SUDAH TERBIT
CINTA (MR KILLER SMILE 2)
'Lelaki
yang membuatkan aku terluka.
Benarkah
engkau lelaki itu, Mr Killer Smile?
Namun
tak kusangka rupanya luka itulah yang mendamaikan aku Kerana engkau jugalah
yang membuatkan aku jatuh cinta..'
D
|
EGUP
larian jantung laju membelah jiwa cintanya. Salahkah mencintai walau tidak
dicintai? Auni pasrah dalam takdir yang tersurat buatnya. Kad di tangan
dipegang kemas. Tidak sanggup membukanya kerana dia tahu apa yang tertulis.
"Kak Auni? Sue
ingatkan kakak dah balik," sapaan daripada Sufura telah menyedarkan Auni.
Tersenyum. Senyum dalam
tangisan? Kad tadi disorokkan di belakang badannya. Teringat kata-kata Iskandar
supaya menyorokkan perihal kad itu. Amanah orang dipegang betul-betul. Biar
nyawa jadi taruhannya. Biar hidup jadi bayangan. Setiap amanah. Setiap janji.
Pasti Auni pegang dan simpan.
"Kakak balik lambat
sikit hari ni. Nak habiskan bacaan ni..." Tangan diangkat, menunjukkan
sebuah buku. Dan Auni masih dengan senyuman yang menyorokkan rasa yang mampu
membuatkan dia meraung kesakitan.
Sufura ketawa kecil sambil
menggeleng.
"Kak Auni memang kaki
buku, kan? Bezanya kita. Sue ni walaupun buka SHE ni tapi sebenarnya sue kurang
gemar membaca. Sue lebih suka melukis."
Auni mempamerkan senyuman
balas. "Kita memang berbeza Sue. Tapi perbezaan itulah yang merapatkan
kita sebenarnya. Tak apalah Sue suka melukis dan kakak suka membaca. Ok jugak akak jaga bahagian buku dan Sue
uruskan bahagian art."
"Betul tu Kak
Auni." Sufura angguk-angguk kepalanya.
Hampir tidak berkelip Auni
memandang Sufura. Cantik. Sufura cantik seadanya. Dengan ketinggian seperti
seorang model dan wajah yang sedikit kebudakkan, Sufura begitu cantik.
"Boleh kakak
tanya?"
"Apa Kak Auni? Kalau
sue boleh jawab, sue jawab.”
Polos jawapan Sufura. Dia
memandang tepat ke wajah Auni
"Macam mana hubungan
Sue dengan tunang Sue?" Pertanyaan itu tercetus jua daripada mulut Auni.
Tangannya menggenggam sesama sendiri.
"Dia?"
"Ahahhh dia."
"Dia....
DALAM
kesuraman malam yang seakan segar berjaga. Juga dalam kesamaran lampu jalan,
Auni ternampak seorang lelaki yang berdiri membelakangi kereta. Walaupun kurang
jelas penampakan namun Auni cukup yakin itu adalah Iskandar. Susuk tubuh dan
gaya berdiri itu sudah Auni hafal dalam mindanya. Tanpa banyak berfikir, Auni
turun dan melangkah. Dia mahu bersemuka dengan lelaki itu. Lelaki yang telah
menjadi halal dengannya.
Iskandar berpaling apabila
tersedar dengan kedatangan Auni. “Sudah bangun? Lama jugak kau tidur ya? Letih?”
Auni tidak menjawab dan
sebenarnya dia tidak berminat untuk menjawabnya. Ketika ini dia hanya ingin
selesaikan segala-galanya. Mahu melepaskan segala beban yang melanda dirinya.
Mahu selesaikan segala kemelut yang timbul antara dia dengan Iskandar. Dia
tidak mahu lagi bermimpi bagaikan mendakap mentari di terangnya siang walaupun
dia pasti dapat menggenggam bulan di gelapnya malam.
