MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
Bab 3
Perlahan-lahan dikunyahnya coklat di
tangan. Dia memang menyukai coklat tidak kira berjenama apa-apa pun, asalkan
yang boleh dan halal dimakan. Dia juga tahu coklat mengandungi antioksida yang
berguna bagi menghalang kanser dan sakit jantung. Coklat juga boleh memperbaiki
‘mood’ yang rosak kerana ia mampu meningkatkan hormone serotin dalam otak. Ya, seperti dia sekarang. ‘Mood’nya
memang tidak baik sekarang tetapi dia tetap menggagahkan diri supaya bertenang
dan bersyukur.
Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana
dia masih dapat melihat sinar mentari pagi hari ini. Bersyukur kerana dia masih
mempunyai iman yang kuat bagi menempuh setiap dugaan hidup sepanjang dia
bernafas di muka bumi ini. Segalanya, semuanya, syukur Alhamdulillah… Auni mahu
tenang setenangnya di dalam dirinya sendiri. Dia mahu tenang di dalam hidupnya.
Namun mampukah dia bertenang?
Kebisingan orang ramai yang lalu-lalang
di depannya di rasakan sunyi sepi. Sesepi hatinya kini. Hatinya sedikit sebak.
Otaknya ligat memikir, agaknya siapa lagi yang boleh membantunya. Dia sedar dia
tidak ramai kenalan di daerah itu. Dengan duit di tangan yang cukup-cukup
tambang bas sahaja agaknya ke mana hala tujuannya tika ini?
Balik ke rumah sewanya di Kuala Lumpur
ataupun kembali semula ke rumah pusaka ayahnya? Jika balik semula ke negeri kelahirannya,
dia harus mengadap Makcik Ana, ibu tirinya. Masih tergirang-girang di
telingannya kata-kata Makcik Ana 2 minggu yang lalu.
“Kalau aku kata kau mesti kawen dengan
Borhan, kau mesti kahwin! Aku tak sanggup dah nak tanggung sekolah kau tu, kawen
je senang! Dah besar panjang nak duduk goyang kaki lagi… sekolah-sekolah tu buang
masa dan duit je!” bebel Makcik Ana sambil jari telunjuknya menujah-nujah
kepala Auni.
“Tapi makcik, pengajian saya tinggal
satu semester saja lagi. Lagipun duit rumah-rumah sewa yang arwah ayah
tinggalkan, kan ada? Selama ni pun dengan duit tu juga yang ayah gunakan untuk
perbelanjaan pengajian saya dan abang.” Auni cuba membela nasibnya.
Muka makcik Ana memerah dan tanpa kata
tangannya melekat di pipi kiri Auni.
“Hey, budak tak sedar dek untung!
Duit-duit tu dah jadi kepunyaan aku sekarang! Jangan harap sesen pun aku nak
beri kat kau! Masuk bilik, esok pagi-pagi kita pergi pejabat kadi, kau nikah
dengan Borhan. Borang-borang dan segala urusan untuk nikah, aku dah selesaikan
sebelum kau balik cuti lagi. Tak payah belajar lagi, kau jadi bini sudah!”
Emm… itulah cerita 2 minggu yang lalu,
dengan tekad malam itu tanpa pengetahuan Makcik Ananya, Auni keluar dari rumah
arwah ayah dan ibunya. Rumah yang pernah menjadi saksi kebahagiaan hidupnya
bersama ayah, ibu dan abangnya ketika dulu. Itu cerita dulu. Dan ketika arwah
ayah mengambil keputusan mengawini sepupunya sendiri, Auni di bawa tinggal
bersama abang dan kakak iparnya.
Ketika itulah Auni bersekolah di Sekolah
Menengah Sultan Abu Bakar, Kuantan Pahang. Dia bahagia seketika, Jauh dari ibu
tiri yang sentiasa mencari kesalahannya dan sentiasa merajuk supaya arwah ayah
mengikut telunjuknya. Tahun pertama Auni berada di universiti, abang dan kakak
ipar terlibat dengan kemalangan yang telah meragut nyawa keduanya. Mereka pergi
tanpa mempunyai zuriat.
