekarang. Sebelum tok meninggal dia ada cerita tentang adiknya tu dan bersebab sebenarnya kenapa dia menyorokkan adiknya. Aku pun sebenarnya sampai sekarang tak pernah jumpa tok sedara aku tu, apatah lagi ayah aku. Ayah aku pun tak pernah jumpa mak sedara dia,” cerita Izuan lagi. Suapan terakhir dari bungkusan kedua nasi lemaknya disuapkan ke dalam mulutnya.

            Amir mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. kini misteri tentang susur galur keluarga Izuan dapat dia ketahuinya sikit-sikit. Apa yang telah diceritakan Aisyah malam tadi hampir sama dengan apa yang telah Izuan ceritakan. Ini bermaksud Aisyah dan keluarga Izuan mempunyai pertalian saudara dan ikatan darah.

            “Kau nak tulis cerita tentang keturunan aku ke?” tidak bertapis pertanyaan Izuan. Dia sudah tersengih menampakkan gigi.

            “Errkkk… takdelah,” sengihan dibalas sengihan juga.

            Masing-masing membisu kemudiannya sebelum beredar dari kedai makan Makcik Gemuk dan membawa haluan masing-masing. Amir mengambil keputusan pergi ke tepi pantai. Kampung Semarak Hati memang letaknya di pinggiran pantai. Cantik pemandangannya dengan berlatarkan pokok-pokok kelapa yang sentiasa melambai bagai menggamit hati seseorang supaya lebih menyintai. Itulah Kampung Semarak Hati.

            Kini Amir bagaikan mengerti kenapa kampung itu dinamakan begitu. Rupanya ia menyebabkan seseorang tidak betah menahan aliran cinta yang bagaikan menderu masuk ke dalam hati. Menyemarakkan rasa di dalam dada. Rasa cinta yang tidak mampu dihalang atau dihindari. Begitulah yang dia rasakan kini. Aisyah, nama itu bergema di mana-mana. Amir tahu dia telah terjatuh cinta pandang pertama dengan gadis misteri itu.

            “Aku telah menjadi seorang perindu kini. Dari saat itu hinggalah ke saat ini. Biarlah misteri itu tetap misteri. Aku akan sentiasa menyintai dan merinduimu, sayang.” Amir mengucapkan kata-kata yang lahir dari hatinya. Rasa cinta yang membara.

#########

            “Kenapa kita tak boleh berjumpa waktu siang?” pertanyaan itu ditanya lagi walaupun Amir tahu jawapan itu tetap sama.

            Aisyah mengukir senyuman, “Apa yang pnting dalam sesuatu hubungan?” solan Amir tiada jawapan namun persoalan yang Aisyah ajukan kepada Amir.

            “Cinta…” penuh yakin Amir memberitahu jawapan. Dia pasti itulah jawapannya.

            “Sebenarnya bukan cinta yang penting dalam sesuatu hubungan,” senyuman tetap diukirkan Aisyah.

            Mekar senyuman itulah yang memakukan pandangan Amir terhadap gadis itu. Cantik atau lebih tepat lagi, si gadis sejelita Mahsuri jika itulah yang ditanya. Lembut tutur kata juga telah merebahkan hati Amir terhadap si gadis.

            “Bukan cinta yang penting dalam hati tetapi keikhlasan. Setulus hatimu. Ikhlaskah kau. Ikhlaskah menerima segala kekurangan?” tutur Aisyah lembut namun tegas dalam soalan yang diutarakannya.

            Amir memakukan matanya memandang Aisyah berkata-kata. Seumpama berbutir-butir permata yang keluar dari mulut Aisyah. Dia sanggup menadah telinga berjam lamanya hanya untuk mendengar bait-bait kata permata dari Aisyah. Namun sakarang ada persolan ynag ingin dia tanyakan kepada si gadis.

            “Awak… Aisyah, boleh beritahu saya tak siapa yang beri kebenaran dan membuka tabir waktu?” lega rasanya hati apabila dapat juga dia bertanyakan tentang itu.

