MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
Bab 9
“Is nak keluar malam ni. Ada janji
dengan kawan.” Iskandar memberitahu setelah selesai makan malam.
“Hiss, Is ni! Siang tadi baru kahwin,
malam dah nak keluar? Tak kesian dengan Auni? Awal-awal lagi dah kena tinggal,”
leter Mak Zah seperti biasa.
“Kejap je.”
“Kejap apa? Is kalau tak pukul 1 atau 2
pagi baru balik, tak sah!”
“Is dah janji dengan kawan. Takkanlah
Mak Zah nak Is jadi seorang yang munafik pula? Setiap janjikan mesti ditepati.”
Iskandar tidak mahu mengalah.
“Ni kawan yang mana pulak? Kalau dengan
Anuar, mesti Is dah sebut nama dia… perempuan ke?” Mak Zah pun seperti tidak
mahu mengalah. Dia sememangnya tidak mahu Iskandar keluar malam itu.
“Kejap je Mak Zah. Please…”
“Tu…” Mak Zah memuncungkan bibirnya
menunjuk ke arah Auni yang ligat menolong Mak Zah mengemas meja.
“Minta izin dengan Auni.” Mak Zah
sengaja mengenakan ‘pengantin baru’.
Iskandar menoleh memandang Auni. Gadis
itu hanya diam sahaja. Nampaknya langsung tidak memperdulikan perbualan antara
Iskandar dan Mak Zah. Dia ke hulu hilir dari ruang makan keluarga membawa
pinggan mangkuk masuk ke dalam dapur. Iskandar melangkah ke arah dapur setelah
Auni tidak menampakkan dirinya seminit dua.
“Ehem….” Iskandar sengaja berdehem untuk
menarik perhatian Auni yang sedang membasuh pinggan.
Sedetik dua, tiada reaksi dari si gadis.
Iskandar sedikit resah. Dia menoleh sekilas ke arah ruang makan keluarga,
mengintai Mak Zah. Iskandar melangkah dan berhenti di sebelah kiri Auni.
Menjeling untuk melihat riak gadis itu. Masih tiada riak seperti dia tidak
wujud di situ. Perlahan-lahan Iskandar meletakkan tangannya ke bahu Auni.
Memeluk dengan sebelah tangan. Perlakuan tiba-tiba Iskandar menyebabkan Auni
terkejut dan gelas di tangannya terlepas namun sempat disambut oleh Iskandar.
“Apahal kau ni? Nasib tak pecah gelas
ni.” Iskandar sedikit kuat suaranya. Dia juga terkejut sebenarnya dengan
tindakan refleks Auni.
“Maaf. Sa… saya betul-betul terkejut
tadi.”
“Kau ni macam-macam. Terkejut apa?”
“Sa… saya tak biasa.”
“Kan tadi kat bilik aku dah ‘biasa’kan
kau!”
Auni diam tidak menjawab. Dia meneruskan
semula membasuh pinggan mangkuk. Sebenarnya dia tidak mahu bersoal jawab dengan
Iskandar kerana dia tahu dia pasti kalah dengan lelaki itu. Lelaki yang
sentiasa mahu orang lain hanya mendapat tempat terakhir.
Sekali lagi Iskandar memeluk bahu Auni
dengan tangan kanannya. Auni tersentak lagi namun masih dapat mengawal rasa
terkejutnya. Tetapi tangannya mengeletar sedikit. Dadanya berkocak kencang.
Rasa terkejut, takut dan malu bercampur saat ini. Fikirannya teringatkan
perlakuan Iskandar di dalam bilik sebentar tadi. Hatinya berdoa, janganlah
lelaki itu buat perkara yang sebegitu lagi. Dengan lembut Auni menolak tangan
Iskandar namun pegangan lelaki itu di bahunya semakin kuat.
“Pada yang halal, pegangan aku tiada
salahnya. Bukannya aku memegang pada yang haram. Lebih dari ini pun aku boleh
buat.” Iskandar berbisik.
“Tapi… ada seseorang tu pernah berkata
tak akan ‘menyentuh’ diri saya.” Auni mengingatkan Iskandar tentang
kata-katanya sendiri.
