Wednesday 31 December 2014

Karenaku sanggup

Kat atas itu ialah tajuk lagu penyanyi Agnes Monika...
Sedap lagunya...sesuai dengan jiwa...
Di bawah ini ialah liriknya...

Biarlah ku sentuhmu Berikan ku rasa itu,
Pelukmu yang dulu Pernah buatku,
Ku tak bisa paksamu Tuk tinggal disisiku,
Walau kau yang selalu sakiti aku dengan perbuatanmu,
Namun sudah kau pergilah,
Jangan kau sesali,
Karena ku sanggup walau ku tak mahu,
Berdiri sendiri tanpamu,
Ku mau kau tak usah ragu,
Tinggalkan aku,
Ooo...kalau memang harus begitu,
Tak yakin ku kan mampu,
Hapus rasa sakitku,
Ku selalu perjuangkan,
Cinta kita namun apa salahku,
Hinggaku tak layak dapatkan,
Kesungguhanmu.....

~ku simpan rasa hati yang pedih...ku tak mampu luahkan...segalanya ku pendam...kerana sebenarnya aku sanggup...sanggup keranamu...jika kau juga sanggup...~ ^_^

salam CINTA di kejauhan ini....





Tuesday 30 December 2014

Apa lagi cara untuk berhubung??? Tanyalah diri sendiri....kalau dulu2...orang tulis surat, telegram, poskad, telefon awam, telefon rumah....
 
Sekarang??? Lagi senang...masing2 ada telefon bimbit...ataupun nak canggih lagi sebut...telefon pintar...hahh, pintar la sangat...selain itu boleh berhubung melalui facebook atau MukaBuku kata Najwa Latif...whatsApp...messenger..weChat...email..blog dan sebagainya...
 
Tapi apa yang aku nak tekankan di sini...lebih baik bertanya khabar melalui suara...maksud aku ialah dengan mendengar suara sahaja akan terleraikan segala persoalan...dengan suara akan terhapuslah rasa...pelbagai rasa...tepuk dada tanyalah hati...
 
Sebenarnya ramai yang tak tahu betapa pentingnya mendengar suara...suara mak abah, suara adik2, suara kawan2 n suara sesiapa pun...dengan mendengar suara kita dapat meneka apa keadaan mereka sebenarnya...sakit? sihat? penat? lelah? rindu? sayang? dan sebagainya....
 
Selain itu...keraplah bermesej dengan kawan2 n keluarga...moga2 mereka tahu keadaan kamu2 semua...moga2 mereka tahu isi hatimu...
 
Emm..apa aku nak cakap sebenarnya yekkk??? Kepala rasa tingtong...tak paham apa rasa hati n perasaan sendiri...selebihnya aku suka diam dan lihat sahaja...selasa malam memang aku free dr menaip...teringin nak call sesiapa yg terlintas...tapi hati menidakkan...n di sinilah aku...membebel..
 
salam CINTA di kejauhan....
 
 
 


Sunday 28 December 2014

awak di mana awak di mana.....

wasap berdesup-desap masuk...macam-macam berita...macam-macam cerita...masing-masing ada ceria tersendiri... ada kisah suka...ada kisah duka...aku bertukar-tukar tengok dan komen di group-group yang ada..tak banyak pun...3 group zaman sekolah dulu...2 lagi family group...
 
Tapi aku dok tunggu satu 'benda' lagi...messenger...ada seseorang yang rajin bermesej dengan aku...seronok berbual dengannya tapi tak tahu kenapa hari ini...hilang sejak hampir 6 jam yang lalu..
Puas aku tengok kat telepon...takde...kenapa yek...setahu aku...dia memang tak pernah lekang dengan telefon dia...habis bateri ke? ataupun telefon rosak? pelik? kat facebook pun takde...sedangkan itulah tempat dia selalu bermain...
 
Ke dia marahkan aku? Tapi sebab pe yek? Kalau betul marahhh...emmm...takpe la nak buat macam mana...orang nak marah...marah jelah...dah biasa kena marah pun...n aku seperti biasa...kalau kena marah...aku senyap je...
 
tapi kalau tak marah....kenapa yek? Pelik dan pelik rasanya...apa-apa pun aku harap tak terjadi apa-apa kat dia...harap semuanya baik-baik belaka...yelah, dengan cuaca yang tidak menentu ni...dengan banjir dan bah...dengan hujan dan gerimis...risau jugak sebenarnya...baru dapat kawan yang betul-betul sejiwa...tiba-tiba hilang pulak...emmmm
 
salam CINTA di kejauhan....


Friday 26 December 2014

BAB SATU : BIDADARA


BIDADARA PUTERA




Bab 1

 

Dia tersenyum lebar. Bangunan besar itu sudah jelas kelihatan di hadapan mata. Kereta yang dinaiki juga sudah berhenti. Pantas sahaja dia membuka pintu kereta tanpa sempat pemandu membuka untuk dia.

“Come… Qai… walk with me…” Gamit Yusuf Bakti apabila Qai masih tidak bergerak di hadapan pintu besar bak gerabak keretapi itu.

“Yes, papa. I’m coming.” Berlari-lari anak. Qai berlelah mengejar Yusuf Bakti yang kian menjauh.

Sekali-sekala Qai berselisih dengan beberapa orang pelajar yang berpakaian seragam hitam putih. Agaknya sekolah ini pakaian seragam dia orang hitam putih je kot? Ah, tak seronoknya! Kenapalah selalu ada peraturan sebegini? Tak boleh ke pakai baju berkaler-kaler? Barulah ceria kehidupan. Hatinya selalu berbisik nakal.

“Eh, bidadaralah!” satu suara menerpa dan hinggap ke telinga.

Qai berpusing menoleh ke arah sekumpulan pelajar perempuan yang kelihatan teruja. ‘Eh, dia orang cakap pasal aku ke? Ya, kot?’ Qai melemparkan senyuman ke arah mereka.

“Eh, dia senyumlah. Sweet nya.”

“Kacaknya. Hensemnya.”

“Aku nak pengsanlah.”

 “Aaaaa…”

Macam-macam versi yang Qai dengar. Harap-harap yang cakap nak pengsan tu tak pengsan betul-betul. Qai pasti dia tidak larat nak mengangkatnya. Itu baru dia senyum. Kalau tiba-tiba sengaja dia buat dajal, kiss dia orang ke…. harus ada yang mati pula. Hey, jangan! Anak orang tu. Kesian dengan mak bapak dia orang susah payah melahirkan dan membesarkan. Last-last nya mati sebab kena kiss dengan Qai? Qai ketawa kecil. Emm… lagi pun ianya satu dosa. Kalau dosa…tuhan marah.

