Bab
10
“Tambahlah lagi Qai…jangang malu-malu.” Abang
Zahari mempelawa.
“Takpe…saya dah kenyang.” Aku menolak.
“Eh, sikit makangnya? Makang banyok
sikit biar besar sikit tubuh tu. Tengok si Harris ni, makang banyak siap
bertambah lagi, kan sasa tubuhnya.”
Agaknya ini sudah kali yang ke berapa,
asyik hendak tersembur sahaja air liur aku. Kalau abang Zahari sebut lagi pasal
si Harris, aku rasa aku sudah tidak dapat menahan segala apa yang sedang berada
dalam mulut aku dari terkeluar. Dan kalau ianya betul-betul keluar, aku akan
pastikan ‘benda’ itu akan mendarat tepat pada muka Harris….hahaha….tidak dapat
aku bayangkan kalaulah perkara sebegitu berlaku. Perlahan-lahan aku menelan
suapan terakhir aku sebelum meneguk seteguk dua air masak. Siap.
“Eh, Qai dah siap? Kenapa sikit sangat
makang.” Mak Zura yang datang dari dapur menegur aku. Tadi, dia dan kaum
perempuan yang lain makan di dapur sahaja.
“Saya biasanya memang makan sikit, mak
Zura.” Aku memberitahu.
“Kalau macam tu, makanglah dessert
pulak.” Mak Zura mempelawa sambil tangannya terus mengisi strawberry triplet ke
dalam piring dan menghulurkan kepadaku.
Aku menyambutnya. “Terima kasih. Siapa
yang buat? Mak Zura ke?”
“Tok. Mok Zura tok pandai buat
dessert-dessert ni. Anok sulung mok Zura yang buatkan.”
“Anak sulung? Yang ada tengahari tadi
ke?” aku segera teringatkan budak perempuan yang comel dan cute, siang tadi.
“Bukanlah….yang tadi anok nombor dua,
Anis. Baru tahun tiga, sama umur dengan Aizah anak mok Mek. Ni Aleesya…dan anok
yang bongsu mok Zura namanya Adib.” Mak Zura menerangkan.
Aleesya? Oho…ada ‘bunga’ yang sedang
mekar rupanya mak Zura dan abang Zahari ini rupanya. Tapi kenapa aku tak nampak
dari tadi. Kalau si Aizah, Anis dan Adib tu aku adalah nampak jugak ke hulu ke
hilir sebelum makan tadi. Takde berhidungkah gadis itu? Atau pipinya lompong?
Takpun dahi jendul? Rambut berserabai? Haha…tak dapat aku bayangkan rupa si
Aleesya macam tu.
“Dia tu pemalu sikit. Lebih-lebih lagi
kalau ada orang lelaki yang datang bertandang. Menyoroklah jawabnya.” Mak Zura
menerangkan.
“Ehem!!!” tiba-tiba terdengar suara
Harris. Sakit tekak agaknya.
“Bakpe Arih? Sakit tekok ke?” abang
Stopa yang baru siap makan setelah tiga kali menambah nasi tiba-tiba bertanya.
“Aha, sakit rasanye tekok ni. Takpe
sikek je abang Stopa.”
“Doh siak belake? Kite ke depang pulok
la. Zura…suruh Leesya buak kopi. Nok nyembang-nyembang sikek same-same jantang
ni.” Kemudian abang Zahari mempelawa kami semua ke ruang tamu rumahnya.
“Saya minta tumpang ke tandas sekejap.”
Aku meminta izin.
“Sile-sile. Sebelah sini ja.” Abang
Zahari menunjukkan kepadaku ke arah kiri bersebelahan ruang keluarga rumahnya.
##########
Phuh, lega! Aku keluar dari bilik air
dan mahu menuju ke ruang tamu sebelum mataku tertarik dengan bayangan orang
yang berada di beranda bersebelahan ruang keluarga rumah itu. Siapa?
Malam-malam berani duduk sendirian. Dalam gelapnya malam dan terangnya lampu
pagar pulak tu. Walaupun hatiku sedikit culas tetapi kakiku tetap melangkah
sebab jiwa nakalku ini meronta-ronta ingin terjun papan anjal dan
berenang-renang acara bebas.
“Buat apa duduk sorang-sorang kat sini?
Tak takut ke?” aku melabuhkan punggung, duduk bersebelahan si gadis.
Terangkat sedikit tubuhnya, terkejut
agaknya. Yelah, tanpa salam aku terus menerjah. Alahai, Qai! Janganlah si gadis
menjerit sebab terkejut. Silap-silap hari bulan aku tertonggeng di terajang
oleh abang Zahari nanti. Si gadis kelihatan mengurut-ngurut dadanya tetapi dia
tidak menjerit pun. Mujurlah.