            “Saya rasa tak perlu saya beritahu tentang siapa dia kerana saya bimbang dia ‘mendengar’nya. Dalam perantaraan angin dan kabus, dia bisa mendengarnya. Ini pun dia begitu baik hati membenarkan saya berada di sini, lama dan hampir hari-hari. Itu sahaja.” Aisyah begitu keberatan memberitahu nama ‘dia’.

            “Kalau begitu. Beritahu saya kenapa mesti ada syarat dan apakah syarat tu?” Amir masih bertanya. Dia ingin tahu segalanya tentang Aisyah.

            “Awak tidak percayakan saya ke?” soal Aisyah pula.

            “Bukan tak pecaya tetapi saya ingin lebih mengenali diri awak. Ingin lebih memahami diri awak kerana saya rasa saya sudah tidak mampu hidup tanpa awak. Ingin rasanya saat ini juga menyunting dan melamar menjadi suri yang kekal di dalam hati dan hidup,” senafas kata Amir memberitahu tentang rasa hatinya.

            “Tapi kita mungkin tidak dapat bersatu jika syarat tidak terlerai dengan sesuatu. Saya sendiri tidak tahu apakah yang boleh meleraikan syarat itu. Dia ada memberitahu tetapi saya kurang pasti dan tidak faham.” Aisyah mula terasa sebak di dada. Dia juga ingin mereka berdua bersama namun halangan begitu ketara.

            “Cuba awak beritahu apa yang ‘dia’ katakan boleh meleraikan syarat itu? Manalah tahu, mungkin saya boleh mencari jawapannya,” bersungguh Amir bertanya. Dia penuh dengan harapan moga tabir yang dibuka sesekali itu dapat dihapuskan dan membolehkan mereka berdua bersatu selamanya.

            “Mencari jejak malam purnama. Mencari bayang siang terbilang. Melembutkan besi dengan lepuh tanganmu. Mengukuhkan air dengan hangat tubuhmu. Carilah satu dalam berjuta. Carilah sinar dalam cahaya. Bila ketemu ia. Getar tiada dalam jiwa. Gegar tiada dalam hati. Nescaya bukan itu yang dikau mahu. Bukan itu pelerai cara. Ketemunya tiada terduga. Umurnya tiada percaya. Hanya itu pemisah ia. Tabir pasti milik berdua.”

            Amir kebingungan, “Apa tu?”

            “Itulah kata-kata ‘dia’. Hanya itulah pelerai tabir dan syarat-syarat yang diberi akan terlerai dengan sendirinya.” Aisyah menerangkan.

            “Awak tahu apa maksudnya?” soal Amir.

            Aisyah menggelengkan kepala, “Tidak tahu. Saya memang tidak pandai dengan perkara-perkara sebegitu dan sebenarnya saya tidak terpikir akan cuba meleraikan tabir sebelum ini.”

            “Kenapa awak tak pernah terfikirkan perkara itu?”

            “Sebab saya sangkakan saya tidak akan terjatuh cinta dengan awak.” Aisyah jujur memberitahu hakikat sebuah kebenaran.

            “Itulah syarat pertama yang ‘dia’ syaratkan kepada saya jika mahu ke sini. Jangan jatuh cinta dengan manusia sebelah sini,” ujar Aisyah memberitahu syarta pertama yang dikenakan kepadanya.

            “Syarat kedua apa pulak?” Amir bertanya.

            Angin tiba-tiba terasa meniup. Lembut namun kedua Amir dan Aisyah berpandangan sesame sendiri. Tahu tentang hakikat perpisahan sementara pasti berlaku sebentar lagi.

            “Apabila saya telah melanggar syarat pertama, inilah syarat keduanya awak. Hindari angin kencang yang diutuskan dia. Amir, bisakah kita bersatu nanti?” tanya Aisyah. Dia bimbang. Betul-betul bimbang.

            Deruan angin yang semakin kencang bagaikan menenggelamkan jawapan dari Amir. Aisyah semakin  menjauh. Dia bagaikan menjejaki rumput yang tidak terjejas dengan tiupan keras sang angin. Perlu menjejakinya kerana itulah syarat untuk dia ke situ lagi. Hindari angin dan jejaki rumput yang tidak terjejas. Itulah syaratmya.