“Qai!! Hurry up, boy!!” suara Yusuf Bakti menerjah keras di belakang.

“Yes,papa. I’m sorry.” Qai menggaru-garu kepala. Rambut yang baru dipotong pendek semalam sengaja Qai raup-raupkan dengan jari. Sengaja tunjuk kacak depan pelajar-pelajar permpuan tadi.

“Wow!!”

“I’m melting.”

“Aku pengsan…”

Qai ketawa kecil lagi. ‘Agaknya memang ada yang pengsan betul-betul kot. Baik aku pergi cepat, susah nanti. Tak mahu aku bertanggungjawab,’ desir hati Qai lagi. Cepat dia berpaling, melangkah.

“Qai!!” Yusuf Bakti memanggil lagi.

Kini Yusuf Bakti sudah melangkah melangkaui satu pintu yang tertera namanya. Qai turut melangkah masuk. Besar. Sebenarnya ini kali pertama Qai menjejakkan kaki ke pejabat papanya

“Nice.” Puji Qai. Cantik. Memang cantik dan kemas.

“Thanks my son. Please have a sit.” Yusuf Bakti mengambil tempatnya.

Ah, kalau papanya tak suruh pun Qai tetap akan duduk juga. Qai duduk pada satu kerusi yang terdapat di hadapan meja. Kenapa dia kata satu? Sebab sebenarnya ialah terdapat 3 buah kerusi di situ. Jadi dia hanya duduk di satu kerusi sahaja. Kalau tiga? Itu namanya lutut dan hujung kaki yang naik sekali.

“How’s your day?” Yusof Bakti tersenyum.

“Ok.” Qai menjawab sepatah.

“Just ok?”

“Yeah…”

Senyuman Yusuf Bakti mati. Dia memandang sayu ke  arah Qai dan di matanya kelihatan ada genangan air. Qai berpaling ke kanan, tidak sanggup rasanya melihat papanya menitiskan air mata lagi. Menitiskan air mata setelah apa yang berlaku kepada mereka kira-kira sebulan yang lalu.

“I’m ok papa…. don’t worry. I can handle myself.” Qai cuba memujuk Yusuf Bakti.

Menganggukkan kepalanya. “Yes… I know you can.” Yusuf Bakti sudah mula tersenyum semula.

Satu ketukan kedengaran di pintu menghalangnya dari meneruskan perbualan dengan papanya. Segera Qai berpaling ke belakang. Pintu dibuka setelah Yusuf Bakti membenarkan tuan yang empunya tubuh masuk. Seorang budak lelaki masuk.

“Tuan pengerusi panggil saya?” tanya budak itu.

“Ya… mari saya kenalkan anak saya.” Yusuf Bakti berdiri dan berjalan menuju ke arah budak lelaki itu. Menepuk perlahan bahunya dan menggamit Qai supaya bangun.

Perlahan-lahan dan dengan malas Qai bangun. Menapak setapak dua dan berhenti betul-betul berhadapan Yusuf Bakti dan budak lelaki tersebut. Tangan diselukkan ke dalam kocek seluar jeans yang dipakainya. Kedua-dua tangan dalam kocek. Senyuman yang budak lelaki itu lemparkan tidak dibalasnya. Bukannya dia sombong tapi lebih kepada malas. Itu aje sebenarnya.

“Ini anak saya… emm… Qairul Bunyamin.” Yusuf Bakti memperkenalkan mereka.

Qai mendongak sikit memandang budak lelaki itu. Nak tahu kenapa dia sebut mendongak? Tinggi… budak lelaki tu tinggi sangat. Qai yang setinggi 170cm ini pun terpaksa mendongak. Berapa agaknya tinggi dia? 180cm? 185cm? Atau 190cm? Tak pun dia ‘hantu galah’ kot?

“Qai… this is Harris. Alharris Syah, he’s your bodyguard now.” Yusuf Bakti memperkenalkan budak itu pula.

“Assalamualaikum…. hai, I’m Alharris Syah. You can call me Harris. Nice to meet you.” Harris menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam.

Tangan yang dihulurkan Qai pandang sepi. Kedua-dua tangannya masih di dalam kocek seluar. Sedikit pun senyuman tidak berikan kepada Harris. Namun sempat pula Qai meneliti raup wajah Harris. ‘Bidadara.’ Terdetik perkataan itu di benak Qai. Huh, nampaknya ada saingan di sekolah ini. Di sekolah papanya. Yusuf Bakti Private School.

Yeah… sekolah papanya tapi Yusuf Bakti bukanlah pengetua di sekolah ini, dia hanya pengasas dan tuan yang empunya. Jadi sebenarnya Qai adalah anak tuan yang empunya sekolah. Apa-apa benda kepunyaan Yusuf Bakti adalah kepunyaan Qai juga. Tapi iye ke begitu?

“I’m your bodyguard now and I will protect you like I protect my ownself. And just give me an instruction, InsyaAllah I will obey you.” Harris menarik tangannya yang tidak disambut salam oleh Qai dan memberi tabik hormat pula.

Emm... macam-macamkan mamat hantu galah ni! Kutuk Qai di dalam hati.

“Vous? Vous me proteger? Vous le faites? Ressemble pas meme le plus fort. (Bahasa Perancis – awak? Awak akan lindungi saya? Awak boleh ke? Nampak macam tak kuat pun.” Qai mencebik.

‘Boleh percaya ke mamat bidadara ni? Eh, aku gelar dia bidadara?’ Qai menggaru-garu kepalanya yang gatal tiba-tiba.

Harris tersengih. Killer grin? “Sorry… I can’t understand what you’re saying. Sorry.” Matanya tepat memandang Qai dan tersengih lagi.

Yusuf Bakri ketawa kecil. Qai segera palingkan kepala dan memandang papanya. Sengaja Qai bulatkan mata kepada Yusuf Bakti. Geram. Bukannya tidak tahu, Qai memang tidak suka orang melayu sengaja mencairkan lidah sendiri bercakap English dengannya. Kalau orang Melayu mestilah cakap Melayu tetapi kalau setakat sikit-sikit Bahasa English itu masih ok kecuali papa dan abangnya. Hanya mereka berdua sahaja yang dibenarkan berkomunikasi English dengan Qai.

