MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
Manuskrip..
~ Sukarnya mengukur sebuah
keikhlasan ~
Prolog
Iskandar merenung jauh. Terkenangkan
seseorang. Seseorang yang bagaikan separuh lagi memegang nyawanya. Satu-satunya
adik. Satu-satunya teman. Dia rindukan adik yang sudah tenang di sana. Adik
yang bagai merentap separuh nyawanya tika dia ketahui satu cerita. Adik yang
sayu memberitahu segalanya. Ya, adik itu. Adik yang tiada galang gantinya. Adik
yang tercurah segala rasa dan kasih. Adiknya Issabella Zulaikha. Teringat
perbualan antara mereka iaitu di minggu-minggu terakhir dia dengan si adik dan
mama kesayangan.
“Is… cuba Is pula pujuk Bella.” Puan
Siti yang sedang mengisi nasi lemak pada pinggan Iskandar memberitahu.pagi
Dia yang baru siap meneguk air, segera
memandang. “Kenapa dengan Bella? Dia sakit? Demam?” mulut yang tumpah airnya
dilap dengan tisu.
“Entahlah. Few days ni dia asyik berkurung dalam bilik. Kalau turun makan pun,
Bella makan sikit sahaja. I’m worry about
her, my poor little baby,” adu Puan Siti.
“It’s
okay mama… Is rasa dia penat kot. Kan beberapa hari ni dia balik lambat
sebab ada latihan bola jaring di sekolah,” sengaja menyedapkan hati mamanya.
“Tapi mama masih risau Is… biasanya
Bella tak macam ni. Kalau dia penat pun, tak pernah lagi dia tak turun makan.
Kan Bella tu ‘kaki makan’?” Puan Siti sudah termenung, nasi lemak di hadapannya
masih belum terusik.
Iskandar turut terhenti menyuapkan nasi
ke mulutnya. Hatinya sedikit risau. Kalau si Bella yang ‘kaki makan’ sudah
patah selesa untuk menjamu selera. Itu maksudnya perkara itu sudah terlalu
berat. Iskandar mengeluh seketika.
“Jap lagi Is akan cuba pujuk dia turun
makan, mama. Don’t worry kay… I hope she can share with me, her problem. Rasanya takde apa-apa kot,” cuba
menyedapkan hatinya sendiri pula.
Beberapa minit kemudian Is memanjat
tangga menuju ke bilik Bella. Telinganya ditekapkan ke pintu. Memasang telinga,
cuba mendengar sebarang bunyi. Sunyi dan sepi. Iskandar mengetuk pintu bilik
beberapa kali. Namun tiada jawapan. Sedikit risau. Ketukan di kuatkan.
Pintu bilik dibuka dari dalam.
“Apa abang ni? Bella bukan pekak laa,”
bentak Bella. Dia kemudiannya rebah di atas katil semula.
“What’s
wrong with you, Bella? Mama risau, papa risau, Atuk pun risau tau tak?”
punggung dilabuhkan dibirai katil.
“Nothing…”
ringkas jawapannya.
Iskandar meraup-raup rambutnya. Dia tahu
Bella sembunyikan sesuatu apabila berkata tiada apa-apa. Baginya jika seorang
perempuan itu berkata ‘tak ada apa-apa’ itu maknanya lelaki kena mulakan
siasatan. Cari apa yang tidak kena.
“Bella… abang tau sebenarnya ada perkara
yang telah berlaku. Apa dia? Cuba Bella cerita… kalau abang boleh tolong, abang
akan tolong Bella,” tenang Iskandar memujuk.
Bella yang meniarap tadinya
perlahan-lahan duduk mengadap Iskandar. Matanya berkaca. Rupanya ada rasa yang
sarat. Ada rasa yang padat. Air matanya melelah membasahi pipi. Perlahan-lahan
diceritakan semua yang terjadi. Ceritakan apa saja yang berlaku. Air yang
mengalir di pipi, makin melebat cuma esakannya ditahan. Bella menyembamkan
mukanya ke dada Iskandar. Iskandar pula seperti membeku. Amarahnya meletuskan
lava panas. Amarahnya memarakkan bara. Amarahnya memercikkan api yang marak.
