Labels

Showing posts with label Mr.Killer Smile. Show all posts
Showing posts with label Mr.Killer Smile. Show all posts

Wednesday, 17 December 2014

BAB SEPULUH


MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN





‘Apalah yang ada di sebalik kata-kata….itu hanyalah mainan mulut sahaja… dalam hati tiada siapa yang tahu. Apalah yang ada di sebalik wajah… itu hanyalah pinjaman dari Yang Maha Esa… tiba saatnya kita akan kembali kepada-Nya jua.’


Bab 10


“Macam mana Is?”

“Macam mana apa?”

“Ala buat tak tahu pulak. Macam mana dengan first night?” terjongket-jongket kening Anuar seperti turut bertanyakan soalan itu.

“Aku ingatkan apa tadi. Macam mana? Macam tulah.” Iskandar sengaja tidak menjawab dengan jawapan yang betul.

“Itu aje? Macam tu? Apa ni…. Weh! Ceritalah sikit. Nak timba ilmu ni.” Perasaan ingin tahu membuatkan Anuar bertanya lagi.

“Timba ilmu apa ke bendanya… kau kahwin la cepat-cepat dan timba ilmu sendiri.”

“Weh! Aku muda lagi la.”

“Kau dengan akukan sama umur? Muda apa ke bendanya,” bidas Iskandar.

Anuar ketawa besar namun keningnya terjongket-jongket lagi. Isyarat supaya Iskandar bercerita serba sedikit perihal malam pengantin.

“Takde apa-apalah. Kan aku dah cakap tak nak ‘sentuh’ dia dulu. Kau dah lupa?”

“Itu memang aku ingat tapi yelah… keju dah di depan mata, takkanlah tikus dok mengusik misai je.” Anuar berperibahasa entah dari mana dia mencedok peribahasa itu. Betul-betul merosakkan bahasa.

Iskandar ketawa kecil. Geli hati dengan peribahasa yang selalu dirosakkan oleh Anuar. Kalaulah cikgu mereka semasa di sekolah dulu tahu tentang kerosakkan bahasa yang dilakukan oleh Anuar tentu mereka menangis.

“Akukan dah beritahu dulu, aku cuma mahu menolong Auni dan sekaligus dapat menggembirakan hati Atuk aku. Itu saja. Tapi aku adalah ‘cuit’ sikit.” Iskandar tersengih. Teringat ‘cuitan’ yang dia lakukan.

“Cuit sikit? Cuit dengan jari?”

“Apalah kau ni…. cuit mestilah dengan jari takkan dengan mulut kot. Aku geramlah juga, sikit je. Mahu tak geram, diakan cantik dan comel.  Aku pun cuitlah sikit, sikit je.” Iskandar tersengih, tiba-tiba dia terbayangkan wajah Auni yang manis berlesung pipit di kedua-dua belah pipi.

Anuar mendengar penjelasaan Iskandar dengan dahi yang berkerut.

“Kau cuit kat mana? Tangan? Muka? Atau badan?” masih tidak berpuas hati Anuar bertanya lagi.

“Kau takde kerja ke?” tiba-tiba Iskandar bertanya. Sengaja supaya Anuar tidak bertanya apa-apa soalan lagi.

“Eh! Ada… ada.” Kepalanya digaru-garukan.

“Habis tu yang kau dok tercongok lagi ni, apahal?”

“Errkk…. oklah boss. Aku balik bilik aku dulu la.” Anuar segera bangun dan melangkah ke pintu bilik Iskandar.

“Nuar!!” Anuar berpaling memandang Iskandar yang memanggilnya. Dia terhenti di depan pintu. Keningnya terangkat.

Please don’t tell anyone about my wedding. Termasuklah orang yang paling dekat dengan kau.” Suara Iskandar mendatar dan perlahan namun masih dapat didengari oleh Anuar.

“InsyaAllah… I will and always keep this secret. Your secret save in my pocket. Believe me, my friend. Percayalah.” Anuar memberi jaminan. Seketika kemudian dia berlalu dari situ.

Iskandar tersandar pada kerusinya. Kerusi empuk yang dahulunya kepunyaan atuknya, Dato’ Hasyim. Semenjak setahun dua ini, dia telah menerajui Tuah Sejati Development Berhad sebagai CEO. Sesekali ada juga Dato’ Hasyim selaku turun untuk melihat perkembangan syarikat. Walaupun Dato’ Hasyim tidak lagi memegang tampuk pentadbiran syarikat tetapi dia masih memberi nasihat selaku pengarah ataupun managing director dan pendapat untuk kelancaran Tuah Sejati.  Iskandar sebenarnya telah diberi kepecayaan penuh dalam menggerakkan jentera syarikat. Jawatan Dato’ Hasyim selaku pengarah syarikat juga telah diberi kepada Iskandar.

“Auni….” tiba-tiba nama itu di sebut Iskandar.

“Auni…. kau memang cantik dan seorang gadis yang lembut tapi sayangnya, kau tersalah orang untuk dijadikan sandaran permasalahan kau. Kau sebenarnya mangsa dan akulah pemangsanya. Prey and predator. Sayang betul, kenapa kau masih berhubung dengan Hanif? Apa yang kau harapkan dengan lelaki ‘jahat’ macam dia?” Iskandar berbisik sendirian, senyuman sinisnya terukir di bibir.

“Sejujurnya… aku tak mahu sebenarnya menjadikan kau ‘taruhan’ dalam dendam antara aku dan Hanif tetapi apa boleh buat… kau datang bagaikan menyerah dan cerita ‘kahwin’ ini begitu menguntungkan aku.”

“Hanif…. kepulangan kau akan aku nanti dan lihatlah, aku telah merampas salah satu kegembiraan kau. Selepas ini aku akan rampas setiap satu kebahagiaan kau seperti mana kau merampas kebahagian adik aku dulu.” Senyuman sinis makin melebar. Mata Iskandar memancar kebencian yang tidak bertepi.

Iskandar memandang telefon di atas mejanya. Ganggang diangkat dan jarinya mendail nombor yang dikehendaki.

“Hello… Assalamualaikum… Auni, aku balik tengahari nanti. Lunch kat rumah. Kau masaklah, tanya Mak Zah apa yang aku suka.” Iskandar mengarahkan Auni tanpa gadis itu sempat bercakap sepatah pun perkataan. Terus ganggang diletakkan kemudiannya.

Iskandar tersandar lagi pada kerusinya. Fikirannya melayang terbang lalu hinggap dari saat dia bernikah dengan Auni hinggakan ke saat dia balik ke rumah pada pukul 2.00 pagi tadi. Dia tersenyum dan terasa malu sendiri. Dadanya berkocak hebat. Perlahan-lahan tangan kanannya dilekapkan ke dada. Senyumannya semakin lebar, mungkin hanya dia dan tuhan yang tahu apa yang telah berlaku.