Papa menepuk-nepuk bahu Harris. “Harris… Harris… maaf saya terlupa nak beritahu awak. Qai sebenarnya tidak suka orang Melayu bercakap English dengan dia.”

“Habis tu saya nak bercakap bahasa apa dengan dia?”

‘Bahasa Arab atau Bahasa Jepun? Bahasa Jepun kot?’ desir hati Harris. 

“Dalam Bahasa Jepun- maafkan saya sebab saya tak tahu awak tak suka orang melayu bercakap English dengan awak.).” Selepas bercakap Harris tersengih ke arah Qai. Mamat sengih agaknya.

Kali ini Qai betul-betul menggaru kepala. Kuat pula tu, ada kutu atau kelemumur? Hei, inikan Qai… takkanlah ‘benda alah’ tu lekat kat kepala kot? Nonsense. Dan kini giliran Qai pula ternganga. Entah apa yang Harris cakap… Qai tidak faham langsung. Yusof Bakti makin galak ketawa. Sampai berair mata dan menekan-nekan perutnya. Harris pula kelihatan terpinga-pinga. Dia tidak faham kenapa Tuan Pengerusi begitu. Namun sempat Qai terfikir dalam kepala, bagus juga Harris tak faham sebab Qai sudah termalu sendiri. Itulah niat di hati mahu mengenakan orang tapi diri sendiri yang terkena.

“Apa awak ingat saya duduk lama kat luar negara tu tak reti langsung ke cakap Bahasa Melayu? Sorry lah… ini Qailah…. banyak bahasa yang saya tahu.” Qai mula mendabik dada cuba menutup rasa malu.

“Qai… please behave!” tiba-tiba Yusuf Bakti mendiamkan Qai.

“Sorry papa…” Qai mengakui keterlanjuran bicaranya.

“Oklah Harris. Awak boleh keluar sekejap, tunggu sehingga saya panggil semula. Saya nak cakap sikit dengan anak saya.” Yusuf Bakti memberi arahan kepada Harris.

Harris menganggukkan kepalanya dan tanpa bersuara dia terus keluar dari pejabat papa. Suasana sunyi sedetik dua. Yusuf Bakti memandang anaknya, Qai dan menghela nafasnya panjang.

Thursday 25 December 2014

Macam-macam perasaan yang hadir...tetapi RINDU lebih nyata dan terang
Macam-macam rasa timbul....tetapi PEDIH itu lebih menyerlah
Macam-macam perasaan...macam-macam rasa...silih berganti...
Lelah dengan RINDU yang tidak bertepi...
Penat dengan PEDIH tidak menentu....
Hanya senyum dalam kepahitan...
Hanya tawa dalam keresahan...
Itu sahaja yang mampu aku lakukan...
Perasaan itu...rasa itu...aku tak bisa hindarinya
Perasaan itu...rasa itu...aku fahami maksudnya
Puas menepis...puas menghalangnya
Tetapi ia umpama menghalang air deras dengan kedua tapak tangan
Tetapi ia umpama menghalang angin kencang dengan segenap kudrat
Ia masih di situ...teguh berdiri tanpa tergugat sedikit pun
Ia masih di situ...tegap berdiri tanpa rebah menyembah bumi
Kuat dan gagah...ia tetap di situ...
RINDU dan PEDIH itu bersatu dalam perasaan dan rasa..
RINDU dan PEDIH itu bersama dalam hati dan perasaan....
Hanya Allah swt yang mampu menghapuskan segenap RINDU dan PEDIH itu...
InsyaAllah...

salam CINTA di kejauhan....

Wednesday 24 December 2014

Assalamualaikum....bertemu lagi kita di sini...aku tidak pasti adakah ada yang melihat atau membaca setiap coretan dari aku...emmm...tak apalah, tak kisah sebenarnya kerana selain dari tempat berkarya. Blog ini juga aku wujudkan untuk aku berinteraksi dengan diri sendiri...ianya lebih kepada diary yang terbuka...luahan hati kecilku...yang kadang-kadang tu begitu merapu...
 Di sini...aku juga mahu menyeru kepada semua warga Malaysia yang prihatin kepada mangsa-mangsa banjir kita...apa kata tadahkan kedua tangan kamu semua dan berdoa...dengan maksud dalam Bahasa Melayunya adalah....
 
"Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu." surah Hud 44....
 
Hati sebak melihat keadaan mereka....namun aku nampak jelas di wajah mereka...walaupun musibah itu terjadi, mereka tetap tenang. Ya, tenangnya mereka walaupun hati mereka mungkin pedih. Kepedihan itu mereka telan. Itulah wajah-wajah yang sentiasa redha dengan ketentuanNya. Ya Allah...aku tidak pasti jikalau aku berada di tempat mereka, adakah aku boleh setenang itu?? Ya...Allah swt menurunkan ujian itu untuk orang-orang yang terpilih sahaja. Orang-orang yang sentiasa bersyukur walau di saat getir sekalipun. Merekalah orang-orang yang terpilih itu. Moga ketenangan itu tetap menjadi milik mereka....amin...
 
Tadi sempat aku membaca satu status dari Suzana Ghazali, iaitu Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie....katanya...
 Jika benar sayang, izinkan dirimu dan si dia tenang.... 
Jika benar kasih, jangan benarkan dirimu di sisih atau dia tersisish...
Jika benar cinta, laksanakan tanggungjawabmu yang menjadi hak dirinya dan izinkan dirimu menikmati hak yang menjadi tanggungjawabnya....
Usah lafazkan sayang, kasih dan cinta andai tak mampu membuktikan kebenarannya...

salam CINTA di kejauhan....
 
 

Thursday 18 December 2014

Seronok jugak mainan baru ni yek....kalau orang lain sibuk dengan games apa tu Clash of Clans kann?? Aku pun sibuk jugak...sibuk dengan games ni laa....blog yang lama sudah aku idamkan....
Tapi susah jugak nak kasi cantik macam orang lain yek...kalau aku masuk blog penulis-penulis ataupun blogger-blogger yang lain...puhh comelnya, cutenya, cantiknya....nak buat macam tu tak reti hehehehe...

Sebenarnya aku memang tak tahu banyakkkkkk perkara. Kena banyakkkkkk belajar dan proses pembelajaran memang susah, lebih-lebih lagi dengan aku yang sudah lama tinggalkan suasana sekolah. Emmm....nak buat macam mana....belajar je la kann...
Wahai blog...kau jadilah cantik sendiri....puhhh...puhhh...puas aku tiup...tak jadi-jadi jugak.  Nampaknya aku kena banyak godek-godek jugak ni...

