Friday 14 December 2018

BAB 3 - CINTA MKS2



“K
AK AUNI," bisik Sufura.
Mulut Sufura rapat ke telinga Auni. Dia mahu berbisik ‘rahsia’ dengan Auni.
"Ya, laling... ada apa?" Auni yang masih tekun menekan di kalkulator langsung tidak berpaling memandang Sufura. Kerjanya harus disiapkan secepatnya.
"Kak Auni, pandanglah saya... ada hal nak cakap ni."
Sufura yang sudah menegakkan badan, sudah seakan-akan mendesak. Suara pula kedengaran merenget-renget. Dia mahukan perhatian daripada kakak kesayangannya.
Bibir Auni sudah tersenget dengan senyuman. Telatah Sufura amat dia kenal dan faham. Gadis kecil tunangan Anuar itu sememangnya seorang yang manja. Walaupun kini Auni bekerja dengannya, Sufura langsung tidak menunjukkan keegoan seorang bos terhadap pekerja. Mereka rapat seperti kawan dan adik beradik. Sufuralah sebaik-baik bos yang Auni kenali.
“Pandanglah Sue… nak cerita sesuatu ni… teramat penting ni.”
“Kak Auni busylah laling. Nanti bos akak marah kalau salah kira keluar masuk stock barangan kedai.” Auni masih tidak memandang Sufura. Dia makin menumpukan ke arah kalkulator dan sesekali mencatit sesuatu di atas kertas.
“Siapa bos ni, Kak Auni? Alaa, tak sukalah macam tu… nak merajuklah!” Sufura mengugut pula. Muncung mulutnya tiba-tiba dipanjangkan.
Auni ketawa kecil. Auni tahu bila Sufura beritahu dia mahu merajuk… gadis itu boleh merajuk berhari-hari lamanya.
"Eee… buruknya baby bos ni merajuk. Oklah… oklah, bos kecik. Ada apa?"
Jarinya sudah tidak ditarikan ke pemuka alat elektronik kiraan matematik itu. Auni kini menumpu ke arah Sufura. Gadis comel merangkap bos dan juga sahabatnya kini.
Kini barulah Sufura melebar dengan senyuman apabila Auni memberi tumpuan kepadanya.
"Akak perasan tak sejak akhir-akhir ni Abang Iskandar asyik melekat dekat SHE je. Macam tak ada kerja lain. Perasan tak?" Sufura yang masih berbisik, bersungguh menceritakan apa yang bermain dalam kepalanya.
Auni faham apa yang ingin diperkatakan Sufura. Sememangnya sejak hari pertama puasa, Iskandar akan tercongok di kedai mereka. Hari ni pula sudah masuk hari keempat. Namun Auni tergelak kecil dan dia menggeleng. Menyatakan secara isyarat, dia tidak perasankan tentang ‘luar biasanya’ kehadiran Iskandar.
Lelaki yang nampak santai tetapi dengan gaya yang tersendiri, duduk menghadap telefon bimbit di tangan, di sofa pejabat dikerlingnya. Lelaki itu seperti kebiasaannya bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri.
"Ala Kak Auni ni... tu pun tak perasan? Nak tau tak satu perkara?" Mata Sufura bersinar bersama satu senyuman. Kening sudah terjongket-jongket.
"Nak dan tak nak..." Sambil tergelak lebih besar, Auni sengaja mengusik.
"Apa ni Kak Auni. Main-main pulk. Nak ke tak ni?"
"Oklah adik manja. Hah, apa bendanya yang penting sangat? Yang sampai berbisik-bisik ni bagai ni? Dekat sini bukannya ada orang lain pun, kita bertiga dengan bos besar tu je…"
Sufura memuncungkan mulutnya seketika tanda protes dengan usikan Auni. Sesaat kemudian, dia kembali dengan sikap biasa.
"Saya rasa, kan…kan... Kak Auni, kan... Abang Iskandar tu seakan dah jatuh cinta!" Sambil menekup mulutnya mahu lebih perlahan bercerita, Sufura terus sahaja berkata tanpa memikir. Mata pula dibulatkan memandang Auni.
Dan mata Auni turut membulat setelah mendengar tiap patah kata yang terluncur cantik dari mulut Sufura. Seketika kemudian dahinya berkerut. Otak sudah ligat memikir beberapa perkara. ‘Jatuh cinta’, itulah kata-kata keramat yang bermain dalam fikiran Auni. Dengan siapa? Tak mungkin dengan Sufura tapi…
"Dia jatuh cinta dengan Sue ke? Ya Allah..." Dan-dan itu juga persoalan dalam kepala, keluar melalui mulut. Terpejam mata Auni memikirkan perkara yang bakal berlaku. Kenapa begitu jadinya? Dugaan apakah di bulan mulia ini?
Sufura ketawa kuat. Auni mula membuka matanya. Muka kehairanan dia pamerkan.
Iskandar yang tadinya tenang dan damai di sofa, mula berpaling memandang kedua-dua Sufura dan Auni. Dahinya jelas kerutan tanda hati turut tertanya-tanya kenapa dengan dua orang best friend tersebut. Namun ia seketika sahaja. Iskandar kembali menatap telefon bimbit di tangan.