Satu nama disebut. Sahabat sedari
tingkatan satunya. Antara sahabat yang rapat dengannya. Masing-masing punyai
kelebihan tersendiri . Masing-masing punyai aura sendiri. Tapi kenapa? Kenapa
dengan sahabat itu? Kenapa? Persoalan yang buntu jawapannya. Bella masih
teresak yang ditahan-tahan. Kesian adiknya….
Dia ingin mengambil tindakan. Dia ingin
bersemuka. Dia ingin segalanya. Namun Bella menggelengkan kepala. Jangan abang…
Bella malu, kata-kata itu lekat di hatinya. Iskandar melekatkan kata-kata itu
sehingga ke akhir hayat Bella. Ya, kerana malu Bella, Iskandar tidak mengambil
tindakan ke atas ‘dia’ namun hubungan baik antara keduanya terputus begitu
sahaja.
Iskandar sekarang adalah Iskandar yang
mempunyai dendam yang penuh. Segalanya berkaitan dengan dendam. Apa saja
berkaitan si dia akan menjadi perkara yang akan disaingi oleh Iskandar. Baginya
biar putih tulang namun tidak akan sesekali putih mata. Perkara yang menimpa
Bella telah menjadikan Iskandar seorang pendendam. Dendam seorang abang.
Bab 1
Di blok B seorang pelajar perempuan
kelihatan tertinjau-tinjau seperti mencari sesuatu. Iskandar ketika itu baru
balik dari bilik guru segera menghampiri. Peluang keemasan sebegini jarang
dilepaskan olehnya. Yalah, burung seperti leka memakan padi ataupun istilah
lain yang dia sendiri lebelkan ialah tikus ada di hadapan mata sedang leka
memakan keju. Kalau tidak masakan di sekolah itu dia di gelar ‘Romeo’. Bukan
romeo sebarang romeo tetapi romeo yang lengkap segala pekej.
“Kau cari siapa?” Iskandar menyoal
pelajar perempuan yang sedang membelakanginya. Hanya tiupan angin di tudung
yang kelihatan dari belakang.
“Ya, awak cakap dengan saya ke?” pelajar
itu berpaling memperlihatkan wajah.
Entah istilah apa yang mampu dinyatakan,
entah perkataan apa yang mampu dituturkan, Iskandar bagaikan terpaku dengan
keayuan dan kecomelan wajah yang terpapar di hadapan mata. Liurnya ditelan.
Wajah itu begitu memukau dan mengasyikkan. Iskandar tersenyum, hati nakalnya
berbisik… ini ada ‘mangsa’ baru yang begitu polos kelihatannya.
“Habis tu kau ingat aku bercakap dengan
siapa? Atau dengan apa! Mana ada orang lain kat sini? Atau pun kau ada six sense? Ada ternampak sesiapa lagi
kat sini? Atau pun kau nampak aku bercakap dengan dinding ni ke?” Iskandar tahu
tutur katanya begitu kasar dan biadap terhadap gadis itu tapi itulah
identitinya,‘romeo’ yang bukan gentleman.
Riak wajah terkejut jelas terpapar di
wajah pelajar itu dan mungkin geram dengan sikap biadap Iskandar, si gadis
berpaling dan melangkah meninggalkan Iskandar, si romeo yang bukan gentleman. Di hujung koridor kelihatan
seorang pengawas yang semakin menghampiri tempat itu. Iskandar turut melangkah
mengekori si gadis.
“Hei, kau tak jawab pertanyaan aku
tadi!” Iskandar menarik hujung tudung sekolah
apabila dia betul-betul berada di belakang pelajar berkenaan.
Terkejut dengan tindakan Iskandar,
pelajar perempuan itu terjerit kecil. Perasaan marahnya begitu ketara apabila
wajahnya bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Dia cuba menarik kembali
hujung tudungnya namun Iskandar seakan tidak mahu lepaskannya dan adengan
tarik-menarik terjadi.