Walaupun dia kehilangan abang tetapi
ayahnya masih ada, dengan pertengkaran yang agak besar antara ayah dan Makcik
Ana, Auni masih belajar di universiti. Mujur arwah ayahnya tidak mengikut kata
Makcik Ana yang mahukan Auni berhenti belajar tetapi kini, Auni pasrah. Ayah tercinta
meninggalkannya 2 minggu yang lepas dan kembali kepada pencipta-Nya manakala
Makcik Ana pula menjadi ‘raja’. Raja yang menjadi pemerintah. Raja yang kejam
dan zalim.
“Kakak…” tiba-tiba satu suara halus
memanggil Auni.
Auni berpaling ke sisi. Tersenyum seraut
wajah yang nampak lembut. Auni membalas senyuman ikhlas itu. Keikhlasan wajar
dibalas dengan keikhlasan. Seorang gadis manis ralit memandang Auni. Di sisi
gadis kecil itu terdapat sebuah beg pakaian bersaiz sederhana besar dan di
belakangnya pula tersandang backpack berwarna
pink.
“Kakak sedih ke?” pertanyaan yang begitu
polos.
Auni tersenyum lagi. “Taklah dik, mata
kakak masuk habuk,” dalih Auni.
“Emmm… banyak sangat ke habuk tu?” soal
si gadis itu lagi.
Auni tergelak kecil. Kata-kata gadis
kecil itu bersahaja namun penuh ceria.
“Ahahhh, banyak betul habuk yang masuk
ni dik.”
“Saya Sufura Nabila. Panggil saja saya
Sue. Kakak nama apa?” Sufura memperkenalkan dirinya.
“Kakak Auni Nur Amirah. Panggil saja Kak
Auni,” tangan dihulurkan tanda perkenalan antara kedua orang gadis.
Auni sempat meneliti raut wajah dan
keterampilan Sufura. Gadis yang manis dan pandai bergaya. Tudung merahnya
cantik terletak di atas kepala. Skirt labuh juga berwarna merah dipadankan
dengan blouse berwarna putih, cukup
sesuai untuk gadis itu. Aura gadis terpelajar dan agak berada jelas kelihatan.
“Ini baru kali pertama Sue naik bas. Nervous jugak ye?” Sufura ramah
bertanya. Dia tidak langsung rasa kekok dengan orang asing.
“Kakak pun macam tu jugak dulu. Takpe
nanti lama-lama awak biasalah.” Auni mententeramkan Sufura.
“By
the way, this is my card. Kak Auni call
laa Sue bila ada masa atau kalau ke Nilai.” Sekeping kad dihulurkan Sufura.
Auni mengambilnya dan membaca nama serta
alamat.
“Kak Auni… Sue nak pergi dah ni. Sudah
ada announcement tentang bas Sue. And nice to meet you, Kak Auni. Harap
kita dapat jumpa lagi nanti.” Sufura begitu ramah sekali.
Perkenalan yang sungguh singkat. Namun
keramahan si gadis kecil masuk ke dalam hati Auni. Alangkah beruntungnya kedua
ibu bapa Sue punyai anak gadis yang begitu beradap dan sopan. Auni tersenyum
sedikit. Dalam hatinya terdetik sesuatu. Alangkah eloknya jika dia punyai
seorang adik seperti Sue. Kad di tangan disimpannya elok-elok dalam beg sandang
yang semakin lusuh dipangkuannya.
Auni keseorangan kembali. Tanpa teman
bicara. Kesibukan dan kebisingan suasana di stesen bas itu kian memudar dari
santapan mata dan telinganya. Dia kembali menghuni kesunyian. Sunyi dalam
dunianya tersendiri. Fikirannya terus merewang mengingati setiap perjalanannya
dari awal hinggalah sekarang. Sehingga dia tercampak sekali lagi di stesen bas
yang penuh asap dan sesak dengan manusia. Di mana masing-masing dengan urusan
sendiri. Jarang yang peduli apa yang manusia lain lakukan.