“Harap-harap dia tak tahu.” Iskandar berbisik lebih kepada dirinya sendiri. Namun senyuman makin melebar. Manis rupanya ‘sesuatu’ itu.


##########


“Siapa yang telefon?” Mak Zah bertanya.

“Is, Mak Zah!”

“Auni masih panggil dia Is lagi ke? Bukankah sedap kalau panggil ‘abang’. Is tak suruh ke panggil macam tu?”

“Err… ada… ada…. maaflah Mak Zah… saya tak berapa biasa lagi panggil dia macam tu.” Auni sedikit gugup. Dia menunduk.

 “Kenapa dia telefon? Tak pernah-pernah dia telefon masa ni? Dia nak apa?”

“Dia… err… Abang Is suruh Auni masak tengahari. Dia nak balik makan tengahari ni,” jujur Auni memberitahu.

Mak Zah tersenyum. “Selama ni tak pernah pula dia balik makan tengahari. Selalunya makan dengan Anuar. Tak pun dengan gepren-gepren dia yang ramai tu.”

Auni ketawa kecil mendengar mak Zah menyebut perkataan gepren. “Girlfriend mak Zah… bukan gepren… kelakarlah Mak Zah.”

“Eh! Kita cerita pasal gepren bukannya nak jeles tapi ketawa pulak.”

Semakin kuat Auni ketawa mendengar sebutan Mak Zah yang bersahaja. Hatinya berbunga, terasa bagaikan arwah ibunya hidup kembali dalam diri Mak Zah. Bahagia menyelubungi dirinya seketika. Hilang sesaat rasa duka yang sejak akhir-akhir ini menyelubunginya. Moga segalanya pulih kemudian nanti.

Namun tiba-tiba Auni teringatkan perlakuan Iskandar malam tadi. Badannya menggigil tiba-tiba, debaran terasa begitu kuat. Dadanya terasa sebak dan sarat. Sarat dengan emosi yang datang silih berganti. Sebenarnya perasaan Auni lebih kepada takut. Takut dengan bayangan lelaki itu. Takut dengan situasi yang begitu membingungkan. Namun dia tahu dia harus pandai mengawal semuanya agar Iskandar tidak mengetahui perasaan takutnya.


##########


Jam sudah menunjukkan ke angka 2 pagi. Iskandar masih belum balik lagi. Auni sendirian di bilik yang besar itu. Matanya memerhatikan keadaan bilik, segala-gala yang terdapat dalam bilik itu kelihatan begitu gah sekali seperti pemiliknya. Tadi sebelum Auni merebahkan diri di atas katil sempat juga dia menjelajah bilik itu.

Rupanya masih terdapat satu lagi tangga yang menuju ke tingkat paling atas rumah. Itu bermakna dalam bilik Iskandar sahaja terdapat 3 tingkat dan tingkat teratas itu menempatkan himpunan buku, majalah dan komik selain terdapat sebuah lagi TV yang besar berserta deretan VCD dan DVD.

Auni berbaring mengiring pula setelah penat dia terlentang tadi. ‘Dia tak balik lagi ke?’ hati kecilnya berbisik. Namun hatinya terasa lega sebab lelaki itu tiada untuk ‘mencuit’nya. Harap-harap tiada lagi sebarang kejutan dari lelaki itu. Auni menguap beberapa kali, mengantuk. Entah bila dia tertidur, dia sendiri tidak sedar.

Tiba-tiba Auni terasa ada pergerakan di sebelahnya. Iskandar? Dadanya berdebar. Bilik itu agak suram dengan hanya lampu tidur yang menyala. Auni membuka matanya sedikit. Iskandar! Ya, Iskandar duduk betul-betul di sebelah kanannya. Dia begitu dekat sekali. Auni memejamkan matanya rapat-rapat. Dadanya berkocak kencang. Terasa kepalanya yang masih bertudung diusap. Badan Auni menggigil tiba-tiba.

Auni cuba menenangkan dirinya tetapi dia terasa ingin menjerit. Mindanya merewang dan hinggap pada kata-kata yang Iskandar katakan sebelum mereka berkahwin tempohari. Tidak ingatkah lelaki itu dengan kata-katanya sendiri bahawa dia tidak akan ‘menyentuh’. Lelaki itu mahu menelan kata-katanya sendirikah?

Auni terasa pipinya pula diusap perlahan. Dia semakin gementar. Deruan nafas keras Iskandar juga jelas kedengaran ditelinganya kemudian Auni terasa dahinya dikucup. Perlahan, lembut dan lama. Hampir Auni menjerit tapi tiba-tiba tiada lagi pergerakan dari lelaki itu. Auni memberanikan dirinya membuka matanya perlahan-lahan.

Iskandar sudah tiada di situ dan kelihatan satu susuk tubuh terbaring di sofa panjang bersebelahan katil. Jarak antara katil dan sofa hanya terpisah 2 meter sahaja namun itu sukup melegakan Auni. Debaran di dada Auni semakin berkurangan tetapi dia tidak dapat tidur hingga ke pagi. Matanya sentiasa mengawasi setiap pergerakan Iskandar yang kelihatan lena bagaikan bayi yang baru lahir.


##########


“Auni dah siap masak?” suara Mak Zah betul-betul mengejutkan Auni.

Mak Zah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat Auni. Dia tersenyum kemudiannya.

“Teringatkan Is ye?” serkap Mak Zah.

“Eh! Tak de lah Mak Zah. Emm! Lauk dah siap.” Auni senyum memandang Mak Zah yang kelihatan tersenyum sumbing.

“Auni… Auni…. macamlah Mak Zah tak pernah muda dulu. Sah dia teringatkan Is ni.” Giat Mak Zah lagi.

“Eh! Macam mana Mak Zah boleh tahu yek?” Auni turut tersenyum sumbing menutup rasa malunya. Terasa mukanya tebal berinci-inci.

Mak Zah tergelak kecil. “Mak Zah tak tahu sebenarnya. Aunilah yang beritahu kat Mak Zah baru kejap tadi.”

“Eh! Bila pulak saya beritahu Mak Zah?”

“Tadi.”

“Bila? Tak ingat pun saya cakap kat Mak Zah. Bila yek?” Auni mula menggaru-garukan kepalanya. Dia kehairanan lebih-lebih lagi Mak Zah mula kuat gelaknya.