“Awak ni kenapa?” soal pelajar perempuan
itu. Wajah merahnya begitu jelas kelihatan, marah, geram dan rasa sakit hati
yang bercampur baur.
“Aku cuma nak tahu nama kau je dan form berapa?” Iskandar masih memegang
hujung tudung pelajar perempuan itu dan dia mempamerkan senyuman ‘cantik’nya.
Manalah tahu, pelajar cute itu cair dengan senyumannya.
“Apa yang kau buat Adam Iskandar?”
tiba-tiba satu suara kedengaran,mengganggu pandangan tajam Iskandar terhadap
pelajar cute di hadapannya.
Iskandar berpaling seketika ke arah
pengawas tersebut sebelum tersenyum sinis dan melepaskan pegangan kemasnya dari
hujung tudung. Tanpa berkata apa-apa dia terus berlalu meninggalkan tempat itu.
Meninggalkan sang bunga bersama pengawas ‘hidung tinggi’. Auni, itulah nama
pelajar baru itu, pelajar yang baru bertukar ke daerah tersebut dan berada di
dalam tingkatan 3 Amanah ataupun lebih dikenali sebagai 3RK1.
Orangnya kecil sahaja, bertudung dan
sungguh ayu dengan lesung pipit di kedua belah pipinya. Iskandar sering
ternampak pengawas ‘hidung tinggi’ berada dekat dengan pelajar itu. Mungkinkah
mereka bercinta?
Ah, perdulikan semua itu! Itu semua
tidak penting baginya. Paling penting ketika itu ialah STPM yang semakin
menghampiri. Juga aktiviti-aktiviti luarnya yang lain iaitu mewakili hoki
peringkat kebangsaan dan tidak lupa berkenalan dan berkawan sedikit mesra
dengan gadis-gadis cantik. Yalah, siapa tidak kenal dengan ‘romeo’. Berbekalkan
wajah yang kacak dan segak, tidak susah bagi Iskandar mahu bergandingan dengan
sesiapa pun lebih-lebih lagi dengan kemampuan kewangannya.
###########
“Malik!” Iskandar memanggil pelajar
tingkatan 5 itu.
“Ya, ada apa Is?” Malik yang bertubuh
besar itu bertanya. Dia berada di hadapan Iskandar. Matanya tajam memandang
Iskandar.
“Aku nak kau buat kerja yang selalu kau
buat dulu. Setiap gerak, setiap perkara. Laporkan kat aku. Dia perlu dikalahkan
dalam apa juga keadaan. Dan ada satu lagi… aku nak kau perhatikan seseorang.
Nanti aku detailkan siapa dan apa
yang perlu kau buat.” Iskandar memberi arahan. Mukanya serius, tanda dia tidak
pernah main-main dalam perkara yang berkaitan si dia.
Malik menganggukkan kepala. Dia faham
segalanya. Sebelum ini pun dia kerap menjadi mata dan telinga Iskandar.
Cita-citanya untuk menjadi penyiasat peribadi dan juga bodyguard bagaikan telah direalisasikan oleh Iskandar. Dalam usia
17 tahun, dia mahir dalam segalanya. Banyak perkara telah dipelajarinya dari
bacaan buku dan majalah. Tidak kurang juga dari youtube, google dan sebagainya. SPM? Peperiksaan itu telah jatuh di
tempat kedua bagi Malik. Namun study
untuk peperiksaan itu tidak pernah dia abaikan juga sebenarnya.
“Kau buat apa yang bakal aku ceritakan
nanti dan kau akan buat cara aku. ok?” Iskandar memberi arahan lagi.
Dan Malik mengangguk tanda faham
segalanya.
##########
Sejak pertama kali bertemu di kaki lima
sekolah dan terjadinya adengan tarik menarik tudung, Iskandar sering terlihat
gadis berlesung pipit itu. Biasanya gadis itu berseorangan, ada juga sesekali
dia berkumpulan. Pernah juga Iskandar ternampak gadis itu beriringan berjalan ke
kantin sekolah dengan pengawas si hidung tinggi.