Iskandar ketawa besar. Tangannya
dijatuhkan dari bahu Auni. Dia bergerak ke belakang Auni.
“Tadi bukannya menyentuh tapi hanya
mencuit,” bisiknya ke telinga Auni.
“Ini juga mencuit.” Iskandar memegang
pinggang Auni dengan kedua tangannya.
Auni terjerit kecil. Terkejut tetapi
pantas mulutnya ditutup dengan kedua belah tangan kasar Iskandar dari belakang.
Auni segera berpusing. Matanya bulat memandang Iskandar. Hatinya sakit dengan
perlakuan Iskandar. Bukan menyentuh? Istilah itu dikatakan bukan menyentuh?
Hanya mencuit? Siapa agaknya cikgu yang mengajar lelaki itu Bahasa Melayu dulu?
Atau lelaki itu sebenarnya tidur ketika belajar dulu?
Iskandar tersenyum sinis. “Kau tak layak
untuk menerima sentuhan aku.”
Tiba-tiba tanpa dapat Auni menahan,
Iskandar merendahkan kepalanya dan menepek lembut bibirnya ke bibir Auni.
“Ini juga mencuit.” Iskandar tersenyum
dengan killer smilenya.
Lelaki itu kemudiannya berlalu dari situ
dengan kenyitan sekilas di mata kanannya dan ibu jari menyapu sedikit bibirnya.
Tangannya dilambaikan tanpa dia berpaling memandang Auni yang terpaku dan
terkedu.
‘Itu juga sentuhan. Bukannya mencuit.
Kalau aku tidak layak menerima sentuhan kau, jangankan menyentuh…. mencuit pun
jangan,’ Auni berbisik dengan dirinya sendiri. Dia sedaya upaya menahan rasa
yang pelbagai. Sebak, sayu, dan hiba. Namun dia masih pertahankan air matanya
dari menitis. Dia tahu dia harus tabah dalam menghadapi lelaki seperti
Iskandar. Lelaki yang punyai ego yang tinggi dan sentiasa mahu menjadi juara.
##########
“Dah beritahu Auni?” Mak Zah bertanya
sebaik sahaja Iskandar keluar dari dalam dapur.
Hanya anggukan yang Iskandar berikan
sebagai jawapan.
“Mak Zah…. Is nak keluar dah ni.”
Iskandar memberitahu sambil kakinya melangkah.
“Kejap… kejap… kejap…. Mak Zah ni kurang
percaya sikit. Betul ke dah beritahu Auni?” menyoal lagi.
“Dahlah Mak Zah…. Is dah beritahu tadi
kat dapur. Sejak bila pulak Mak Zah tak percayakan Is ni?” pelik dengan
perubahan Mak Zah.
“Mulai sekarang…. Auni! Auni!” Mak Zah
memanggil Auni.
Tergesa-gesa Auni keluar dari dapur
sambil mengesat tangannya dengan tuala kecil. Dahinya berkerut melihat Iskandar
masih ada di situ. ‘Apahal pulak ni?’ Auni sedikit cuak. Takut juga dia melihat
pandangan tajam Iskandar. Cepat-cepat dia memandang Mak Zah.
“Ada apa Mak Zah?” cepat Auni bertanya.
Bimbang.
“Ada tak tadi si Is ni minta izin nak
keluar?”
Mata Auni yang tadinya terarah pada Mak
Zah beralih pula memandang Iskandar. Lelaki itu berdiri tegap dengan memeluk dirinya
dan senyuman sengetnya dilemparkan kepada Auni yang sedikit kebingungan. ‘Ada
ke tadi dia minta izin?’ Auni cuba mengingat.
“Ada tadi… kan Cinta?” Iskandar
menghampiri.
Auni tidak menjawab. Dia betul-betul
kebingungan dan sedikit tidak selesa dengan Iskandar yang semakin menghampiri
dan berdiri betul-betul di hadapannya.
“Tadi… abang dah minta izin… kan?” wah!
Lembut dan lunak suara Iskandar tika ini namun matanya tajam memandang Auni.
