MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
Bab 7
“Is harap atuk pertimbangkan syarat Is.”
Iskandar bersuara tegas.
Dato’ Hasyim memandang tepat kewajah
cucu kesayangannya. Dia kelihatan sedikit kecewa dengan keputusan Iskandar. Mak
Zah dan Abang Mie berpandangan sesama sendiri. Mereka kelihatan kebingungan dan
sedikit keliru. Manakala Auni hanya menundukkan kepalanya, sekali-sekala dia
mencuri pandang ke arah Iskandar. Lelaki itu kelihatan tenang sahaja. Bagai
tiada satu perkara pun yang merisaukannya. Bagaikan tiada apa yang bermukim
dalam hati lelakinya itu.
“Habis tu kad-kad yang sudah
dicetak, macam mana pula? Takkan nak
buang?” Mak Zah tiba-tiba memberitahu.
Berpusing Iskandar berpaling ke arah Mak
Zah yang duduk bersebelahan Auni. Nafasnya dihela panjang. Dia tahu Mak Zah ada
rasa sedikit tidak puas hati dengan kenyataannya tadi. Dia juga tidak salahkan
Mak Zah kerana seperti masuk campur dengan urusan hidupnya. Sebenarnya dia dan
Dato’ Hasyim sudah menganggap Mak Zah dan Abang Mie sebahagian daripada
keluarga, mereka pun sebenarnya ada ‘bau-bau bacang’ dengan dirinya dan Dato’
Hisyam. Setiap berbincangan hal-hal berkaitan keluarga tidak pernah mereka
dipinggirkan. Pendapat mereka berdua juga dialukan.
“Yalah, seperti yang Mak Zah cakap tadi.
Kad yang dicetak macam mana pula? Hahh! Catering
pun satu lagi. Atuk dah conform dan
bayar sebahagian, macam mana pula tu?” Dato’ Hasyim betul-betul tidak puas hati
dengan syarat Iskandar.
“Itu semua Is tak tahu. Ataupun kad-kad
tu boleh simpan, buang, bakar dan sebagainya. Is tak mahu ada jemputan. Pasal catering pula, Atuk boleh sedekah kat
rumah anak-anak yatim seperti yang selalu Atuk buat.” Iskandar memberi
cadangan.
Sunyi tiba-tiba seketika. Dato’ Hasyim
menyandarkan tubuhnya di kerusi. Dia memicit-micit kepala. Kerutan juga jelas
kelihatan di dahi tuanya. Auni tidak berkelip melihat tingkah Dato’ Hasyim,
hatinya sedikit sayu melihat keadaan itu. Dia merasakan Iskandar sedikit
melampau dengan syarat yang dikenakan. Kalau begitu susahnya, lebih baik jangan
berkahwin. Macam-macam syarat. Macam drama. Macam novel. ‘Huh, macam la dia
bagus sangat! Harap muka je lawa tapi perangai mengalahkan budak-budak. Tak
matang.’
“Tapi kenapa pula bersyarat-syarat pula
Is…. Atuk ingatkan Is dah setuju. Alih-alih, macam ni pula. Sebenarnya Is
setuju atau tak kahwin dengan Auni?”
Suara Dato’ Hasyim sudah kedengaran tinggi nadanya.
“Atuk… saya… saya minta maaf sebab telah
buat Is dalam serba salah, saya juga telah buat Atuk risau, minta maaf… emm… Takpelah,
kita lupakan je perkara ini. Saya tak mahu menyusahkan sesiapa. Pasal hal
kahwin ni, lupakanlah… masalah saya, saya akan cuba selesaikan sendiri.” Tiba-tiba
Auni bersuara.Lirih suaranya.
Dia dalam serba salah. Dia juga tidak
mahu permasalahan dia menjadikan hubungan Dato’ Hasyim dengan Iskandar
berpecah. Tidak! Sungguh! Lagipun dia sendiri merasakan masalahnya masih boleh
diselesaikan tanpa adanya perkahwinan. Banyak lagi cara yang lain. Tentang hal
Iskandar pula, dia pasti suatu hari nanti lelaki itu akan berubah. Tidak lagi
berpoya-poya. Tidak lagi berpeleseran. Cuma masa sahaja yang menentukannya.