Aku....insan yang adakalanya suka 'lepas' sahaja berkata-kata....lebih-lebih lagi dengan ahli keluarga sendiri...umpama si Iskandar yang sinis berkata-kata. Namun jauh di sudut hati, aku sebenarnya seperti si Syamir yang lembut bila berbicara. Jika di lihat pada zahirnya aku seperti si Auni....sentiasa menunduk, tidak mampu bertentang mata dengan sebarangan orang dan itu juga aku pada batinnya. Adakalanya aku juga seperti si Aleesya yang tahu serba sedikit perihal agama. Sedikit bukannya banyak. Kurang tetapi cukup untuk mensyarahkan seseorang.

Untuk pembaca semua...blog ini aku wujudkan bukan sahaja untuk menulis cerpen atau novel sahaja tetapi blog ini juga aku jadikan medium perantaraan antara aku dengan aku sendiri....menulis tanpa sekatan....berbicara tanpa sempadan....meluahkan tanpa memperlihatkan wajah....

Akhir kata....salam cinta dari aku untuk kamu....


Wednesday 17 December 2014

BAB SEPULUH


MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN





‘Apalah yang ada di sebalik kata-kata….itu hanyalah mainan mulut sahaja… dalam hati tiada siapa yang tahu. Apalah yang ada di sebalik wajah… itu hanyalah pinjaman dari Yang Maha Esa… tiba saatnya kita akan kembali kepada-Nya jua.’


Bab 10


“Macam mana Is?”

“Macam mana apa?”

“Ala buat tak tahu pulak. Macam mana dengan first night?” terjongket-jongket kening Anuar seperti turut bertanyakan soalan itu.

“Aku ingatkan apa tadi. Macam mana? Macam tulah.” Iskandar sengaja tidak menjawab dengan jawapan yang betul.

“Itu aje? Macam tu? Apa ni…. Weh! Ceritalah sikit. Nak timba ilmu ni.” Perasaan ingin tahu membuatkan Anuar bertanya lagi.

“Timba ilmu apa ke bendanya… kau kahwin la cepat-cepat dan timba ilmu sendiri.”

“Weh! Aku muda lagi la.”

“Kau dengan akukan sama umur? Muda apa ke bendanya,” bidas Iskandar.

Anuar ketawa besar namun keningnya terjongket-jongket lagi. Isyarat supaya Iskandar bercerita serba sedikit perihal malam pengantin.

“Takde apa-apalah. Kan aku dah cakap tak nak ‘sentuh’ dia dulu. Kau dah lupa?”

“Itu memang aku ingat tapi yelah… keju dah di depan mata, takkanlah tikus dok mengusik misai je.” Anuar berperibahasa entah dari mana dia mencedok peribahasa itu. Betul-betul merosakkan bahasa.

Iskandar ketawa kecil. Geli hati dengan peribahasa yang selalu dirosakkan oleh Anuar. Kalaulah cikgu mereka semasa di sekolah dulu tahu tentang kerosakkan bahasa yang dilakukan oleh Anuar tentu mereka menangis.

“Akukan dah beritahu dulu, aku cuma mahu menolong Auni dan sekaligus dapat menggembirakan hati Atuk aku. Itu saja. Tapi aku adalah ‘cuit’ sikit.” Iskandar tersengih. Teringat ‘cuitan’ yang dia lakukan.

“Cuit sikit? Cuit dengan jari?”

“Apalah kau ni…. cuit mestilah dengan jari takkan dengan mulut kot. Aku geramlah juga, sikit je. Mahu tak geram, diakan cantik dan comel.  Aku pun cuitlah sikit, sikit je.” Iskandar tersengih, tiba-tiba dia terbayangkan wajah Auni yang manis berlesung pipit di kedua-dua belah pipi.

Anuar mendengar penjelasaan Iskandar dengan dahi yang berkerut.

“Kau cuit kat mana? Tangan? Muka? Atau badan?” masih tidak berpuas hati Anuar bertanya lagi.

“Kau takde kerja ke?” tiba-tiba Iskandar bertanya. Sengaja supaya Anuar tidak bertanya apa-apa soalan lagi.

“Eh! Ada… ada.” Kepalanya digaru-garukan.

“Habis tu yang kau dok tercongok lagi ni, apahal?”

“Errkk…. oklah boss. Aku balik bilik aku dulu la.” Anuar segera bangun dan melangkah ke pintu bilik Iskandar.

“Nuar!!” Anuar berpaling memandang Iskandar yang memanggilnya. Dia terhenti di depan pintu. Keningnya terangkat.

Please don’t tell anyone about my wedding. Termasuklah orang yang paling dekat dengan kau.” Suara Iskandar mendatar dan perlahan namun masih dapat didengari oleh Anuar.

“InsyaAllah… I will and always keep this secret. Your secret save in my pocket. Believe me, my friend. Percayalah.” Anuar memberi jaminan. Seketika kemudian dia berlalu dari situ.

Iskandar tersandar pada kerusinya. Kerusi empuk yang dahulunya kepunyaan atuknya, Dato’ Hasyim. Semenjak setahun dua ini, dia telah menerajui Tuah Sejati Development Berhad sebagai CEO. Sesekali ada juga Dato’ Hasyim selaku turun untuk melihat perkembangan syarikat. Walaupun Dato’ Hasyim tidak lagi memegang tampuk pentadbiran syarikat tetapi dia masih memberi nasihat selaku pengarah ataupun managing director dan pendapat untuk kelancaran Tuah Sejati.  Iskandar sebenarnya telah diberi kepecayaan penuh dalam menggerakkan jentera syarikat. Jawatan Dato’ Hasyim selaku pengarah syarikat juga telah diberi kepada Iskandar.

“Auni….” tiba-tiba nama itu di sebut Iskandar.

“Auni…. kau memang cantik dan seorang gadis yang lembut tapi sayangnya, kau tersalah orang untuk dijadikan sandaran permasalahan kau. Kau sebenarnya mangsa dan akulah pemangsanya. Prey and predator. Sayang betul, kenapa kau masih berhubung dengan Hanif? Apa yang kau harapkan dengan lelaki ‘jahat’ macam dia?” Iskandar berbisik sendirian, senyuman sinisnya terukir di bibir.

“Sejujurnya… aku tak mahu sebenarnya menjadikan kau ‘taruhan’ dalam dendam antara aku dan Hanif tetapi apa boleh buat… kau datang bagaikan menyerah dan cerita ‘kahwin’ ini begitu menguntungkan aku.”

