MR.KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN
‘Perlakuan
itu telah tenggelamkan senyuman yang selalu kau lemparkan. Aku jua tidak pasti
adakah kepuraan atau keikhlasan yang terpamer di sebalik seyumanmu.’
Bab 5
Auni tersenyum lalu meletakkan mangkuk
tingkat itu di atas meja kecil. Ia terletak bersebelahan katil. Dato’ Hasyim
membalas senyuman walaupun nampak agak kepayahan. Sesekali kelihatan dia
mengerutkan wajahnya. Wajah yang sudah tua semakin kelihatan tua. Belas hati
Auni melihatnya. Dia ingin menyalami dan memeluk penuh kasih tubuh tua itu
namun dia tahu antara mereka ada batasnya. Mereka tiada ikatan yang membolehkan
perkara itu dilakukan.
Sebaliknya dia menyalami dan mengucup
penuh lembut tangan Mak Zah. Spontan tubuh Mak Zah dipeluknya erat. Mak Zah
mengucap-ngusap lembut kepala Auni. Iskandar yang sedari tadi memehatikan
sahaja ‘adegan sebabak’ mula menghampiri Dato’ Hasyim.
Tangan tua Dato’ Hasyim digenggam dan
dikucupnya.
“Atuk macam mana sekarang? Rasa sihat
sikit?” wajah Dato’ Hasyim dipandangnya penuh kasih.
“Alhamdulillah, Atuk rasa sudah semakin
sihat sikit. InsyaAllah boleh keluar sedikit masa lagi agaknya.” Tangan Dato’
Hasyim menggenggam erat tangan Iskandar, seperti dia tidak mahu melepaskannya.
“Macam mana perbincangan dulu? Atuk
harap semuanya berjalan lancar.” Dato’ Hasyim membangkitkan persoalan dulu.
“Perbincangan apa tuk?”
Tidak pasti, Iskandar memang terlupa
atau sengaja buat-buat lupa. Dia bangun dari duduknya dari katil Dato’ Hasyim.
Menapak setapak dua ke belakang.
“Is… Atuk harap Is tak lupa tentang
perbualan kita 5 hari lepas.” Dato’ Hasyim faham Iskandar sengaja cuba
melupakan perbincangan mereka.
Iskandar meraup-raup rambutnya ke
belakang. Itu sebenar telah menjadi satu tabiat yang tanpa disedari Iskandar
menunjukkan dia dalam kegelisahan. Dia tidak menyangka atuknya masih mengingati
tentang perbincangan mereka. ‘Memang sudah tiada cara lain ke?’ persoalan itu
berlegar-legar dibenaknya tanpa jawapan.
Dia memandang ke arah Auni, kelihatan
wajah gadis itu menunjukkan tanda kepenatan. Sebenarnya mereka semua agak
penat. Mak Zah, Auni, Abang Mie dan dia sendiri sebenarnya bergilir-gilir
menjaga Dato’ Hasyim siang malam di hospital. Bukannya mereka tidak percayakan
staf-staf hospital tetapi sebagai keluarga seharusnya mereka perlu berkorban
segalanya. Korban waktu, korban masa dan korban masa rehat mereka.
“Is setuju!!!” tiba-tiba suara Iskandar
memecah suasana bisu tadi.
Auni tersentak. Dia yang duduk
berdekatan Mak Zah tadinya terbangun. Kakinya sedikit goyang. Letih dan
terkejut bercampur aduk. Wajah Iskandar dipandangnya tetapi lelaki itu tidak
langsung memandang ke arahnya. Seakan terlalu menyampah.
Auni rasa dia perlu berkata sesuatu.
Iyalah, 5 hari lepas Iskandar marahkan dia bagaikan tidak ingat dunia. Siap ketuk-ketuk stereng kereta
lagi. Nasib baik tak ketuk kepala Auni atau pun dia pecahkan cermin kereta. Sempat
pula meninggalkan Auni di tepi jalan. Di malam yang sejuk dan sehelai
sepinggang. Alih-alih hari ini dia setuju. Kenapa?’
“Atuk….
maaf. Saya rasa ada sikit salah….” Terhenti.
“Auni!!!” suara Iskandar menghentikan
suara Auni.
“Auni… Is harap kita akan berbincang
lagi tentang perkara ini nanti, just you
and me.” Iskandar bersuara
lembut. Dia turut melemparkan senyuman yang banyak mencairkan gadis-gadis dan
wanita di luar sana.