“Siapa kata aku serba salah?!!”
tiba-tiba Iskandar bersuara. Dia sedikit bertempik.
Pandangan semua yang berada di bilik
bacaan itu teralih ke arah Iskandar. Sudah beberapa kali kelihatan dia meraup
rambutnya sehingga kusut masai. Tajam dia memandang Auni. Sedetik dua sahaja
Auni berani membalas pandangan itu namun dia tunduk memandang ke bawah
kemudiannya. Auni tahu lelaki itu menahan rasa marah yang teramat sangat. Tapi
bukankah betul kata-katanya tadi? Jikalau tidak mahu dan sudi meneruskan
cadangan Dato’ Hasyim, mengapa mahu meneruskannya lagi hinggakan ada
syarat-syarat tertentu.
Hanya orang bodoh sahaja yang sengaja
tidak mahu mengerti ‘penolakan’ secara baik yang dilakukan lelaki itu. Dan
adakah dia bodoh? Tidak, dia tidak bodoh untuk mengetahui rasa hati lelaki itu.
Dia menerima cadangan itu pun kerana kesiankan seorang tua yang seikhlas hati
menyayangi anak yatim sepertinya. Dia menerimanya juga kerana dia sangkakan
Iskandar telah bersetuju awal-awal. Kalau dia tahu, mati hidup semula dia tidak
akan bersetuju. Ya, tentu dia tidak akan bersetuju.
Iskandar menapak menuju ke arah Dato’
Hasyim. Dia melutut dan menggenggam erat tangan atuknya.
“Ma… maaf… Is… Is minta maaf. Auni… aku
minta maaf, emm… Atuk, Is mohon kepada Atuk…. syarat Is senang je. Hanya
kita-kita dan jiran terdekat sahaja yang tahu tentang perkahwinan ini. Is
bukannya menolak cadangan atuk. Bagi Is baik untuk Atuk, baik juga untuk Is.
Cuma itulah, Is tidak bersedia lagi menghebahkan tentang perkahwinan ini. Ini
juga mungkin untuk kebaikan Auni. Bagaimana nanti jikalau mak tiri Auni dan
Borhan tahu di mana Auni dan mereka cuba melarikan Auni, emm… macam mana?”
suara Iskandar lembut menyatakan pendiriannya.
Dato’ Hasyim menyentuh dan mengusap
perlahan rambut cucunya. Dia melebarkan senyuman tanda berpuas hati dengan
pendirian Iskandar tadi.
“Oklah kalau macam tu. Emm… Atuk rasa perkara
ini dah selesai. Mie… nampaknya banyak kerja yang awak kena buat hari ni.”
Dato’Hasyim memandang Abang Mie yang sedari tadi diam tidak bersuara.
“Saya tahu Dato’. Kad-kad yang telah
ditempah saya akan simpan, emm… sayang pula nak buang atau bakar.
Setidak-tidaknya ia boleh dijadikan kenangan. Pasal kanopi, saya akan batalkan.
Mujur juga belum dibayar duit pendahuluannya. Manakala catering, saya akan suruh pihak berkenaan hantarkan ke Rumah Anak
Yatim Nur Kasih, tempat yang selalu Dato’ pergi. Emm… macam mana? Ok tak
Dato’?”
Dato’ Hasyim ketawa kecil. Dia
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Ok… bagus-bagus. Pandai kau Mie…. bijak
berfikir.” Dato’ Hasyim tahu Abang Mie memang cekap dan pantas membuat
kerjanya. Rajin dan setia.
“Oklah kalau macam tu. Atuk nak keluar
dulu.”
Dato’ Hasyim masih ketawa kecil ketika
dia melangkah meninggalkan bilik bacaan. Manakala Abang Mie pula tergesa-gesa
keluar mengekori, mungkin teringatkan kerja yang bakal dilakukan. Diharapkan kerja
itu beres terus hari ini.
Mak Zah turut bangun dari kerusi yang
diduduki dan menuju ke arah Iskandar yang sudah bangun dari bertinggung tadi.