"Syyyy... dia pandanglah tadi. Jangan dia tahu dahlah kita sedang membawang pasal dia." Sufura yang menahan tawanya, cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan.
“Sue tu ketawa kuat sangat.” Auni sempat menjeling seketika Iskandar sebelum menumpu semula ke arah Sufura yang di sisi.
“Akaklah tu buat Sue ketawa. Selalu Kak Auni buat kelakar tau,” balas Sufura dalam bisikan.
“Akak pula… emm Sue…”
“Ya?”
"Serius ke dia jatuh cinta dengan Sue?" soal Auni perlahan. Matanya sesekali menjeling Iskandar yang makin kerap memandang mereka. Hati pula berdebar mendengar kata-kata daripada Sufura.
"Bukan!" Sufura terjerit kecil.
"Mana Sue nak letak Abang Anuar, tunang kesayangan Sue kalau Abang Is jatuh cinta dengan Sue? Eeee… harap-harap mulut Kak Auni tak masinlah." Sufura tergelak-gelak lagi. Tidak dapat dia bayangkan dia berjodoh dengan Iskandar.
Dengan masih tergelak-gelak kecilnya, Sufura mula mencapai kerusi lain dan duduk di sebelah Auni. Dia meletakkan siku lengan kanan di meja Auni dan menongkat dagu. Kepala pula terteleng ke arah Auni. Skill membawangnya dipraktikan seadanya.
“Dah mulalah tu…” Auni seakan faham hint yang Sufura berikan.
“Akak bukannya tak tahu… kalau Sue dah mula tongkat dagu macam tu. Mesti ada banyak perkara yang Sue nak gossip-gosipkan ni…” Auni yang sudah masak dengan perangai Sufura, mula berleter.
“Alaaa… gossip je, ni tahap membawang paling rendah tau. Lagi pun bukan nak gossip orang lain. Kita-kita aje…” Sempat lagi Sufura mengajuk seakan-akan iklan di Astro.
“Kita-kita pun namanya gossip juga tu laling… oklah, akak dengar. Sikit je… Sue nak cakap apa sebenarnya?” Auni yang perasankan air muka kerut yang ditunjukkan Sufura, mula beralah. Dia tidak mahu Sufura merajuk. Susah!
“Abang Is tulah… dia dah jatuh cinta tapi bukan dengan Sue ya…”
"Habis tu, dengan siapa? Mana ada orang lain dekat sini. Takkanlah dengan Zuyyin yang baru lepas SPM tu."
Sufura tepuk dahi. Dia menggeleng sambil tersengih kecil.
"Dengan Kak Aunilah. Siapa lagi. Ni namanya cinta di bulan Ramadhan. Nanti dalam Syawal boleh saya merasa nasi minyak." Terjongket-jongket kening Sufura mengusik.
“Haish, ke situ pulak. Akak dengan dia tak padanlah laling. Dia dahlah orang berada, hansem, tinggi, putih pulak tu. Akak ni entah apalah yang ada… rupa tak ada, harta jauh sekali. Anak yatim piatu pulak tu.”
Walau cuba menyorokkan status diri sebenarnya sebagai seorang isteri kepada Iskandar, kata-kata yang Auni ucapkan sememangnya lahir dari lubuk hatinya. Dia sedar tentang perbezaan taraf dirinya dengan Iskandar. Ia bagai langit dan bumi.  Teringat juga bila baru-baru ni bila dia luahkan tentang perbezaan taraf itu.
“Antara langit dan bumi. Ada penyambungnya, Cinta. Tiada tingginya langit tanpa adanya bumi. Tiada cantiknya bumi tanpa dipayungi langit. Pelangi yang bersinar dan berwarna-warni adalah jambatan dan tali penghubung antara keduanya. Seperti abang dan Cinta, terjadilah kita.”
Ayat dan kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Auni. Perlahan Auni mengukir senyum. Ada sisi lain yang dulu tak ternampak tapi kini kian menyerlah daripada Iskandar. Lelaki yang dulunya dia sendiri kategorikan sebagai ‘bad boy’. Rupanya seorang yang agak romantik dan penuh kejutan. Auni tiba-tiba teringatkan ‘Pelayar Senja’. Dia tidak menyangka betul, Iskandarlah orangnya.
“Kak Auni!” panggil Sufura lembut.
Auni tersenyum-senyum. Pandangannya jauh ke hadapan. Ke waktu-waktu yang dulu. Tika itu Iskandar rupanya sudah romantis dalam caranya tersendiri. Ia terlindung dengan cara kasar dan kata-kata sinis yang lelaki itu lemparkan. Sekarang baru Auni nampak itu semua.
“Kak Auni…” Sufura masih memanggil Auni. Dalam hati sudah kehairanan melihat Auni yang seakan berkhayal.
“Kak Auuuuniiiii!!!”
Jeritan Sufura di telinganya, membuatkan Auni tersentak.
“Sakit telinga akak…” Telinganya digosok-gosok. Auni menjeling marah ke arah Sufura yang hanya tersengih.
“Dah tu… Sue panggil lembut-lembut, Kak Auni tak dengar. Macam berkhayal ya jugak. Kak Auni teringat dan angankan apa? Tersengih-sengih dari tadi. Mujur kalau tersengih dan berangan ni tak batalkan puasa. Kalau tak, Sue rasa dah batal tadi dah puasa Kak Auni…”
Sengaja Sufura mengusik-usik Auni. Dia suka dapat mengusik kakak kesayangan dia itu. Lebih-lebih lagi bila diusik, muka Auni mudah merona merah dan bibir yang suka dikemam menampakkan lesung pipitnya di kedua belah pipi.
"Ehemmm... bulan puasa ni menambah doooooo seeeee juga ke?" Iskandar yang santai memeluk tubuh menyampuk. Tiba-tiba sahaja dia terjongol di depan kedua Sufua dan Auni
"Ehh, Abang Is!" Sufura mengurut dadanya. Terkejut.
"Tak apa, tak apa. Abang ok je, kamu berdua mengata abang pun. And yessss, I’m falling in love with someone. And Sue..."
"Ya, Abang Is..."
"Sampaikan salam rindu-rinduan abang dekat orang sebelah tu. Cakap, abang tak sabar nak bercinta dengan dia..." Iskandar memandang Auni walaupun arahan itu adalah untuk Sufura.
"Sue..."
"Ya, Kak Auni..."
"Beritahu orang depan tu. Ni ke caranya nak mengorat? Kalau bercinta agaknya macam manalah tu?." Auni memandang Iskandar sambil mencebik.
"Arrrggg! Pening Sue..." jerit Sufura tiba-tiba.
“La… kami yang berbalas mesej, Sue yang pening ke?” tanya Iskandar. terjongket-jongket keningnya seakan turut bertanya.
“Mesej apa macam tu. Ni Sue yang jadi mangsa. Posman pun berbayar tau.” Sue menjawab dan bergilir memandang antara Iskandar dan Auni.
“Nanti abang bayarkan tapi Sue kena beritahu orang sebelah tu. Cakap kat dia, I’m waiting for your answer.” Iskandar memandang Auni. Senyuman sengaja diukir selebarnya. Biar gadisnya itu jatuh cinta berkali-kali kepadanya.
“Sue… beritahu lelaki dekat sebelah tu. Kalau nak sangat, kenapa tak bercakap sendiri. Tak beritahu sendiri tentang hati dan perasaan. Kenapa perlukan orang tengah a.k.a posman yang bernama Sufura?” Auni cepat-cepat menjawab. Matanya redup memandang Iskandar.
“Sue… cakap kat orang sebelah…”
Belum sempat Iskandar menghabiskan ayat-ayatnya. Kedengaran jeritan Sufura sambil dia menutup kedua belah telinganya.
“Sue?” Auni menyebut nama Sufura.
“Kena sampuk ke?” Dan Iskandar pula menyoal dengan nada mengusik.
“Arrrggghhh!” jerit Sufura lagi.
Jeritan Sufura untuk kali ketiga itu menyebabkan Auni dan Iskandar ketawa serentak.