Tidak mahu perkara yang
sememangnya tidak dapat dimiliki terus dinanti. Tidak mahu perkara yang
mustahil terus diangankan. Auni hanya mahu menjejak di dataran yang berlumpur
sekalipun daripada melayang menjejak angin yang lalu. Sesuatu yang sudah
ditakdirkan bukan miliknya, walau berusaha 1000 tahun lamanya. Tidak mungkin
dapat dimilikinya. Itulah yang dia tahu.
“Is ada sesuatu yang mahu
diberitahu?” soal Auni.
“Ya…” Jelas suara Iskandar
mengiyakan soalan Auni.
Tangan kirinya diseluk ke
dalam kocek jeans yang dipakai, manakala tangan kanannya mengelus tengkuk.
Matanya terarah kepada Auni yang turut memandang ke arahnya.
“Saya ingin tahu sangat
apa yang Is nak cakapkan...” Dalam nada agak sayu Auni bersuara dan dia masih
memandang Iskandar. Aura lelaki itu terlalu kuat dan ternyata Auni kalah dalam
perasaannya sendiri.
Iskandar tersenyum nipis
dan memandang lembut gadis di hadapannya. Gadis yang bertahun disimpan rasa
hati. Gadis yang sering menjadi tetamu dalam mimpi indahnya. Gadis yang semakin
sukar kini diteka apa yang bermain dalam hatinya. Adakah suka atau duka? Adakah
gembira atau kecewa? Sukar! Sesukar mendapatkannya seawal cerita mereka
bermula. Sesukar meluahkan rasa hati dulu.
“Abang…” Iskandar menukar
panggilan untuk dirinya.
“Abang nak minta maaf di
atas segala salah abang sebelum ini.” Melepaskan ego seorang lelaki. Itulah
yang Iskandar lalukan kini.
Auni ketawa kecil.
“Sejujurnya saya tidak langsung mengharapkan kata-kata maaf daripada Is.
Siapalah saya untuk dituntut kemaafan itu. Bukan sesiapa,” ujar Auni dan dia
masih ketawa kecil sambil menyapu air yang mulai turun dari birai matanya.
“Cinta, seperti yang abang
pernah cakapkan dulu. Hanya Cinta yang abang cintai dari dulu lagi. Sejak kali
pertama kenal Cinta. Kasih, sayang, cinta, harapan, impian dan cita-cita.
Itulah Cinta di hati abang, di jiwa, di jasad dan di seluruh hidup abang.”
Iskandar mula meluahkan rasa hati. Dia sudah tidak pedulikan jatuhkan ego
seorang lelaki.
“Dari dulu? Betulkah itu
Is? Tapi sayangnya kini Is sudah melupakan semua itu, kan?” soal Auni. Dia tidak
mahu berlengah. Dia tidak mahu terus memendam. Dia mahu meluahkan. Segalanya!
Dahi Iskandar berkerut.
Dia terpinga-pinga. Tidak faham apakah maksud kata-kata Auni.
“Is tak faham atau pun
buat-buat tak faham? Oklah, Is sudah menang sekarang. Permainan yang Is mainkan
seawal pernikahan kita sudah sampai penghujungnya sekarang. Saya mengalah! Saya
betul-betul mengalah.” Auni mengangkat tangannya seperti orang salah yang
menyerah kepada pihak berkuasa.
“Cinta… abang betul-betul
tak faham.” Iskandar jujur memberitahu.
Nafas Auni tarik panjang.
“Is kata Is cintakan saya. Sayangkan saya tapi dalam masa yang sama Is bakal
bersama dengan gadis yang lain. Is bakal kahwin dengan gadis yang lain. Is
bakal bersama dengan gadis yang lebih layak menjadi suri hidup Is. Jadi
siapalah saya berbanding dia.” Pandangannya mula berkaca. Iskandar dipandangnya
dengan rasa yang pelbagai.