Dia tersenyum memandang Iskandar yang sudah di anggap seperti anak sendiri.
Lebih-lebih lagi dia dan Abang Mie tidak dikurniakan anak sendiri walau telah
bertahun berkahwin. Antara mereka walau tiada ikatan darah tapi rasa kasih dan
sayang tidak dapat dihindari. Kasih sayang antara insan, kasih sayang antara
manusia, kasih sayang antara umat Nabi Muhammad SAW juga kasih sayang antara
hamba Allah Yang Maha Esa.
“Mak Zah doakan Is dan Auni berbahagia
sentiasa selepas kahwin nanti. Ingatlah, ini sebenarnya perancangan Allah SWT.
Jodoh kamu telah ditetapkan dari dulu, semua yang terjadi sebenarnya hanyalah
penyebab sahaja. Tanpa sebab-sebab itu semua tiadalah kita di sini, emm…. ingat
tu.” Mak Zah tersenyum sahaja bercakap. Dia gembira kerana dia masih di beri
kesempatan untuk melihat Iskandar berkahwin.
“Dan satu lagi, Is… jangan main-main
lagi lepas ni. Jaga Auni sebaiknya. Dia amanah kamu.” Sempat lagi Mak Zah
menyambung cakapnya sebelum dia pun keluar dari bilik itu dengan membiarkan
pintu terbuka luas.
##########
Sunyi sepi. Bilik bacaan yang tadinya
riuh rendah dengan suara-suara perbincangan kembali sunyi sepi. Auni suka
keadaan yang sunyi begini, sesunyi hatinya tapi oleh kerana sekarang ini dia
berdua sahaja dengan Iskandar, dia terasa rimas pula. Rimas dan panas. Segera
dia bangun untuk keluar dari bilik itu. Bimbang pula ada yang ‘ketiga’ di
antara mereka walaupun pintu terbuka luas. Pintu yang terbuka boleh tertutup,
ya itulah kenyataannya. Perkataan berlawanan atau antonim terbuka ialah
tertutupkan?
“Auni!!” tiba-tiba sahaja namanya diseru
kuat.
Auni terduduk sebab terkejut. Dia
memegang dadanya. Terasa hampir terlompat keluar isi dadanya. Dia menjeling
sedikit ke arah Iskandar yang semakin mendekati dan berhenti dengan jarak 2
meter di antara mereka.
“Sebenarnya aku ada perkara yang nak
bincang dengan kau.” Iskandar tersenyum senget seperti biasa.
“Eh, tadikan dah bincang?” dahi Auni
berkerut. Berlapis-lapis.
“Itu perkara lain. Ini tentang kita-kita
saja.”
“Kita-kita? Atuk, Mak Zah dan Abang
Mie?”
“Tak… kita-kita.” Jari Iskandar
menunjukkan dirinya dan Auni.
“Cakap la antara kita sahaja. Ni
kita-kita…. ingatkan termasuk Atuk, Mak Zah dan Abang Mie, emm… apa dia?” Auni
memandang Iskandar yang berjarak 2 meter darinya namun seketika kemudian dia
menunduk.
“Eh! Kau takde syarat-syarat bagai ke?
Macam dalam novel dan drama-drama dalam tv tu?” kening Iskandar terangkat-angkat
seperti turut bertanya.
“Syarat apa pula?”
“Oh! Jadi kau takde syarat la, emm… ok,
senang la macam tu.”
Auni mengerutkan dahinya, “Apa
sebenarnya yang Is nak cakap ni? Tadi pasal syarat? Ni senang pula? Apa dia
sebenarnya?”
“Yalah, kalau takde syarat, senang la
aku. Taklah susah-susah sakit kepala nak fikir-fikir tulis syarat-syarat dan
buat perjanjian bertulis dengan kau.” Iskandar menerangkan. Dia sudah
melabuhkan punggungnya di kerusi yang sama diduduki Auni.
Auni mengerutkan dahinya lagi. Entah
kerutan kali yang keberapa dia sendiri tidak mengiranya. “Ooo… pasal tu. Saya
rasa tak perlu kot.”