“Hanif…. kepulangan kau akan aku nanti dan lihatlah, aku telah merampas salah satu kegembiraan kau. Selepas ini aku akan rampas setiap satu kebahagiaan kau seperti mana kau merampas kebahagian adik aku dulu.” Senyuman sinis makin melebar. Mata Iskandar memancar kebencian yang tidak bertepi.

Iskandar memandang telefon di atas mejanya. Ganggang diangkat dan jarinya mendail nombor yang dikehendaki.

“Hello… Assalamualaikum… Auni, aku balik tengahari nanti. Lunch kat rumah. Kau masaklah, tanya Mak Zah apa yang aku suka.” Iskandar mengarahkan Auni tanpa gadis itu sempat bercakap sepatah pun perkataan. Terus ganggang diletakkan kemudiannya.

Iskandar tersandar lagi pada kerusinya. Fikirannya melayang terbang lalu hinggap dari saat dia bernikah dengan Auni hinggakan ke saat dia balik ke rumah pada pukul 2.00 pagi tadi. Dia tersenyum dan terasa malu sendiri. Dadanya berkocak hebat. Perlahan-lahan tangan kanannya dilekapkan ke dada. Senyumannya semakin lebar, mungkin hanya dia dan tuhan yang tahu apa yang telah berlaku.

“Harap-harap dia tak tahu.” Iskandar berbisik lebih kepada dirinya sendiri. Namun senyuman makin melebar. Manis rupanya ‘sesuatu’ itu.


##########


“Siapa yang telefon?” Mak Zah bertanya.

“Is, Mak Zah!”

“Auni masih panggil dia Is lagi ke? Bukankah sedap kalau panggil ‘abang’. Is tak suruh ke panggil macam tu?”

“Err… ada… ada…. maaflah Mak Zah… saya tak berapa biasa lagi panggil dia macam tu.” Auni sedikit gugup. Dia menunduk.

 “Kenapa dia telefon? Tak pernah-pernah dia telefon masa ni? Dia nak apa?”

“Dia… err… Abang Is suruh Auni masak tengahari. Dia nak balik makan tengahari ni,” jujur Auni memberitahu.

Mak Zah tersenyum. “Selama ni tak pernah pula dia balik makan tengahari. Selalunya makan dengan Anuar. Tak pun dengan gepren-gepren dia yang ramai tu.”

Auni ketawa kecil mendengar mak Zah menyebut perkataan gepren. “Girlfriend mak Zah… bukan gepren… kelakarlah Mak Zah.”

“Eh! Kita cerita pasal gepren bukannya nak jeles tapi ketawa pulak.”

Semakin kuat Auni ketawa mendengar sebutan Mak Zah yang bersahaja. Hatinya berbunga, terasa bagaikan arwah ibunya hidup kembali dalam diri Mak Zah. Bahagia menyelubungi dirinya seketika. Hilang sesaat rasa duka yang sejak akhir-akhir ini menyelubunginya. Moga segalanya pulih kemudian nanti.

Namun tiba-tiba Auni teringatkan perlakuan Iskandar malam tadi. Badannya menggigil tiba-tiba, debaran terasa begitu kuat. Dadanya terasa sebak dan sarat. Sarat dengan emosi yang datang silih berganti. Sebenarnya perasaan Auni lebih kepada takut. Takut dengan bayangan lelaki itu. Takut dengan situasi yang begitu membingungkan. Namun dia tahu dia harus pandai mengawal semuanya agar Iskandar tidak mengetahui perasaan takutnya.


##########


Jam sudah menunjukkan ke angka 2 pagi. Iskandar masih belum balik lagi. Auni sendirian di bilik yang besar itu. Matanya memerhatikan keadaan bilik, segala-gala yang terdapat dalam bilik itu kelihatan begitu gah sekali seperti pemiliknya. Tadi sebelum Auni merebahkan diri di atas katil sempat juga dia menjelajah bilik itu.

Rupanya masih terdapat satu lagi tangga yang menuju ke tingkat paling atas rumah. Itu bermakna dalam bilik Iskandar sahaja terdapat 3 tingkat dan tingkat teratas itu menempatkan himpunan buku, majalah dan komik selain terdapat sebuah lagi TV yang besar berserta deretan VCD dan DVD.

Auni berbaring mengiring pula setelah penat dia terlentang tadi. ‘Dia tak balik lagi ke?’ hati kecilnya berbisik. Namun hatinya terasa lega sebab lelaki itu tiada untuk ‘mencuit’nya. Harap-harap tiada lagi sebarang kejutan dari lelaki itu. Auni menguap beberapa kali, mengantuk. Entah bila dia tertidur, dia sendiri tidak sedar.

Tiba-tiba Auni terasa ada pergerakan di sebelahnya. Iskandar? Dadanya berdebar. Bilik itu agak suram dengan hanya lampu tidur yang menyala. Auni membuka matanya sedikit. Iskandar! Ya, Iskandar duduk betul-betul di sebelah kanannya. Dia begitu dekat sekali. Auni memejamkan matanya rapat-rapat. Dadanya berkocak kencang. Terasa kepalanya yang masih bertudung diusap. Badan Auni menggigil tiba-tiba.

Auni cuba menenangkan dirinya tetapi dia terasa ingin menjerit. Mindanya merewang dan hinggap pada kata-kata yang Iskandar katakan sebelum mereka berkahwin tempohari. Tidak ingatkah lelaki itu dengan kata-katanya sendiri bahawa dia tidak akan ‘menyentuh’. Lelaki itu mahu menelan kata-katanya sendirikah?

Auni terasa pipinya pula diusap perlahan. Dia semakin gementar. Deruan nafas keras Iskandar juga jelas kedengaran ditelinganya kemudian Auni terasa dahinya dikucup. Perlahan, lembut dan lama. Hampir Auni menjerit tapi tiba-tiba tiada lagi pergerakan dari lelaki itu. Auni memberanikan dirinya membuka matanya perlahan-lahan.

Iskandar sudah tiada di situ dan kelihatan satu susuk tubuh terbaring di sofa panjang bersebelahan katil. Jarak antara katil dan sofa hanya terpisah 2 meter sahaja namun itu sukup melegakan Auni. Debaran di dada Auni semakin berkurangan tetapi dia tidak dapat tidur hingga ke pagi. Matanya sentiasa mengawasi setiap pergerakan Iskandar yang kelihatan lena bagaikan bayi yang baru lahir.


##########


“Auni dah siap masak?” suara Mak Zah betul-betul mengejutkan Auni.

