MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
‘Hanya
kesedihan yang terpancar dari senyuman dan pandangan matamu. Akukah puncanya
atau situasi yang membelenggu dan mengelilingimu saat ini. Jikalau aku puncanya
katakanlah agar bisaku ubah caraku tetapi jikalau situasi sekeliling…akanku
cuba melindungi dan menjadi benteng menghadapinya…’
Bab 2
Hari minggu. Hari yang di nanti-nantikan
oleh Iskandar. Seperti lazimnya setiap hujung minggu dia akan memperuntukkan
hari yang istimewa ini untuk bersantai. Iyalah… setelah sibuk dan
berpenat-penat dengan urusan pejabat dari pukul 9.00 pagi hinggga 5.00 petang,
inilah harinya dia berhibur sedikit. Hari ini dia akan menjemput seorang
‘teman’ yang baru 2 minggu dikenalinya.
Berkenalan pula dari laman sesawang masa
kini iaitu facebook. Huh! Zaman serba
canggih sekarang begitu memudahkan insan-insan yang sibuk sepertinya mencari
teman baru. Mudah saja, cuma perlu klik dan semua jenis perempuan dapat di
temui. Of couselah kalau ingin
menjadi ‘teman’ Iskandar, pakej-pakej tertentu akan diberi perhatian. Paling
penting perempuan itu mestilah cantik, bergaya, boleh dibawa ke tengah ke tepi
dan seangkatan dengan seksi!!
Hidupnya terasa bahagia sekali. Selesai
bersarapan Iskandar terus mencapai kunci Mitsubishi Evolution VIInya. Kereta
itu adalah di antara tiga kereta kesayangannya. Kakinya melangkah melewati
ruang tamu yang bercat biru laut. Warna yang mendamaikan dan seingatnya warna
itu tidak pernah bertukar semenjak neneknya masih ada lagi.
Jikalau ruang tamu itu di cat baru
sekali pun warna yang sama masih dikekalkan. Mungkin warna itu warna nostalgia
bagi atuknya. Iskandar tersenyum kecil. Dia tahu betapa atuknya begitu
menyayangi arwah neneknya sehinggakan semua yang berkaitan arwah nenek masih
kekal sehingga kini walaupun sudah hampir 8 tahun nenek kesayangannya kembali
kepada yang Satu. Kembali kepada yang lebih berhak.
“Is!!” tiba-tiba saja terdengar suara
Dato’ Hasyim ketika Iskandar sudah menghampiri pintu kayu yang besar.
Iskandar sedikit tersentak, terkejut
kerana pada kebiasaannya pagi-pagi begitu atuknya itu akan berada di bilik
bacaannya. Dia segera berpaling. Dato’ Hasyim kelihatan sedang membaca surat
khabar. Gayanya itu seperti tidak memperdulikan kehadiran Iskandar yang semakin
menghampiri. Iskandar segera melabuhkan punggungnya disalah satu sofa yang
terdapat di situ. Suasana sepi diantara mereka. Keadaan Dato’ Hasyim yang
membisu seribu bahasa itu meresahkan Iskandar. Hampir 5 minit keadaan itu
berlaku, barulah Dato’ Hasyim menutup akhbar di hadapannya.
“Atuk panggil Is?” Iskandar bertanya.
“Atuk ada sesuatu yang ingin diperkatakan
dan perkara ini terlalu penting. Harap Is akan dengar baik-baik dan fikir
sedalam-dalamnya perkara ini,’’ ujar Dato’ Hasyim sambil anak matanya
memerhatikan cucu tunggal kesayangannya itu.
“Perkara apa Atuk? InsyaAllah kalau Is
boleh cuba Is akan cuba sebaik mungkin.” Lembut suara Iskandar menuturkannya
namun hatinya sedikit cemas.
‘Harap-harap janganlah perkara itu,’
getus hati kecil Iskandar.
“Atuk pasti Is dapat menangani perkara
ini dengan sebaiknya. Ianya tentang Auni. Atuk tak mahu ada perkara buruk
berlaku, maksud Atuk…. Iyalah, kau tu
lelaki dia perempuan. Tak manis dipandang oleh jiran-jiran. Atuk cakap macam ni
bukan kerana Atuk tak sukakannya tapi Is harus tahu batas-batasnya bila duduk
sebumbung walaupun masih ada Atuk, Mak Zah dan Abang Mie. Is fikirkanlah ok.’’
Panjang lebar Dato’ Hasyim menerangkan perkara yang sudah lama bersarang
difikirannya.
“Is faham. Atuk janganlah risau. Is akan
cuba selesaikan perkara ini, insyaAllah. Emm… I must go now, Assalamualaikum…” Iskandar tersenyum sebelum
berlalu.
“Waalaikummussalam…” Dato’ Hisyam
membalas salam dan turut tersenyum. Dia tahu cucunya itu pasti ada cara
penyelesaian berkenaan masalah yang berbangkit tadi.