Auni menyekat air matanya
dari tumpah. Namun air itu masih mengalir tanpa dapat dihalang. Tubir matanya
sudah penuh menahan rasa sebak yang menggunung. Hatinya padat dengan rasa itu.
Mengembang namun tidak pecah. Membesar di dalam. Rasa itu sarat dengan
segalanya. Sarat dengan kata-kata yang ingin diluahkan namun kata-kata itu
tersekat.
Iskandar pula hanya diam
tanpa bersuara. Dia memandang tanpa suara.
“Saya tahu segala
pengakuan saya tidak akan dapat mengubah segala keputusan dan persiapan yang
telah dibuat. Saya tahu segalanya telah terlambat untuk kita dan saya rela…
saya mahu Is lepaskan ikatan perkahwinan kita nanti.” Air mata masih mengalir.
Tanpa esakan kerana suara itu Auni telah simpan kemas bersama rasa hati.
“Apa maksud Cinta?
Melepaskan?” Iskandar makin keliru. Perkataan yang dituturkan Auni
menggerunkannya.
“Cinta… abang mengahwini
Cinta bukan untuk dilepaskan. Abang berkahwin dengan Cinta untuk abang sayangi
dan cintai selamanya. Tiada yang terlambat untuk kita. Tiada yang boleh
memisahkan kita.” Seakan merayu Iskandar menyatakan rasa hatinya yang tidak
pernah padam daripada dirinya.
“Is… abang… maafkan saya.
Memang sudah lama saya sayang dan cintakan abang. Namun seawal perkahwinan
bagaikan saya sahaja yang berusaha menjadi isteri yang baik tetapi tidak kepada
abang. Namun saya memang sudah nampak, di sebalik seyuman keangkuhan yang
selalu abang lemparkan kepada saya, masih terlihat rasa rendah diri yang
membanggakan hati ini. Di sebalik senyuman sinis abang, saya masih dapat lihat
ada cahaya yang menyinari hidup saya.
Dan senyuman membunuh yang
abang pamerkan saya pasti ada rasa cinta yang membara suatu hari nanti. Namun
kini saya sudah tidak tahu… saya tidak tahu nak cakap apa lagi.” Auni menyapu
air mata yang makin laju menuruni pipinya. Rasa sedih yang tertahan sudah tidak
mampu menyorokkan dirinya lagi.
Iskandar, seperti tadi
terkaku dalam bicara panjang Auni. Tidak pasti adakah dia tersentuh dengan
kata-kata itu ataupun hanya mendengar kosong. Hanya pandangannya yang tertumpu
ke arah Auni. Dia membiarkan sahaja Auni bersuara. Meluahkan apa yang gadis itu
rasa. Biarkan segalanya terluah.
Tiba-tiba Auni melangkah.
“Saya nak balik! Hantarkan saya balik.” Berkata sambil kakinya melangkah menuju
ke arah kereta.
Iskandar bagaikan tersedar
sesuatu. Dia tersentak namun cepat-cepat dia melangkah menyaingi langkah Auni.
Gadis itu tidak menoleh langsung di sisi, terus membuka pintu dan masuk ke
dalam perut kereta.
“Abang nak tanya satu
perkara.” Iskandar menjeling ke sisi setelah dia turut masuk ke dalam perut
kereta.
“Apa yang Cinta katakan
tadi? Pasal keputusan dan persiapan yang telah abang buat. Apa?” Iskandar
bertanya dengan kerutan di dahi. Wajah di sisinya dipandang mesra.
Auni turut berpaling ke
sisi. Hairan dengan pertanyaan yang dibuat Iskandar. Nampaknya lelaki itu masih
mahu bermain dan mempermainkannya adalah perkara yang seronok bagi lelaki itu
rupanya.
“Is sudah lupa atau buat-buat
tak ingat?”
“Lupa? Lupa apa?”
Ah, lelaki! Mudahnya
melupakan. Adakah segalanya mahu didakap sekali gus?
