BIDADARA PUTERA
Bab
3
Harris sudah jauh meninggalkan Qai. Laju
sungguh dia berjalan atau mungkin dia berlari agaknya? Ah! Biarkanlah.. Berlari
ke… berjalan ke… hatta merangkak sekali pun, Qai memang tidak peduli. ‘Aku
tetap aku… Qai yang segak bergaya,’ desir hati Qai. Rambutnya diraup ke
belakang dengan sebelah tangan. Manakala sebelah lagi tetap cantik di dalam
kocek seluar. Langkah diatur dengan penuh tertib dan beradab. Gaya seorang
gentleman. Kedua tangannya kini di kocek seluar. Santai dan ringkas.
Qai memuncungkan mulut untuk bersiul
tapi tiada bunyi yang keluar. dari mulut. Ah, sememang tidak pernah ada bunyi
yang pernah keluar pun! Mujur tiada siapa yang pernah tahu, dia tidak pernah
dapat membunyikan siulan. Ini adalah rahsia Qai. Salah satu kelemahannya
sebagai seorang Qai yang serba boleh.
Sambil melangkah menyusuri kaki lima
bangunan yang setinggi 3 tingkat itu, matanya meliar mencari kelas 5 sc 1.
Kelas yang sepatutnya dia masuki. Rata-rata kelas di tingkat bawah ini adalah
kelas dari sekolah rendah sahaja, mungkin di bangunan ini hanya terdapat
kelas-kelas untuk pelajar sekolah rendah sahaja.
Qai ingin bertanyakan arah ke kelas
namun tiada sesiapa kelihatan di kaki lima. Kelas-kelas di sini pula semua
bertutup. Pintunya di tutup. Agaknya sistem pembelajaran di YBPS tertutup kot?
Qai cuba mengintai di kelas tahun 2 Amanah 1 dari cermin kecil yang terdapat di
pintu. Kelihatan murid-murid kecil dan comel sedang tekun belajar manakala
cikgunya pula tekun mengajar.
‘Ah, malas la pulak nak mengacau dia
orang. Aku cari sendiri, apa susah. Inikan Qai….’ Hati Qai bersuara dengan
dirinya sendiri.
Kaki melangkah melewati satu bangunan yang
kelihatannya seperti baru disiap bina. Terdapat 2 tingkat sahaja di bangunan
itu. Tujuan Qai hanyalah mahu ke bangunan yang terdapat di sebelahnya. Bangunan
4 tingkat yang kelihatan berkembar dengan bangunan 5 tingkat. Ada pula jambatan
yang panjang menghubungkan keduanya. Macam KLCC kelihatannya cuma ianya
mengembang bukannya meninggi.
“Kau memang nak cari pasal dengan
akukan!” tiba-tiba satu suara menerpa ke telinga Qai. Siapa agaknya, hati kecil
Qai memang tidak dapat berhenti bertanya.
Qai memandang sekeliling. Tiada pula
kelibat orang. ‘Siapa agaknya? Dan dengan siapa? Ah, malaslah nak ambil tahu.
Aku bukannya seorang yang busy body
macam orang lain,’ masih berbisik sendiri.
“Aarrgggg!!!!”
Terkejut. Kuat betul jeritan itu. Qai
mendongak ke atas. Kelihatan beberapa orang pelajar di tingkat dua bangunan
baru itu. Ada kes buli ke? Kat sini pun ada pembuli jugak ke?
“Aarrggg! Tolong! Jangan!”
‘Eh, tak boleh jadi ni! Suara tu macam
bunyi suara perempuan la,’ cepat Qai berlari menaiki tangga. Sampai di tingkat
atas, sedikit tercungap. Errkk… dah lama tidak berlari, bukannya dia penat pun.
Jangan ada yang salah faham pula. Ini kan Qai, sang arjuna yang serba boleh,
macho yang tak akan hancur.
Di hujung sekali kelihatan 5 orang
pelajar lelaki mengelilingi 2 orang pelajar. Seorang pelajar lelaki kelihatan
kecil tubuhnya dan seorang pelajar perempuan yang berseragam merah. Di
kelilingi. Agaknya seorang pengawas yang cuba melindungi pelajar yang dibuli.
Namun terbuli sekali dengan penyangak celup tepung beras a.k.a pisang goreng
melekit.
“Hei! Kau orang buat apa? Boleh aku join sekali?” Qai menepuk bahu salah
seorang penyangak tersebut setelah menghampiri mereka.
“Eh, mak kau! Join? Coin? Boing?”
Alamak, melatahlah pulak si penyangak.
Qai sedikit terkejut. Namun kemudiannya terketawa terbahak-bahak. Ada hati nak
jadi penyangak tapi mat latah rupanya. Berair mata… mujur air hidung yang
hendak menerjah keluar cepat disekat dengan belakang tangan kiri. Kalau tidak
tentu hilang ke macho an Qai. Spoil betul.
“Kau sape?”
seorang pelajar yang bernama Johar bertanya.
Eh, bukannya Qai bertanya? Tetapi dia
ternampak nama Johar pada name tag di
baju. Agaknya si Johar ni ketua? Si
mat latah tadi namanya Zamri, ada nama Remy, bukan Remy Ishak ye… Borhan dan
Azhar.
“Aku? Aku bukannya sesiapa tapi teringin
nak join kau orang. Macam best je… sape budak-budak 2 orang ni?
Kuih baru ke?” Qai sengaja senyum sambil bercakap namun matanya tertumpu kepada
2 orang pelajar yang dibuli tadi.
“Dah cukup syarat ke nak join kita orang? Nampak gaya macam tak
cukup syarat je?” Johar menghampiri Qai dan menilik ke atas ke bawah.
Qai makin melebarkan senyuman tapi
senyum senget. “Ada syarat? Em… salah satu syaratnya, boleh melatah ke?
Begitu?”
“Kurang hajarrr!!” tiba-tiba Johar melepaskan tumbukan.
Qai? Qai memang tidak sempat mengelak.
Telentang terus belakang dan terjatuh. Mujur beg di belakangnya menjadi penahan
impak. Pengawas perempuan berbaju merah tadi menjerit terkejut dan menerpa ke
arah Qai. Seakan movie korea atau pun
Hindustan. Heroin menerpa ke arah heronya. Dan hero itu adalah Qai. Qairul
Bunyamin.
“Awak tak apa-apa?” lembut suara Puteri
Diana bertanya.
Nama Puteri Diana pun Qai tahu nama tu
dari name tag. Manalah sang puteri
sempat nak beritahu nama lagi, kan? Nama budak lelaki yang kena buli tadi pun
Qai tahu. Putera Aiman. Dia orang ni adik beradik ke? Atau dari suku sakat yang
sama? Terdetik persoalan itu dalam hati suci murni Qai.
“Abang tak apa-apa?” Putera Aiman pula
bertanya.
Entah bila dia menerpa, Qai pun tidak
sedar. Qai senyum kepada kedua-duanya. Terharu dengan perhatian yang diberikan.
Kerisauan jelas terpancar dari pandangan mata mereka berdua. Cukup terharu.
Mujur air mata Qai tidak menitik keterharuan.
No comments:
Post a Comment