“Jadi… .kalau macam tu, bolehlah aku
ehem… ehem… dengan kau lepas kita kahwin nanti.” Iskandar tersengih dan menaik
turunkan keningnya.
Serta merta rona merah terus menyimbah
ke muka Auni. Dia malu mendengar kata-kata lelaki itu. Dia bukannya bodoh untuk
memahami kata-kata itu. Namun sebagai seorang gadis, seeloknya perkara sebegitu
tidak di bincangkan dengan sesiapa pun walaupun dengan bakal suami sendiri.
Auni bingkas bangun. “Apa maksud Is
sebenarnya?” dia bertanya.
“Kau faham maksud aku tapi sengaja
buat-buat tak fahamkan? Kenapa? Malu?” nada suara Iskandar sudah tinggi dan
keras sedikit.
“Kenapa Is ni?” suara Auni juga sedikit
keras.
Dia geram sebenarnya dengan lelaki itu.
Lelaki yang menjadi sinis tiba-tiba. Mood berubah-ubah. Macam angin yang
kadang-kadang menyapa lembut dan tiba-tiba boleh menjadi taufan yang mengganas.
Ataupun air yang tenang di kali namun tiba-tiba bagaikan ombak yang menggulung
dan menghempas.
Iskandar ketawa. Kuat. “Emm… aku tak
ingin la.” Dia berkata sinis.
“Aku tak ingin langsung ‘menyentuh’ kau.
Tak payah la nak malu Auni… aku memang takde keinginan langsung kat kau. Emm…
kau simpan sajalah malu kau tu.” Iskandar juga bangun dan melangkah menuju ke
arah pintu.
“Is!!” Auni memanggil keras. Iskandar
berpaling, dia merenung tajam ke arah Auni.
“Saya ada satu syarat!” Auni berkata
tanpa mengangkat wajahnya.
Kening Iskandar terjongkit. Dia
tersenyum.
“Kot ye pun nak bersyarat-syarat, kau
pandang aku bila bercakap boleh?” suara Iskandar keras seperti biasa.
Perlahan-lahan Auni mengangkat wajahnya.
Wajah Iskandar dipandang. Sedetik dua, dia tunduk kembali. Selalu begitu. Dia
memang selalu begitu. Tidak pernah dia memandang lama wajah lelaki itu. Dia
tidak pasti, adakah kerana takut? Adakah kerana sakit hati? Ataupun adakah
kerana malu? Memang dia tidak pasti.
Iskandar bertanya. “Kau takut dengan
aku?”
Geleng.
“Kau marah dengan aku?”
Geleng.
“Kau malu dengan aku?”
Geleng.
“Habis tu, kenapa? Kenapa kau tak boleh
pandang muka aku bila kita bercakap!!?” bentak Iskandar. Sedikit panas hati,
asyik geleng dari tadi.
“Pandang aku bila bercakap. Aku nak tahu
syarat kau,” ucap Iskandar lagi. Suaranya sedikit mendatar dan perlahan.
Perlahan-lahan Auni mengangkat wajah.
Wajah Iskandar dipandang tepat. Matanya cuba memandang tepat ke mata Iskandar.
Tajam. Dirasakan pandangan mata lelaki itu begitu tajam dan biru, hijau. Ya,
biru hijau. Mata lelaki itu memang berwarna biru kehijauan. Gen yang diturunkan
dari arwah mamanya. Auni mengalih pandangan matanya ke arah lain. Dia tidak
mahu memandang secara tepat ke arah mata tajam lelaki itu.
Pandangan mata Auni turun ke arah hidung
Iskandar. Tinggi tetapi tidak terlalu tinggi. Ahh! Dia masih tidak boleh fokus
dengan apa yang dia mahu katakan kepada Iskandar. Matanya beralih ke arah lain
pula. Turun ke mulut. Ahh! Lagi tidak boleh fokus. Bibir lelaki itu sedikit
nipis dan merah tanda tidak pernah merokok. Tersengih. Kelihatan seperti
sengihan jahat. Mr.killer smile… dia
memang boleh membunuh sesiapa pun.
