MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
Bab 4
“Kenapa kau setuju!!!?” bentak Iskandar.
Dia betul-betul tidak puas hati dengan Auni.
Baru sebentar tadi Atuk memberitahunya satu
berita yang betul-betul mengejutkan dirinya. Berita bahawa dirinya akan
dikahwinkan dengan Auni. Auni? Ya, dengan Auni. Dengan gadis yang ditolongnya
dan kini… kini dia bakal berkahwin dengan gadis itu. Nonsense. Mengarut. Itulah perkara paling mengarut yang pertama
kalinya dia dengar dari atuknya. Gila dan mengarut. Mengarut dan gila dan
kedua-duanya.
“Bukankah kau masih berhubungan dengan
Hanif?” tiba-tiba tercetus nama itu dari bibirnya. Iskandar segera berpaling
memandang Auni yang berada di sebelah kirinya.
Auni hanya menundukkan kepala. Dia
membisu. Iskandar semakin ‘panas’. Dia berasa curiga dengan persetujuan Auni.
Mengapa mudah benar gadis itu setuju dengan cadangan atuknya? Ada apa-apa
konspirasi ke? Ya, tentu ada ‘udang disebalik batu’. Iskandar memandang tajam
gadis di sebelahnya dan Auni semakin menunduk. Takut barangkali?
“Kau… kau memang sengaja nak mengambil
kesempatan di atas kebaikan akukan? Ah! Bodohnya aku sebab bersimpati dengan
kau. Bodoh! Stupid!” Tangan Iskandar
menghentak-hentak stering kereta. Baginya biar tercabut stering itu asalkan dia
puas hati.
“Maafkan saya, Is. Saya tak pernah
bermaksud untuk mengambil kesempatan. Saya begitu hormatkan Is.” Auni cuba
membela dirinya.
“Menjawab? Kau memang sengaja! Full stop! Aku paling tak suka bila aku
bercakap, ada yang menyampuk. Lebih-lebih lagi kalau pompuan yang menyampuk.” Suara Iskandar menekan dengan tegas dan
dengan kemarahan.
Wajah Iskandar nampak tegang. Hatinya
begitu ‘panas’ dan membara. Fikirannya berserabut. Terimbau tadi semasa atuknya
mencadangkan ‘tentang’ perkara itu, dia seperti kehilangan kata-kata. Namun
akalnya segera menerbitkan idea. Bagaimana caranya untuk menolak secara halus
dan tidak mengecilkan hati atuknya.
“Macam ni la Atuk, emm… Is rasa Atuk
baik tanya Auni dulu sebab dia yang sepatutnya buat keputusan ni. Ini
melibatkan masa depannya. Is no hal.
Kalau dia setuju maybe Is akan
setuju.” Lancar saja idea itu keluar dari mulutnya.
“Emm… baiklah Atuk akan tanya dia nanti.
Kalau dia setuju, kita akan adakan majlis nikah dua minggu dari sekarang. Is
jangan nak berdolak-dalih pula nanti,” tegas Dato’ Hasyim.
Iskandar menganggukkan kepala sambil
tersengih. Dia begitu yakin si Auni tidak akan bersetuju dengan idea yang
begitu mengarut dan tidak masuk akal. Takkanlah Auni bulat-bulat sanggup
menerima cadangan yang langsung tidak munasabah. Gadis itu tentu mahukan
‘cinta’ dalam sesuatu hubungan halal. Bukannya ‘kawan’ dalam hubungan itu.
Setelah meminta diri, Iskandar segera
keluar dari bilik bacaan. Sambil kakinya melangkah keluar dari dalam rumah
otaknya ligat memikirkan cara lain bagaimana dia dapat menolong Auni selain
dari berkahwin dengan gadis itu. Iskandar begitu yakin dan amat yakin Auni akan
menolak cadangan Atuk Hasyim. Lagipun Iskandar tahu Auni masih berhubungan
dengan ‘si hidung tinggi’. Kawan dari zaman sekolah.
##########
“Sa… saya minta maaf.” Suara Auni lembut
menyedarkan Iskandar dari lamun yang panjang.
“Saya minta maaf.” Auni berkata lagi.
Suaranya kedengaran serak. Sebetulnya dia sedikit kesal kerana terlanjur
bersetuju.
“Saya tidak bermaksud mahu menyusahkan
Is. Saya sangkakan Is telah bersetuju dengan cadangan itu. Atuk Hasyim beritahu
tadi, Is setuju. Setuju sebab Is mahu menolong sa… saya.” Suara Auni semakin perlahan
tetapi masih boleh didengari oleh Iskandar dengan jelas dan terang.