            “Percaya tak? Kaulah cinta yang takkan terhapus dalam hatiku walaupun beribu tahun lamanya. Aku akan menunggumu sehingga saat kita boleh bersatu nanti. Aku akan tunggu!!” Amir melaungkan kata-kata. Dia hanya mampu melihat Aisyah yang semakin menjauh menjejaki sang rumput.

            Sang kekasih sudah menghilang bersama hilangnya deruan angin yang keras menerpa tadi. Amir masih di situ. Memerhati jikalau Aisyah kembali semula nanti. Namun hampa di hati tika mendongak ke kaki langit. Cahaya bulan makin pudar. Mungkin esok akan hilang cahaya bulan yang menerangi malam selama ini. Jikalau begitu, nampaknya masa untuk bertemu sang kekasih sudah ditamatkan dengan sendirinya.

            “Aisyah, aku akan menunggu kembalinya cahaya bulan menerangi malam di bumi. Sebelum masa itu tiba akan kutahan rasa rindu yang menggebu. Hanya kepada-Nya aku berserah kini. Moga waktu yang berlalu dapat kulakukan dengan beribadat kepada-Nya dan mnghilangkan rasa rindu itu. Aisyah, aku akan sabar menahan rasa cinta. Aku juga berharap kau akan sentiasa sabar dan ingatlah kepada-Nya. Itulah syarat paling penting sebagai seorang Islam.” Amir mula mengatur langkah. Meninggalkan tempat pertemuan.

##########

            Aisyah berteleku. Menahan rasa rindunya yang mengalir laju. Baru sebentar tadi dia terpaksa meninggalkan Amir begitu sahaja. Dalam hati dia berdoa moga-moga Amir akan setia menantinya. Menanti walau beribu tahun lamanya, seperti yang disebut oleh Amir. Seribu tahun akan ditunggu. Perlahan air matanya mengalir. Tanpa menyapunya, dia membiarkan air mata itu kian lesu. Dan terhenti dengan sendirinya.

            “Ingat Aisyah… hapuskan dulu tabir itu barulah kamu berdua bisa bersatu. Ingat lagi tak ayat yang tok beritahu tu? Jika mahu kamu berdua bersatu dan bersama. Ikutklah syarat!” nada tegas namun penuh maksud.

            Aisyah memandang seketika tok tapi kemudiananya berteleku kembali. Menutup kelopak matanya dengan gambaran wajah sang kekasih. Dan dalam hati berdoa moga-moga hatinya sendiri tetap setia kepada sang arjuna. Moga hatinya sendiri tidak menduakan Amir. Moga mereka akan bertemu nanti. Suatu masa nanti.

~ Ceritanya Belum Berakhir… Masih Tiada Akhirnya Kisah ‘Biar Bulan Berbicara’~

Saturday 25 April 2015

BAB SEPULUH : BIDADARA


 





Bab 10

 

 “Tambahlah lagi Qai…jangang malu-malu.” Abang Zahari mempelawa.

“Takpe…saya dah kenyang.” Aku menolak.

“Eh, sikit makangnya? Makang banyok sikit biar besar sikit tubuh tu. Tengok si Harris ni, makang banyak siap bertambah lagi, kan sasa tubuhnya.”

Agaknya ini sudah kali yang ke berapa, asyik hendak tersembur sahaja air liur aku. Kalau abang Zahari sebut lagi pasal si Harris, aku rasa aku sudah tidak dapat menahan segala apa yang sedang berada dalam mulut aku dari terkeluar. Dan kalau ianya betul-betul keluar, aku akan pastikan ‘benda’ itu akan mendarat tepat pada muka Harris….hahaha….tidak dapat aku bayangkan kalaulah perkara sebegitu berlaku. Perlahan-lahan aku menelan suapan terakhir aku sebelum meneguk seteguk dua air masak. Siap.

“Eh, Qai dah siap? Kenapa sikit sangat makang.” Mak Zura yang datang dari dapur menegur aku. Tadi, dia dan kaum perempuan yang lain makan di dapur sahaja.

“Saya biasanya memang makan sikit, mak Zura.” Aku memberitahu.

“Kalau macam tu, makanglah dessert pulak.” Mak Zura mempelawa sambil tangannya terus mengisi strawberry triplet ke dalam piring dan menghulurkan kepadaku.