“Dah puas telek muka aku?” tiba-tiba
Iskandar bersuara menyentakkan Auni.
“Sa… saya tak telek muka awaklah.” Wajah
Auni terasa disimbah cat. Bukan berwarna merah tapi berwarna warni dan warna yang
paling banyak ialah hitam.
“Habis tu, aku suruh cakap sambil
pandang aku tapi kau tenung aku macam nak telan. Macam cicak berak kapur pun
ada. Takpun macam kucing yang baru bertukar menjadi rimau, nak menerkam.
Cepatlah beritahu syarat kau. Aku nak keluar jumpa seseorang kejap lagi ni.”
Iskandar mendesak. Sudah beberapa kali jam di tangan dijelingnya.
Auni menelan liur. Dia mengumpul
kekuatan untuk memberitahu syarat yang terlintas di kepalanya ketika disindir
sinis Iskandar sebentar tadi. Syarat yang tidak pernah dirancang langsung malah
tidak pernah ditulis sedikit pun. Syarat yang datang riba-tiba dan diterbitkan
menjadi satu idea. Idea yang bernas setakat ini.
“Saya mahu awak lepaskan saya apabila
Hanif balik ke Malaysia dan saya dapat bertemu semula dengannya.” Senafas Auni
memberitahu syaratnya. Nafasnya dihela panjang. Lega.
Bulat mata Iskandar mendengar syarat
yang terluncur keluar dari mulut Auni. Gadis itu sudah menundukkan kembali
kepalanya. Pandang ke lantai. Itu sahaja yang dia tahu. Senyuman sinis terukir
kemudiannya.
“Ok, aku setuju tapi kau kena ceritakan
kepada dia dulu bahawa kita telah berkahwin. Itu pula syarat aku!! Setuju?” killer grin sudah menunjukkan taring.
Alang-alang bersyarat, biar habis bersyarat. Syarat lisan tanpa saksi.
Auni mengangkat wajahnya. Keruh dan
sedikit basah di hujung mata. Iskandar segera memalingkan wajahnya dari
memandang gadis itu sebentar tadi. Jantungnya berkocak sedikit.
“Ok saya pun setuju.” Perlahan Auni
bersuara. Lirih bunyi suaranya.
Sesaat kemudian Auni bergerak melangkah
menjauhi Iskandar. Dia mahu segera keluar dari bilik itu. Semakin dia lama di
situ terasa semakin siksa jiwanya dengan sinisnya kata-kata, dengan tajamnya
pandangan mata, dengan sengetnya senyuman lelaki itu. Lelaki yang semakin hari
semakin ‘terserlah’, bukan ‘terserlah ayunya’ tetapi terserlah sifat hitam
dirinya. Sifat yang terlindung selama ini dan telah dipamerkan di hadapan
matanya kini.
Hujung mata Auni yang sedikit basah tadi
terasa semakin banyak pula keluarnya. Perlahan-lahan Auni mengesat dengan
tangan kanannya, jangan sampai sesiapa nampak kepedihan hatinya. Biarlah dia
sahaja yang menyimpan rasa sebu yang menggunung. Biarlah dia sahaja yang
menyimpan rasa hiba yang lara. Biarlah dia simpan segalanya.
##########
Iskandar membiarkan sahaja Auni berlalu
dari bilik bacaan. Beberapa langkah sebelum sampai di depan pintu dia ternampak
gadis itu mengangkat tangan kanannya dan membawa ke mukanya sendiri. ‘Eh, dia
menangis ke?’ Iskandar menggaru-garu kepalanya. ‘Sebab aku ke?’ persoalan yang
bermain di kepalanya berlalu pergi tanpa jawapan yang pasti.
Akhirnya Iskandar tersenyum sendirian.
Sebenarnya dia tidak menduga Auni berani menyatakan syaratnya. Mujur juga
terlintas di kepalanya satu syarat lain bagi dipasangkan dengan syarat Auni
tadi. Barulah fair and square.
Senyumannya semakin dilebarkan sebelum dia sendiri melangkah meninggalkan bilik
bacaan itu.
No comments:
Post a Comment