“Pasal Sufura!”
“Sufura. Kenapa? Lagi
beberapa hari dia akan berkahwin,” beritahu Iskandar.
Auni memandang
Iskandar.“Macam tu aje? Is langsung tak prihatin. Kesian Su. Agaknya dia tidak
tahu perangai sebenar Is bagaimana. Kesian gadis yang baik tu.”
“Stop…
stop… stop! Apa yang Cinta cakap ni? Apa pula kena
mengena Su dengan kita? Dengan abang?”
Bicara dan pertanyaan
Iskandar makin menghairankan Auni. Hati Auni mula cuak. Iskandar sedang
bermainkah?
“Bukankah Is bakal
berkahwin dengan Sufura beberapa hari lagi? Yang sekarang ni berstatus tunang.”
Geram betul Auni dengan sikap Iskandar. Ah, lelaki! Adakah semua lelaki begitu?
Iskandar membulatkan matanya
setelah mendengar kata-kata Auni. Suasana tiba-tiba menyepi namun tidak lama
kemudian tercetus ledakan tawa daripada Iskandar dalam kereta. Bergema dan
membingitkan telinga.
Mata Auni turut membulat
dan memandang Iskandar yang sudah tidak terkawal tawanya. Lama baru Iskandar
berhenti ketawa namun sesekali terdengar sisa tawa itu berbaki. Dia tersenyum
kemudiannya memandang Auni.
“Jadi sekarang ni, Cinta jealous-lah ya?”
Pertanyaan itu mengundang
rasa geram di hati Auni. Terasa geram itu lebih lagi tatkala melihat senyuman
yang terukir di bibir lelaki itu. Auni malas menjawab pertanyaan yang dia
rasakan sia-sia sahaja. Tiada faedah bagi dirinya.
“Emm… kau memang cemburu.”
Akhirnya Iskandar sendiri yang menjawab soalannya sendiri. Jawapan bersama
senyuman yang disifatkan Auni, killer
smile. Pembunuh hati gadis-gadis.
“Cinta…” Iskandar
memanggil si gadis yang sudah mencuka.
Auni membuang pandang ke
luar tingkap. Tiada keinginan di hati menatap wajah lelaki yang sering
mempermainkannya. Hatinya terasa ditutup tabir yang tidak mampu rasanya dia
sendiri mengalihkannya. Air mata kini bagaikan setia menjadi teman. Hatinya
pilu. Jiwanya celaru. Perasaannya sayu. Apalah yang seorang lelaki tahu tentang
hati, jiwa dan perasaan seorang perempuan. Tiada apa! Lebih-lebih lagi lelaki
seperti Adam Iskandar.
“Cinta… cuba pandang
sini.” Iskandar seakan merayu lagi dan lagi.
Hati Auni berkocak lagi.
Kocakan yang maha hebat dan sayu. Suara lembut itulah yang sering menjadi
igauannya dulu tapi kini baginya sudah tiada makna lagi. Auni mengeraskan
hatinya. Dia terasa perlu menjauhi lelaki itu. Lelaki yang bakal milik orang
lain. Auni mahu meninggalkan pergi Iskandar bersama sebuah nyanyian sayu dalam
hati.
Namun Auni tiada kekuatan
untuk pergi lagi. Dia benar-benar mencintai lelaki yang bernama Iskandar. Kini
hanya esakan kecil yang dapat Auni luahkan.
Cepat Iskandar merangkul
gadis yang kini dalam kedukaan. Kemudian perlahan-lahan Iskandar melepaskan.
Memalingkan tubuh Auni. Wajah itu lebat dengan air mata. Iskandar menatap tanpa
suara. Dia membiarkan Auni melayani hatinya sendiri sebelum dia meraih gadis
itu kembali dalam pelukannya.