“Auni… Auni… lurus bendul betul. Tadikan Auni cakap ‘macam mana Mak Zah tahu’ bila Mak Zah cakap ‘sahlah dia teringatkan Is’. Itu bukannya beritahu secara tak langsung?” Mak Zah meleraikan kehairanan Auni.

Auni senyum sumbing lagi. Dia betul-betul malu sekarang. Kalau tadinya mukanya terasa tebal berinci-inci. Kali ini mukanya terasa di simbah cat merah pula dan cat itu menitis-nitis membasahi tubuhnya juga.

“Mak Zah nak siapkan meja. Kejap lagi Is balik la tu.” Mak Zah terus berlalu ke ruangan makan setelah memberitahu perkara itu.

Ah! Hampir sahaja Auni terlupa bahawa Iskandar akan balik makan tengahari sebentar lagi. Dia sebenarnya sudah siap memasak nasi dan beberapa jenis lauk yang digemari Iskandar. Ingatannya pada kejadian petang dan malam semalam ingin dibuang terus dari ingatannya. Biar perkara yang berlaku itu hilang tanpa meninggalkan parut yang mampu dilihat. Janganlah lelaki itu mengulanginya lagi dan Auni sendiri beranggapan lelaki itu hanya ingin menduganya dengan ‘mencuit’. Mencuit bukan menyentuh.

Auni ingin berfikiran positif kerana dia pernah terbaca tentang satu penyelidikan di Mayo Clinic AS, bahawa mereka yang optimis semasa muda di jangka hidup 12 tahun lebih lama berbanding dengan mereka yang pesimis. Penyelidikan ini juga di sokong oleh Anna L.Marsland, pakar psikologi dari Pittsburgh Medical Center, bahawa mereka yang moody, mudah tertekan, mempunyai tindakbalas aktif terhadap vaksin berbanding dengan mereka yang ceria. Ya, ceria…. Auni ingin ceria dan gembira di samping rasa bahagia. Bahagia?

Dia juga akan mengawal rasa marahnya. Istilah marah akan dicuba hilangkannya kerana dia tahu tidak elok untuk seorang isteri berasa marah lebih-lebih lagi terhadap suaminya sendiri. Syurganya terletak pada seorang suami. Walau seburuk mana pun seorang suami. Walau semiskin mana pun seorang suami. Seorang isteri wajib mentaatinya selagi tiada batasan agama yang dilanggar. Selagi tiada kemaksiatan yang berlaku.
 
 

BAB SEMBILAN


MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN

 


Bab 9

 

“Is nak keluar malam ni. Ada janji dengan kawan.” Iskandar memberitahu setelah selesai makan malam.

“Hiss, Is ni! Siang tadi baru kahwin, malam dah nak keluar? Tak kesian dengan Auni? Awal-awal lagi dah kena tinggal,” leter Mak Zah seperti biasa.

“Kejap je.”

“Kejap apa? Is kalau tak pukul 1 atau 2 pagi baru balik, tak sah!”

“Is dah janji dengan kawan. Takkanlah Mak Zah nak Is jadi seorang yang munafik pula? Setiap janjikan mesti ditepati.” Iskandar tidak mahu mengalah.

“Ni kawan yang mana pulak? Kalau dengan Anuar, mesti Is dah sebut nama dia… perempuan ke?” Mak Zah pun seperti tidak mahu mengalah. Dia sememangnya tidak mahu Iskandar keluar malam itu.

“Kejap je Mak Zah. Please…

“Tu…” Mak Zah memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Auni yang ligat menolong Mak Zah mengemas meja. 

“Minta izin dengan Auni.” Mak Zah sengaja mengenakan ‘pengantin baru’.

Iskandar menoleh memandang Auni. Gadis itu hanya diam sahaja. Nampaknya langsung tidak memperdulikan perbualan antara Iskandar dan Mak Zah. Dia ke hulu hilir dari ruang makan keluarga membawa pinggan mangkuk masuk ke dalam dapur. Iskandar melangkah ke arah dapur setelah Auni tidak menampakkan dirinya seminit dua.

“Ehem….” Iskandar sengaja berdehem untuk menarik perhatian Auni yang sedang membasuh pinggan.

Sedetik dua, tiada reaksi dari si gadis. Iskandar sedikit resah. Dia menoleh sekilas ke arah ruang makan keluarga, mengintai Mak Zah. Iskandar melangkah dan berhenti di sebelah kiri Auni. Menjeling untuk melihat riak gadis itu. Masih tiada riak seperti dia tidak wujud di situ. Perlahan-lahan Iskandar meletakkan tangannya ke bahu Auni. Memeluk dengan sebelah tangan. Perlakuan tiba-tiba Iskandar menyebabkan Auni terkejut dan gelas di tangannya terlepas namun sempat disambut oleh Iskandar.

“Apahal kau ni? Nasib tak pecah gelas ni.” Iskandar sedikit kuat suaranya. Dia juga terkejut sebenarnya dengan tindakan refleks Auni.

“Maaf. Sa… saya betul-betul terkejut tadi.”

“Kau ni macam-macam. Terkejut apa?”

“Sa… saya tak biasa.”

“Kan tadi kat bilik aku dah ‘biasa’kan kau!”

Auni diam tidak menjawab. Dia meneruskan semula membasuh pinggan mangkuk. Sebenarnya dia tidak mahu bersoal jawab dengan Iskandar kerana dia tahu dia pasti kalah dengan lelaki itu. Lelaki yang sentiasa mahu orang lain hanya mendapat tempat terakhir.

Sekali lagi Iskandar memeluk bahu Auni dengan tangan kanannya. Auni tersentak lagi namun masih dapat mengawal rasa terkejutnya. Tetapi tangannya mengeletar sedikit. Dadanya berkocak kencang. Rasa terkejut, takut dan malu bercampur saat ini. Fikirannya teringatkan perlakuan Iskandar di dalam bilik sebentar tadi. Hatinya berdoa, janganlah lelaki itu buat perkara yang sebegitu lagi. Dengan lembut Auni menolak tangan Iskandar namun pegangan lelaki itu di bahunya semakin kuat.

“Pada yang halal, pegangan aku tiada salahnya. Bukannya aku memegang pada yang haram. Lebih dari ini pun aku boleh buat.” Iskandar berbisik.

“Tapi… ada seseorang tu pernah berkata tak akan ‘menyentuh’ diri saya.” Auni mengingatkan Iskandar tentang kata-katanya sendiri.

Iskandar ketawa besar. Tangannya dijatuhkan dari bahu Auni. Dia bergerak ke belakang Auni.

“Tadi bukannya menyentuh tapi hanya mencuit,” bisiknya ke telinga Auni.

“Ini juga mencuit.” Iskandar memegang pinggang Auni dengan kedua tangannya.

