I
|
SKANDAR
memandu tenang. Bibirnya tak lepas mengukir senyuman. Sesekali dijelingnya Auni
yang memeluk erat kusyen kecil yang berada di riba.
“Kalau peluk abang macam
tu sedap juga, kan…” Sambil-sambil tersenyum lagi Iskandar menuturkan kata.
Dalam kepala sudah terbayang Auni memeluknya begitu.
“Dalam kereta ni, susah
nak peluk…” balas Auni dengan muka yang sudah merah. Segan dan malu masih
menguasai diri.
“Nanti dah sampai rumah
sana… maksudnya bolehlah tu?” Iskandar tersengih dengan kening
terjongket-jongket.
Auni mula berpaling ke
sisi. Wajah Iskandar ditatapnya.
“Kenapa saya rasa abang
macam gatal sekarang ni?”
Terus terang Auni
memberitahu rasa hatinya. Dahinya berkerut seribu kemudiannya bila mula nampak
bibir Iskandar mula terbuka dengan sengihan
“Macam nak rasa suplah,
sayang…” Suara Iskandar seakan merayu. Auni dijelingnya lagi dengan jelingan
seakan menggoda.
“Nanti kita singgahlah di
kedai makan… saya rasa waktu macam ni masih ada kedai-kedai yang buka. Cuma tak
pasti pula, sup ada dijual tak. Biasanya masakan panas je ada…” Jam di tangan
dibelek Auni sambil mulutnya bersuara.
Sesaat kemudian, ledakan
tawa Iskandar memenuhi ruang sempit di dalam kereta. Dia menggeleng beberapa
kali. Bila bunyi ketawanya berhenti, bibirnya pula tersenget-senget menahan
tawa lain yang cuba menggambil alih.
“Abanggggg…” Auni yang
kehairanan hanya dapat menyebut itu sahaja.
“Cinta abang ni memang
kadang-kadang naïf tak tentu pasal, kan? Nama je belajar macam-macam dekat U
dulu…” Walau masih dengan mulut yang masih mahu ketawa, Iskandar masih mahu
bersuara.
“Apa ni? Saya tak
fahamlah. Cuba abang beritahu betul-betul. Nak merajuklah macam ni…” Auni makin
mengeratkan pelukan pada kusyen kecil tadi. Mukanya sudah masam dengan bibir
yang dikemam.
“Comel!” Tercetus
perkataan itu daripada Iskandar.
Auni berpaling semula ke
arah Iskandar. Mata dikecilkan tanda masih ada pertanyaan di dalam hatinya.
Iskandar ketawa lagi.
Kening dijongket-jongket lagi, cuba mengusik isteri tersayang.
“Tu…”
“Apa ni, bang? Saya merajuk
betul-betul nanti…” Sengaja pula Auni mengugut walau dia tahu suaminya jenis
bagaimana orangnya.
“Tulah… sup abang…”
“Sup?”
“Sup abang yang comel.
Mungkin juga sedap rasanya…” Iskandar masih lagi mahu mengusik.
“Abanggggg…”
Bahu Iskandar ditepuk kuat
Auni. Kini dia sudah dapat meneka apa maksud suaminya. Dan bunyi tawa Iskandar
sekali lagi memenuhi ruang di dalam kereta. Tawa kebahagiaan. Ia telah mengusir
derita yang pernah mereka tempuhi. Tawa kegembiraaan. Ia telah mengubat luka
yang dulunya mengalirkan darah dan air mata.
Auni dijeling
berkali-kali. Dialah gadis. Dialah wanita dan dialah isteri yang bertahun
disorok di dalam hati. Disorok disuatu sudut yang tak akan mampu sesiapa pun
jumpai. Auni, dialah gadis, wanita dan isteri yang paling cantik jelita dari
sudut pandangan mata Iskandar. Nama Adam Iskandar dan Auni Amirah, akan
sentiasa diikat dengan simpulan mati sehingga ke akhir hayat mereka.
"KITA
cuba bercinta dulu sepanjang Ramadhan ni nanti..."
Terluncur kata-kata itu
dari mulut Iskandar. Tika itu mereka sudah di hadapan pintu pagar rumah Auni.