“Gila! Takkanlah aku suka-suka setuju
nak kahwin dengan kau. Setakat nak tolong kau dari masalah mak tiri kau tu…
takkankah kahwin jawapannya. Gila! Nonsense!”
Iskandar semakin ‘panas’ jadinya dengan dengan kata-kata Auni. Suaranya bergema
kuat dalam ruang linkungan yang sempit.
Tangannya menghentak-hentak kembali
stering kereta. Wajahnya membara sehinggakan Auni yang berada di sebelahnya
semakin kecut perut melihat sikap Iskandar yang nampak baru di matanya.
‘This
is the other side of him that I need to know’ bisik hati kecil Auni. Hilang
sudah wajahnya yang selalu manis dengan senyuman. Hilang sudah Mr. Killer Smile yang selalu dilihatnya.
Dalam melayani hati, Auni teringatkan perbualannya dengan Atuk Hisyam kira-kira
setengah jam yang lalu.
Sebaik sahaja mereka selesai makan
malam, Atuk Hasyim menyuruh Auni masuk ke bilik bacaan. Pinggan yang mahu
dibasuhnya segera diletakkan di singki. Iskandar tersenyum memandangnya siap
menunjukkan kedua-dua ibu jarinya tanda ‘bagus’. Auni ketawa kecil melihat
gelagat nakal Iskandar.
“Auni… Atuk minta maaf kerana telah
menyebabkan Auni kecil hati.” Dato’ Hasyim memulakan mukadimah.
“Eh, Atuk! Atuk tak salah apa-apa pun
dengan saya.” Auni serba salah apabila Dato’ Hasyim meminta maaf dengannya.
Sepatutnya dia yang harus minta maaf dengan Dato’ Hasyim.
“Atuk minta maaf sebab telah menyebabkan
Auni salah faham dengan apa yang Is sampaikan semalam. Atuk tak pernah
merasakan Auni satu beban sebab itulah Atuk suruh Is membawa Auni balik semula
ke sini. Pagi tadi, semasa Auni minta izin untuk keluar dari rumah ni, hati dan
jiwa Atuk rasa kosong. Walaupun Atuk membenarkan Auni pergi tetapi jauh di
sudut hati Atuk, Atuk tidak mahu melepaskan Auni.” Dato’ Hasyim
bersungguh-sungguh menerangkan kepada Auni.
“Saya faham Atuk. Atuk sudah mencuba
yang terbaik untuk saya dan saya betul-betul menghargainya.” Auni begitu
terharu dengan keprihatinan Dato’ Hasyim.
“Atuk ada satu cara bagimana mahu
menolong Auni tanpa ada prasangka dari jiran tertangga dan ini dapat membantu
Auni juga. Is pun sudah setuju dengan cadangan ini semasa Atuk memberitahunya
sebelum maghrib tadi.”
“Sebenarnya Atuk ingin menjodohkan Auni
dengan Is. Dan secara tidak langsung Auni dapat menolong Atuk juga sedikt
sebanyaknya.” Dato’ Hasyim menarik nafas lega dengan penerangannya kepada Auni.
Terdiam seketika gadis itu. ‘Betul ke
cara ini cara yang terbaik? Aku dapat lepas dari Makcik Ana. Sekaligus dapat
tempat berlindung sementara semester baru bermula nanti? Dapat juga membantu
Atuk dan Is?’ Dahinya dikerutkan. Dia tidak faham bagaimana dia dapat membantu
Dato’ Hasyim.
“Saya dapat bantu Atuk dengan cara macam
ni?” Dia kehairanan sebenarnya dengan cara yang dirasakan tidak masuk akal.
Namun dikuncikan mulut, dia tidak menolak mahupun mengiyakan.
“Ya, bantu Atuk mengubah sikap Iskandar
yang hanya tahu berfoya-foya. Walaupun Atuk tahu semua kerja syarikat
dibereskan tanpa masalah tapi sikapnya yang suka berpeleseran menakutkan Atuk.
Atuk bimbang suatu hari nanti dia akan kecundang dan terjebak dengan
perkara-perkara yang haram dan maksiat. Nauzubillah, minta dijauhkan sifat keji
itu dari cucu tunggal Atuk. Atuk sudah tiada sesiapa lagi. Iskandarlah racun
dan penawar orang tua ini.” Suara Dato’ Hasyim begitu sayu sekali.