Mak Zah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat Auni. Dia tersenyum kemudiannya.

“Teringatkan Is ye?” serkap Mak Zah.

“Eh! Tak de lah Mak Zah. Emm! Lauk dah siap.” Auni senyum memandang Mak Zah yang kelihatan tersenyum sumbing.

“Auni… Auni…. macamlah Mak Zah tak pernah muda dulu. Sah dia teringatkan Is ni.” Giat Mak Zah lagi.

“Eh! Macam mana Mak Zah boleh tahu yek?” Auni turut tersenyum sumbing menutup rasa malunya. Terasa mukanya tebal berinci-inci.

Mak Zah tergelak kecil. “Mak Zah tak tahu sebenarnya. Aunilah yang beritahu kat Mak Zah baru kejap tadi.”

“Eh! Bila pulak saya beritahu Mak Zah?”

“Tadi.”

“Bila? Tak ingat pun saya cakap kat Mak Zah. Bila yek?” Auni mula menggaru-garukan kepalanya. Dia kehairanan lebih-lebih lagi Mak Zah mula kuat gelaknya.

“Auni… Auni… lurus bendul betul. Tadikan Auni cakap ‘macam mana Mak Zah tahu’ bila Mak Zah cakap ‘sahlah dia teringatkan Is’. Itu bukannya beritahu secara tak langsung?” Mak Zah meleraikan kehairanan Auni.

Auni senyum sumbing lagi. Dia betul-betul malu sekarang. Kalau tadinya mukanya terasa tebal berinci-inci. Kali ini mukanya terasa di simbah cat merah pula dan cat itu menitis-nitis membasahi tubuhnya juga.

“Mak Zah nak siapkan meja. Kejap lagi Is balik la tu.” Mak Zah terus berlalu ke ruangan makan setelah memberitahu perkara itu.

Ah! Hampir sahaja Auni terlupa bahawa Iskandar akan balik makan tengahari sebentar lagi. Dia sebenarnya sudah siap memasak nasi dan beberapa jenis lauk yang digemari Iskandar. Ingatannya pada kejadian petang dan malam semalam ingin dibuang terus dari ingatannya. Biar perkara yang berlaku itu hilang tanpa meninggalkan parut yang mampu dilihat. Janganlah lelaki itu mengulanginya lagi dan Auni sendiri beranggapan lelaki itu hanya ingin menduganya dengan ‘mencuit’. Mencuit bukan menyentuh.

Auni ingin berfikiran positif kerana dia pernah terbaca tentang satu penyelidikan di Mayo Clinic AS, bahawa mereka yang optimis semasa muda di jangka hidup 12 tahun lebih lama berbanding dengan mereka yang pesimis. Penyelidikan ini juga di sokong oleh Anna L.Marsland, pakar psikologi dari Pittsburgh Medical Center, bahawa mereka yang moody, mudah tertekan, mempunyai tindakbalas aktif terhadap vaksin berbanding dengan mereka yang ceria. Ya, ceria…. Auni ingin ceria dan gembira di samping rasa bahagia. Bahagia?

Dia juga akan mengawal rasa marahnya. Istilah marah akan dicuba hilangkannya kerana dia tahu tidak elok untuk seorang isteri berasa marah lebih-lebih lagi terhadap suaminya sendiri. Syurganya terletak pada seorang suami. Walau seburuk mana pun seorang suami. Walau semiskin mana pun seorang suami. Seorang isteri wajib mentaatinya selagi tiada batasan agama yang dilanggar. Selagi tiada kemaksiatan yang berlaku.
 
 

BAB SEMBILAN


MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN

 


Bab 9

 

“Is nak keluar malam ni. Ada janji dengan kawan.” Iskandar memberitahu setelah selesai makan malam.

“Hiss, Is ni! Siang tadi baru kahwin, malam dah nak keluar? Tak kesian dengan Auni? Awal-awal lagi dah kena tinggal,” leter Mak Zah seperti biasa.

“Kejap je.”

“Kejap apa? Is kalau tak pukul 1 atau 2 pagi baru balik, tak sah!”

“Is dah janji dengan kawan. Takkanlah Mak Zah nak Is jadi seorang yang munafik pula? Setiap janjikan mesti ditepati.” Iskandar tidak mahu mengalah.

“Ni kawan yang mana pulak? Kalau dengan Anuar, mesti Is dah sebut nama dia… perempuan ke?” Mak Zah pun seperti tidak mahu mengalah. Dia sememangnya tidak mahu Iskandar keluar malam itu.

“Kejap je Mak Zah. Please…

“Tu…” Mak Zah memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Auni yang ligat menolong Mak Zah mengemas meja. 

“Minta izin dengan Auni.” Mak Zah sengaja mengenakan ‘pengantin baru’.

Iskandar menoleh memandang Auni. Gadis itu hanya diam sahaja. Nampaknya langsung tidak memperdulikan perbualan antara Iskandar dan Mak Zah. Dia ke hulu hilir dari ruang makan keluarga membawa pinggan mangkuk masuk ke dalam dapur. Iskandar melangkah ke arah dapur setelah Auni tidak menampakkan dirinya seminit dua.

“Ehem….” Iskandar sengaja berdehem untuk menarik perhatian Auni yang sedang membasuh pinggan.

Sedetik dua, tiada reaksi dari si gadis. Iskandar sedikit resah. Dia menoleh sekilas ke arah ruang makan keluarga, mengintai Mak Zah. Iskandar melangkah dan berhenti di sebelah kiri Auni. Menjeling untuk melihat riak gadis itu. Masih tiada riak seperti dia tidak wujud di situ. Perlahan-lahan Iskandar meletakkan tangannya ke bahu Auni. Memeluk dengan sebelah tangan. Perlakuan tiba-tiba Iskandar menyebabkan Auni terkejut dan gelas di tangannya terlepas namun sempat disambut oleh Iskandar.

“Apahal kau ni? Nasib tak pecah gelas ni.” Iskandar sedikit kuat suaranya. Dia juga terkejut sebenarnya dengan tindakan refleks Auni.

“Maaf. Sa… saya betul-betul terkejut tadi.”

“Kau ni macam-macam. Terkejut apa?”

“Sa… saya tak biasa.”

“Kan tadi kat bilik aku dah ‘biasa’kan kau!”

Auni diam tidak menjawab. Dia meneruskan semula membasuh pinggan mangkuk. Sebenarnya dia tidak mahu bersoal jawab dengan Iskandar kerana dia tahu dia pasti kalah dengan lelaki itu. Lelaki yang sentiasa mahu orang lain hanya mendapat tempat terakhir.