##########
Fikiran Iskandar merewang pada saat
pertemuan kembali dengan Auni. Itu cerita 2 bulan dulu. Bertemu di universiti
tempat Auni berlajar. Namun cerita itu sudah berlalu dan cerita hari ini begitu
berlainan sekali. Siapa sangka Auni, terpaksa menumpang seketika di rumahnya
sebelum semester baru bermula. Semester itu juga akan menjadi semester akhir
Auni. Masih terbayang keadaan Auni ketika itu. Mujur Auni menghubunginya ketika
itu. Memang setahu Iskandar, Auni hanya mengenali beberapa orang saja di daerah
itu. gadis itu kurang kenalan di daerah Kuantan.
Ketika gadis itu baru berpindah sekolah
dulu ke daerah itu, dia berada di tingkatan 3 dan tinggal dengan abang dan
kakak iparnya. Sekarang gadis itu bagaikan sebatang kara setelah abang dan
kakak iparnya kemalangan dan meninggal dunia ketika Auni di tahun pertama.
Kemudian bagaikan malang yang bertimpa ayahnya pula meninggal kerana serangan
jantung sebelum cuti semester bermula. Ibu tirinya pula… ah, ini kerana ibu
tirinya! Ada kisah yang berlaku hingga mennyebabkan Auni tekad keluar dari
rumah pusaka arwah ayahnya dan datang ke daerah ini.
Iskandar sedar dia bukanlah insan
pertama yang di hubungi Auni ketika itu. Ah! Tak kisahlah dia insan yang ke
berapa tetapi sekarang Auni sudah berada di rumahnya. Rumah yang didudukinya
bersama Atuk, Mak Zah dan Abang Mie. Ah, pening dibuatnya! Lebih-lebih lagi
kata-kata yang diucapkan atuknya tadi. Setiap patah perkataan jelas dan
difahami maksudnya.
Kata-kata itulah yang membantutkan
rancangannya mahu keluar berhibur bersama teman baru. Pagi itu Iskandar
mengambil keputusan keluar menghirup udara segar di pinggir laut. Di tepi
pantai yang sememangnya terkenal di negeri itu. Pantai Teluk Cempedak atau
ringkasannya pantai TC. Hampir ke waktu senja barulah dia menapak pulang dan
langsung ke biliknya. Waktu makan malam juga Iskandar tidak turun seperti
lazimnya.
###########
“Is….. cepat turun makan. Lauk dah sejuk
ni.” Entah kali yang ke berapa Mak Zah mengetuk pintu bilik Iskandar.
Iskandar tersentak, agak jauh dia
termenung dan berfikir rupanya. Minda dan hatinya terasa agak jauh melayang.
Walau hakikatnya jasadnya masih di situ. Selesai sembahyang tadi, Iskandar
berteleku sendirian dan memikirkan kata-kata atuknya tadi. Berserabut.
Fikirannya begitu berserabut.
“Is!!!” ketukan di pintu semakin kuat
bunyinya. Suara Mak Zah juga kedengaran cemas.
“Adoi…!!!”
Mak Zah ketawa kecil. “La… terjongol
macam tu je. Maaflah Mak Zah tak sengaja.” Rupanya tanpa sengaja Mak Zah
terketuk hidung Iskandar yang tiba-tiba membuka pintu biliknya.
“Itulah lain kali senyaplah lagi.
Menakutkan Mak Zah je. Dahlah tu pergi makan dulu. Orang lain semua dah makan.
Kalau nak tunggu Is…. laparlah jawabnya.”
Mak Zah meleteri Iskandar sambil mereka turun ke tingkat bawah.
Iskandar hanya mendiamkan dirinya.
Baginya leteran Mak Zah adalah seperti lagu merdu yang didendangkan penyanyi
popular ketika ini. Makan malam, walaupun sedap dan menyelerakan pada selera
orang lain tetapi tidak bagi Iskandar hari itu. Namun begitu bagi tidak
menghampakan Mak Zah yang bersusah payah memasak Iskandar makan juga walaupun
sedikit.
“Sikitnya Is makan malam ni… tak sedap
ke, Mak Zah masak?” Mak Zah menegur setelah dilihatnya Iskandar sudah siap
makan walaupun masih banyak nasi dan lauk yang bersisa di pinggannya.
“Eh! Taklah Mak Zah, emm... Atuk dan
Auni, mana Mak Zah?”
“Dato’ ada dalam bilik bacaan,
rasa-rasanyalah. Auni… Auni, kalau tak silap Mak Zah ada kat luar agaknya.
Mungkin ambil angin kot.” Mak Zah menjawab sambil tangannya sibuk mengemas sisa
makanan Iskandar tadi.