“Tak takut ke? Ada hantu ke nanti, tak
pun ada harimau ke?” aku mengulang soalan.
“Apa nak takut. Allah SWT kan ada….Dia
sentiasa ada untuk kita. Walau di mana kita berada, walau di ceruk mana pun
kita. Kita masih berbumbungkan langit yang sama. Kita masih berpijak di bumi
yang nyata lainlah kalau kita sudah berada di perut bumi. Kalau masa tu, hanya
amalan baik selain dari suruhanNya yang kita tak pernah lupa dan tinggalkan
sahaja yang mampu menolong kita.” Lembut si gadis berbicara.Berbisa dan berisi.
Tersentak aku seketika. Budak itu memang
tidak boleh di buat main, nampaknya. Spesis si Harris juga rupanya. “Yelah,
abang tahu Allah SWT sentiasa ada. Tetapi kita sebagai manusia kena juga
sentiasa berwaspada. Jangan cuai, jangan lalai, sentiasa bersedia. Bahaya
sentiasa ada. Di mana-mana pun walau dalam rumah sendiri. Misalannya jika kita
terlupa menutup api sebaik selesai memasak, periuk pula masih ada di tungku
dapur. Kering kuah tu, melengkung periuk tu, tak ke melompat sang periuk. Tak
ke hangus sang periuk. Terkena pula kain buruk ke yang ada di dapur atau
barang-barang plastik lain. Macam mana?” aku tidak mahu mengalah sebelum
berjuang.
Kedengaran tawa kecil dari mulut si
gadis. “Kenapa ketawa?” aku bertanya, hairan. Salah ke kata-kata aku tadi.
Hiss…malulah pulak! Kenapalah dalam banyak-banyak benda yang boleh di jadikan
contoh, periuk pulak yang tiba-tiba keluar dari mulut aku?
“Abang…mana ada periuk boleh melompat.
Kalau katak tu bolehlah.” Si gadis bersuara sambil menutup mulutnya dengan
kedua tangan kecilnya menahan tawa.
Aku pun turut ketawa. Betul juga. Ada ke
periuk boleh melompat? “Awak Aleesyakan?” aku bertanya. Sengaja tanya sedangkan
aku sudah tahu dialah Aleesya.
Aleesya mengangguk-anggukkan kepalanya
sambil tersenyum. Aku turut tersenyum memandang gadis itu. Cantik dan comel.
Kalau tadinya aku cakap adiknya si Anis cantik apabila sudah besar nanti.
Inilah dia di hadapanku perempuan yang memang cantik dan bila sudah dewasa nanti
makin cantik plus jelita dan anggun. Agaknya di kampung ni ramai gadis-gadis
dan perempuan yang cantik-cantik kot? Kecuali mak Mek dan anak ‘terlebih’nya.
Yang itu ketegori yang biasa-biasa sahaja.
“Berapa umur Aleesya?”
“11 tahun.”
“11 tahun?”
“Yap…hari ini genap saya 11 tahun.”
Tulus Aleesya memberitahu.
“Jadi…hari ni sepatutnya birthday
Aleesyalah?”
“Emm…”
“Kenapa takde birthday cake?”
“Abi tak kasi. Dia cakap, bukan amalan
kita berkek-kek ni. Sepatutnya bila bertambah umur kita semakin bersyukur sebab
Allah SWT masih panjangkan umur kita untuk melihat dunia lagi. Banyakkan
sembahyang, bukan sembahyang 5 waktu sahaja. Sembahyang sunnat yang lain pun
kita harus lakukan juga. Berpuasa di bulan Ramadhan, puasa sunnat pun boleh
kita lakukan. Bersedekah kepada yang susah. Jika kita ada sedikit, beri
sedikit. Jika kita ada banyak, beri banyak tetapi jika kita tiada
apa-apa….senyum sahaja dan doa. Itu juga di kira sedekah. Amalan ini banyak
sebenarnya jika kita pandai dan tahu mencarinya. InsyaAllah.”
Aduhai! Petahnya berkata-kata. Pandainya
menyusun ayat. Aku terkedu seketika. Budak yang baru berumur 11 tahun begitu
pandai sekali berbicara tentang kehidupan. Agaknya jika sudah dewasa….muslimah
yang bagus di jadikan isteri. Apa aku melalut ni? Isteri? Untuk Harris
sesuailah.
“Ok….oleh sebab hari ini birthday
Aleesya dan tadi Aleesya sudah buatkan dessert yang sedap untuk abang….abang
nak bagi satu hadiah untuk Aleesya.” Aku segera bangun dan menyeluk kocek
seluarku dan mengeluarkan wallet.