Enjin kereta juga masih belum dimatikan. Masing-masing seakan tidak mahu
berpisah walau untuk sesaat sekalipun. Namun sebaik Iskandar berkata begitu,
Auni membeliakkan matanya. Dahi sudah berkerut. Kata-kata yang langsung tidak
difahaminya. Iskandar adalah spesis lelaki yang suka berkata-kata dengan ayat
yang terselindung maksudnya. Ada makna yang tersirat dalam yang tersurat.
“Bercinta...” Sekali lagi
Iskandar menyebut.
“Saya masih tak faham.
Kenapa nak bercinta?”
“Cinta… ok satu perkara
abang nak Cinta buat…” Tanpa menjelaskan, Iskandar terus bercakap tentang
perkara lain.
“Abang nak saya buat apa?”
Auni makin tidak faham dengan Iskandar.
“Hah, yang tulah…”
“Abanggggg… apa ni? Saya
tak fahamlah. Ni sudah dua perkara tau, saya tak dapat faham…”
“Lain kali bahasakan diri
tu ‘Cinta’ bukannya saya…”
“Tapi saya tak biasalah,
bang. Rasa segan pula…” Auni menunduk. Kedua tangannya melagakan kuku ibu jari
sesama sendiri. Mukanya sudah pijar membayangkan diri sendiri membahasakan diri
‘Cinta’.
“Tapi abang tak segan pun
memanggil Cinta dengan nama Cinta. Cinta, please…”
Kini seakan merayu pula Iskandar supaya Auni menurut.
Wajah Iskandar dipandang
penuh rasa kasih. Auni mencari keikhlasan pada wajah suaminya. Dan sebetulnya
Auni tahu, Iskandarlah seikhlas-ikhlas lelaki yang dia miliki kini. Helaan
nafas ditarik panjang. Auni mengangguk tanda setuju dengan panggilan ‘Cinta’
itu.
“Ok, kita bercinta pula
ya, Cinta…” Iskandar masih lagi dengan ‘bercinta’nya.
"Apa maksud abang
sebenarnya ni? Sa… Cinta masih tak faham."
Iskandar tersenyum bila
mendengar Auni membahasakan diri ‘Cinta’.
"Bukankah kita dah
bersatu sekarang? Kenapa masih nak cuba bercinta?" Masih dengan lontaran
soalan. Auni langsung tidak dapat menangkap maksud Iskandar.
Iskandar ketawa. Keningnya
terjongket tinggi.
"Yang tu kita dah
rasmikannya, kan? Bercinta saja yang belum..." Iskandar mengusik Auni
lagi.
Sebetulnya Iskandar suka
melihat wajah Auni yang kemerah-merahan apabila malu dan segan mengusai
dirinya. Itulah kecantikan Auni yang jelas ketara selain daripada lekukan di
kedua belah pipinya. Kecantikan yang dia dapat dakap dan miliki. Dan seperti
yang dijangka Iskandar, wajah Auni merah tiba-tiba. Walau di bawah limpahan
cahaya lampu di tepi jalan. Wajah itu jelas di mata Iskandar. Merah! Dan ia
sangat menarik dan menggoda.
Auni menggigit bibirnya.
Keterlanjuran katanya sendiri, maka sendirilah punya rasa segan dan malu itu.
Dia menunduk penuh rasa segan. Namun setitis air mata tiba-tiba jatuh. Entah
kenapa rasa sebak pula bertandang. Ia hinggap di tangkai hatinya bagai debuan
suci yang terbang penuh kelembutan tiba-tiba ke situ. Dan tangkai itu bergentar
seperti dipetik suis. Aliran rasa berganti pula dengan rasa cinta yang membara
tiba-tiba. Sebak dan bahagia itu seakan berganti-ganti mempamerkan diri.
Perlahan Auni mengangguk. Dia faham apa maksud Iskandar. Mereka tidak pernah
bercinta walaupun kini rasa cinta itu begitu menyala dan menjulang hebat di
jiwa masing-masing.
Beberapa saat berlalu.
Auni memanggung kepalanya. Wajah sang suami ditatapnya.