‘Senyuman kau terlalu menakutkan, Iskandar.
Bagaimana sebenarnya diri kau? Nakal seperti waktu persekolahan kita dulu? Atau
beberapa bulan lalu, penuh berkarisma dan aura? Atau minggu-mingu yang sudah, penuh tanggungjawab
dan bersifat melindungi? Atau 5 hari yang lalu, kemarahan yang hanya diluahkan
separuh? Atau hari ini, lembut dan menggoda?’ hati Auni tidak dapat menahan
dirinya dari mempersoalkan tentang Iskandar. Persoalan yang Auni tidak dapat
pasti siapa yang dapat menjawabnya.
##########
“Kak Zah ada bawa tak apa yang saya
pesan dulu?” Dato’ Hasyim memandang Mak Zah yang masih duduk di salah satu sofa
yang terdapat dalam bilik itu.
“Ada Dato’… saya sentiasa bawa…. hah,
ini dia!” Mak Zah menghulurkan sesuatu kepada Dato’ Hasyim.
Dato’ Hasyim mengambilnya dan menggamit
Iskandar supaya datang dekat. Dia menghulurkan sesuatu kepada cucunya itu.
Kelihatan Iskandar teragak-agak mahu mengambilnya. Manakala Auni pula bagaikan
tidak percaya dengan apa yang dilihatnya di telapak tangan Iskandar. Sebuah
kotak kecil berwarna merah? Kotak merah? Kotak apa? Apa isinya?
Jangan-jangan…..
“Hah… sarungkan cincin tu ke jari Auni.”
Dato’ Hasyim menyuruh.
Iskandar sedikit terpinga-pinga. Dia
teragak-agak membuka kotak merah itu. Sebaik terbuka, kelihatan sebutir cincin
emas putih bertahtakan berlian. Berkilauan dan memancar. Namun wajah Auni
memucat dan berpeluh. Badannya kaku. Sekilas dipandangnya ke wajah Iskandar
namun tiada riak di wajah itu. Sungguh! Wajah lelaki itu langsung tiada riak.
Auni tidak dapat langsung meneka apa yang tertulis dalam hati lelaki itu.
“Is… sarungkanlah ke jari Auni tu.” Kali
ini Mak Zah pula yang menyuruh.
Spontan Iskandar menarik lembut tangan
sejuk Auni. Cincin disarungkan ke jari manis. Senyuman membunuhnya dilemparkan.
Auni cepat-cepat menarik tangannya apabila dia terasa seperti Iskandar masih
memegang tangannya biarpun setelah disarungkan cincin.
“Ini tandanya Auni sudah bertunang
dengan Is.” Dato’Hasyim bersuara memecah kejanggalan di antara Auni dan
Iskandar.
“Atuk minta maaf sebab tiada majlis
pertunangan macam orang lain, Emm… Atuk betul-betul minta maaf, Auni.”
“Tak pe la Atuk… bukan apa-apa pun
majlis tunang-tunang bagai ni. Ye tak Auni?” Iskandar segera menyampuk dan menjeling
ke arah Auni yang membeku.
Tiada suara jawapan dari Auni. Dia
dikakukan oleh masa dan dibekukan oleh waktu. Namun kelihatan peluh mengalir
perlahan menuruni pipi walau keadaan di bilik itu sejuk.
“Kau tu apahal? Beku atau mencair? Tak
pun dah mati? Terbunuh, dibunuh atau membunuh diri?” Iskandar berbisik perlahan
namun masih dapat didengari oleh gadis itu.
Auni menoleh ke kanannya. Iskandar
dengan senyuman sinisnya dan sebelah keningnya terangkat sedikit. “Is… Is cakap
apa tadi?”
“Auni… Auni…. mengelamun ye?” Mak Zah
tertawa kecil melihat tingkah Auni.
“Takpe Kak Zah…. biarlah dia mengelamun.
Tak lama lagi dah tak boleh dah… ada orang ‘kacau’.” Dato’ Hasyim turut ketawa.
Bahagia.
Auni hanya tersenyum. Mukanya terasa
merah namun dia gembira melihat Dato’ Hasyim bahagia. Biarlah lelaki tua itu
bahagia. Biarlah semua bahagia. Dia sedia membahagiakan sesiapa yang menyayangi
dan melindunginya. Biarlah. Biarpun dia tahu Iskandar tidak akan
membahagiakannya. Melindungi? Mungkin boleh melindungi tetapi tidak akan
membahagiakannya. Dia berserah kini. Hanya tuhan yang tahu. Hanya tuhan yang
mengerti perasaannya tika ini. Auni semakin melebarkan senyumannya. Senyuman
yang ikhlas untuk membahagiakan mereka-mereka yang menyayanginya. Noktah.