“Kau tak nak usha budak baru tu, Is?” Anuar bertanya.
“Budak mana pulak ni, Nuar?” Iskandar
mengerutkan dahinya. Sesekali rambut depannya yang jatuh diraupnya ke belakang.
“Budak form 3 tulah… ala yang cute sangat tu dan ada lesung pipit kat dua
belah pipi dia.” Anuar mencucuk pipinya sendiri dengan jari di kedua belah
pipi. Kelakar pula nampak rupa Anuar yang berlubang di pipi.
“Ooo… budak tu. Not my taste la, Nuar.”
Berkerut dahi Anuar mendengar jawapan Iskandar.
Wajah sahabat baiknya itu dipandangnya tepat.
“Budak yang comel dan cute tu bukan taste kau? Wei, betul ke ni?”
“Yap. Not my taste dan aku nak tumpukan ‘pandangan’ aku kat STPM la,
Nuar,” jujur Iskandar memberitahu. Tahun ini memang tahun penentuan setelah
SPMnya hanya cukup-cukup makan sahaja dulu.
“Ok… kalau itu cakap kau… aku percaya.”
Anuar menepuk-nepuk bahu sahabatnya.
“Tapi aku musykil la Is… rasa-rasanya
baru semalam si Jessica dok ‘bergayut’ dengan kau. Itu tumpukan ‘pandangan’
jugak ke? Aku rasa menyemakkan pandangan adalah. Hissss!!” sambung Anuar lagi
dan dia menggelengkan kepalanya. Memang tidak percaya dengan sang romeo yang
sudah tersengih di hadapan matanya.
Iskandar tersenyum. Keningnya di naikkan.
“Itu namanya ‘penyedap’ mata,” ringkas jawapannya. Senyumannya masih koyak
ketika Anuar turut tersenyum tanda faham.
“Is… tu… tu…” Anuar menunjuk ke suatu
arah dengan memuncungkan mulutnya.
Iskandar berkalih pandangan. Di
kejauhan, gadis berlesung pipit itu sendirian di bawah pokok besar yang
terdapat di tepi padang sekolah. Waktu itu sebenarnya sedang berlangsungnya
sukan tahunan sekolah. Manakala itu acara yang berlangsung sekarang adalah
acara 800 meter lelaki.
Mereka menghampiri si gadis.
“Sorang saje ke?” Iskandar bertanya.
Gadis berlesung pipit mengangkat mukanya
dari menatap buku ditangan.
“Cakap dengan saya ke?” dia bertanya
setelah agak lama pertanyaan itu tidak dijawabnya.
“Tak. Aku bercakap dengan pokok ni.” Bersahaja
Iskandar menjawab. Tangannya menepuk perdu pokok besar yang berada di
sebelahnya.
“Ooo… ingatkan bercakap dengan bangku
ni?”
Bulat mata Iskandar mendengar balasan
dari si gadis. Anuar pula tergelak tiba-tiba. Terkena pula si romeo dengan si
gadis yang kelihatan polos tetapi ‘pandai’ jugak mengena rupanya. Iskandar
meraup-raup rambutnya ke belakang. Dia melemparkan senyumannya kepada si gadis
yang terkelip-kelip memandang. Wajah penuh tanda tanya.
“Eh! Bukankah awak yang…..”
“Yap, akulah yang menarik tudung kau
dulu dan… aku minta maaf.”
“Oooo… awaklah yang… yang… Hanif
cakap….”
“Yap, akulah yang paling kacak, bergaya
dan yang ramai peminat tu.” Bersama sengihan yang tidak mampu ditiru lelaki
lain.
“Ehh… errr… emm…” Si gadis sudah
kehilangan kata-kata.
Iskandar tersenyum lagi. Sengaja. Dia
memang sengaja senyum, biar si gadis cair seperti mentega yang diletakkan atas
kuali panas, yelah macam gadis-gadis yang lain. Dan dia perasan si gadis
menunduk. Menunduk sahaja? Tidak mencairkah si gadis? Ataupun sudah hangus?