Aku menyambutnya. “Terima kasih. Siapa yang buat? Mak Zura ke?”

“Tok. Mok Zura tok pandai buat dessert-dessert ni. Anok sulung mok Zura yang buatkan.”

“Anak sulung? Yang ada tengahari tadi ke?” aku segera teringatkan budak perempuan yang comel dan cute, siang tadi.

“Bukanlah….yang tadi anok nombor dua, Anis. Baru tahun tiga, sama umur dengan Aizah anak mok Mek. Ni Aleesya…dan anok yang bongsu mok Zura namanya Adib.” Mak Zura menerangkan.

Aleesya? Oho…ada ‘bunga’ yang sedang mekar rupanya mak Zura dan abang Zahari ini rupanya. Tapi kenapa aku tak nampak dari tadi. Kalau si Aizah, Anis dan Adib tu aku adalah nampak jugak ke hulu ke hilir sebelum makan tadi. Takde berhidungkah gadis itu? Atau pipinya lompong? Takpun dahi jendul? Rambut berserabai? Haha…tak dapat aku bayangkan rupa si Aleesya macam tu.

“Dia tu pemalu sikit. Lebih-lebih lagi kalau ada orang lelaki yang datang bertandang. Menyoroklah jawabnya.” Mak Zura menerangkan.

“Ehem!!!” tiba-tiba terdengar suara Harris. Sakit tekak agaknya.

“Bakpe Arih? Sakit tekok ke?” abang Stopa yang baru siap makan setelah tiga kali menambah nasi tiba-tiba bertanya.

“Aha, sakit rasanye tekok ni. Takpe sikek je abang Stopa.”

“Doh siak belake? Kite ke depang pulok la. Zura…suruh Leesya buak kopi. Nok nyembang-nyembang sikek same-same jantang ni.” Kemudian abang Zahari mempelawa kami semua ke ruang tamu rumahnya.

“Saya minta tumpang ke tandas sekejap.” Aku meminta izin.

“Sile-sile. Sebelah sini ja.” Abang Zahari menunjukkan kepadaku ke arah kiri bersebelahan ruang keluarga rumahnya.

 

##########

 

Phuh, lega! Aku keluar dari bilik air dan mahu menuju ke ruang tamu sebelum mataku tertarik dengan bayangan orang yang berada di beranda bersebelahan ruang keluarga rumah itu. Siapa? Malam-malam berani duduk sendirian. Dalam gelapnya malam dan terangnya lampu pagar pulak tu. Walaupun hatiku sedikit culas tetapi kakiku tetap melangkah sebab jiwa nakalku ini meronta-ronta ingin terjun papan anjal dan berenang-renang acara bebas.

“Buat apa duduk sorang-sorang kat sini? Tak takut ke?” aku melabuhkan punggung, duduk bersebelahan si gadis.

Terangkat sedikit tubuhnya, terkejut agaknya. Yelah, tanpa salam aku terus menerjah. Alahai, Qai! Janganlah si gadis menjerit sebab terkejut. Silap-silap hari bulan aku tertonggeng di terajang oleh abang Zahari nanti. Si gadis kelihatan mengurut-ngurut dadanya tetapi dia tidak menjerit pun. Mujurlah.

“Tak takut ke? Ada hantu ke nanti, tak pun ada harimau ke?” aku mengulang soalan.

“Apa nak takut. Allah SWT kan ada….Dia sentiasa ada untuk kita. Walau di mana kita berada, walau di ceruk mana pun kita. Kita masih berbumbungkan langit yang sama. Kita masih berpijak di bumi yang nyata lainlah kalau kita sudah berada di perut bumi. Kalau masa tu, hanya amalan baik selain dari suruhanNya yang kita tak pernah lupa dan tinggalkan sahaja yang mampu menolong kita.” Lembut si gadis berbicara.Berbisa dan berisi.