Auni terjerit kecil. Terkejut tetapi pantas mulutnya ditutup dengan kedua belah tangan kasar Iskandar dari belakang. Auni segera berpusing. Matanya bulat memandang Iskandar. Hatinya sakit dengan perlakuan Iskandar. Bukan menyentuh? Istilah itu dikatakan bukan menyentuh? Hanya mencuit? Siapa agaknya cikgu yang mengajar lelaki itu Bahasa Melayu dulu? Atau lelaki itu sebenarnya tidur ketika belajar dulu?

Iskandar tersenyum sinis. “Kau tak layak untuk menerima sentuhan aku.”

Tiba-tiba tanpa dapat Auni menahan, Iskandar merendahkan kepalanya dan menepek lembut bibirnya ke bibir Auni.

“Ini juga mencuit.” Iskandar tersenyum dengan killer smilenya.

Lelaki itu kemudiannya berlalu dari situ dengan kenyitan sekilas di mata kanannya dan ibu jari menyapu sedikit bibirnya. Tangannya dilambaikan tanpa dia berpaling memandang Auni yang terpaku dan terkedu.

‘Itu juga sentuhan. Bukannya mencuit. Kalau aku tidak layak menerima sentuhan kau, jangankan menyentuh…. mencuit pun jangan,’ Auni berbisik dengan dirinya sendiri. Dia sedaya upaya menahan rasa yang pelbagai. Sebak, sayu, dan hiba. Namun dia masih pertahankan air matanya dari menitis. Dia tahu dia harus tabah dalam menghadapi lelaki seperti Iskandar. Lelaki yang punyai ego yang tinggi dan sentiasa mahu menjadi juara.

 

##########

 

“Dah beritahu Auni?” Mak Zah bertanya sebaik sahaja Iskandar keluar dari dalam dapur.

Hanya anggukan yang Iskandar berikan sebagai jawapan.

“Mak Zah…. Is nak keluar dah ni.” Iskandar memberitahu sambil kakinya melangkah.

 “Kejap… kejap… kejap…. Mak Zah ni kurang percaya sikit. Betul ke dah beritahu Auni?” menyoal lagi.

“Dahlah Mak Zah…. Is dah beritahu tadi kat dapur. Sejak bila pulak Mak Zah tak percayakan Is ni?” pelik dengan perubahan Mak Zah.

“Mulai sekarang…. Auni! Auni!” Mak Zah memanggil Auni.

Tergesa-gesa Auni keluar dari dapur sambil mengesat tangannya dengan tuala kecil. Dahinya berkerut melihat Iskandar masih ada di situ. ‘Apahal pulak ni?’ Auni sedikit cuak. Takut juga dia melihat pandangan tajam Iskandar. Cepat-cepat dia memandang Mak Zah.

“Ada apa Mak Zah?” cepat Auni bertanya. Bimbang.

“Ada tak tadi si Is ni minta izin nak keluar?”

Mata Auni yang tadinya terarah pada Mak Zah beralih pula memandang Iskandar. Lelaki itu berdiri tegap dengan memeluk dirinya dan senyuman sengetnya dilemparkan kepada Auni yang sedikit kebingungan. ‘Ada ke tadi dia minta izin?’ Auni cuba mengingat.

“Ada tadi… kan Cinta?” Iskandar menghampiri.

Auni tidak menjawab. Dia betul-betul kebingungan dan sedikit tidak selesa dengan Iskandar yang semakin menghampiri dan berdiri betul-betul di hadapannya.

“Tadi… abang dah minta izin… kan?” wah! Lembut dan lunak suara Iskandar tika ini namun matanya tajam memandang Auni.

Auni mengangguk laju-laju. Bimbang dan sedikit takut dengan tindakan Iskandar yang biasanya tiba-tiba jikalau dia tidak mengiyakan pertanyaan tadi. Namun nafasnya kembali sesak, lelaki itu secara tiba-tiba merendahkan kepalanya dan dengan spontan mencium lembut dahi Auni. Ya, lelaki yang selalu dengan tindakan spontannya. Tanpa sempat dan dapat dihalang. Muka Auni memerah. Malu kerana perbuatan spontan Iskandar menjadi tontonan Mak Zah. Agaknya lelaki itu betul-betul tiada perasaan malu dan segan.

“Abang keluar sekejap. Jangan tunggu, tidurlah kalau mengantuk.” Iskandar memberitahu Auni dan tersenyum kacak seperti selalu.

“Is keluar dulu Mak Zah.” Iskandar memberitahu Mak Zah pula.

“Yalah tu… jangan balik lambat sangat. Ingatlah diri tu dah jadi suami orang.” Mak Zah mengingatkan Iskandar.

Iskandar senyum dan menunjukkan isyarat ok dengan jarinya. Dia keluar dari ruang makan keluarga dengan tergesa-gesa. Kelihatan juga jam di tangan dibeleknya. Mungkin dia benar-benar sudah terlambat dengan janji yang telah dibuat.

 

##########

 

“Iskandar memang macam tu. Masa kecik-kecik dulu, selalu juga dia cium pipi dan dahi Mak Zah ni. Itu adalah cara dia menunjukkan dia sayangkan kita. Dia sayangkan Auni tu… tu yang diciumnya tadi. Auni jangan malulah dengan Mak Zah.” Mak Zah bercerita tentang Iskandar. 

“Sekarang… Is buat lagi tak macam tu Mak Zah?”

“Hiss, Auni ni! Mana boleh. Mak Zahkan tiada hubungan darah dengan dia. Walaupun dah tua, Mak Zah ni tetap bukan mahram dia.”

Auni ketawa kecil. “Maaflah Mak Zah. Saya terlupa. Emm…. Mak Zah ni bukan dah tua, cuma semakin bertambah usia.” Auni memeluk lengan Mak Zah.

Mak Zah turut ketawa..“Apa-apa jelah Auni ni.”

“Saya pun sayangkan Mak Zah. Mak Zah baik macam arwah ibu saya.” Auni makin kuat memeluk lengan Mak Zah. Terasa hangat seperti lengan arwah ibunya.

“Mak Zah boleh cerita sikit tak pasal Is? Sebenarnya banyak yang saya tak tahu pasal Is.” Auni cuba mengorek cerita tentang diri Iskandar.

“Is tu sebenarnya bukan anak tunggal.”

“Betul ke mak Zah? Saya ingatkan dia anak dan cucu tunggal Dato’ Hasyim.”