BAB 2 - CINTA MKS2



I
SKANDAR memandu tenang. Bibirnya tak lepas mengukir senyuman. Sesekali dijelingnya Auni yang memeluk erat kusyen kecil yang berada di riba.
“Kalau peluk abang macam tu sedap juga, kan…” Sambil-sambil tersenyum lagi Iskandar menuturkan kata. Dalam kepala sudah terbayang Auni memeluknya begitu.
“Dalam kereta ni, susah nak peluk…” balas Auni dengan muka yang sudah merah. Segan dan malu masih menguasai diri.
“Nanti dah sampai rumah sana… maksudnya bolehlah tu?” Iskandar tersengih dengan kening terjongket-jongket.
Auni mula berpaling ke sisi. Wajah Iskandar ditatapnya.
“Kenapa saya rasa abang macam gatal sekarang ni?”
Terus terang Auni memberitahu rasa hatinya. Dahinya berkerut seribu kemudiannya bila mula nampak bibir Iskandar mula terbuka dengan sengihan
“Macam nak rasa suplah, sayang…” Suara Iskandar seakan merayu. Auni dijelingnya lagi dengan jelingan seakan menggoda.
“Nanti kita singgahlah di kedai makan… saya rasa waktu macam ni masih ada kedai-kedai yang buka. Cuma tak pasti pula, sup ada dijual tak. Biasanya masakan panas je ada…” Jam di tangan dibelek Auni sambil mulutnya bersuara.
Sesaat kemudian, ledakan tawa Iskandar memenuhi ruang sempit di dalam kereta. Dia menggeleng beberapa kali. Bila bunyi ketawanya berhenti, bibirnya pula tersenget-senget menahan tawa lain yang cuba menggambil alih.
“Abanggggg…” Auni yang kehairanan hanya dapat menyebut itu sahaja.
“Cinta abang ni memang kadang-kadang naïf tak tentu pasal, kan? Nama je belajar macam-macam dekat U dulu…” Walau masih dengan mulut yang masih mahu ketawa, Iskandar masih mahu bersuara.
“Apa ni? Saya tak fahamlah. Cuba abang beritahu betul-betul. Nak merajuklah macam ni…” Auni makin mengeratkan pelukan pada kusyen kecil tadi. Mukanya sudah masam dengan bibir yang dikemam.
“Comel!” Tercetus perkataan itu daripada Iskandar.
Auni berpaling semula ke arah Iskandar. Mata dikecilkan tanda masih ada pertanyaan di dalam hatinya.
Iskandar ketawa lagi. Kening dijongket-jongket lagi, cuba mengusik isteri tersayang.
“Tu…”
“Apa ni, bang? Saya merajuk betul-betul nanti…” Sengaja pula Auni mengugut walau dia tahu suaminya jenis bagaimana orangnya.
“Tulah… sup abang…”
“Sup?”
“Sup abang yang comel. Mungkin juga sedap rasanya…” Iskandar masih lagi mahu mengusik.
“Abanggggg…”
Bahu Iskandar ditepuk kuat Auni. Kini dia sudah dapat meneka apa maksud suaminya. Dan bunyi tawa Iskandar sekali lagi memenuhi ruang di dalam kereta. Tawa kebahagiaan. Ia telah mengusir derita yang pernah mereka tempuhi. Tawa kegembiraaan. Ia telah mengubat luka yang dulunya mengalirkan darah dan air mata.
Auni dijeling berkali-kali. Dialah gadis. Dialah wanita dan dialah isteri yang bertahun disorok di dalam hati. Disorok disuatu sudut yang tak akan mampu sesiapa pun jumpai. Auni, dialah gadis, wanita dan isteri yang paling cantik jelita dari sudut pandangan mata Iskandar. Nama Adam Iskandar dan Auni Amirah, akan sentiasa diikat dengan simpulan mati sehingga ke akhir hayat mereka.