Perlahan-lahan dikesatnya air mata yang
begitu pemurah sejak akhir-akhir ini. Sesekali ada mata yang memandangnya tapi
tidak dihiraukannya. Biarlah apa yang orang lain kata terhadapnya, mereka tidak
tahu apa masalahnya yang sebenar. ‘Ah, air hidung pula yang mengalir sama,’
desir hati Auni.
Diseluknya kocek baju kurung yang dipakainya.
‘Mana pula sapu tangan ni? Dalam ‘darurat’ boleh pula menghilangkan diri yang
sedia kecik tu.’ Auni cuba mencari dalam beg sandangnya pula. Tiada. ‘Habislah
muka aku yang sedia comot ni, emm… nak buat macam mana? Air mata + air hidung =
Amadung! La macam bunyi tajuk lagu la pulak, tak pun macam bahasa korea kot.
Emm… ada ke bahasa korea bunyi macam tu?’
“Nah, kesat muka kau!”
Sapu tangan berbau wangi dan bercorak
abstrak dihulurkan seseorang. Cepat Auni mengambilnya lalu mengesat segala
air-air dimukanya. Mujur juga ada yang prihatin dengan perempuan yang comot
macamnya. Mujur juga ada yang simpati dengannya.
“Terima ka…” ucapan Auni terhenti,
matanya bulat memandang insan prihatin yang berdiri di hadapannya. ‘Iskandar?
Buat apa kat sini?’
“Awak buat apa kat sini Is? Nak tengok
saya menangis ke nak tengok saya dah betul-betul pergi?” matanya masih bulat
memandang lelaki itu.
“Auni, cara macam ni tak dapat
selesaikan apa-apa pun.”
Auni mengerutkan dahinya. “Cara apa?
Selesaikan apa?” dia betul-betul tak faham apa yang lelaki itu maksudkan.
‘Bukankah tadi aku dah beritahu Atuk Hasyim yang aku mahu balik?’ hatinya
berbisik.
“Kau tu! Jangan lari dari masalah!!”
“Tapi saya tak lari la… saya cuma nak
balik. Tu aje…”
Iskandar memandang tajam gadis di
hadapannya. ‘Tak lari? Nak balik? Menangis keluar air mata dan airrrr…. tu
apa?’ Dia terasa ingin ketawa melihat wajah yang sah-sah cuba menafikan
tekaannya tadi.
Iskandar mengukir senyumannya. Senyuman yang
selalu dilemparkan kepada sesiapa pun. Dia ialah lelaki yang mudah tersenyum.
Lelaki yang kaya dengan sifat yang mudah mesra. Lelaki yang sentiasa manis
dengan perwatakan.
“Kau nak balik mana? Biar aku tolong
hantarkan. Balik ke pangkuan Borhan dan Makcik Ana atau balik ke rumah sewa kau
yang sah-sah berkunci dan kunci tu pula pada kawan kau dan kau terpaksa pulak
cerita kat dia yang kau terpaksa lari dari rumah coz makcik kau paksa kau kahwin dengan anak sedara dia dan….”
“Ok,
stop… stop…!!” Auni bangun dari
duduknya. Matanya tajam memandang Iskandar yang sudah tersengih macam kerang
busuk. Agaknya kerang yang busuk pun iri hati dengan kebusukan sengihan
Iskandar. Emm… siapa tahukan?
“Banyak la awak punya paksa dan
terpaksa. Saya dah beritahu Atuk Hisyam la.” Auni geram dan dia memberitahu perkara yang benar.
“Saya nak balik dan Atuk mengizinkannya.