Sekali lagi Iskandar memeluk bahu Auni dengan tangan kanannya. Auni tersentak lagi namun masih dapat mengawal rasa terkejutnya. Tetapi tangannya mengeletar sedikit. Dadanya berkocak kencang. Rasa terkejut, takut dan malu bercampur saat ini. Fikirannya teringatkan perlakuan Iskandar di dalam bilik sebentar tadi. Hatinya berdoa, janganlah lelaki itu buat perkara yang sebegitu lagi. Dengan lembut Auni menolak tangan Iskandar namun pegangan lelaki itu di bahunya semakin kuat.

“Pada yang halal, pegangan aku tiada salahnya. Bukannya aku memegang pada yang haram. Lebih dari ini pun aku boleh buat.” Iskandar berbisik.

“Tapi… ada seseorang tu pernah berkata tak akan ‘menyentuh’ diri saya.” Auni mengingatkan Iskandar tentang kata-katanya sendiri.

Iskandar ketawa besar. Tangannya dijatuhkan dari bahu Auni. Dia bergerak ke belakang Auni.

“Tadi bukannya menyentuh tapi hanya mencuit,” bisiknya ke telinga Auni.

“Ini juga mencuit.” Iskandar memegang pinggang Auni dengan kedua tangannya.

Auni terjerit kecil. Terkejut tetapi pantas mulutnya ditutup dengan kedua belah tangan kasar Iskandar dari belakang. Auni segera berpusing. Matanya bulat memandang Iskandar. Hatinya sakit dengan perlakuan Iskandar. Bukan menyentuh? Istilah itu dikatakan bukan menyentuh? Hanya mencuit? Siapa agaknya cikgu yang mengajar lelaki itu Bahasa Melayu dulu? Atau lelaki itu sebenarnya tidur ketika belajar dulu?

Iskandar tersenyum sinis. “Kau tak layak untuk menerima sentuhan aku.”

Tiba-tiba tanpa dapat Auni menahan, Iskandar merendahkan kepalanya dan menepek lembut bibirnya ke bibir Auni.

“Ini juga mencuit.” Iskandar tersenyum dengan killer smilenya.

Lelaki itu kemudiannya berlalu dari situ dengan kenyitan sekilas di mata kanannya dan ibu jari menyapu sedikit bibirnya. Tangannya dilambaikan tanpa dia berpaling memandang Auni yang terpaku dan terkedu.

‘Itu juga sentuhan. Bukannya mencuit. Kalau aku tidak layak menerima sentuhan kau, jangankan menyentuh…. mencuit pun jangan,’ Auni berbisik dengan dirinya sendiri. Dia sedaya upaya menahan rasa yang pelbagai. Sebak, sayu, dan hiba. Namun dia masih pertahankan air matanya dari menitis. Dia tahu dia harus tabah dalam menghadapi lelaki seperti Iskandar. Lelaki yang punyai ego yang tinggi dan sentiasa mahu menjadi juara.

 

##########

 

“Dah beritahu Auni?” Mak Zah bertanya sebaik sahaja Iskandar keluar dari dalam dapur.

Hanya anggukan yang Iskandar berikan sebagai jawapan.

“Mak Zah…. Is nak keluar dah ni.” Iskandar memberitahu sambil kakinya melangkah.

 “Kejap… kejap… kejap…. Mak Zah ni kurang percaya sikit. Betul ke dah beritahu Auni?” menyoal lagi.

“Dahlah Mak Zah…. Is dah beritahu tadi kat dapur. Sejak bila pulak Mak Zah tak percayakan Is ni?” pelik dengan perubahan Mak Zah.

“Mulai sekarang…. Auni! Auni!” Mak Zah memanggil Auni.

Tergesa-gesa Auni keluar dari dapur sambil mengesat tangannya dengan tuala kecil. Dahinya berkerut melihat Iskandar masih ada di situ. ‘Apahal pulak ni?’ Auni sedikit cuak. Takut juga dia melihat pandangan tajam Iskandar. Cepat-cepat dia memandang Mak Zah.

“Ada apa Mak Zah?” cepat Auni bertanya. Bimbang.

“Ada tak tadi si Is ni minta izin nak keluar?”

Mata Auni yang tadinya terarah pada Mak Zah beralih pula memandang Iskandar. Lelaki itu berdiri tegap dengan memeluk dirinya dan senyuman sengetnya dilemparkan kepada Auni yang sedikit kebingungan. ‘Ada ke tadi dia minta izin?’ Auni cuba mengingat.

“Ada tadi… kan Cinta?” Iskandar menghampiri.

Auni tidak menjawab. Dia betul-betul kebingungan dan sedikit tidak selesa dengan Iskandar yang semakin menghampiri dan berdiri betul-betul di hadapannya.

“Tadi… abang dah minta izin… kan?” wah! Lembut dan lunak suara Iskandar tika ini namun matanya tajam memandang Auni.

Auni mengangguk laju-laju. Bimbang dan sedikit takut dengan tindakan Iskandar yang biasanya tiba-tiba jikalau dia tidak mengiyakan pertanyaan tadi. Namun nafasnya kembali sesak, lelaki itu secara tiba-tiba merendahkan kepalanya dan dengan spontan mencium lembut dahi Auni. Ya, lelaki yang selalu dengan tindakan spontannya. Tanpa sempat dan dapat dihalang. Muka Auni memerah. Malu kerana perbuatan spontan Iskandar menjadi tontonan Mak Zah. Agaknya lelaki itu betul-betul tiada perasaan malu dan segan.

“Abang keluar sekejap. Jangan tunggu, tidurlah kalau mengantuk.” Iskandar memberitahu Auni dan tersenyum kacak seperti selalu.

“Is keluar dulu Mak Zah.” Iskandar memberitahu Mak Zah pula.

“Yalah tu… jangan balik lambat sangat. Ingatlah diri tu dah jadi suami orang.” Mak Zah mengingatkan Iskandar.

Iskandar senyum dan menunjukkan isyarat ok dengan jarinya. Dia keluar dari ruang makan keluarga dengan tergesa-gesa. Kelihatan juga jam di tangan dibeleknya. Mungkin dia benar-benar sudah terlambat dengan janji yang telah dibuat.