"KITA cuba bercinta dulu sepanjang Ramadhan ni nanti..."
Terluncur kata-kata itu dari mulut Iskandar. Tika itu mereka sudah di hadapan pintu pagar rumah Auni. Enjin kereta juga masih belum dimatikan. Masing-masing seakan tidak mahu berpisah walau untuk sesaat sekalipun. Namun sebaik Iskandar berkata begitu, Auni membeliakkan matanya. Dahi sudah berkerut. Kata-kata yang langsung tidak difahaminya. Iskandar adalah spesis lelaki yang suka berkata-kata dengan ayat yang terselindung maksudnya. Ada makna yang tersirat dalam yang tersurat.
“Bercinta...” Sekali lagi Iskandar menyebut.
“Saya masih tak faham. Kenapa nak bercinta?”
“Cinta… ok satu perkara abang nak Cinta buat…” Tanpa menjelaskan, Iskandar terus bercakap tentang perkara lain.
“Abang nak saya buat apa?” Auni makin tidak faham dengan Iskandar.
“Hah, yang tulah…”
“Abanggggg… apa ni? Saya tak fahamlah. Ni sudah dua perkara tau, saya tak dapat faham…”
“Lain kali bahasakan diri tu ‘Cinta’ bukannya saya…”
“Tapi saya tak biasalah, bang. Rasa segan pula…” Auni menunduk. Kedua tangannya melagakan kuku ibu jari sesama sendiri. Mukanya sudah pijar membayangkan diri sendiri membahasakan diri ‘Cinta’.
“Tapi abang tak segan pun memanggil Cinta dengan nama Cinta. Cinta, please…” Kini seakan merayu pula Iskandar supaya Auni menurut.
Wajah Iskandar dipandang penuh rasa kasih. Auni mencari keikhlasan pada wajah suaminya. Dan sebetulnya Auni tahu, Iskandarlah seikhlas-ikhlas lelaki yang dia miliki kini. Helaan nafas ditarik panjang. Auni mengangguk tanda setuju dengan panggilan ‘Cinta’ itu.
“Ok, kita bercinta pula ya, Cinta…” Iskandar masih lagi dengan ‘bercinta’nya.
"Apa maksud abang sebenarnya ni? Sa… Cinta masih tak faham."
Iskandar tersenyum bila mendengar Auni membahasakan diri ‘Cinta’.
"Bukankah kita dah bersatu sekarang? Kenapa masih nak cuba bercinta?" Masih dengan lontaran soalan. Auni langsung tidak dapat menangkap maksud Iskandar.
Iskandar ketawa. Keningnya terjongket tinggi.
"Yang tu kita dah rasmikannya, kan? Bercinta saja yang belum..." Iskandar mengusik Auni lagi.
Sebetulnya Iskandar suka melihat wajah Auni yang kemerah-merahan apabila malu dan segan mengusai dirinya. Itulah kecantikan Auni yang jelas ketara selain daripada lekukan di kedua belah pipinya. Kecantikan yang dia dapat dakap dan miliki. Dan seperti yang dijangka Iskandar, wajah Auni merah tiba-tiba. Walau di bawah limpahan cahaya lampu di tepi jalan. Wajah itu jelas di mata Iskandar. Merah! Dan ia sangat menarik dan menggoda.
Auni menggigit bibirnya. Keterlanjuran katanya sendiri, maka sendirilah punya rasa segan dan malu itu. Dia menunduk penuh rasa segan. Namun setitis air mata tiba-tiba jatuh. Entah kenapa rasa sebak pula bertandang. Ia hinggap di tangkai hatinya bagai debuan suci yang terbang penuh kelembutan tiba-tiba ke situ. Dan tangkai itu bergentar seperti dipetik suis. Aliran rasa berganti pula dengan rasa cinta yang membara tiba-tiba. Sebak dan bahagia itu seakan berganti-ganti mempamerkan diri. Perlahan Auni mengangguk. Dia faham apa maksud Iskandar. Mereka tidak pernah bercinta walaupun kini rasa cinta itu begitu menyala dan menjulang hebat di jiwa masing-masing.
Beberapa saat berlalu. Auni memanggung kepalanya. Wajah sang suami ditatapnya.
"Baiklah, Cinta setuju... sepanjang Ramadhan ni kita bercinta tapi kena bersyarat..." Air mata disapu perlahan. Auni sudah mengukir senyum.
"Ada syarat juga macam sebelum kahwin dulu ke, Cinta?" Iskandar sengaja mengusik Auni. Cepat tangannya mencuit hidung milik gadis itu.
“Ok, itu syarat yang pertama..." Kali ini giliran Auni pula tersengih. Dia mahu Iskandar bermain permainannya pula. Satu permainan yang adil baginya.
Iskandar menggaru pelipis.
"Syarat-syarat pun belum diumumkan. Ni senarai yang mana ni pula, Cinta? Tiba-tiba syarat pertama muncul. Main tipu ya?" Iskandar pula keliru dengan 'permainan' syarat Auni. Mukanya sudah cemerut.
Auni ketawa kecil melihat perlakuan Iskandar.
"Mencuit! Kita bercinta seperti orang yang belum kahwin. Jadi dilarang mencuit sesuka hati. Boleh?" Bukan Auni tak tahu perangai Iskandar bagaimana. Lelaki itu suka sangat mencuitnya tak kira masa. Kadang-kadang naik rimas Auni dengan cara Iskandar.
"Tapi kan kita dah kahwin? Pun tak boleh ke? Matilah abang macam ni…" Iskandar terasa dia seakan terperangkap dengan mainan 'bercinta' nya. Tubuhnya sengaja dibongkokkan kononnya ‘mati’.
Auni ketawa lagi tetapi cepat dia menggeleng.
"Untuk merasa sebagaimana orang bercinta tu bercinta. Kita buat seperti kita tak ada hubungan apa-apa lagi. Seperti kita belum kahwin. Ok?" Kali ini kening Auni yang naik tinggi. Dia mahu melihat bagaimana Iskandar mahukan 'kisah cinta' mereka berlangsung.
"Oooo...Kkkkkk..." Malas-malas Iskandar menjawab. Rambut diraupnya ke belakang seperti biasa dan muka tidak puas hati yang dipamerkannya.
Auni ketawa lagi. Jika tadinya dia sebak kerana tidak pernah bercinta. Namun kini dia merasakan 'cinta' mereka pasti ceria dan mungkin juga kelakar sepanjang Ramadhan nanti.
“Cinta nak masuk…” Auni memberitahu.
Iskandar angguk. Dia tahu sudah tiba masanya Auni berehat setelah apa yang berlaku hari ini. Sudah beralih hari rupanya, bisik Iskandar bila dia memandang ke papan pemuka kereta. Tanpa disuruh, Iskandar turun dari kereta dan berlari anak ke bahagian Auni.
Pintu kereta dibuka. “My princess…” Iskandar mendepakan tangannya sebelah. Tubuh pula dibongkokkan seakan memberi hormat kepada Auni.
Dan bersama senyuman bahagia, Auni turun. Dia menapak ke pintu pagar setelah Iskandar menutup pintu kereta.
"Heyyyy..." Auni terjerit kecil tiba-tiba.
"Ni sebab belum Ramadhan lagi dan syarat tu belum dicop ya..."
Iskandar yang tiba-tiba memeluk dari belakang, makin kejap memeluk seorang Auni. Isterinya yang halal dunia akirat kini.
"Ada orang main tipulah...." Auni agak terkejut dengan tindakan Iskandar tetapi mengukir senyuman kemudiannya.
“Nanti orang nampaklah, bang…”
“Mana ada orang malam-malam buta macam ni. Kalau ada yang intai kita, abang jolok mata dia dengan jari.” Iskandar masih tidak mahu lepaskan pelukannya.
Kini Auni memusingkan tubuhnya dan terus membalas pelukan seorang Iskandar. Hanya itulah satu-satunya suaminya kini dan selamanya. Kebahagiaan yang menjadi dambaannya dari dulu lagi. Moga sehingga bila-bila pun, mereka akan terus bahagia. Itulah doa Auni di dalam hati.