Auni sedikit sebak. Dia juga tiada
sesiapa. Tiada ayah, ibu dan adik beradik. Terasa kasih sayang Dato’ Hasyim
terhadap Iskandar mengalir kepadanya. Tanpa berfikir kali kedua tiganya Auni
mengangguk. Ya, dia akan cuba menolong Dato’ Hasyim dan sekaligus dapat
menolong dirinya juga. Akan dipastikan kebahagiaan kepada Dato’ Hasyim yang
telah dianggapnya datuk sendiri.
##########
Hatinya sayu. Rasa sebak dan sarat di
dalam dada. Air matanya bagaikan mahu tumpah namun masih dapat ditahannya. Dia
harus kuat. Dia harus tabah. Dia juga tidak mahu dilihat sebagai gadis yang
lemah dan tahu menangis sahaja di mata Iskandar. Bimbang juga jika lelaki itu
semakin tidak terkawal sikapnya. Daripada yang dilihat tadi, Iskandar bagaikan
menahan rasa marahnya sedikit. Hanya stering kereta yamg diketuknya. Agaknya
jika lepaskan 100 peratus kemarahannya…. boleh terlingkup kereta?
“Aku tak kira… aku mahu batalkan perkara
mengarut macam ni sebelum terlambat.” Tiba-tiba Iskandar bersuara semula.
Auni tersentak dari lamun yang panjang.
Sekilas dijeling sedikit ke wajah Iskandar.
“Maafkan saya sekali lagi Is... saya
betul tak tahu Is tidak bersetuju dengan cadangan Atuk Hasyim. Betul-betul tak
tahu.” Suaranya perlahan. Menyimpan sebak di dalam. Menahan pilu di dasar.
Semuanya di hati.
“Kaukan tahu minta maaf je kan? Ahh!
Sudahlah Auni. Rasanya baik kau turun dari kereta ni.” Entah kenapa ayat itu
terluncur laju dari mulut Iskandar. Wajahnya betul-betul tegang. Tiada segaris
senyuman pun.
Auni memandang ke sisinya. Lelaki itu
nampak betul-betul memaksudkan kata-katanya itu. Auni menarik nafas panjang.
Ya, dia tahu dan faham sesuatu kini. Dirinya betul-betul sebatang kara. Tanpa
keluarga dan kini tanpa kawan. Perlahan-lahan pintu di sebelah kirinya dibuka.
Kakinya melangkah keluar. Sebelum betul-betul keluar, dipandangnya lagi
Iskandar yang bersandar di kerusi.
“Saya betul-betul minta maaf dan terima
kasih kerana pernah menjadi sahabat yang baik. Terima kasih juga kerana sudi
menolong.” Pintu kereta ditutupnya kemas sebelum kaki melangkah entah ke mana.
Kereta dipandu laju. Hilang disebalik
kegelapan. Air matanya menitis juga rupanya. Laju membasahi pipi. Perlahan
dikesatnya air mata. Cuba menghapuskan segala bukti tentang jatuhnya sekeping
hati. Di tangannya hanya ada purse yang berisi beberapa puluh
ringgit. Auni tidak pasti ke arah mana dia mahu tujui. Terasa walaupun ke
utara, selatan, timur dan barat, segalanya menolak dirinya. Tubuhnya pula
menggigil kesejukan. Di tubuhnya hanya terdapat t’shirt lengan panjang dan dia
berseluar track suit sahaja. Namun
kakinya tetap melangkah ke arah bertentangan dari arah yang diambil oleh
Iskandar tadi.
Beberapa langkah. Tiba-tiba sebuah
kereta berhenti di sebelahnya. Auni yang melangkah menunduk tadi, mengangkat wajahnya.
Iskandar. Lelaki itu. Kenapa pula? Auni bimbang. Bimbang Iskandar akan
memarahinya lagi. Dia melangkah semula. Namun kereta turut bergerak.
Beriringan. Kenapa? Auni tidak faham dengan tindakan Iskandar.
Cermin tingkap kereta diturunkan.
“Kau nak suruh aku heret ke… dukung kau
masuk kereta?” soalan itu yang ditanya oleh Iskandar.
Auni terkedu seketika namun dia faham
maksud pertanyaan Iskandar. Tetapi wajarkah mengikut sahaja segala kata dan
arahan daripada seorang lelaki seperti Iskandar? Auni melemparkan senyuman
semanis mungkin. Dia menggelengkan kepala dan teruskan melangkah. Keegoan
seorang perempuan adakalanya memang diperlukan dalam hidup yang serba pantas
dan sempit ini.
Kereta turut bergerak seiring dengan
langkah kaki Auni. Hon juga dibunyikan berkali-kali. Ia mengundang mata lain di
situ. Auni menjadi tontonan. Kaki terhenti. Kereta juga berhenti namun bunyi
enjin bagaikan ditekan kuat. Menarik nafas panjang dan dengan perlahan Auni
melintasi depan kereta dan pergi ke bahagian penumpang. Dia terpaksa mengalah. Membuka
pintu, duduk dan menutupnya semula.