Tiada apa-apa yang saya sorokkan daripada sesiapa pun. Apa pula kena-mengena
denagn saya nak lari pula. Dan kalau saya nak lari pun, sedari tadi dah saya
sudah pergi dari daerah ni. Nonsense.” Hati Auni sedikit cuak dengan
Iskandar. Lelaki yang sukar difahaminya.
“Betul ke?” Iskandar menyoal sambil
mengecilkan matanya. Tangan kirinya meraup rambutnya ke belakang manakala
tangan kanannya diselukkan ke dalam kocek seluar jeans. Habit yang biasa dilakukannya tanpa sedar. Namun itu bagaikan daya
penarik lelaki itu.
“Apa pula tak betulnya. Ingat saya tipu
ke? Tak percaya? Saya pun sebenarnya tak minta Is percaya dengan kata-kata
saya. Cukup sekadar faham. Itu sahaja. Emm…” Sedikit sedih dengan pertanyaan
Iskandar, Auni pantas menjawab.
Auni mengambil beg sandang dan beg
pakaiannya, dia memandang kembali ke arah sahabat yang telah banyak
membantunya. Kawan yang tidak pernah mempersoalkan keadaannya yang seperti
laying-layang terputus tali. Namun berusaha menjadi tali penyambung untuk sang
layang-layang.
“Emm… oklah Encik Iskandar, saya nak
balik dan nak beli tiket bas, so… terima
kasih di atas layanan baik selama saya di rumah Is dan terima kasih kerana
telah membantu anak yatim yang di dalam kesusahan ini. Moga Allah SWT sahaja
yang mampu membalasnya. Mungkin juga suatu hari nanti saya boleh membalasnya.
InsyaAllah jika di izinkan-Nya.” Auni senyum memandang Iskandar. Dan amat
berharap senyumannya dapat membayar kebaikan Iskandar. Walaupun nampak bayaran
itu tidak berbaloi. Itu adalah lebih baik dari tiada apa-apa langsung sebagai
balasan.
Kakinya melangkah meninggalkan Iskandar
yang kelihatan keliru. Dia mula merewang cuba memikirkan ke manakah arah
tujuannya sementara cuti belum berakhir? Mungkinkah dia patut mencari kerja
sahaja dan mencari bilik sewa? Dan itulah yang sepatutnya dia lakukan semenjak
dua minggu yang lalu. Bukannya menyusahkan orang lain dengan masalah kecilnya.
Sepatutnya dia tidak terlalu bergantung dengan sesiapa pun. Sepatutnya dia
berdikari sendiri. Namun tika terjadi tindakan tergesa-gesanya dua minggu yang
lepas.
Ya, itulah yang sepatutnya dia lakukan
dari dulu lagi. Mencari kerja dan menyewa bilik. Auni sedikit kesal dengan
tindakannya sendiri. Dia seperti tidak dapat berfikir dengan rasional ketika
dia keluar dari rumah arwah ayahnya dulu. Jiwanya lemah ketika itu, hatinya
kacau dan dia telah mencuba menghubungi beberapa sahabat perempuannya yang dia
kenali ketika dia belajar di daerah itu. Dan juga beberapa kawan sesama
universiti.
Kehampaan, kebanyakan mereka telah
bercuti bersama keluarga masing-masing. Yalah, ketika itu musim cuti sekolah
dan cuti semester bagi universiti. Dalam kekacauan minda dan jiwa Auni
teringatkan bussines card yang
diberikan Iskandar. Tanpa berlengah lelaki itu dihubungi dan selang beberapa
minit sahaja Iskandar datang. Datang sebagai penyelamatnya. Datang sebagai
pembelanya. Datang sebagai seorang angel
yang bagaikan jatuh dari langit.
Itulah Iskandar. Adam Iskandar. Lelaki
yang tanpa soalan, tanpa pertanyaan membantunya. Begitu juga penerimaan Atuk
Hasyim, Mak Zah dan suaminya Abang Mie. Mereka semua menerimanya dengan tangan
terbuka. Tanpa soalan. Cuma dengan rasa rendah hati, Auni menceritakan sendiri
apa yang telah terjadi kepadanya. Agar tiada rasa curiga di hati mereka yang
sudi menerimanya. Bagi Auni, kejujuran adalah tunggak utama dalam satu hubungan
sesama manusia.