Cara-cara menempah CINTA (MR KILLER SMILE 2)

Bismillah...

Bulan 10/2018... dengan rasminya akak mendaftar syarikat penerbitan milik akak sendiri.. untuk itu, dengan rasminya juga akak terbitkan novel pertama milik akak dengan tajuk CINTA...

CINTA adalah kesinambungan dari novel MR KILLER SMILE yang telah diterbitkan hujung tahun 2016 dahulu... maka, hero dan heroinnya masih lagi Auni dan Iskandar... tetapi ada penambahan iaitu hero kecik yang bernama LUTH NAUFAL... iaitu anak kepada Auni dan Iskandar...

Bagaimanakah perjalanan hidup mereka bertiga? Tiada badaikah yang melanda ketiga-tiga mereka? Siapa pula yang menerjah masuk ke dalam hidup bahagia mereka? Untuk ketahuinya... cintazzz boleh membeli dan memiliki CINTA MKS2 dengan order daripada akak sendiri.. wasap ataupun dengan hubungi akak di mesegger...




 READY STOCK 
📩 pm akak bila2 masa sahaja di mesegger / wasap 📩
 www.wasap.my/60139926381 - Kak Ruby 

🚴pengeposan -
🚵 setiap hari Ahad, Isnin, Selasa & Rabu..

📑Kombo 2 buku - RM55 (*diskaun rm3-rm5 *belum masuk pos) 
📒Kombo 3 buku - RM88 (freepos) 
📓Kombo 3 buku + 1 zine - RM100 (freepos)

🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷

 🆕 
sedikit TEASER CINTA..

Sebelum berlalu, sempat juga Iskandar hadiahkan satu kucupan di dahi Auni. Tanda bahawa dia tidak pernah berbelah bahagi perasaannya terhadap cinta hatinya dsr dulu, kini dan selamanya.
Auni menghantar pandang Iskandar dengan rasa sebak yang tertahan. Dia tidak kuat! Ya, sampai bila-bila pun dia tak akan kuat bila berhadapan dengan lelaki itu. Lelaki yang telah menguasai seluruh hidupnya, mungkin untuk selama-lamanya. Mungkin!
Kertas A4 yang sentiasa ada di dalam laci, diambil. Pen ligat mencoret dan menconteng tanda hatinya yang berkecamuk sekarang. Sesekali Auni memanggung wajahnya. Mengintai kelibat Iskandar di bilik pejabatnya. Bilik mereka hanya berhadapan sahaja. Berdindingkan kaca, memungkinkan setiap perkara yang dilakukan dapat dilihat.
Dan pandangan matanya jatuh tepat ke wajah Iskandar yang rupanya sedang merenungnya. Seakan terkantoi dengan tindakan sendiri, Auni menunduk kembali dengan mukanya sudah pijar kemerahan.


Ok, next... bab 2 CINTA...

ENJOY 💖💖

BAB 1 - CINTA MKS2



SUDAH TERBIT

CINTA (MR KILLER SMILE 2)





'Lelaki yang membuatkan aku terluka.
Benarkah engkau lelaki itu, Mr Killer Smile?
Namun tak kusangka rupanya luka itulah yang mendamaikan aku Kerana engkau jugalah yang membuatkan aku jatuh cinta..'