Senyuman di bibir Iskandar mati tiba-tiba. Dan tiba-tiba dia terasa ‘jerat’nya
tidak akan mengena kali ini. Ini tentu si hidung panjang yang terlebih dahulu
daripadanya ‘meracuni’ fikiran si gadis.
“Aku nak minta maaf sekali lagi pasal
‘tarik tudung’ dulu.” Datar sahaja suara Iskandar kali ini. Dia sudah kehilangan
minat untuk meneruskan perbualan. Betul-betul hilang dan sempat membuang
pandang ke tengah padang.
“Eh! Tak pe… saya pun nak minta maaf,”
balas si gadis.
“Sebab?”
“Takde sebab… saja-saja.”
Berkerut dahi Iskandar mendengar
kata-kata ringkas itu tetapi menarik. Perasaannya yang kendur tadi terasa
‘kembali’. Dia senyum memandang si gadis tetapi seperti tadi, si gadis kembali
menunduk. Mengira helaian rumput barangkali?
“Sape nama kau?” Iskandar bertanya.
“Saya Auni. Auni Nur Amirah.”
“Auni… cantik nama tu.”
Auni dipandangnya. Menarik. Wajah yang
menarik lebih-lebih lagi dengan lesung pipit di kedua belah pipinya yang
melekuk. Bibir merahnya begitu nipis dan basah. Kening hitamnya bagai
dibentuk-bentuk. Cantik. Memang cantik kejadian tuhan terhadap manusia yang
bernama gadis yang berada di hadapan matanya tika ini. Tidaklah terlalu tinggi
dan tidak pula rendah. Sedang-sedang
sahaja. Jika bercakap, suara lembutnya begitu memukau. Pandangannya selalu
ditundukkan. Tiba-tiba Iskandar dapat merasakan, bukan dia yang ‘menjerat’
tetapi seperti bakal ‘terjerat’. Iskandar melemparkan senyumannya yang di
katakan sebagai killer smile kepada
Auni.
“Aku nak beritahu sesuatu tentang
Hanif.”
“Pasal apa?”
“Harap kau berhati-hati dengan dia.”
“Emmm… tapi… Hanif juga cakap macam tu
tentang awak.”
“Cakap apa?”
“Cakap… supaya berhati-hati dengan
Iskandar.”
“Ye ke? Kau percaya?”
“Tak pasti.”
“Okay… tak pelah kalau macam tu tapi
harap kau lebih percayakan aku dari dia,” hanya itu yang dapat Iskandar katakan
sebagai balasan dari jawapan Auni.
Auni diam tanpa menjawab atau mengiyakan
kata-kata Iskandar. “Bagi saya, biarlah waktu dan masa yang menentukan samada
saya percayakan siapa. Awak atau dia,” perlahan Auni menjawab namun masih cukup
untuk Iskandar mendengarnya.
“Eh! Awak masuk acara jugak ke?”
tiba-tiba Auni bertanya.
“Yap, kenapa? Kau nak tolong sorakkan
untuk aku ke?”
“It’s
depend.”
“Maksudnya?”
“Bergantung atas acara apa sebab Hanif
masuk acara jugak. Awak masuk acara apa?” jujur Auni menerangkan maksudnya.
“100 meter, 200 meter, 4 x 100 meter, 4
x 200 meter dan 400 meter akhir.” Iskandar tersenyum.
“Banyaknya. Tak letih ke?”
“Letih jugak tapi sebab dah minat. Kau
tak jawab lagi soalan aku. Kau nak tolong sorak untuk aku tak?” senyuman
Iskandar melebar lagi. Dia sengaja memancing.
“Emm… tak pasti. Mungkin tidak.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab Hanif juga masuk acara yang sama.
Saya tak pasti nak sorak untuk siapa,” mendatar sahaja suara Auni. Ya, dia
memang betul-betul tidak pasti mahu bersorak untuk siapa. Tidak pasti siapa
pilihannya.