 

##########

 

“Iskandar memang macam tu. Masa kecik-kecik dulu, selalu juga dia cium pipi dan dahi Mak Zah ni. Itu adalah cara dia menunjukkan dia sayangkan kita. Dia sayangkan Auni tu… tu yang diciumnya tadi. Auni jangan malulah dengan Mak Zah.” Mak Zah bercerita tentang Iskandar. 

“Sekarang… Is buat lagi tak macam tu Mak Zah?”

“Hiss, Auni ni! Mana boleh. Mak Zahkan tiada hubungan darah dengan dia. Walaupun dah tua, Mak Zah ni tetap bukan mahram dia.”

Auni ketawa kecil. “Maaflah Mak Zah. Saya terlupa. Emm…. Mak Zah ni bukan dah tua, cuma semakin bertambah usia.” Auni memeluk lengan Mak Zah.

Mak Zah turut ketawa..“Apa-apa jelah Auni ni.”

“Saya pun sayangkan Mak Zah. Mak Zah baik macam arwah ibu saya.” Auni makin kuat memeluk lengan Mak Zah. Terasa hangat seperti lengan arwah ibunya.

“Mak Zah boleh cerita sikit tak pasal Is? Sebenarnya banyak yang saya tak tahu pasal Is.” Auni cuba mengorek cerita tentang diri Iskandar.

“Is tu sebenarnya bukan anak tunggal.”

“Betul ke mak Zah? Saya ingatkan dia anak dan cucu tunggal Dato’ Hasyim.”

“Dia anak ketiga. Orang kata anak ketiga ni jatuh kepada unsur api. Baran dan panas sentiasa. Auni anak keduakan? Jatuh kepada unsur air. Memang padan sebenarnya kamu berdua. Sorang api, nak membakar je sifatnya dan sorang air, memadamkan kemarakkan api. Tapi kita sebagai orang Islam tak boleh percaya seratus peratus tentang perkara sebegitu. Kalau dijadikan rujukan tu boleh.” Mak Zah memulakan mukadimah.

“Is ada seorang kakak dan abang tetapi mereka meninggal sebaik dilahirkan. Dia juga ada adik perempuan, Issabella Zulaikha tetapi semasa usianya 14 tahun, dia kemalangan. Begitu juga dengan mak ayah Is… mereka bertiga meninggal dalam kemalangan yang sama. Ketika itu mereka sedang bercuti di Kanada sempena cuti penggal kedua sekolah. Is tak ikut sama sebab dia terlibat dengan latihan hoki, wakil negeri.”

“Masa tu umur Is berapa tahun?”

“Kalau tak silap Mak Zah…. Is dalam tingkatan 5. Disebabkan kemalangan tu, Is tak dapat tumpukan pelajarannya dan keputusan SPM dia tak berapa baik. Sebab tu dia masuk tingkatan 6. Emm… mujur juga dia masuk tingkatan 6.”

“Kenapa Mak Zah? Kenapa pula mujur dia masuk tingkatan 6?”

“Yalah… kalau dia tak masuk tingkatan 6, dia tak jumpalah dengan Auni…. kan?”

Auni ketawa kecil. “Apa-apa jelah Mak Zah ni.”

“Nak sambung lagi tak ni?” Mak Zah bertanya.

“Naklah Mak Zah.”

“Auni tahu Dato’ tu bangsa apa sebenarnya?”

“Eh! Kenapa Mak Zah tanya macam tu? Atuk bukan Melayu ke?”

Kali ini giliran Mak Zah pula ketawa. “Auni… Auni…. polos sangat. Dato’ tu dari campuran orang Cina dan India. Ayahnya Cina dan maknya India. Mungkin sebab tu rupa dia macam Melayu sikit. Auni tak perasan, mata dia sepet sikit?”

Cepat-cepat Auni menggelengkan kepalanya. Dia sedikit teruja dengan cerita yang Mak Zah ceritakan. Menarik rupanya salasiah keturunan Iskandar. Patut pun nama Dato’ Hasyim ialah Hasyim Lee b. Abdullah.

“Auni pernah nampak gambar arwah nenek, mak dan ayah Is?” Mak Zah bertanya.

“Tak,” jawapan pendek berserta gelengan lagi.

“Nenek Is, namanya Sharifah Aminah bt. Syed Mahmood. Sebenarnya campuran Melayu Inggeris. Lawa. Macam perempuan arab bermata hijau. Rambut dia pula warna coklat. Mak Zah tak pernah tengok lagi perempuan yang cantik macam arwah nenek Is.”

“Mak Is pula, wanita perancis bermata biru dan rambut perang. Siti Hanissah Ludwing bt. Abdullah. Cantik dan bergaya. Emm…Auni dapat tak bayangkan dari mana Is mewarisi rupa dan kekacakan dia?”

“Emm… baru saya tahu Mak Zah kenapa rupa Is macam tu. Dan mata dia mesti dah bercampur antara nenek dan mak dia.” Auni terbayangkan mata Iskandar yang berwarna biru kehijauan dan rambut yang berwarna perang kehitaman. Ingatkan lelaki itu sengaja mewarnakan rambutnya.

“Tapi kenapa masa zaman sekolah dulu rambut Is berwarna hitam?” Auni teringat zaman sekolah. Memang warna rambut Iskandar berwarna hitam.

“Sebenarnya warna rambut dia warna apa Mak Zah?”

“Dia ikut maknya. Rambut mak dia warna perang tapi Is lebih kepada perang kehitaman. And tulah masa sekolah dulu dia warnakan jadi hitam pekat. Puas Mak Zah dan Dato’ nasihatkan dia, tak baik merubah pemberian tuhan. Mujur juga lepas habis sekolah dia tak lagi buat macam tu.”

Auni ketawa. Terbayang di matanya kenakalan Iskandar zaman persekolahan. Nakal dan perasan. Perasan dirinya seorang sahaja yang kacak dan bergaya masa itu. Tetapi itulah hakikat sebenarnya, ketika dulu memang tiada yang dapat menandingi kekacakan dan ketampanan Iskandar. Sekarang juga begitu. Auni tahu Hanif juga tidak dapat menandingi Iskandar dari segenap segi tetapi kenapa lelaki itu seperti tidak pernah ngam dengan Hanif?

Dari dulu dan kini pantang nama Hanif tersebut, wajah lelaki itu akan berubah seperti menahan marah. Ada ceritakah disebalik semua itu? Dan sebenarnya ada ceritakah disebalik kata-kata Iskandar, ‘ini adalah permulaan satu permainan.’ Apakah permainannya? Siapakah permainnya? Apakah taruhannya? Persoalan yang tiada jawapannya.