D
EGUP larian jantung laju membelah jiwa cintanya. Salahkah mencintai walau tidak dicintai? Auni pasrah dalam takdir yang tersurat buatnya. Kad di tangan dipegang kemas. Tidak sanggup membukanya kerana dia tahu apa yang tertulis.
"Kak Auni? Sue ingatkan kakak dah balik," sapaan daripada Sufura telah menyedarkan Auni.
Tersenyum. Senyum dalam tangisan? Kad tadi disorokkan di belakang badannya. Teringat kata-kata Iskandar supaya menyorokkan perihal kad itu. Amanah orang dipegang betul-betul. Biar nyawa jadi taruhannya. Biar hidup jadi bayangan. Setiap amanah. Setiap janji. Pasti Auni pegang dan simpan.
"Kakak balik lambat sikit hari ni. Nak habiskan bacaan ni..." Tangan diangkat, menunjukkan sebuah buku. Dan Auni masih dengan senyuman yang menyorokkan rasa yang mampu membuatkan dia meraung kesakitan.
Sufura ketawa kecil sambil menggeleng.
"Kak Auni memang kaki buku, kan? Bezanya kita. Sue ni walaupun buka SHE ni tapi sebenarnya sue kurang gemar membaca. Sue lebih suka melukis."
Auni mempamerkan senyuman balas. "Kita memang berbeza Sue. Tapi perbezaan itulah yang merapatkan kita sebenarnya. Tak apalah Sue suka melukis dan kakak suka membaca. Ok jugak akak jaga bahagian buku dan Sue uruskan bahagian art."
"Betul tu Kak Auni." Sufura angguk-angguk kepalanya.
Hampir tidak berkelip Auni memandang Sufura. Cantik. Sufura cantik seadanya. Dengan ketinggian seperti seorang model dan wajah yang sedikit kebudakkan, Sufura begitu cantik.
"Boleh kakak tanya?"
"Apa Kak Auni? Kalau sue boleh jawab, sue jawab.”
Polos jawapan Sufura. Dia memandang tepat ke wajah Auni
"Macam mana hubungan Sue dengan tunang Sue?" Pertanyaan itu tercetus jua daripada mulut Auni. Tangannya menggenggam sesama sendiri.
"Dia?"
"Ahahhh dia."
"Dia....