Mereka semua baik dengannya terutama Mak
Zah yang tidak pernah mempunyai anak. Mak Zah kelihatan begitu menyayanginya.
Dia dianggap anak perempuan yang tidak pernah dimiliki. Tetapi yang paling
memeranjatkannya adalah pernah suatu hari Atuk Hasyim menyuruhnya supaya
tinggal sahaja di situ selamanya dan menjadi cucu angkat. Perkara yang tidak pernah
terlintas difikiran Auni. Mungkin dalam fikiran sesiapa pun.
Cuma malam tadi, kata-kata Iskandar
telah menyedarkannya dari mimpi indah. Ya, memang tidak manis dilihat jiran
tetangga seorang gadis asing tinggal sebumbung dengan seorang lelaki walaupun
masih ada orang lain di dalam rumah. Ya, dia sepatutnya menjaga maruah Atuk
Hasyim yang cukup dikenali masyarakat dan maruahnya sendiri sebagai seorang
perempuan.
“Auni!!” tiba-tiba hujung lengan bajunya
ditarik.
Auni sedikit tersentak. Dia tersenyum
memandang Iskandar yang kelihatan serba salah. Namun kakinya digagahi dan masih
melangkah. Namun terasa beg pakaian di tangan kanannya diambil manakala tangan
kirinya ditarik kuat oleh lelaki itu. Berkerut dahi Auni. Di pandangnya
Iskandar penuh kegeraman.
“Eh! apa ni Is?” Auni berusaha menarik
kembali tangannya namun semakin kuat Iskandar memegang dan menariknya supaya
mengikut.
Mahu atau tidak Auni terpaksa mengikut
Iskandar. Sakit di tangan tidak sesakit hatinya dengan perlakuan kasar
Iskandar. Sakit di tangan tidak sesakit perasaannya kerana di sentuh lelaki
itu. Beberapa kali Auni cuba melepaskan tangannya namun tidak berjaya. Iskandar
pula semakin laju langkahnya dan sampai di tepi sebuah motorsikal BMW HP4 berwarna
hitam barulah tangan Auni dilepaskanya. Sebuah helmet dihulurkan Iskandar kepada
Auni manakala sebuah lagi disarungkan ke kepalanya sendiri.
“Ki… kita nak ke mana?” Auni kehairanan
dengan tujuan Iskandar menghulurkan helmet kepadanya. Helmet itu hanya dipandang
sahaja tanpa berusaha mengambilnya.
“Mencuba untuk selesaikan masalah kau.”
“Tapi… tapi… naik motor dengan awak?”
“Yupp dan kita akan ke tempat lain, tak pun balik ke
rumah aku sebab sebenarnya Atuk yang
suruh bawa kau balik semula. Dia yang beria-ia meyuruh aku mencari kau.”
“Tak naklah saya. Emm…bye…” Pantas Auni melangkah dan
berlari-lari anak meninggalkan Iskandar yang masih menhulurkan helmet
kepadanya.
“Auni!!!” Jerit Iskandar. Kuat.
Beberapa mata menoleh ke arah Iskandar
dan ada juga yang turut memandang ke arah Auni yang kian menjauh namun itu
seketika sahaja kerana masing-masing kemudiannya membuat hal sendiri. Tiada
istilah ‘jaga tepi kain orang’. Bagi mereka pemandangan begitu biasa sahaja.
Ianya hanya drama antara pasangan lelaki dan perempuan yang bertelagah. Ianya
hanya wayang kehidupan di celah-celah hiruk piruk manusia-manusia yang berada
di dalam isi perut dunia. Segalanya drama dan wayang.