“Eh, tak payahlah hadiah-hadiah! Nanti
abi dan ibu marah sebab terima hadiah dari orang yang kita tak kenal.” Aleesya
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“La…Aleesya tak kenal abang ke?”
“Kawan abang Harris.”
“Hah, kawan abang Harris kawan Aleesya
jugakkan? Nama abang dah tahu?”
“Abang Qai. Qairul Bunyamin.”
“Itukan dah tahu nama abang. Dah kenal
la tu.”
Aleesya menunduk dan dia
mengangguk-anggukkan kepalanya. Aku segera mengeluarkan sesuatu dari wallet
aku. Benda yang sudah lama aku simpan. Salah satu kenangan dari arwah mama yang
papa kata di wasiatkan kepada aku. Aku rasa hadiah yang paling bermakna dalam
hidup aku ini wajar di serahkan kepada yang layak menerimanya. Yang aku rasa
mampu memikul dan memiliki benda yang paling bernilai.
Tangan kecil Aleesya aku tarik lembut.
“Ehhh…..” terkejut dan Aleesya menarik balik tangannya. Tapi aku tidak
lepaskan. Cincin emas aku sarungkan ke jari manisnya. Padan dan nampak sesuai
dengan Aleesya Cincin itu betul-betul padan di jarinya. Longgar pun sikit je
tapi tidaklah boleh terlucut.
“Kau buat apa, Qai!!” tiba-tiba suara
Harris menerpa di telingaku.
Serentak aku dan Aleesya berpaling ke
belakang. Dalam kesamaran cahaya lampu dari pagar rumah dan cahaya bulan, wajah
Harris kelihatan merah bagaikan menahan marah. Pasal apa? Angin tiada, ribut
tiada, banjir pun tiada….apasal dia nak marah?
“Apahal?” aku bertanya dan aku masih
duduk serta memegang tangan kecil Aleesya.
“Aleesya!!” serentak dengan Harris
memanggil namanya, Aleesya pantas menarik tangannya daripada pegangan aku.
“Aleesya…pergi masuk rumah. Sekarang!!”
Harris mengarahkan Aleesya.
“Apahal kau ni? Budak kecik pun nak
marah. Tiba-tiba pulak tu. No Aleesya, you stay….”
“Aleesya….go!!”
“Stay!!”
“Go!! Pergi!!”
“No…Aleesya…stay!!”
Aleesya yang sudah berdiri sedari tadi,
teragak-agak kelihatannya. “Aleesya…pergi masuk rumah! Dan beritahu ibu dan
abi, apa yang Qai hadiahkan….pergi!!” serentak itu Aleesya segera masuk ke
dalam rumah meninggalkan Harris dan aku yang sudah berdiri dan berhadapan
antara satu sama lain.
“Kecoh! Beri hadiah pun kecoh!” aku mula
bersuara semula.
“Aku tak tahulah, kau faham atau tak
tindakan kau tadi?”
“Faham apa? Beri hadiah sahaja, a
present to the very beautiful little girl. Yang kau nak marah, apahal. Jealous?
Jangan cakap kau cemburu?” aku berkata sinis sambil ketawa kecil.
“Kau tahu tak apa maksud apabila seorang
lelaki memberi cincin lebih-lebih lagi cincin emas kepada seorang perempuan?”
“Itu lelaki…aku bukan lelaki. Aku budak
lelaki. Banyak bezanya. Aku beri sebab hari ini birthday dia. Apa salahnya
memberi hadiah.” Aku memang tidak mahu mengalah. Pantang benar rasanya mengalah
tanpa bertempur lebih-lebih lagi dengan manusia yang tiba-tiba jadi makhluk
hijau dan besar di hadapanku ini. The hulk yang tidak menakutkan pun.
“Jadi kau tak fahamlah maksud sebenarnya
jika seorang lelaki memberi cincin kepada seorang perempuan? Tak kisahlah dia
tu budak ke, bapak budak ke hatta datuk budak sekali pun. Lelaki tetap lelaki.”
Harris bertubi-tubi mengasakku dengan kata-katanya.
Dengan keluhan aku menganggukkan kepala.
Apahallah susah-susah sangat, menyesakkan kepala memikirkan maksud pemberian
seseorang. Adakah setiap benda mempunyai maksud-maksud tertentu ke? Seingat
akulah, selalu juga aku memberi cincin walaupun hanya cincin plastik ataupun
besi kepada kawan-kawan perempuan di sekolah lamaku dulu tanda mereka menjadi
kawan aku. Tidaklah kecoh macam sekarang.
Harris menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Patut pun tuan pengerusi menyuruh aku jangan lepas dari memerhatikan kau.
Pantau segala perlakuan kau. Tegah mana yang salah. Betulkan apa yang rebah.