“Dia anak ketiga. Orang kata anak ketiga ni jatuh kepada unsur api. Baran dan panas sentiasa. Auni anak keduakan? Jatuh kepada unsur air. Memang padan sebenarnya kamu berdua. Sorang api, nak membakar je sifatnya dan sorang air, memadamkan kemarakkan api. Tapi kita sebagai orang Islam tak boleh percaya seratus peratus tentang perkara sebegitu. Kalau dijadikan rujukan tu boleh.” Mak Zah memulakan mukadimah.

“Is ada seorang kakak dan abang tetapi mereka meninggal sebaik dilahirkan. Dia juga ada adik perempuan, Issabella Zulaikha tetapi semasa usianya 14 tahun, dia kemalangan. Begitu juga dengan mak ayah Is… mereka bertiga meninggal dalam kemalangan yang sama. Ketika itu mereka sedang bercuti di Kanada sempena cuti penggal kedua sekolah. Is tak ikut sama sebab dia terlibat dengan latihan hoki, wakil negeri.”

“Masa tu umur Is berapa tahun?”

“Kalau tak silap Mak Zah…. Is dalam tingkatan 5. Disebabkan kemalangan tu, Is tak dapat tumpukan pelajarannya dan keputusan SPM dia tak berapa baik. Sebab tu dia masuk tingkatan 6. Emm… mujur juga dia masuk tingkatan 6.”

“Kenapa Mak Zah? Kenapa pula mujur dia masuk tingkatan 6?”

“Yalah… kalau dia tak masuk tingkatan 6, dia tak jumpalah dengan Auni…. kan?”

Auni ketawa kecil. “Apa-apa jelah Mak Zah ni.”

“Nak sambung lagi tak ni?” Mak Zah bertanya.

“Naklah Mak Zah.”

“Auni tahu Dato’ tu bangsa apa sebenarnya?”

“Eh! Kenapa Mak Zah tanya macam tu? Atuk bukan Melayu ke?”

Kali ini giliran Mak Zah pula ketawa. “Auni… Auni…. polos sangat. Dato’ tu dari campuran orang Cina dan India. Ayahnya Cina dan maknya India. Mungkin sebab tu rupa dia macam Melayu sikit. Auni tak perasan, mata dia sepet sikit?”

Cepat-cepat Auni menggelengkan kepalanya. Dia sedikit teruja dengan cerita yang Mak Zah ceritakan. Menarik rupanya salasiah keturunan Iskandar. Patut pun nama Dato’ Hasyim ialah Hasyim Lee b. Abdullah.

“Auni pernah nampak gambar arwah nenek, mak dan ayah Is?” Mak Zah bertanya.

“Tak,” jawapan pendek berserta gelengan lagi.

“Nenek Is, namanya Sharifah Aminah bt. Syed Mahmood. Sebenarnya campuran Melayu Inggeris. Lawa. Macam perempuan arab bermata hijau. Rambut dia pula warna coklat. Mak Zah tak pernah tengok lagi perempuan yang cantik macam arwah nenek Is.”

“Mak Is pula, wanita perancis bermata biru dan rambut perang. Siti Hanissah Ludwing bt. Abdullah. Cantik dan bergaya. Emm…Auni dapat tak bayangkan dari mana Is mewarisi rupa dan kekacakan dia?”

“Emm… baru saya tahu Mak Zah kenapa rupa Is macam tu. Dan mata dia mesti dah bercampur antara nenek dan mak dia.” Auni terbayangkan mata Iskandar yang berwarna biru kehijauan dan rambut yang berwarna perang kehitaman. Ingatkan lelaki itu sengaja mewarnakan rambutnya.

“Tapi kenapa masa zaman sekolah dulu rambut Is berwarna hitam?” Auni teringat zaman sekolah. Memang warna rambut Iskandar berwarna hitam.

“Sebenarnya warna rambut dia warna apa Mak Zah?”

“Dia ikut maknya. Rambut mak dia warna perang tapi Is lebih kepada perang kehitaman. And tulah masa sekolah dulu dia warnakan jadi hitam pekat. Puas Mak Zah dan Dato’ nasihatkan dia, tak baik merubah pemberian tuhan. Mujur juga lepas habis sekolah dia tak lagi buat macam tu.”

Auni ketawa. Terbayang di matanya kenakalan Iskandar zaman persekolahan. Nakal dan perasan. Perasan dirinya seorang sahaja yang kacak dan bergaya masa itu. Tetapi itulah hakikat sebenarnya, ketika dulu memang tiada yang dapat menandingi kekacakan dan ketampanan Iskandar. Sekarang juga begitu. Auni tahu Hanif juga tidak dapat menandingi Iskandar dari segenap segi tetapi kenapa lelaki itu seperti tidak pernah ngam dengan Hanif?

Dari dulu dan kini pantang nama Hanif tersebut, wajah lelaki itu akan berubah seperti menahan marah. Ada ceritakah disebalik semua itu? Dan sebenarnya ada ceritakah disebalik kata-kata Iskandar, ‘ini adalah permulaan satu permainan.’ Apakah permainannya? Siapakah permainnya? Apakah taruhannya? Persoalan yang tiada jawapannya.
 
 

BAB LAPAN


MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN

 


‘Ini baru permulaan satu permainan dan aku memang menyukai permainan yang sememangnya aku yang akan menang.’

 

Bab 8

 

Majlis yang sederhana dan ringkas itu berakhir dengan begitu cepat sekali. Hanya dengan sekali lafaz, Auni kini sah bergelar isteri kepada Iskandar. Kelihatan Auni begitu ayu dengan kebaya sifon berwarna krim, sedondon dengan Iskandar yang segak berbaju melayu teluk belanga juga berwarna krim.

Dato’ Hasyim tersenyum lebar sedari tadi. Hatinya berbunga riang melihat cucu tunggal menamatkan zaman bujang dengan gadis yang telah menawan hati tuanya. Rasa bahagia yang sudah lama dia nantikan telah menampakkan diri. Dia begitu gembira walaupun tiada majlis besar-besaran. Majlis yang sudah lama dia idamkan tidak dapat dijalankan. Namun dia tetap berpuas hati kerana satu-satunya waris yang dia ada telah berumahtangga.

“Hah! Auni, salam dengan Is dan kemudian cium tangannya.” Mak Zah menyuruh Auni setelah Iskandar menyerahkan mas kahwin dan menyarungkan cincin di jari manis.

Auni memandang Mak Zah. Mak Zah tersenyum dan menganggukkan kepalanya.

“Salam dan cium tangan Is, Auni.” Mak Zah menyuruh lagi setelah melihat Auni seperti terkaku.

Teragak-agak dan sedikit cemas. Auni juga terasa peluhnya mengalir di dahi. Cepat-cepat dia menyekat peluhnya dengan tisu. Dia melemparkan senyuman kepada Mak Zah yang berada di sisi kirinya. Mak Zah mengisyaratkan dengan matanya pula menyuruh Auni menyalami Iskandar yang duduk tegak tidak bergerak dengan senyuman sengetnya. Killer grin sudah mempamerkan wajah.