Tamat.
##########
“Macam mana kau boleh setuju dengan
cadangan Atuk Hasyim?” Anuar bersuara setelah mendengar cerita Iskandar.
“Do
you think I’m stupid enough to agree?” soalan dijawab soalan.
Bulat mata Anuar mendengar ayat yang keluar
dari mulut kawan baiknya.
“Do
not… you’re not just stupid but you’re stupid and crazy at the same time,”
sengaja Anuar membahan kawan baiknya sendiri. Seronok bila dapat mengenakan
Iskandar a.k.a. romeo.
“Aku tak pernah tengok lagi kau macam
ni… bodoh dan gila macam ni. Projek berjuta-juta kau boleh handle macam tu je… begitu juga dengan pompuan-pompuan yang lain tapi ni… pompuan yang sorang ni? Emmm… entahlah…” Kepala digaru-garukan
walaupun tiada yang gatal. Cuma mulutnya yang gatal. Gatal mahu menglazerkan Iskandar.
“Ala…
kaukan kenal dia, kita sama sekolah dulukan. Tak ingat?”
“Itu aku tahu… tapi kau dah siasat background dia? Siapa sebenarnya ibu
bapanya? Di mana asalnya? Betul atau tak mak tiri dia ‘jahat’? Emm… kau dah
siasat semua tu?” Anuar menyoal sambil keningnya dinaikkan.
Iskandar terdiam. Kedua-dua tangannya
meraup-raup rambut ke depan dan ke belakang. Jika dia melihat imejnya di cermin
ketika itu tentu dia tidak mengaku itu adalah dirinya sendiri. Serabai! Itu
belum lagi jika dilihat dari segi penampilannya ketika ini. Selekeh! Betullah
kata Anuar, Iskandar sudah bodoh dan gila.
“Aku bukannya apa Is…. ini untuk kebaikan
kau sendiri. Kau tidak boleh dengar dari sebelah pihak saja. Aku tak naklah
kawan aku ni terkena.” Anuar bukannya sedikit risau dengan situasi Iskandar
ketika ini. Banyak risaunya. Yalah, mereka telah berkawan semenjak bayi lagi.
Masalah Iskandar masalah dia juga.
“Terkena apa pula? Kau ni
macam-macamlah.”
“Kita kena beringat Is… sebelum
terlambat. Kau tu bakal pewaris Tuah Sejati Developer Sdn Bhd dan anak-anak
syarikat yang lain, dibuatnya si Auni tu spy
yang dihantar musuh-musuh perniagaan… macam mana?”
Pecah tawa Iskandar mendengar teori
Anuar. Dia menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu. Sedikit kelakar teori itu tetapi
mungkin juga ada betulnya. Siapa tahu mungkin ada persaing-persaing dari
syarikat yang lain sanggup menghantar pengintip untuk mengetahui rahsia Tuah
Sejati Developer Sdn Bhd. Syarikat yang semakin berkembang maju, lebih-lebih
lagi apabila dia yang menerajuinya setahun dua ini, semenjak Dato’ Hasyim
bersara.
“Aku rasa lebih baik kau pergi ke Kuala
Terengganu. Cari kampungnya, cari rumahnya dan cuba tanya jiran-jirannya
tentang Auni dan keluarganya. Tak pun kau tanya sendiri dengan mak tirinya.
Habis cerita. Pasal Atuk Hasyim pula, aku rasa dia tentu faham jikalau kau
cerita hal sebenar tentang Auni. Dia spy atau
tidak, kita kena siasat. Pasal kau kena kahwin dengan dia atau tak, itupun kau kena pertimbangkan.” Anuar
memberikan cadangan. Bernas!
Iskandar memandang tepat ke wajah Anuar.
Ada benarnya juga kata-kata Anuar dan ianya memang masuk akal. Iskandar senyum.
Senyum dengan lebarnya. Ya, perkara sebegini besar memang patut disiasat
dahulu.
“Ok, betul juga kata kau tu, emm… jom
ikut aku.” Iskandar segera bangun.
“Errkk… kita nak pergi mana?” Anuar
teragak-agak. Kepalanya digaru-garukan lagi.