Rupanya beginilah kau. Buat apa sahaja yang terlintas. Lakukan apa sahaja yang
boleh. Ikut segala kata hati. Mati. Ikut rasa. Binasa.”
“Back to the point. Apahal sebenarnya?
Kecoh. Bukan aku beri emas segunung pun. Tak pun intan permata sebukit.” Hatiku
mulai sedikit panas. Harris bermadah, berhelah pulak tu.
“Maksudnya ialah ikatan kasih yang
abadi. Faham?”
“Habis tu? Kenapa?”
Harris menggeleng-gelengkan kepalanya
lagi. “Kau ni memanglah tak faham langsung. Kalau dah budak tu, memang budak.
Tak matang. Duduk pulak kat negara orang. Adat Melayu pun tak tahu. Maksudnya
kau sudah merisik dia!! Dan…dan…kau sarungkan pulak cincin tu ke jarinya. Kau
sudah menyentuh. Kau dan Aleesya….seperti sudah bertunang. Cuma belum rasmi
lagi.”
Aku? Weh, hampir terduduk aku mendengar
penerangan dari Harris! Betul ke? Aku…aku dan Aleesya….seperti sudah bertunang?
Dengan Aleesya? Dengan budak yang berumur 11 tahun tu? Weh, logik ke? Aku yang
berumur 14 tahun bertunang dengan budak berumur 11 tahun? Hahaha…aku memang
mahu ketawa. Mana boleh aku tiba-tiba bertunang dengan Aleesya. Mati aku. Mana
nak lari ni?
Aku cuba berlagak tenang. “Apa salahnya
kalau aku bertunang dengan Aleesya pun? Dia pun cantik, lawa, cerdik dan lemah
lembut. Pandai buat dessert pula tu. 10 tahun pun aku sanggup tunggu dia.” Aku
tersengih kepada Harris yang masih tegang wajahnya.
“Betul ke apa yang Qai cakap tu? Sanggup
tunggu walaupun 10 taung?” tiba-tiba terdengar suara mak Zura dari belakang.
“Yelah Qai! Mu sanggup tunggu Leesya?
Walau 10 taung pung?” abang Zahari pula menyampuk.
Sekali lagi aku hampir terduduk. Malahan
rasanya hampir terkencing. Alamak, Qai! Apa yang kau telah buat ni. Patutlah
papa dan abang selalu kata aku ni si trouble maker. Segala mak ayah trouble pun
tak teruk macam ni. Tiba-tiba teringin pula rasanya aku menjadi Nighcrawler,
teleport ke mana saja yang terlintas difikiran. Tak pun menjadi Hollowman,
menghilangkan diri sekelip mata.
Semangat Rambo yang sanggup berjuang tak
mati-mati sudah mengendur. Semangat Hang Tuah yang setia sudah menjadi Jebat
derhaka. Semangat Superman menjadi lembik dek kerana Kristal hijau. Semangat
itu bagaikan cabaran ice bucket yang tidak menjadi, bukan sahaja aku kuyup di
simbah air malahan kepalaku turut di telangkup baldi dan aku tergelincir terus
masuk ke kolam mandi yang tiada air walaupun setitik.
“Lain kali berfikir sebelum bertindak.
Itu adalah perkara paling penting dalam kehidupan. It’s not who you are, it’s
what you do. Apa yang kita buat, apa yang kita lakukan. Haruslah di fikir kesan
di atas tindakan itu. Lihat sekeliling. Boleh atau tidak perkara sebegitu kita
lakukan. Kalau tidak tahu, kalau tidak faham. Tanya. Tanyalah walau sesiapa
pun, lebih-lebih lagi tanyalah dengan orang yang lebih arif. Kalau tidak,
tuhankan ada. Allah SWT sentiasa ada. Tanyalah DIA. InsyaAllah akan ada jawapan
yang diberikanNya. Selagi langitNya kita junjung. Selagi bumiNya kita pijak.
DIA akan sentiasa ada untuk kita. Jangan ikut hati. Mati. Jangan ikut rasa.
Binasa. Ingat tu….” Harris yang berada bersebelahanku bertutur perlahan.
Walaupun yang lain tidak mendengar tapi cukup untuk aku mendengarnya.
Kesemua mereka yang ada di situ, aku
pandang. Aku tersenyum dalam kepahitan. “InsyaAllah, nanti saya akan cuba
memberitahu papa tentang perkara ini. Dia tahulah apa nak buat nanti.” Aku
mengakhiri malam yang tiba-tiba terasa begitu panjang hari itu dengan kata-kata
yang terpaksa aku lafazkan dan aku telan segala rasa payau, pahit dan masin.
No comments:
Post a Comment