Auni menghulurkan tangannya. Iskandar menyambut. Terasa tangan kasar Iskandar begitu hangat namun Auni tahu tangannya sejuk dan kaku. Perlahan-lahan dia menunduk dan mencium tangan Iskandar. Perasaan gementarnya semakin kuat tatkala Iskandar secara spontan bangun sedikit dan menarik dagu Auni serta mencium dahinya. Sesaat, dua saat, tiga saat… Auni terasa darahnya penuh di muka. Merah. Warna itu bagaikan berlumba-lumba naik ke mukanya. Perlahan Auni menolak dada Iskandar. Lelaki itu duduk semula dari tinggungnya. Tersenyum senget dan mata kanannya dikenyitkan sesaat.

“Ala, kenapa cepat sangat? Lagi sekali… aku tak sempat ambil gambar ni.” Anuar bersuara tiba-tiba. Ditangannya terdapat sebuah kamera.

“Yalah, Auni… Iskandar. Mak Zah dan Dato’ pun nak tengok sekali lagi.” Kata-kata Mak Zah menyesakkan lagi dada Auni.

Auni memandang Iskandar. Lelaki itu tersengih lagi. Agaknya sudah tiada perkara lain yang dia pandai lakukan ketika itu.

“Salam jelah, bukan susah pun.” Iskandar berbisik. Lembut dan perlahan.

Perlahan-lahan Auni menghulurkan tangannya menyalami Iskandar. Tangannya masih sejuk dan tangan Iskandar tetap hangat.

“Tunggu dulu Auni… cium semula tangan Is!” Anuar menegah setelah Auni mengangkat mukanya.

Auni tunduk kembali. Mencium tangan Iskandar. Sesaat dua kemudian dia mengangkat mukanya setelah Anuar menyebut ok. Debar hatinya tidak boleh berhenti lagi apabila Iskandar mengulang lagi menarik dagu dan mencium dahinya. Kali ini lebih lama hinggakan Auni terasa hembusan nafas Iskandar menyapa keras. Mujur juga tanpa disuruh atau ditolak seperti tadi, Iskandar duduk kembali.

“La… lama la sikit Is…. aku nak ambil banyak-banyak gambar romantik ni.”

“Banyak la romantik kau…. aku dah lapar ni. Kau tak lapar ke?”

“Aku nak ambil pose dalam pelbagai sudut. Kau apa tahu?”

“Sudahlah kau… pergi makan tu!” Iskandar menolak Anuar.

Mengekek Anuar ketawa. Dia berlalu menuju ke satu ruang yang disediakan untuk mengambil makanan. Terdapat 3 atau 4 jiran-jiran bersama keluarga mereka yang turut berada di ruangan itu. Dato’ Hasyim, Mak Zah dan Abang Mie turut berada di situ. Melayani tetamu yang dijemput.

“Ini baru permulaan satu permainan.” Tiba-tiba Iskandar berbisik perlahan.

Auni memandang terkejut ke arah Iskandar yang sudah duduk bersebelahannya. Dia terpinga-pinga, tidak faham dan tidak dapat menangkap apakah maksud Iskandar. Iskandar tersenyum sinis. Keningnya dinaik turunkan.

“Ini baru permulaan satu permainan dan aku memang menyukai permainan yang sememangnya aku yang akan menang. Pemenang tempat pertama, tiada tempat kedua atau ketiga. Kalau yang ada pun semuanya menjadi tempat terakhir,” bisik Iskandar lagi.

Bulat mata Auni. Dia faham dan mengerti kini kenapa Iskandar setuju mahu mengahwininya. Bukan kerana mahu menolongnya, bukan juga kerana mahu menggembirakan atuknya tetapi kerana satu permainan. Lelaki itu menganggap perkahwinan adalah satu permainan? Tetapi dia bermain dengan siapa? Siapakah permainnya. Dirinyakah atau ada permain yang lain?

Tanpa dapat disekat, perlahan air mata Auni mengalir. Hatinya sayu dan sedih. Iskandar yang tersenyum sinis tadi mati senyumannya. Dia memalingkan mukanya ke arah lain. Sengaja memandang ke arah tetamu yang mulai beransur pergi dan yang tinggal hanyalah Dato’ Hasyim yang sesekali menoleh ke arahnya dan Auni.

Perlahan Iskandar berpaling ke arah Auni kembali. Air mata gadis itu nampak semakin melebat. Tisu di tangan nampak lecun. Diraihnya Auni dalam pelukannya secara tiba-tiba. Auni yang terkejut cepat-cepat menolak namun Iskandar makin mengeratkan pelukannya.

“Is… orang nampak nanti. Tak malu ke!!”

“Syyy… relax la. Mereka dah balik. Atuk pandang tu,” bisik Iskandar.

Dia melepaskan tubuh Auni yang mengeras dan menggenggam pula tangan sejuk gadis itu. Tangan itu dibawa ke bibirnya dan dikucup lembut. Dia dapat merasakan tubuh gadis itu menggeletar kecil. Senyuman membunuhnya dilemparkan kepada Auni yang sudah kering air mata. Perlahan-lahan dia mengusap lembut pipi Auni bagaikan mahu menghapuskan bekas-bekas air mata yang mengalir tadi.

 

##########

 

“Atuk harap kau belajarlah menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab. Jangan sia-siakan Auni, dia gadis yang baik.” Dato’ Hasyim memulakan mukadimah sebaik sahaja dia melabuhkan punggung atas sofa yang diduduki bersama Iskandar dan Auni.

“Is faham tuk… Atuk janganlah risau. Don’t worry, nothing can happen to her. I promise. Auni akan sentiasa selamat selagi Is hidup. Is akan menjaga dan melindunginya selagi nyawa dikandung badan.” Bersungguh-sungguh Iskandar berjanji. Janji yang tidak pasti boleh dilakukan atau tidak.

Auni yang berada di sebelah Iskandar hanya diam membisu. Selesai dia makan dan sembahyang asar tadi, dia kembali ke ruang tamu yang kelihatan sudah siap dikemas oleh Mak Zah dan beberapa orang pembantu yang diupah khas untuk majlis hari itu. Fikirannya melayang dan terbang. Suara Dato’ Hasyim dan Iskandar yang berbual-bual tidak kedengaran pada pendengarannya. Hanya suara hatinya bergema memenuhi segenap ruang.

“Auni…”

“Auni…” Auni dikejutkan oleh Mak Zah.