“Pakai tali pinggang!” arah Iskandar. Langsung
tidak menoleh ke arah Auni.
Cepat Auni menarik tali pinggang namun
tersekat. Beberapa kali dia cuba menariknya namun masih belum berjaya.
“Pakai tali pinggang pun tak tau ke?”
soal Iskandar.
“Patutnya kau kawen dengan Atuk saja.
Itu lebih elok lagi. Dah sama-sama setuju, kau berdua sajalah yang kawen. Mudah
aje. Atuk dapat bini muda dan aku dapat nenek cantik.” Sambung Iskandar lagi. Killer grinnya pula terserlah disebalik
bibirnya.
Dia menghimpit dan menarik tali pinggang
untuk Auni. Dekat hinggakan Auni boleh terdengar bunyi nafas lelaki itu. Marah
mungkin? Dan Auni pula tegak kaku sambil menahan nafasnya. Terasa semput dan
lelah kerana seumur hidupnya, dia tidak pernah sedekat itu dengan lelaki. Hanya
Iskandar. Hanya lelaki itu yang menyebabkan dia terpaksa membonceng motosikal.
Hanya lelaki itu yang sedekat itu dengannya hinggakan nafas dapat didengarinya.
Hingga debar tiba-tiba menampar diri.
Iskandar meneruskan perjalanan yang terhenti
tadi. Dia memandu dengan agak laju dan rupanya begitu menakutkan sekali. Auni
segera memandang ke depan semula, dia tidak sanggup melihat wajah yang
sebegitu. Kemanisan senyuman, kenakalan suara dan gaya yang bersahaja semenjak
Auni mengenali Iskandar telah hilang. Ianya telah hilang sekelip mata. Sahabat
yang sanggup bersusah payah selama 2 minggu lalu telah tiada.
Auni pasrah. Jikalau Iskandar tidak
setuju dengan cadangan Dato’ Hasyim, dia sendiri tidak boleh lakukan apa-apa.
Bukannya dia yang mengutarakan rancangan itu. Bukannya dia yang terhegeh-hegeh
mahu berkahwin dengan Iskandar. Bukan. Dia hanyalah gadis yang tersepit.
Tersepit di antara cita-cita dan harapan. Cita-cita yang mahu menghabiskan
pengajiannya walau dengan cara apa sekalipun. Manakala harapan ialah harapan
dari seorang tua yang begitu menyayangi cucunya.
##########
“Kenapa Mak Zah? Apa yang terjadi?”
Iskandar segera menerpa ke arah Mak Zah yang masih bersisa tangisnya sebaik dia
turun dari kereta.
“Dato’… Dato’…. dia mengadu sakit dada
dan… dan kemudiannya tiba-tiba saja dia pengsan.” Dengan susah payah Mak Zah
memberitahu. Tangisannya kembali berlagu.
“Ya Allah!!!” Iskandar terjerit kecil.
Cepat dia bergegas ke kereta dengan diikuti oleh Mak Zah dan Auni.
Mereka segera menaiki kereta dan
Iskandar memandu laju menuju ke hospital. Di dalam kereta di belakang Auni
memeluk erat Mak Zah. Setitis dua air matanya juga tumpah. Iskandar pula
memegang rambutnya dan meraupnya ke belakang beberapa kali. Kedengaran beberapa
kali dia beristighafar. Auni turut beristighafar dan menyebut nama Yang Maha
Pengasih ‘Allah… Allah… Allah….’ Hanya nama itu yang Auni mampu sebut di saat
kesusahan ini. Hanya Dia tempat mengadu.
“Kenapa Mak Zah tak telefon awal-awal
tadi?” Iskandar sedikit kesal kerana Mak Zah tidak memberitahunya Dato’ Hasyim
telah dibawa ke hospital hampir 2 jam yang lalu.
“Is tak bawa telefon! Mak Zah tak tahu
macam mana lagi nak hubungi Is? Itu yang Mak Zah tunggu ni.” Mak Zah
menerangkan.
“Habis tu kenapa tak telefon Auni?”
Iskandar masih bertanya. Dia masih tidak berpuas hati. Matanya menjeling
sesekali di cermin pandang belakang.
“Errr…. Mak Zah tak tahu nombor telefon
Auni.”
Iskandar segera memandang cermin pandang
belakang dan merenung tajam ke arah
Auni.“Kenapa kau tak beri nombor phone
kau kat Mak Zah? Aku pun tak tahu nombor phone
kau.?”