Tersentak aku seketika. Budak itu memang tidak boleh di buat main, nampaknya. Spesis si Harris juga rupanya. “Yelah, abang tahu Allah SWT sentiasa ada. Tetapi kita sebagai manusia kena juga sentiasa berwaspada. Jangan cuai, jangan lalai, sentiasa bersedia. Bahaya sentiasa ada. Di mana-mana pun walau dalam rumah sendiri. Misalannya jika kita terlupa menutup api sebaik selesai memasak, periuk pula masih ada di tungku dapur. Kering kuah tu, melengkung periuk tu, tak ke melompat sang periuk. Tak ke hangus sang periuk. Terkena pula kain buruk ke yang ada di dapur atau barang-barang plastik lain. Macam mana?” aku tidak mahu mengalah sebelum berjuang.

Kedengaran tawa kecil dari mulut si gadis. “Kenapa ketawa?” aku bertanya, hairan. Salah ke kata-kata aku tadi. Hiss…malulah pulak! Kenapalah dalam banyak-banyak benda yang boleh di jadikan contoh, periuk pulak yang tiba-tiba keluar dari mulut aku?

“Abang…mana ada periuk boleh melompat. Kalau katak tu bolehlah.” Si gadis bersuara sambil menutup mulutnya dengan kedua tangan kecilnya menahan tawa.

Aku pun turut ketawa. Betul juga. Ada ke periuk boleh melompat? “Awak Aleesyakan?” aku bertanya. Sengaja tanya sedangkan aku sudah tahu dialah Aleesya.

Aleesya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Aku turut tersenyum memandang gadis itu. Cantik dan comel. Kalau tadinya aku cakap adiknya si Anis cantik apabila sudah besar nanti. Inilah dia di hadapanku perempuan yang memang cantik dan bila sudah dewasa nanti makin cantik plus jelita dan anggun. Agaknya di kampung ni ramai gadis-gadis dan perempuan yang cantik-cantik kot? Kecuali mak Mek dan anak ‘terlebih’nya. Yang itu ketegori yang biasa-biasa sahaja.

“Berapa umur Aleesya?”

“11 tahun.”

“11 tahun?”

“Yap…hari ini genap saya 11 tahun.” Tulus Aleesya memberitahu.

“Jadi…hari ni sepatutnya birthday Aleesyalah?”

“Emm…”

“Kenapa takde birthday cake?”

“Abi tak kasi. Dia cakap, bukan amalan kita berkek-kek ni. Sepatutnya bila bertambah umur kita semakin bersyukur sebab Allah SWT masih panjangkan umur kita untuk melihat dunia lagi. Banyakkan sembahyang, bukan sembahyang 5 waktu sahaja. Sembahyang sunnat yang lain pun kita harus lakukan juga. Berpuasa di bulan Ramadhan, puasa sunnat pun boleh kita lakukan. Bersedekah kepada yang susah. Jika kita ada sedikit, beri sedikit. Jika kita ada banyak, beri banyak tetapi jika kita tiada apa-apa….senyum sahaja dan doa. Itu juga di kira sedekah. Amalan ini banyak sebenarnya jika kita pandai dan tahu mencarinya. InsyaAllah.”

Aduhai! Petahnya berkata-kata. Pandainya menyusun ayat. Aku terkedu seketika. Budak yang baru berumur 11 tahun begitu pandai sekali berbicara tentang kehidupan. Agaknya jika sudah dewasa….muslimah yang bagus di jadikan isteri. Apa aku melalut ni? Isteri? Untuk Harris sesuailah.

“Ok….oleh sebab hari ini birthday Aleesya dan tadi Aleesya sudah buatkan dessert yang sedap untuk abang….abang nak bagi satu hadiah untuk Aleesya.” Aku segera bangun dan menyeluk kocek seluarku dan mengeluarkan wallet.

“Eh, tak payahlah hadiah-hadiah! Nanti abi dan ibu marah sebab terima hadiah dari orang yang kita tak kenal.” Aleesya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“La…Aleesya tak kenal abang ke?”

“Kawan abang Harris.”

“Hah, kawan abang Harris kawan Aleesya jugakkan? Nama abang dah tahu?”

“Abang Qai. Qairul Bunyamin.”

“Itukan dah tahu nama abang. Dah kenal la tu.”

Aleesya menunduk dan dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku segera mengeluarkan sesuatu dari wallet aku. Benda yang sudah lama aku simpan. Salah satu kenangan dari arwah mama yang papa kata di wasiatkan kepada aku. Aku rasa hadiah yang paling bermakna dalam hidup aku ini wajar di serahkan kepada yang layak menerimanya. Yang aku rasa mampu memikul dan memiliki benda yang paling bernilai.