Auni tersentak. Dia memandang sekeliling. Rupanya dia keseorangan. Dato’ Hasyim dan Iskandar sudah tiada. Entah bila mereka meninggalkan dia sendirian, dia pun tidak pasti. Emm… sampainya hati. Kalau Dato’ Hasyim yang meninggalkannya sendirian, rasanya dia tidak kisah tetapi, Iskandar a.k.a suami sendiri yang buat macam tu…. entahlah.

“Mak Zah dah kemaskan barang-barang Auni tadi.” Mak Zah memberitahu.

“Mak Zah kemaskan? Nak hantar ke mana?”

Mak Zah ketawa kecil. “Ke mana lagi…. ke bilik Is lah.”

“Err… bi… bilik Is!!?”

“Yelah… bilik Is. Kenapa?”

Auni senyum menutup gugupnya. Mak Zah ketawa lagi. Dia tahu Auni sedikit gementar. Siapalah yang tidak gementar dihari pertama bergelar isteri. Itulah yang semua gadis-gadis akan rasakan dari saat pertama mereka diijab kabulkan. Mak Zah teringat, dia juga begitu dulu. Tetapi dia juga tahu satu lagi perkara yang membuatkan Auni gementar. Iskandar. Ya, itulah satu nama yang mampu membuatkan gadis di hadapannya ini gementar.

“Terima kasih Mak Zah. Menyusahkan Mak Zah saja. Saya boleh buat sendiri kerja-kerja macam tu.” Auni memegang lembut tangan Mak Zah. Kesian juga pada Mak Zah. Sudahlah sejak tadi sibuk dengan majlis kini mengemaskan barangan dia pula. Tentu Mak Zah letih dan penat.

“Tak pe Auni, Mak Zah tak kisah. Mak Zah bukannya apa… bimbang Auni ni yang tak mengemas langsung. Silap-silap hari bulan bilik Is pun Auni tak masuk.” Tebakan Mak Zah bagaikan mengena sasaran.

Terkelip-kelip mata Auni mendengar omelan Mak Zah. Pandai betul Mak Zah meneka. Macam dia tahu pula kebarangkalian Auni masuk ke dalam bilik Iskandar adalah 10 peratus sahaja. Dengan dia sendiri mengemas dan membawa pakaian serta barangan Auni masuk terus ke bilik Iskandar, Mak Zah begitu yakin Auni tidak akan mempunyai banyak pilihan selain menurut sahaja.

“Auni naiklah dulu, bersiap mana yang patut. Sembahyang dan lepas tu turunlah ke bawah untuk makan malam. Ajak Iskandar sekali. Maghrib pun dah dekat ni.”

“Baiklah Mak Zah. Maaf sekali lagi sebab telah susahkan Mak Zah.”

“Tak pelah Auni. Hah! Naiklah! Nanti tertunggu-tunggu pulak si Iskandar tu.”

“Baiklah Mak Zah. Terima kasih.”

“Sama-sama.”

Mak Zah segera beredar dari situ dan menuju ke arah dapur. Mungkin ingin balik ke rumahnya yang terletak di bahagian belakang rumah Dato’ Hasyim. Hanya beberapa langkah dari dapur sahaja akan kelihatan rumah Mak Zah, rumah yang telah disediakan oleh Dato’ Hasyim. Dekat sangat. Rumah itu dibina untuk menghargai kesetiaan Mak Zah dan Abang Mie. Sudah hampir 10 tahun mereka menduduki rumah itu dan sebelum itu mereka di sediakan bilik yang terletak berhampiran ruang makan keluarga.

Auni keseorangan kembali di ruang yang besar. Senyap dan sunyi. Mungkin Dato’ Hasyim juga telah berada di biliknya. Auni termangu-mangu seketika namun kakinya tetap melangkah menaiki tangga menuju ke tingkat dua rumah. Di tingkat itu terdapat lima bilik iaitu bilik Dato’ Hasyim, mini pejabat, dua bilik kosong yang Auni tidak tahu apa kegunaannya dan satu bilik yang telah dijadikan bilik Auni.

Kaki Auni melangkah lagi ke tingkat tiga di mana di situ terletaknya bilik Iskandar. Tingkat yang dia tidak pernah naiki. Terdapat tiga bilik di tingkat itu dan salah satu pintu telah di cat warna hitam. ‘Hitam? Agaknya itulah bilik Is tapi…. kenapa warna hitam?’

Tiba di pintu bilik Iskandar, Auni terpaku. Hatinya terasa berat. Mindanya berbisik sendiri. Entah berapa lama dia sanggup bertahan dengan kerenah tidak matang Iskandar. Dan entah berapa lama dia sanggup menelan segala kata-kata sinis dan menyakitkan hati yang keluar dari mulut lelaki itu nanti. Perlahan-lahan dibukanya pintu bilik itu. Kepalanya dijengukkan. Hairan sebab tiada sesiapa di situ. Iskandar tiada.

Matanya memandang bagai tidak percaya dengan keluasan bilik itu. ‘Bilik putera raja?’ hatinya berbisik. Ya, seperti bilik putera raja. Dalam bilik itu masih ada tangga yang menuju ke tingkat atas. Kelihatan seperti dalam bilik itu terdapat bilik yang lain pula. Di tingkat bawah terdapat pelbagai peralatan senaman. Macam dalam gym. Di suatu sudut yang lain pula terdapat televisyen yang sebesar alam dengan alatan audio yang lain. Home theatre pun ada. Macam dalam pawagam. Di sudut yang lain pula, terdapat alatan muzik pula. Ada drum, gitar dan organ. Macam dalam studiolah pula.

‘Agaknya inilah gaya hidup orang kaya. Patut pun Is marah bila aku setuju nak kahwin dengan dia. Rupanya cara hidup aku dan dia jauh berbeza.’ Auni terasa sedikit kesal dengan keputusan yang telah dia buat namun cepat-cepat dia beristighafar. Berdosa rasanya mempertikaikan jodoh yang telah ditetapkan.

“Lambatnya!!” tiba-tiba suara Iskandar menerjah ke telinga Auni.

Sedikit tersentak. Auni memandang Iskandar yang sedang turun dari tingkat atas biliknya. Lelaki itu sudah bersalin pakaian yang lain. Dia kelihatan lain dengan berbaju melayu dan berkain pelikat. Satu sisi lain yang tidak pernah ternampak oleh mata Auni. Bak kata orang tua-tua ‘sejuk mata memandang.’

“Cepatlah!!” bentak Iskandar menyentakkan Auni.

“Maaf… saya naik dulu ye.” Auni menapak memanjat tangga.