‘Kenapalah gadis yang nampak lemah dan
lembut seperti dia sebenarnya agak keras hati dan kepala ye?’ Iskandar
merungut-rungut dalam hati. Kakinya turut melangkah menyaingi Auni lantas
menarik kuat tangan kanan gadis itu.
“Is… eh! Lepaslah. Hey! Sakitlah!” Auni
menarik-narik tangannya.
Bagaikan tidak mendengar, Iskandar
sengaja dan semakin kuat menarik tangan Auni supaya mengikutnya. Mahu atau
tidak Auni terpaksa mengikut lagi langkah Iskandar. Laju bagaikan sedikit
berlari atau berlari-lari anak namun lskandar nampaknya hanya berjalan sahaja
tapi tidaklah berlenggang. Beberapa kali Auni menjeling Iskandar namun lelaki
itu tidak menoleh sedikit pun ke arahnya. Ego!
Sampai di tepi motosikal, sekali lagi
helmet disuakan kepada Auni namun masih tidak bersambut. Auni mengusap-ngusap
pergelangan tangannya yang sakit. Umpama sakit hatinya dapat jua diusap. Auni
mengusap pergelangan tangannya yang sedikit memerah dipegang Iskandar. Umpama
cuba membuat jauh-jauh kemerahan di kulit putihnya. Iskandar sudah menyarungkan
helmet dikepalanya.
“Pakailah!” Iskandar menyuakan lagi
helmet di tangan.
Sekali lagi Auni bergerak. Kali ini
lebih pantas. Dia berlari-lari anak meninggalkan lelaki yang masih menyuakan
helmet. Jantung Auni laju selaju langkahnya. Moga cepatlah dia bersembunyi dari
lelaki yang bernama Iskandar.
“Aaaaa…” Auni terjerit kecil. Tudungnya
ditarik dari belakang.
Iskandar sudah tersengih tanda
kemenangan. Keningnya terjongkit. Cepat Auni merentap hujung tudung yang
ditarik. Dalam keterpaksaan, Auni melangkah mengekori Iskandar kerana dia tahu
lelaki itu pasti dalam juga mencarinya jikalau dia berhasrat lari lagi. Langkah
lemah itu terhenti di tepi motorbike
kepunyaan Iskandar. Jentera itu kelihatan gah. Serupa dengan tuan yang
empunyanya. Gah dan megah. Memang padan keduanya.
“Pakai…” Helmet masih disuakan seperti
tadi.
Auni masih tidak menyambutnya dan
memandang kosong ke hadapan. ‘Macam mana nak naik motor tinggi ni? Aku bukannya
pernah naik spesis motor yang tinggi-tinggi macam ni dannn… dengan lelaki lain
pulak tu,’ Auni mengomel-ngomel halus. Yalah, sepanjang hidupnya cuma dua
lelaki sahaja yang dia sanggup bonceng motor iaitu Abah dan abangnya. Tiada
yang lain. Muktamad.
Geram dengan kebisuan Auni, Iskandar
terus menyarungkan helmet di tangannya ke kepala Auni dan mengetatkan talinya.
Dia sedikit tersenyum melihat Auni bagaikan tersentak dengan perlakuan
bersahajanya. ‘Itulah bisu sangat, biar dia terkejut dengan keromeoan aku,’
Iskandar tersenyum lagi, mempamerkan senyuman cantiknya.
Enjin dihidupkan. Iskandar menunggu. Mahu tak
mahu Auni memanjat motorsikal besar itu. Dia sedikit janggal sebenarnya, dengan
berbaju kurung dan kain yang terpaksa diangkat sedikit. Hanya tuhan yang tahu
perasaannya ketika itu. Malu dan terasa dimalukan. Ini memang betul-betul salah
Iskandar. Dalam banyak-banyak kereta yang tersadai di rumahnya itu, mengapalah
motor besar ini yang dibawanya tika ini.
Auni menjarakkan sedikit tubuhnya dari
menyentuh Iskandar namun hujung jaket hitam yang dipakai Iskandar dipegangnya.