Tangan kecil Aleesya aku tarik lembut. “Ehhh…..” terkejut dan Aleesya menarik balik tangannya. Tapi aku tidak lepaskan. Cincin emas aku sarungkan ke jari manisnya. Padan dan nampak sesuai dengan Aleesya Cincin itu betul-betul padan di jarinya. Longgar pun sikit je tapi tidaklah boleh terlucut.

“Kau buat apa, Qai!!” tiba-tiba suara Harris menerpa di telingaku.

Serentak aku dan Aleesya berpaling ke belakang. Dalam kesamaran cahaya lampu dari pagar rumah dan cahaya bulan, wajah Harris kelihatan merah bagaikan menahan marah. Pasal apa? Angin tiada, ribut tiada, banjir pun tiada….apasal dia nak marah?

“Apahal?” aku bertanya dan aku masih duduk serta memegang tangan kecil Aleesya.

“Aleesya!!” serentak dengan Harris memanggil namanya, Aleesya pantas menarik tangannya daripada pegangan aku.

“Aleesya…pergi masuk rumah. Sekarang!!” Harris mengarahkan Aleesya.

“Apahal kau ni? Budak kecik pun nak marah. Tiba-tiba pulak tu. No Aleesya, you stay….”

“Aleesya….go!!”

“Stay!!”

“Go!! Pergi!!”

“No…Aleesya…stay!!”

Aleesya yang sudah berdiri sedari tadi, teragak-agak kelihatannya. “Aleesya…pergi masuk rumah! Dan beritahu ibu dan abi, apa yang Qai hadiahkan….pergi!!” serentak itu Aleesya segera masuk ke dalam rumah meninggalkan Harris dan aku yang sudah berdiri dan berhadapan antara satu sama lain.

“Kecoh! Beri hadiah pun kecoh!” aku mula bersuara semula.

“Aku tak tahulah, kau faham atau tak tindakan kau tadi?”

“Faham apa? Beri hadiah sahaja, a present to the very beautiful little girl. Yang kau nak marah, apahal. Jealous? Jangan cakap kau cemburu?” aku berkata sinis sambil ketawa kecil.

“Kau tahu tak apa maksud apabila seorang lelaki memberi cincin lebih-lebih lagi cincin emas kepada seorang perempuan?”

“Itu lelaki…aku bukan lelaki. Aku budak lelaki. Banyak bezanya. Aku beri sebab hari ini birthday dia. Apa salahnya memberi hadiah.” Aku memang tidak mahu mengalah. Pantang benar rasanya mengalah tanpa bertempur lebih-lebih lagi dengan manusia yang tiba-tiba jadi makhluk hijau dan besar di hadapanku ini. The hulk yang tidak menakutkan pun.

“Jadi kau tak fahamlah maksud sebenarnya jika seorang lelaki memberi cincin kepada seorang perempuan? Tak kisahlah dia tu budak ke, bapak budak ke hatta datuk budak sekali pun. Lelaki tetap lelaki.” Harris bertubi-tubi mengasakku dengan kata-katanya.

Dengan keluhan aku menganggukkan kepala. Apahallah susah-susah sangat, menyesakkan kepala memikirkan maksud pemberian seseorang. Adakah setiap benda mempunyai maksud-maksud tertentu ke? Seingat akulah, selalu juga aku memberi cincin walaupun hanya cincin plastik ataupun besi kepada kawan-kawan perempuan di sekolah lamaku dulu tanda mereka menjadi kawan aku. Tidaklah kecoh macam sekarang.

Harris menggeleng-gelengkan kepalanya. “Patut pun tuan pengerusi menyuruh aku jangan lepas dari memerhatikan kau. Pantau segala perlakuan kau. Tegah mana yang salah. Betulkan apa yang rebah. Rupanya beginilah kau. Buat apa sahaja yang terlintas. Lakukan apa sahaja yang boleh. Ikut segala kata hati. Mati. Ikut rasa. Binasa.”