Iskandar tidak berganjak di tangga ke enam. Auni melangkah perlahan dan tiba di tangga yang ke lima, dahinya berkerut. Iskandar seperti menghalangnya dengan bergerak ke tengah laluan. Auni mendongak. Matanya memandang Iskandar yang merenungnya. Sedetik dua, Auni tunduk. Dia masih tidak mampu membalas renungan lelaki itu. Renungan membunuh. Dadanya tiba-tiba bergetar perlahan.

Iskandar tersenyum. Killer smilenya melebar. “Lets  we play one games.” Dia berbisik.

“Hah!” bulat mata Auni mendengar ayat itu.

Iskandar tersenyum lagi. Dia turun satu anak tangga dan betul-betul berdiri berhadapan Auni yang semakin bulat matanya.

Kepalanya ditundukkan mendekati telinga Auni. “I said, lets we play one games,” suaranya lembut menyapa.

“What… what games?” suara Auni kedengaran menggeletar.

Iskandar melangkah  dua tapak ke depan dan serentak itu Auni mengundur setapak. Namun hanya setapak yang boleh diundurkan Auni. Dia tersekat, di belakangnya dinding. Otaknya ligat berfikir dan Auni mengambil satu jalan, dia segera menaiki tangga yang tidak terhalang lagi oleh Iskandar. Laju. Namun tiba di tangga yang terakhir, nafasnya bagaikan terhenti dan putus. Nyawa bagai minta diberi.

Langkahnya terhenti. Tangan Iskandar berada di perutnya atau nama lainnya ialah Iskandar sedang memeluknya dari belakang. Dengan kedudukan mereka, Auni sudah kelihatan hampir setinggi Iskandar.

“Akukan nak bermain satu permainan dengan kau… kenapa kau lari?” suara Iskandar berbisik di tepi telinga Auni.

Tanpa jawapan. Auni tidak mampu bersuara. Tubuhnya menggeletar. Lemah dan longlai. Kakinya terasa lemah dan tubuhnya longlai. Dia tidak pasti Iskandar sedang mengujinya atau memang betul-betul mahu ‘bermesra’ dengannya. Hatinya berkocak hebat. Jantungnya laju berdegup.

“I want this games.” Iskandar mencium belakang bahu Auni. Auni tersentak.

“I want this games too.” Iskandar menyelak tudung dan mencium leher Auni. Auni menggeletar.

Iskandar membalikkan tubuh Auni menghadapnya. Dia tersenyum memandang Auni yang sudah mula berpeluh.

“I want this games more.” Iskandar memeluk Auni dan bibirnya menempek lembut ke bibir Auni. Auni sudah teresak kecil.

Iskandar semakin kuat memeluk Auni. Dia juga berulang kali mencium bibir Auni.

“Emm… manis. Aku suka betul dengan ‘permainan’ ini.” Iskandar bersuara selepas beberapa minit dia ‘mendera’ Auni.

“Cepat bersiap! Aku tunggu di bilik solat. Kau jangan ingat aku suka sangat nak menyentuh kau? It’s just a games. Yeah, the only games I’m the winner. You’re just a loser and nothing!” keras Iskandar bersuara. 

Auni terduduk. Iskandar berlalu meninggalkan Auni yang makin deras esakannya. Hatinya bagai disiat-siat. ‘Kalau tak sudi menyentuh, jangan disentuh,’ perlahan-lahan Auni mengesat air matanya yang tumpah buat kali kedua hari itu. Tumpah kerana seorang lelaki yang bernama suami. Dan suami itu bernama Iskandar. Adam Iskandar.

 

#########

 

Iskandar menyandar disebalik pintu biliknya. Dia memegang dada kiri. Sakit betul rasanya jantungnya. Berdegup kencang lebih dari biasa dan dia tidak sukakan perkara itu. Tangannya beralih ke tengah, melekapkan telapak tangan. Hatinya bersuara. Isabella, tiba-tiba nama itu bergema di situ. Nama yang tidak pernah padam dan tidak akan padam untuk selamanya. Isabella, nama yang akan dibawanya hingga ke akhir hayat.

“Abang akan sentiasa ingatkan kau, Bella. Di setiap detik dan waktu. Di setiap saat dan masa. Hanya kau, Bella. Hanya kau. When I play good guys, that’s much more natural for me. I’d like to think I’m bit of a good person but now I’m playing a games. And like you know, a gamer is a very bad person… Auni.” Iskandar dengan killer smilenya bersatu hati dalam merealisasikan satu permainan.

            Kakinya melangkah tegap menuruni tangga untuk ke bilik solat yang terletak di tingkat paling bawah. Bilik yang Dato’ Hasyim khaskan untuk sekeluarga atau tetamu yang datang bertandang menunaikan solat. Sebetulnya Dato’ Hasyim lebih suka bersolat Jemaah di surau yang berhampiran. Perkara sebegitu diterapkan juga kepada Iskandar.  Namun jikalau ada sesuatu yang menghalang, di bilik itulah mereka bersolat. Dan seboleh-bolehnya mereka sekeluarga akan luangkan masa untuk berjemaah jika ada kesempatan.

 

##########

           

Auni sebak di dalam. Alunan suara itu begitu menusuk ke dalam jiwanya. Itulah Imam yang dinantikan setiap gadis. Itulah peneman yang didambakan setiap isteri. Itulah pembimbing ke syurga Firdausi. Setiap bacaannya bagaikan berkata-kata dengan jiwa Auni. Meresap jauh ke dasar. Tenggelam di dalam. Tidak mahu melepaskan dirinya. Auni mahu mengurung rasa itu di dalam. Dia mahu memiliki itu namun Auni sedar dia hanyalah satu permainan bagi lelaki itu.

            Selesai bersolat dan doa dibacakan. Perlahan-lahan Auni sendiri berdoa di dalam hatinya. ‘Ya Allah, teduhkan wajahku. Lembutkan bicaraku. Anggunkan perilakuku. Cantikkan akhlakku. Sihatkanlah tubuh badanku. Istiqomahkan aku dalam kebaikan dan bimbinglah aku sentiasa di jalan-Mu. Aamiin… aamiiin ya robalalamin.’

            Meraup wajahnya setelah terdengar aamiiin. Auni menyalami Mak Zah yang turut berjemaah bersama. Abang Mie dan Atuk Hisyam juga turut ada. Auni turut menyalami Atuk Hisyam dan akhir sekali dia menghulurkan tangan ke arah Iskandar. Disambut dan cepat Auni mengucup tangan sejuk itu tanpa disuruh. Moga hari-hari mendatang ‘sejuk’ sesejuk tangan yang dia cium dan halal baginya. Moga hari-hari akan ‘panas’ dengan sehangatnya kasih sayang suami isteri. InsyaAllah.