“Kenapa Is masih mahu
mempermainkan saya? Apa salah saya? Tolonglah Is… please...” Auni yang sudah tenang memulakan bicara. Meluahkan rasa
hati. Yang pedih mahu dihapuskannya.
“Abang tak mainkan Cinta.
Hanya Cinta yang tak mahu percayakan abang. Segala cinta yang membara dalam
jiwa ini hanyalah untuk Cinta. Segala dan semuanya. Abang betul-betul sayang
dan cintakan Cinta. Tiada yang bisa mengisi ruang dalam hati ini kecuali
Cinta.” Iskandar turut meluahkan rasa hatinya.
“Sufura pula bagaimana?”
“Sufura? Cinta salah faham
sebenarnya. Sudah buka dan baca kad undangan ke majlis tu?” soal Iskandar.
Auni menggeleng. “Saya tak
sanggup membuka dan membacanya.”
Iskandar menarik nafas
panjang dan diikuti dengan tawa kecil darinya.
“Itu yang silapnya. Lain
kali cinta manja abang ni jangan serkap jarang sahaja tau.” Jarinya mencuit
hidung Auni.
“Sufura tu tunangan Anuar.
Mereka berdua yang bakal berkahwin. Dia bukan akan berkahwin dengan abang,”
jelas Iskandar sambil tersenyum dengan senyuman yang semakin melebar.
Mulut Auni terbuka
sedikit. Terkejut! Wajah di hadapannya dipandang penuh tanda tanya. Benarkah?
Persoalan itu berlegar-legar di benaknya. Namun jika dilihat pada riak wajah
Iskandar, memang jelas tergambar kebenaran di atas apa yang diucapkan lelaki
itu. Auni menundukkan wajahnya. Malu dengan diri sendiri. Malu dengan Iskandar.
Mukanya mula merona merah.
Iskandar ketawa kecil. Dia
sedar si gadis terasa malu. Segera diraih Auni dalam pelukannya. Gadis yang
pasti dan sah menjadi miliknya. Miliknya yang abadi dan seperti yang
dijangkanya, Auni tidak lagi menolak tubuhnya malahan si gadis turut membalas
pelukan. Kemas.
“Puteriku, kasihku bukan
keterpaksaan tetapi kasihku inginku bawa ke syurga bersamamu. Sudikah kau duhai
sang puteri?” Iskandar berbisik. Lembut.
Untuk kesekian kalinya.
Auni terkejut, pelukan dilepaskan dan memandang wajah. Iskandar hanya tersenyum
mempamerkan penarik dirinya dan seperti dia tahu apa yang bermain di fikiran
Auni. Menganggukkan kepala. Ya, dialah ‘Pelayar Senja’ lelaki yang sering
memberi kata-kata perangsang dan dari jauh sering melindungi Auni setiap masa.
Auni membalas senyuman.
Hatinya kembang bahagia. Kini dia bukan sahaja mendapat cinta tetapi juga
persahabatan yang tulus.
“Sayangku… kita akan tetap
bersama sehingga ke akhirnya. Sehingga nafas terhenti. Sehingga bumi terbelah
dua. Sehingga…”
“Abang…” Cepat-cepat Auni
memintas ayat-ayat jiwang Iskandar.
Kening sudah terjongkit
sebelah. “Kenapa, Cinta?” Iskandar menyoal. Dia tidak puas bermain kata-kata.
Jiwanya kini berbunga-bunga. Mungkin kerana Auni adalah baja yang membuatkan
hatinya berbunga.
“Macam pelik pulak bila
abang menjiwai kata-kata. Seram pun ada…” Auni ketawa kecil.
“Ni memuji ke mengutuk?”
“Dua-dua…” Selamba Auni
menjawab begitu. Dia tahu Iskandar tidak akan sampai hati mahu marahkannya.
“Emm…” Dan itulah respon
Iskandar. Bibirnya hanya terukir senyuman dan hatinya pula terukir nama Auni.
No comments:
Post a Comment