“Back to the point. Apahal sebenarnya? Kecoh. Bukan aku beri emas segunung pun. Tak pun intan permata sebukit.” Hatiku mulai sedikit panas. Harris bermadah, berhelah pulak tu.

“Maksudnya ialah ikatan kasih yang abadi. Faham?”

“Habis tu? Kenapa?”

Harris menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. “Kau ni memanglah tak faham langsung. Kalau dah budak tu, memang budak. Tak matang. Duduk pulak kat negara orang. Adat Melayu pun tak tahu. Maksudnya kau sudah merisik dia!! Dan…dan…kau sarungkan pulak cincin tu ke jarinya. Kau sudah menyentuh. Kau dan Aleesya….seperti sudah bertunang. Cuma belum rasmi lagi.”

Aku? Weh, hampir terduduk aku mendengar penerangan dari Harris! Betul ke? Aku…aku dan Aleesya….seperti sudah bertunang? Dengan Aleesya? Dengan budak yang berumur 11 tahun tu? Weh, logik ke? Aku yang berumur 14 tahun bertunang dengan budak berumur 11 tahun? Hahaha…aku memang mahu ketawa. Mana boleh aku tiba-tiba bertunang dengan Aleesya. Mati aku. Mana nak lari ni?

Aku cuba berlagak tenang. “Apa salahnya kalau aku bertunang dengan Aleesya pun? Dia pun cantik, lawa, cerdik dan lemah lembut. Pandai buat dessert pula tu. 10 tahun pun aku sanggup tunggu dia.” Aku tersengih kepada Harris yang masih tegang wajahnya.

“Betul ke apa yang Qai cakap tu? Sanggup tunggu walaupun 10 taung?” tiba-tiba terdengar suara mak Zura dari belakang.

“Yelah Qai! Mu sanggup tunggu Leesya? Walau 10 taung pung?” abang Zahari pula menyampuk.

Sekali lagi aku hampir terduduk. Malahan rasanya hampir terkencing. Alamak, Qai! Apa yang kau telah buat ni. Patutlah papa dan abang selalu kata aku ni si trouble maker. Segala mak ayah trouble pun tak teruk macam ni. Tiba-tiba teringin pula rasanya aku menjadi Nighcrawler, teleport ke mana saja yang terlintas difikiran. Tak pun menjadi Hollowman, menghilangkan diri sekelip mata.

Semangat Rambo yang sanggup berjuang tak mati-mati sudah mengendur. Semangat Hang Tuah yang setia sudah menjadi Jebat derhaka. Semangat Superman menjadi lembik dek kerana Kristal hijau. Semangat itu bagaikan cabaran ice bucket yang tidak menjadi, bukan sahaja aku kuyup di simbah air malahan kepalaku turut di telangkup baldi dan aku tergelincir terus masuk ke kolam mandi yang tiada air walaupun setitik.

“Lain kali berfikir sebelum bertindak. Itu adalah perkara paling penting dalam kehidupan. It’s not who you are, it’s what you do. Apa yang kita buat, apa yang kita lakukan. Haruslah di fikir kesan di atas tindakan itu. Lihat sekeliling. Boleh atau tidak perkara sebegitu kita lakukan. Kalau tidak tahu, kalau tidak faham. Tanya. Tanyalah walau sesiapa pun, lebih-lebih lagi tanyalah dengan orang yang lebih arif. Kalau tidak, tuhankan ada. Allah SWT sentiasa ada. Tanyalah DIA. InsyaAllah akan ada jawapan yang diberikanNya. Selagi langitNya kita junjung. Selagi bumiNya kita pijak. DIA akan sentiasa ada untuk kita. Jangan ikut hati. Mati. Jangan ikut rasa. Binasa. Ingat tu….” Harris yang berada bersebelahanku bertutur perlahan. Walaupun yang lain tidak mendengar tapi cukup untuk aku mendengarnya.

Kesemua mereka yang ada di situ, aku pandang. Aku tersenyum dalam kepahitan. “InsyaAllah, nanti saya akan cuba memberitahu papa tentang perkara ini. Dia tahulah apa nak buat nanti.” Aku mengakhiri malam yang tiba-tiba terasa begitu panjang hari itu dengan kata-kata yang terpaksa aku lafazkan dan aku telan segala rasa payau, pahit dan masin.