Auni mengangguk laju-laju. Bimbang dan
sedikit takut dengan tindakan Iskandar yang biasanya tiba-tiba jikalau dia
tidak mengiyakan pertanyaan tadi. Namun nafasnya kembali sesak, lelaki itu
secara tiba-tiba merendahkan kepalanya dan dengan spontan mencium lembut dahi
Auni. Ya, lelaki yang selalu dengan tindakan spontannya. Tanpa sempat dan dapat
dihalang. Muka Auni memerah. Malu kerana perbuatan spontan Iskandar menjadi
tontonan Mak Zah. Agaknya lelaki itu betul-betul tiada perasaan malu dan segan.
“Abang keluar sekejap. Jangan tunggu,
tidurlah kalau mengantuk.” Iskandar memberitahu Auni dan tersenyum kacak
seperti selalu.
“Is keluar dulu Mak Zah.” Iskandar
memberitahu Mak Zah pula.
“Yalah tu… jangan balik lambat sangat.
Ingatlah diri tu dah jadi suami orang.” Mak Zah mengingatkan Iskandar.
Iskandar senyum dan menunjukkan isyarat
ok dengan jarinya. Dia keluar dari ruang makan keluarga dengan tergesa-gesa.
Kelihatan juga jam di tangan dibeleknya. Mungkin dia benar-benar sudah
terlambat dengan janji yang telah dibuat.
##########
“Iskandar memang macam tu. Masa
kecik-kecik dulu, selalu juga dia cium pipi dan dahi Mak Zah ni. Itu adalah
cara dia menunjukkan dia sayangkan kita. Dia sayangkan Auni tu… tu yang
diciumnya tadi. Auni jangan malulah dengan Mak Zah.” Mak Zah bercerita tentang
Iskandar.
“Sekarang… Is buat lagi tak macam tu Mak
Zah?”
“Hiss, Auni ni! Mana boleh. Mak Zahkan
tiada hubungan darah dengan dia. Walaupun dah tua, Mak Zah ni tetap bukan
mahram dia.”
Auni ketawa kecil. “Maaflah Mak Zah.
Saya terlupa. Emm…. Mak Zah ni bukan dah tua, cuma semakin bertambah usia.”
Auni memeluk lengan Mak Zah.
Mak Zah turut ketawa..“Apa-apa jelah
Auni ni.”
“Saya pun sayangkan Mak Zah. Mak Zah
baik macam arwah ibu saya.” Auni makin kuat memeluk lengan Mak Zah. Terasa
hangat seperti lengan arwah ibunya.
“Mak Zah boleh cerita sikit tak pasal
Is? Sebenarnya banyak yang saya tak tahu pasal Is.” Auni cuba mengorek cerita
tentang diri Iskandar.
“Is tu sebenarnya bukan anak tunggal.”
“Betul ke mak Zah? Saya ingatkan dia
anak dan cucu tunggal Dato’ Hasyim.”
“Dia anak ketiga. Orang kata anak ketiga
ni jatuh kepada unsur api. Baran dan panas sentiasa. Auni anak keduakan? Jatuh
kepada unsur air. Memang padan sebenarnya kamu berdua. Sorang api, nak membakar
je sifatnya dan sorang air, memadamkan kemarakkan api. Tapi kita sebagai orang
Islam tak boleh percaya seratus peratus tentang perkara sebegitu. Kalau
dijadikan rujukan tu boleh.” Mak Zah memulakan mukadimah.
“Is ada seorang kakak dan abang tetapi
mereka meninggal sebaik dilahirkan. Dia juga ada adik perempuan, Issabella
Zulaikha tetapi semasa usianya 14 tahun, dia kemalangan. Begitu juga dengan mak
ayah Is… mereka bertiga meninggal dalam kemalangan yang sama. Ketika itu mereka
sedang bercuti di Kanada sempena cuti penggal kedua sekolah. Is tak ikut sama
sebab dia terlibat dengan latihan hoki, wakil negeri.”
“Masa tu umur Is berapa tahun?”