DALAM kesuraman malam yang seakan segar berjaga. Juga dalam kesamaran lampu jalan, Auni ternampak seorang lelaki yang berdiri membelakangi kereta. Walaupun kurang jelas penampakan namun Auni cukup yakin itu adalah Iskandar. Susuk tubuh dan gaya berdiri itu sudah Auni hafal dalam mindanya. Tanpa banyak berfikir, Auni turun dan melangkah. Dia mahu bersemuka dengan lelaki itu. Lelaki yang telah menjadi halal dengannya.
Iskandar berpaling apabila tersedar dengan kedatangan Auni. “Sudah bangun? Lama jugak kau tidur ya? Letih?”
Auni tidak menjawab dan sebenarnya dia tidak berminat untuk menjawabnya. Ketika ini dia hanya ingin selesaikan segala-galanya. Mahu melepaskan segala beban yang melanda dirinya. Mahu selesaikan segala kemelut yang timbul antara dia dengan Iskandar. Dia tidak mahu lagi bermimpi bagaikan mendakap mentari di terangnya siang walaupun dia pasti dapat menggenggam bulan di gelapnya malam.
Tidak mahu perkara yang sememangnya tidak dapat dimiliki terus dinanti. Tidak mahu perkara yang mustahil terus diangankan. Auni hanya mahu menjejak di dataran yang berlumpur sekalipun daripada melayang menjejak angin yang lalu. Sesuatu yang sudah ditakdirkan bukan miliknya, walau berusaha 1000 tahun lamanya. Tidak mungkin dapat dimilikinya. Itulah yang dia tahu.
“Is ada sesuatu yang mahu diberitahu?” soal Auni.
“Ya…” Jelas suara Iskandar mengiyakan soalan Auni.
Tangan kirinya diseluk ke dalam kocek jeans yang dipakai, manakala tangan kanannya mengelus tengkuk. Matanya terarah kepada Auni yang turut memandang ke arahnya.
“Saya ingin tahu sangat apa yang Is nak cakapkan...” Dalam nada agak sayu Auni bersuara dan dia masih memandang Iskandar. Aura lelaki itu terlalu kuat dan ternyata Auni kalah dalam perasaannya sendiri.
Iskandar tersenyum nipis dan memandang lembut gadis di hadapannya. Gadis yang bertahun disimpan rasa hati. Gadis yang sering menjadi tetamu dalam mimpi indahnya. Gadis yang semakin sukar kini diteka apa yang bermain dalam hatinya. Adakah suka atau duka? Adakah gembira atau kecewa? Sukar! Sesukar mendapatkannya seawal cerita mereka bermula. Sesukar meluahkan rasa hati dulu.
“Abang…” Iskandar menukar panggilan untuk dirinya.
“Abang nak minta maaf di atas segala salah abang sebelum ini.” Melepaskan ego seorang lelaki. Itulah yang Iskandar lalukan kini.
Auni ketawa kecil. “Sejujurnya saya tidak langsung mengharapkan kata-kata maaf daripada Is. Siapalah saya untuk dituntut kemaafan itu. Bukan sesiapa,” ujar Auni dan dia masih ketawa kecil sambil menyapu air yang mulai turun dari birai matanya.
“Cinta, seperti yang abang pernah cakapkan dulu. Hanya Cinta yang abang cintai dari dulu lagi. Sejak kali pertama kenal Cinta. Kasih, sayang, cinta, harapan, impian dan cita-cita. Itulah Cinta di hati abang, di jiwa, di jasad dan di seluruh hidup abang.” Iskandar mula meluahkan rasa hati. Dia sudah tidak pedulikan jatuhkan ego seorang lelaki.
“Dari dulu? Betulkah itu Is? Tapi sayangnya kini Is sudah melupakan semua itu, kan?” soal Auni. Dia tidak mahu berlengah. Dia tidak mahu terus memendam. Dia mahu meluahkan. Segalanya!
Dahi Iskandar berkerut. Dia terpinga-pinga. Tidak faham apakah maksud kata-kata Auni.
“Is tak faham atau pun buat-buat tak faham? Oklah, Is sudah menang sekarang. Permainan yang Is mainkan seawal pernikahan kita sudah sampai penghujungnya sekarang. Saya mengalah! Saya betul-betul mengalah.” Auni mengangkat tangannya seperti orang salah yang menyerah kepada pihak berkuasa.
“Cinta… abang betul-betul tak faham.” Iskandar jujur memberitahu.
Nafas Auni tarik panjang. “Is kata Is cintakan saya. Sayangkan saya tapi dalam masa yang sama Is bakal bersama dengan gadis yang lain. Is bakal kahwin dengan gadis yang lain. Is bakal bersama dengan gadis yang lebih layak menjadi suri hidup Is. Jadi siapalah saya berbanding dia.” Pandangannya mula berkaca. Iskandar dipandangnya dengan rasa yang pelbagai.
Auni menyekat air matanya dari tumpah. Namun air itu masih mengalir tanpa dapat dihalang. Tubir matanya sudah penuh menahan rasa sebak yang menggunung. Hatinya padat dengan rasa itu. Mengembang namun tidak pecah. Membesar di dalam. Rasa itu sarat dengan segalanya. Sarat dengan kata-kata yang ingin diluahkan namun kata-kata itu tersekat.
Iskandar pula hanya diam tanpa bersuara. Dia memandang tanpa suara.
“Saya tahu segala pengakuan saya tidak akan dapat mengubah segala keputusan dan persiapan yang telah dibuat. Saya tahu segalanya telah terlambat untuk kita dan saya rela… saya mahu Is lepaskan ikatan perkahwinan kita nanti.” Air mata masih mengalir. Tanpa esakan kerana suara itu Auni telah simpan kemas bersama rasa hati.
“Apa maksud Cinta? Melepaskan?” Iskandar makin keliru. Perkataan yang dituturkan Auni menggerunkannya.
“Cinta… abang mengahwini Cinta bukan untuk dilepaskan. Abang berkahwin dengan Cinta untuk abang sayangi dan cintai selamanya. Tiada yang terlambat untuk kita. Tiada yang boleh memisahkan kita.” Seakan merayu Iskandar menyatakan rasa hatinya yang tidak pernah padam daripada dirinya.
“Is… abang… maafkan saya. Memang sudah lama saya sayang dan cintakan abang. Namun seawal perkahwinan bagaikan saya sahaja yang berusaha menjadi isteri yang baik tetapi tidak kepada abang. Namun saya memang sudah nampak, di sebalik seyuman keangkuhan yang selalu abang lemparkan kepada saya, masih terlihat rasa rendah diri yang membanggakan hati ini. Di sebalik senyuman sinis abang, saya masih dapat lihat ada cahaya yang menyinari hidup saya.
Dan senyuman membunuh yang abang pamerkan saya pasti ada rasa cinta yang membara suatu hari nanti. Namun kini saya sudah tidak tahu… saya tidak tahu nak cakap apa lagi.” Auni menyapu air mata yang makin laju menuruni pipinya. Rasa sedih yang tertahan sudah tidak mampu menyorokkan dirinya lagi.
Iskandar, seperti tadi terkaku dalam bicara panjang Auni. Tidak pasti adakah dia tersentuh dengan kata-kata itu ataupun hanya mendengar kosong. Hanya pandangannya yang tertumpu ke arah Auni. Dia membiarkan sahaja Auni bersuara. Meluahkan apa yang gadis itu rasa. Biarkan segalanya terluah.
Tiba-tiba Auni melangkah. “Saya nak balik! Hantarkan saya balik.” Berkata sambil kakinya melangkah menuju ke arah kereta.
Iskandar bagaikan tersedar sesuatu. Dia tersentak namun cepat-cepat dia melangkah menyaingi langkah Auni. Gadis itu tidak menoleh langsung di sisi, terus membuka pintu dan masuk ke dalam perut kereta.