Kuat sekuat-kuatnya. Bukannya apa, bimbang dia akan terjatuh. Siapa yang susah?
Diri sendirilah yang susah. Tidak pasal-pasal pula nanti keluar berita dalam
akhbar ‘seorang gadis mati terjatuh motor besar sebab tidak mahu memegang jaket
hitam berkilat disebabkan dia malu dan segan.’ Hai, tidak ke sadis tragedi
hidupnya! Seorang gadis yatim piatu yang mempunyai nasib malang yang
bertimpa-timpa.
Umpamanya ditimpa tangga. Namun tangga
yang menimpanya adalah tangga batu. Berketul-ketul jatuh menghempap.
Memusnahkan dan menghancurkan. Jika untung nasibnya masih baik. Dicari orang,
masih terbentuk jasadnya. Jika tidak, hanya cebisan yang terlihat. Dan dia pula
roh yang berlegar-legar. Terawang-awang hanya mampu melihat tubuh yang sudah
hancur termamah tangga batu.
Angin bertiup laju. Menderu-deru
bunyinya bersama bunyi deruan motor yang dinaiki Auni. Laju selaju degupan
jantungnya. Auni memegang dada kirinya. Di situ terasa sesuatu yang dia tidak
tahu apa. Kelajuan motorsikal yang ditunggang Iskandar makin melaju dan Auni
makin memegang erat hujung jaket kulit Iskandar.
‘Ya Allah, lindungilah hamba-Mu yang dalam
kesusahan ini. Lindungilah hamba-Mu yang dalam ketakutan sebab motor laju
sangat. Aamiiin,’ doa Auni dalam hati. Jaket Iskandar makin ditarik banyak dan
kuat. Inilah kali pertama dan terakhir rasanya dia akan menaiki motor dengan
Encik Iskandar yang perasan dirinya handsome
bangat. InsyaAllah.
##########
Iskandar makin menambahkan kelajuan
motorsikalnya. Segaja. Hatinya ketawa kuat. Dia tahu Auni kurang selesa menaiki
motorsikal dengannya. Sifat pemalu gadis itu nampaknya sukar dikikis daripada
dirinya. Iskandar perasan dari zaman sekolah lagi Auni kurang bercampur atau
berbual dengan pelajar lelaki. Cuma ada seorang sahaja pelajar lelaki yang
dilihatnya sering mendampingi Auni. Seorang telah ditaruh dendam kepadanya
sampai mati. Engku Hanif, nama yang telah menjadi musuhnya secara senyap.
‘Hanif… kebahagiaan kutelah kau ragut
bertahun dulu. Bagaimana agaknya jika kebahagiaan kau, aku pula meragutnya.
Syarikat milik keluarga kau yang hampir muflis adalah menjadi tanda pertamanya.
Sekarang bagaimana dengan hati dan perasaan kau?’
Angin kuat menyapa lalu tubuh Iskandar.
Sekuat tekadnya kini. Dia pasti suatu hari nanti segalanya akan tenang dalam
hati dan jiwanya. Dia juga pasti rasa sakit hati dan dendamnya akan terlerai
juga suatu hari nanti. Tetapi yang dia pasti sekarang segalanya mesti sempurna.
Tiada cacat celanya. Segalanya mesti berjaya. Tanpa ada satu pun yang
tertinggal dan ditinggalkan. Ya, segalanya. Semuanya. Bila? Bagaimana? Dia
sendiri tidak tahu dan pasti bila dan bagaimana.
Namun Iskandar percaya pasti ada jalan
untuk dia membalas segala perbuatan dan perlakuan Hanif terhadap dirinya dulu.
Rahsia yang menjadi rahsia hidupnya. Rahsia yang telah dibawa hingga ke akhir
hayat seseorang. Rahsia yang selama ini telah memakan halus dirinya. ‘Tenanglah
dikau duhai sayangku… abang akan membalas segala kesusahan kau dulu dengan
sesuatu yang tidak terjangka.’
No comments:
Post a Comment