"Baiklah, Cinta
setuju... sepanjang Ramadhan ni kita bercinta tapi kena bersyarat..." Air
mata disapu perlahan. Auni sudah mengukir senyum.
"Ada syarat juga
macam sebelum kahwin dulu ke, Cinta?" Iskandar sengaja mengusik Auni.
Cepat tangannya mencuit hidung milik gadis itu.
“Ok, itu syarat yang
pertama..." Kali ini giliran Auni pula tersengih. Dia mahu Iskandar
bermain permainannya pula. Satu permainan yang adil baginya.
Iskandar menggaru pelipis.
"Syarat-syarat pun
belum diumumkan. Ni senarai yang mana ni pula, Cinta? Tiba-tiba syarat pertama
muncul. Main tipu ya?" Iskandar pula keliru dengan 'permainan' syarat
Auni. Mukanya sudah cemerut.
Auni ketawa kecil melihat
perlakuan Iskandar.
"Mencuit! Kita
bercinta seperti orang yang belum kahwin. Jadi dilarang mencuit sesuka hati.
Boleh?" Bukan Auni tak tahu perangai Iskandar bagaimana. Lelaki itu suka
sangat mencuitnya tak kira masa. Kadang-kadang naik rimas Auni dengan cara
Iskandar.
"Tapi kan kita dah kahwin? Pun tak boleh ke? Matilah abang
macam ni…" Iskandar terasa dia seakan terperangkap dengan mainan
'bercinta' nya. Tubuhnya sengaja dibongkokkan kononnya ‘mati’.
Auni ketawa lagi tetapi
cepat dia menggeleng.
"Untuk merasa
sebagaimana orang bercinta tu bercinta. Kita buat seperti kita tak ada hubungan
apa-apa lagi. Seperti kita belum kahwin. Ok?" Kali ini kening Auni yang
naik tinggi. Dia mahu melihat bagaimana Iskandar mahukan 'kisah cinta' mereka
berlangsung.
"Oooo...Kkkkkk..."
Malas-malas Iskandar menjawab. Rambut diraupnya ke belakang seperti biasa dan
muka tidak puas hati yang dipamerkannya.
Auni ketawa lagi. Jika
tadinya dia sebak kerana tidak pernah bercinta. Namun kini dia merasakan
'cinta' mereka pasti ceria dan mungkin juga kelakar sepanjang Ramadhan nanti.
“Cinta nak masuk…” Auni
memberitahu.
Iskandar angguk. Dia tahu
sudah tiba masanya Auni berehat setelah apa yang berlaku hari ini. Sudah
beralih hari rupanya, bisik Iskandar bila dia memandang ke papan pemuka kereta.
Tanpa disuruh, Iskandar turun dari kereta dan berlari anak ke bahagian Auni.
Pintu kereta dibuka. “My princess…” Iskandar mendepakan
tangannya sebelah. Tubuh pula dibongkokkan seakan memberi hormat kepada Auni.
Dan bersama senyuman
bahagia, Auni turun. Dia menapak ke pintu pagar setelah Iskandar menutup pintu
kereta.
"Heyyyy..." Auni
terjerit kecil tiba-tiba.
"Ni sebab belum
Ramadhan lagi dan syarat tu belum dicop ya..."
Iskandar yang tiba-tiba
memeluk dari belakang, makin kejap memeluk seorang Auni. Isterinya yang halal
dunia akirat kini.
"Ada orang main
tipulah...." Auni agak terkejut dengan tindakan Iskandar tetapi mengukir
senyuman kemudiannya.
“Nanti orang nampaklah,
bang…”
“Mana ada orang
malam-malam buta macam ni. Kalau ada yang intai kita, abang jolok mata dia
dengan jari.” Iskandar masih tidak mahu lepaskan pelukannya.
Kini Auni memusingkan
tubuhnya dan terus membalas pelukan seorang Iskandar. Hanya itulah satu-satunya
suaminya kini dan selamanya. Kebahagiaan yang menjadi dambaannya dari dulu
lagi. Moga sehingga bila-bila pun, mereka akan terus bahagia. Itulah doa Auni
di dalam hati.
No comments:
Post a Comment