Tanpa berkata apa-apa Iskandar segera
keluar dari rumah dan menuju ke arah taman mini yang diberi nama ‘Mutiara Emas’
oleh arwah neneknya dulu. Dia amat yakin Auni ada di situ kerana sepanjang dua
minggu ini gadis itu sering kelihatan menyendiri di ‘Mutiara Emas’.
Dalam cahaya yang menerangi taman mini
kelihatan Auni di salah satu bangku yang terdapat di situ. Iskandar
berkira-kira bagaimana mahu memberitahu perkara yang diperkatakan atuknya siang
tadi. Auni berpaling setelah menyedari seseorang memerhatikannya.
“Ada apa Is?” seperti tahu ada sesuatu
yang mahu dibicarakan Iskandar, Auni bertanya. Dia tersenyum sedikit tanda
hormat terhadap tuan rumah.
Iskandar melangkah dan duduk di bangku
yang sama.“Sebenarnya memang ada sesuatu yang aku nak beritahu kau.”
Auni berpaling memandang ke wajah
Iskandar yang berada di sebelahnya. Dia tahu apa yang mahu diperkatakan
Iskandar. Hatinya sedikit resah. Resah dengan perkara yang bakal diberitahu.
Resah dengan masalah yang membelenggunya semenjak dua minggu yang lalu. Resah
dengan kehadiran Iskandar di sisi walaupun jarak mereka boleh memuatkan lagi
dua orang manusia.
Satu persatu Iskandar memberitahu Auni
tentang perkara yang diberitahu atuknya. Auni hanya diam mendengar. Dia tahu
perkara itu akan berbangkit juga akhirnya. Keadaan menjadi sunyi seketika.
Tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulut Iskandar mahupun Auni sendiri.
Mereka berdua melayani perasaan
masing-masing. Iskandar dengan rasa bersalahnya. Auni pula dengan masalah yang
bagaikan mengekori dan mengejarnya. Ketika ini hanya kedengaran bunyi cengkerik
dan katak yang sahut menyahut, mungkin hari hendak hujan. Katak? Tiba-tiba Auni
terbangun dari duduknya.
Geli. Ya, itulah perasaannya ketika
teringatkan haiwan dua alam itu. Amfibia, tubuhnya melekit-lekit dengan lendir.
Sebenarnya Auni memang gelikan haiwan kecil itu. Harap-harap janganlah haiwan
itu ada berdekatan, itulah doa Auni dalam hati.
Iskandar sedikit terperanjat apabila
Auni tiba-tiba bangun dan berdiri kaku di situ. Jauh di sudut hatinya dia
begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa gadis itu. Sebenarnya dia sanggup
memberi si gadis tinggal di situ selama mungkin. Dia juga tidak pasti kenapa
atuknya menyuruhnya memberitahu Auni tentang kemungkinan masalah yang bakal
terjadi dengan kehadiran gadis itu di rumah mereka. Adakah Atuk tidak sukakan
Auni? Hanya itulah persoalan yang bermain dibenaknya.
“Aku minta maaf kalau perkara yang aku
beritahu tadi menyebabkan kau terasa hati,” lembut Iskandar berbicara. Matanya
terpaku ke arah Auni yang sedang berdiri.
Auni ketawa kecil. Cuba menghilangkan
rasa gugupnya tatkala berbual dengan Iskandar. Sebenarnya dia kurang biasa
berbual dengan lelaki. Lebih-lebih lagi dengan berkeadaan berduaan begitu.
“Takde apa-apalah Is. Saya faham. Is
jangan rasa bersalah pulak. Saya tak terasa hati pun. Betul juga kata Atuk tu.
Bimbang dengan kata-kata orang luar, lebih-lebih lagi Atuk adalah orang cukup
dikenali di sini.”
“Maafkan aku sekali lagi, Auni. Nanti
kita akan cuba fikirkan bagaimana mahu selesaikan masalah ini.” Beberapa kali
Iskandar meraup rambutnya tanda kegelisahan.
Auni ketawa kecil lagi. “Awak tak perlu
minta maaf Is. Sepatutnya sayalah yang perlu minta maaf kerana kehadiran saya
bagaikan meragut ketenangan yang lama ada di rumah ini. Saya betul-betul minta
maaf.”
Iskandar turut bangun dan berdiri di
sebelah Auni.
“Itulah gunanya kawan, Auni. Walaupun
susah bagaimana pun, insyaAllah selagi terdaya. Akan cuba membantunya.”
Iskandar senyum dengan senyuman mesra.
Dalam hatinya berbisik kata-kata
sendiri.,‘Sebenarnya aku sanggup membantu dan menolong kau, sahabatku. Walau apa
pun rintangan, aku sangguh menjadi benteng dan menepis segala masalah yang
melanda. Aku sanggup menjadi pelindung asalkan kau bahagia kerana itulah erti
persahabatan sejati. Kebahagiaan kau kebahagiaanku juga, sahabatku.’
No comments:
Post a Comment