Auni menarik nafas panjang dan dengan
perlahan tetapi jelas menjawab “Saya takde telefon.” Ringkas.
“Hah!! Tak dengar. Kuat sikit!”
“Saya takde handphone.”
“What?
Takde handphone? Hilang?” Mata
Iskandar semakin tajam merenung Auni melalui cermin pandang belakang.
Auni menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Saya memang takde handphon.,” Jujur Auni akuinya. Sememangnya dia tidak mempunyai
telefon bimbit seperti mana rakan-rakannya yang lain.
‘Kalau ada pun makcik Ana selalu akan
merampasnya,’ Auni berbisik dengan dirinya sendiri. Sebenarnya ketika arwah
ayahnya masih hidup, Auni mempunyai telefon bimbit tetapi sebaik sahaja
kematian ayahnya, telefonnya telah dirampas oleh Makcik Ana. Bukan setakat
telefon sahaja tetapi segala barang kemas hadiah dari arwah ayah dan ibunya
juga dirampas. Barang kemas milik arwah ibunya juga telah jatuh ke tangan emak
tirinya itu. Pada Auni tiada apa yang tinggal. Hanya sebuah keazaman yang masih
tidak mampu dirampas oleh Makcik Ana.
Iskandar mengerutkan dahinya, ‘Ada juga
zaman sekarang ni, manusia yang takde handphone.
Ajaib,’ hatinya kehairanan. Rasanya bukan dia saja boleh berasa hairan tetapi
ramai orang boleh rasa hairan dengan keadaan ini. Di zaman yang begitu moden
dan mudah ini, ada juga manusia yang tidak mempunyai gajet tersebut.
Betul-betul hairan bin ajaib.
“Pelik dan ajaib. Ada juga manusia yang
takde handphone zaman sekarang, yek?
Takpe-takpe, nanti bakal suami kau ni akan tolong belikan. Cakap je nak yang
mana dan jenama apa pun. Aku akan belikan.” Iskandar sengaja menguatkan nada
suaranya.
Auni mengangkat mukanya. Matanya
membalas renungan Iskandar. Dia terasa kecil hati dengan kata-kata Iskandar.
Nada suara itu kedengaran tidak menyenangkan. Betapa sinisnya kata-kata seorang
lelaki kepada seorang perempuan sepertinya. Agaknya sudah hilang rasa hormat
Iskandar kepadanya sebagai seorang kawan. Ataupun hina sangat ke seorang
manusia yang tidak mempunyai telefon bimbit?
‘Sahabat… maafkan aku kerana telah
mengganggu gugat ketenteraman hidupmu. Aku tidak pernah pinta beginilah jadinya
takdir hidupku. Malahan semua manusia tidak mahu takdir mereka seperti aku
rasanya. Usah bimbang sahabat… sampai masanya nanti aku akan pergi jua dari
hidupmu. Merancang segalanya ikut kemahuanku. Namun sebelum tiba saat itu,
maafkan kerana terpaksa menyusahkan kau, sahabatku Iskandar.’
Auni kemudiannya mengukir senyuman.
“Takpelah Encik Iskandar, saya cuba dan akan beli sendiri sahaja nanti. Tak
payah bersusah-suasah.” Menolak dengan lembut.
‘Aku tahu dan sedar diriku ini Encik
Iskandar, janganlah sengaja menyakitkan hati ini. Sayangnya kau lelaki yang
hebat di mata semua tetapi tika dan saat ini, aku seperti tidak mengenali kau.
Kehebatan itu telah dikaburi oleh sinisnya kata-kata kau. Kehebatan itu telah
ditenggelami oleh kasarnya perlakuan kau. Kenapa kau begitu sahabat? Hina
sangatkah aku dari pandangan matamu?’ hanya kata-kata yang tertelan di dalam.
Hanya luahan yang termendap di dasar. Semuanya ditelan dan dimamah oleh Auni
bersama senyuman yang dimaniskannya.
Suasana kemudiannya bisu tiba-tiba.
Iskandar dengan pemanduan yang laju seperti tadi. Mak Zah yang masih mengesat
air matanya. Auni yang membuang pandang keluar tingkap. Dia menangis tanpa
suara. Sedih dengan nasib dirinya. Sedih dengan keadaan Dato’ Hasyim yang tidak
pasti bagaimana dan sedih dengan kata-kata Iskandar, kata-kata yang seperti
menghinanya sebentar tadi. Kata-kata yang merendahkan dirinya dan kata-kata
yang mencurigainya sejam tadi.
No comments:
Post a Comment