“Kalau tak silap Mak Zah…. Is dalam
tingkatan 5. Disebabkan kemalangan tu, Is tak dapat tumpukan pelajarannya dan
keputusan SPM dia tak berapa baik. Sebab tu dia masuk tingkatan 6. Emm… mujur
juga dia masuk tingkatan 6.”
“Kenapa Mak Zah? Kenapa pula mujur dia
masuk tingkatan 6?”
“Yalah… kalau dia tak masuk tingkatan 6,
dia tak jumpalah dengan Auni…. kan?”
Auni ketawa kecil. “Apa-apa jelah Mak
Zah ni.”
“Nak sambung lagi tak ni?” Mak Zah
bertanya.
“Naklah Mak Zah.”
“Auni tahu Dato’ tu bangsa apa
sebenarnya?”
“Eh! Kenapa Mak Zah tanya macam tu? Atuk
bukan Melayu ke?”
Kali ini giliran Mak Zah pula ketawa.
“Auni… Auni…. polos sangat. Dato’ tu dari campuran orang Cina dan India.
Ayahnya Cina dan maknya India. Mungkin sebab tu rupa dia macam Melayu sikit.
Auni tak perasan, mata dia sepet sikit?”
Cepat-cepat Auni menggelengkan
kepalanya. Dia sedikit teruja dengan cerita yang Mak Zah ceritakan. Menarik
rupanya salasiah keturunan Iskandar. Patut pun nama Dato’ Hasyim ialah Hasyim
Lee b. Abdullah.
“Auni pernah nampak gambar arwah nenek,
mak dan ayah Is?” Mak Zah bertanya.
“Tak,” jawapan pendek berserta gelengan
lagi.
“Nenek Is, namanya Sharifah Aminah bt.
Syed Mahmood. Sebenarnya campuran Melayu Inggeris. Lawa. Macam perempuan arab
bermata hijau. Rambut dia pula warna coklat. Mak Zah tak pernah tengok lagi
perempuan yang cantik macam arwah nenek Is.”
“Mak Is pula, wanita perancis bermata
biru dan rambut perang. Siti Hanissah Ludwing bt. Abdullah. Cantik dan bergaya.
Emm…Auni dapat tak bayangkan dari mana Is mewarisi rupa dan kekacakan dia?”
“Emm… baru saya tahu Mak Zah kenapa rupa
Is macam tu. Dan mata dia mesti dah bercampur antara nenek dan mak dia.” Auni
terbayangkan mata Iskandar yang berwarna biru kehijauan dan rambut yang
berwarna perang kehitaman. Ingatkan lelaki itu sengaja mewarnakan rambutnya.
“Tapi kenapa masa zaman sekolah dulu
rambut Is berwarna hitam?” Auni teringat zaman sekolah. Memang warna rambut
Iskandar berwarna hitam.
“Sebenarnya warna rambut dia warna apa Mak
Zah?”
“Dia ikut maknya. Rambut mak dia warna perang
tapi Is lebih kepada perang kehitaman. And tulah masa sekolah dulu dia warnakan
jadi hitam pekat. Puas Mak Zah dan Dato’ nasihatkan dia, tak baik merubah
pemberian tuhan. Mujur juga lepas habis sekolah dia tak lagi buat macam tu.”
Auni ketawa. Terbayang di matanya
kenakalan Iskandar zaman persekolahan. Nakal dan perasan. Perasan dirinya
seorang sahaja yang kacak dan bergaya masa itu. Tetapi itulah hakikat
sebenarnya, ketika dulu memang tiada yang dapat menandingi kekacakan dan
ketampanan Iskandar. Sekarang juga begitu. Auni tahu Hanif juga tidak dapat
menandingi Iskandar dari segenap segi tetapi kenapa lelaki itu seperti tidak
pernah ngam dengan Hanif?
Dari dulu dan kini pantang nama Hanif
tersebut, wajah lelaki itu akan berubah seperti menahan marah. Ada ceritakah
disebalik semua itu? Dan sebenarnya ada ceritakah disebalik kata-kata Iskandar,
‘ini adalah permulaan satu permainan.’ Apakah permainannya? Siapakah
permainnya? Apakah taruhannya? Persoalan yang tiada jawapannya.
No comments:
Post a Comment