“Abang nak tanya satu perkara.” Iskandar menjeling ke sisi setelah dia turut masuk ke dalam perut kereta.
“Apa yang Cinta katakan tadi? Pasal keputusan dan persiapan yang telah abang buat. Apa?” Iskandar bertanya dengan kerutan di dahi. Wajah di sisinya dipandang mesra.
Auni turut berpaling ke sisi. Hairan dengan pertanyaan yang dibuat Iskandar. Nampaknya lelaki itu masih mahu bermain dan mempermainkannya adalah perkara yang seronok bagi lelaki itu rupanya.
“Is sudah lupa atau buat-buat tak ingat?”
“Lupa? Lupa apa?”
Ah, lelaki! Mudahnya melupakan. Adakah segalanya mahu didakap sekali gus?
“Pasal Sufura!”
“Sufura. Kenapa? Lagi beberapa hari dia akan berkahwin,” beritahu Iskandar.
Auni memandang Iskandar.“Macam tu aje? Is langsung tak prihatin. Kesian Su. Agaknya dia tidak tahu perangai sebenar Is bagaimana. Kesian gadis yang baik tu.”
“Stop… stop… stop! Apa yang Cinta cakap ni? Apa pula kena mengena Su dengan kita? Dengan abang?”
Bicara dan pertanyaan Iskandar makin menghairankan Auni. Hati Auni mula cuak. Iskandar sedang bermainkah?
“Bukankah Is bakal berkahwin dengan Sufura beberapa hari lagi? Yang sekarang ni berstatus tunang.” Geram betul Auni dengan sikap Iskandar. Ah, lelaki! Adakah semua lelaki begitu?
Iskandar membulatkan matanya setelah mendengar kata-kata Auni. Suasana tiba-tiba menyepi namun tidak lama kemudian tercetus ledakan tawa daripada Iskandar dalam kereta. Bergema dan membingitkan telinga.
Mata Auni turut membulat dan memandang Iskandar yang sudah tidak terkawal tawanya. Lama baru Iskandar berhenti ketawa namun sesekali terdengar sisa tawa itu berbaki. Dia tersenyum kemudiannya memandang Auni.
“Jadi sekarang ni, Cinta jealous-lah ya?”
Pertanyaan itu mengundang rasa geram di hati Auni. Terasa geram itu lebih lagi tatkala melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. Auni malas menjawab pertanyaan yang dia rasakan sia-sia sahaja. Tiada faedah bagi dirinya.
“Emm… kau memang cemburu.” Akhirnya Iskandar sendiri yang menjawab soalannya sendiri. Jawapan bersama senyuman yang disifatkan Auni, killer smile. Pembunuh hati gadis-gadis. 
“Cinta…” Iskandar memanggil si gadis yang sudah mencuka.
Auni membuang pandang ke luar tingkap. Tiada keinginan di hati menatap wajah lelaki yang sering mempermainkannya. Hatinya terasa ditutup tabir yang tidak mampu rasanya dia sendiri mengalihkannya. Air mata kini bagaikan setia menjadi teman. Hatinya pilu. Jiwanya celaru. Perasaannya sayu. Apalah yang seorang lelaki tahu tentang hati, jiwa dan perasaan seorang perempuan. Tiada apa! Lebih-lebih lagi lelaki seperti Adam Iskandar.
“Cinta… cuba pandang sini.” Iskandar seakan merayu lagi dan lagi.
Hati Auni berkocak lagi. Kocakan yang maha hebat dan sayu. Suara lembut itulah yang sering menjadi igauannya dulu tapi kini baginya sudah tiada makna lagi. Auni mengeraskan hatinya. Dia terasa perlu menjauhi lelaki itu. Lelaki yang bakal milik orang lain. Auni mahu meninggalkan pergi Iskandar bersama sebuah nyanyian sayu dalam hati.
Namun Auni tiada kekuatan untuk pergi lagi. Dia benar-benar mencintai lelaki yang bernama Iskandar. Kini hanya esakan kecil yang dapat Auni luahkan.
Cepat Iskandar merangkul gadis yang kini dalam kedukaan. Kemudian perlahan-lahan Iskandar melepaskan. Memalingkan tubuh Auni. Wajah itu lebat dengan air mata. Iskandar menatap tanpa suara. Dia membiarkan Auni melayani hatinya sendiri sebelum dia meraih gadis itu kembali dalam pelukannya.
“Kenapa Is masih mahu mempermainkan saya? Apa salah saya? Tolonglah Is… please...” Auni yang sudah tenang memulakan bicara. Meluahkan rasa hati. Yang pedih mahu dihapuskannya.
“Abang tak mainkan Cinta. Hanya Cinta yang tak mahu percayakan abang. Segala cinta yang membara dalam jiwa ini hanyalah untuk Cinta. Segala dan semuanya. Abang betul-betul sayang dan cintakan Cinta. Tiada yang bisa mengisi ruang dalam hati ini kecuali Cinta.” Iskandar turut meluahkan rasa hatinya.
“Sufura pula bagaimana?”
“Sufura? Cinta salah faham sebenarnya. Sudah buka dan baca kad undangan ke majlis tu?” soal Iskandar.
Auni menggeleng. “Saya tak sanggup membuka dan membacanya.”
Iskandar menarik nafas panjang dan diikuti dengan tawa kecil darinya.
“Itu yang silapnya. Lain kali cinta manja abang ni jangan serkap jarang sahaja tau.” Jarinya mencuit hidung Auni.
“Sufura tu tunangan Anuar. Mereka berdua yang bakal berkahwin. Dia bukan akan berkahwin dengan abang,” jelas Iskandar sambil tersenyum dengan senyuman yang semakin melebar.
Mulut Auni terbuka sedikit. Terkejut! Wajah di hadapannya dipandang penuh tanda tanya. Benarkah? Persoalan itu berlegar-legar di benaknya. Namun jika dilihat pada riak wajah Iskandar, memang jelas tergambar kebenaran di atas apa yang diucapkan lelaki itu. Auni menundukkan wajahnya. Malu dengan diri sendiri. Malu dengan Iskandar. Mukanya mula merona merah.
Iskandar ketawa kecil. Dia sedar si gadis terasa malu. Segera diraih Auni dalam pelukannya. Gadis yang pasti dan sah menjadi miliknya. Miliknya yang abadi dan seperti yang dijangkanya, Auni tidak lagi menolak tubuhnya malahan si gadis turut membalas pelukan. Kemas.
“Puteriku, kasihku bukan keterpaksaan tetapi kasihku inginku bawa ke syurga bersamamu. Sudikah kau duhai sang puteri?” Iskandar berbisik. Lembut.
Untuk kesekian kalinya. Auni terkejut, pelukan dilepaskan dan memandang wajah. Iskandar hanya tersenyum mempamerkan penarik dirinya dan seperti dia tahu apa yang bermain di fikiran Auni. Menganggukkan kepala. Ya, dialah ‘Pelayar Senja’ lelaki yang sering memberi kata-kata perangsang dan dari jauh sering melindungi Auni setiap masa.
Auni membalas senyuman. Hatinya kembang bahagia. Kini dia bukan sahaja mendapat cinta tetapi juga persahabatan yang tulus.
“Sayangku… kita akan tetap bersama sehingga ke akhirnya. Sehingga nafas terhenti. Sehingga bumi terbelah dua. Sehingga…”
“Abang…” Cepat-cepat Auni memintas ayat-ayat jiwang Iskandar.
Kening sudah terjongkit sebelah. “Kenapa, Cinta?” Iskandar menyoal. Dia tidak puas bermain kata-kata. Jiwanya kini berbunga-bunga. Mungkin kerana Auni adalah baja yang membuatkan hatinya berbunga.
“Macam pelik pulak bila abang menjiwai kata-kata. Seram pun ada…” Auni ketawa kecil.
“Ni memuji ke mengutuk?”
“Dua-dua…” Selamba Auni menjawab begitu. Dia tahu Iskandar tidak akan sampai hati mahu marahkannya.
“Emm…” Dan itulah respon Iskandar. Bibirnya hanya terukir senyuman dan hatinya pula terukir nama Auni.