Iskandar terdiam. Rumit juga rupanya si
gadis.
“Ok tak pelah. Dan harap kau ingat
kata-kata aku ni. Hati-hati dengan Hanif!” Dia kemudiannya berlalu dari situ
meninggalkan Auni yang sentiasa menundukkan wajahnya.
Auni memandang Iskandar yang tegap berlalu
bersama Anuar. Pandangannya tidak teralih hinggalah hilang keduanya di dalam
kelompok para pelajar di tepi padang. Seketika kemudian dia menunduk kembali
menatap buku di tangannya. Tanpa sedar ada mata yang memerhati di kejauhan.
Memerhati segala tingkahnya.
##########
7 tahun berlalu, Iskandar tetap begitu.
Iskandar si ‘romeo’. Siapa sangka dia bertemu kembali dengan gadis yang pernah
diusiknya ketika kali pertama gadis itu bersekolah di sekolahnya. Kali ini di
universiti teman terbarunya.
“Ini Iskandarkan?” gadis itu menegur
Iskandar.
“Kau buat apa kat sini?” wajah gadis itu
begitu dikenalinya walau hampir 7 tahun tidak bertemu. Wajah yang sama,
ketinggian yang sama, perwatakan yang sama.
“Saya belajar di sini. Ini tahun akhir.”
Auni memberitahu ikhlas sambil tersenyum.
Iskandar memandang tanpa kata-kata ke
wajah gadis itu namun kemudiannya segera berpaling ke sisi apabila ‘teman
baru’nya menarik-narik lembut lengan kanannya.
“Ma…
maaf kalau saya menggangu. Emm…apa-apa pun selamat bertemu kembali.”
Auni segera mahu berlalu setelah melihat ‘situasi’ yang agak tidak menyenangkan
itu.
“Auni, tunggu!”
“Sorry!
Kau tak mengganggu. Aku cuma terkejut sebab jumpa kau kat sini. Kau masih kenal
aku?” Iskandar tersenyum dengan senyuman mautnya.
Hari itu, selepas 7 tahun berlalu mereka
berbual panjang. Siapa sangka zaman persekolahan dulu mereka jarang berpeluang
berbual panjang seperti itu. Yalah, semenjak kisah Iskandar menarik tudung Auni
dulu, Auni seakan melarikan diri daripada lelaki itu. Takut? Mungkin juga.
Siapa yang tidak takut bila seseorang bagaikan mahu membuli apabila hari
pertama menjejakkan kaki ke sekolah baru.
“Aku nak minta maaf kat kau.” Dikerancakkan
berbual Iskandar tiba-tiba memohon kemaafan dari Auni.
“Kenapa pula? Awak tak salah apa-apa pun
kat saya.”
“Pasal aku pernah tarik tudung kau dulu.”
Iskandar mengingatkan Auni tentang kenakalannya suatu waktu dulu.
Auni tertawa kecil menampakkan kedua
lesung pipitnya. Dia sedikit geli hati dengan permohonan maaf dari lelaki itu.
Kelakar apabila peristiwa zaman budak-budak masih diambil perhatian ketika ini.
“Kenapa kau ketawa?” kehairanan.
Iskandar betul-betul kehairanan.
“Eh, tak ingat ke? Awakkan dah minta
maaf pasal perkara itu.”
“Tak, tak ingat! Betul ke?”
“Awak dah minta maaf masa hari sukan
tahunan. Ingat?”
Iskandar tersenyum sambil menganggukkan
kepalanya. ‘Teman baru’ yang sedari tadi mendiamkan diri mula menarik-narik
lembut tangan Iskandar. Mukanya masam mencuka dengan bibir yang dijuihkan
seperti muncung itik. Anak itik hodoh!!
“Oklah Auni. Aku nak ke tempat lain
pula. Harap jumpa lagi dan ini business
card aku. Kalau ada apa-apa hal kau boleh hubungi aku.” Kad dikeluarkan
dari wallet dan bertukar tangan. Ia
seperti satu janji, mereka bakal bertemu lagi.
No comments:
Post a Comment