“Laa… pergi mana lagi? Kau juga yang
beri cadangan tadi. Kita ke Kuala Terengganu. Dahlah tu… jom kita gerak. Kang
lambat sampai pulak.” Pintu bilik pejabat dibukanya dan dia melangkah laju.
Anuar menggeleng-gelengkan kepala. Dia
melihat jam di tangan. ‘Gila, dah pukul 5.00 petang! Sampai di Kuala Terengganu
nanti tentu sudah pukul 8.00 malam, itu belum masuk mencari kampung dan rumah.
Tentu makan masa berjam-jam lagi. Gila!’ dalam hati sempat berbisik sendiri, namun
Anuar laju menuruti langkah panjang Iskandar.
##########
“Assalamualaikum….” Kali ini entah kali
yang ke berapa Anuar memberi salam. Tiada yang menyahut. Mungkin tiada orang.
“Takde orang la Is. Macam mana ni?”
Anuar memandang Iskandar yang selesa duduk dalam kereta mendengar muzik
sedangkan dia tercegat berdiri di luar.
“Kau cubalah lagi. Dia orang tak dengar
kot.” Acuh tak acuh Iskandar menjawab.
Sebaik Iskandar menjawab, pintu rumah
terbuka. Lampu di luar juga dibuka. Seorang perempuan yang tidak berapa tua atau
muda menjenguk. Tubuhnya sedang-sedang sahaja, tidak gemuk tidak juga kurus.
Dia memandang pelik ke arah Anuar yang tercegat berdiri. Iskandar segera keluar
dari kereta tetapi dia tidak langsung melangkah ke depan rumah. Dia santai
bersandar di kereta. Sesekali telefon di tangan dibelek-beleknya.
“Cari siapa?” tanpa menjawab salam
perempuan itu bertanya.
“Sa… saya dan kawan saya nak cari Auni.
Dia ada?” Anuar sengaja mereka cerita.
Perempuan itu mengerutkan dahinya.
Matanya turun naik menilik Anuar dan Iskandar. Bibirnya dijuihkan dan
bergerak-gerak seperti berkata sesuatu tetapi tidak jelas perkataannya.
“Nak apa dengan Auni?” perempuan itu
masih bertanya.
“Ka… kami kawan lama dia. Kebetulan lalu
di kawasan ini, sengaja singgah nak bertanya khabar. Auni ada makcik?” Anuar
mereka cerita lagi.
“Budok
tu? Budok tak bermoral tu? Dia dah
lari dari rumah. Dah rosak pun ada hati nak lari, aku nak tolong… dah cari pok
sanggup… tak boh. Entah dengan jantang
mana gok dia ikut. Degil tak boh dengar cakap.” Perempuan itu
membebel-bebel. Sinis sekali cara percakapannya.
Anuar menoleh ke arah Iskandar yang
masih santai bersandar di kereta. Dia berpaling semula ke arah perempuan tadi
yang masih memandang mereka berdua bergilir-gilir. Anuar menyeluk kocek
seluarnya dan mengeluarkan wallet.
Diambilnya sekeping kad dan dihulurkan kepada perempuan yang diyakini adalah
emak tiri Auni.
“Ini kad saya, kalau ada apa-apa pasal
Auni, makcik boleh hubungi saya. Maaf makcik sebab datang malam-malam ni. Kami
pergi dulu. Terima kasih dan Assalamualaikum.” Mengakhiri perbualan mereka.
##########
“Macam mana Is? Apa kau nak buat? Kau
percaya tak cerita makcik tadi? Aku ni 50 peratus je percaya. Kau macam mana?”
bertalu-talu soalan dilontarkan kepada Iskandar yang kelihatan tenang memandu.
“Cara bercakap pun sinisnya. Aku paling
tak suka kalau kita bercakap dengan orang tapi orang balas dengan sinis. Seakan
tak ikhlas bercakap dengan kita. Ehh! Kau dengar tak ni?” sambung Anuar lagi.
Dia memandang seketika Iskandar.
Tanpa jawapan atau kata-kata, Iskandar
masih begitu. Tenang memandu seperti perbualan antara Anuar dengan emak tiri
Auni tadi tidak terkesan dihatinya. Suasana begitu sunyi antara keduanya. Anuar
faham apabila Iskandar tidak menjawab soalannya tadi, sahabat itu tidak akan
bersuara sehingga berjam-jam lamanya. Ahh! Teman itu….semakin menginjak dewasa
sebenarnya semakin sukar dia fahami suara hati. ‘Ah, biarlah! Esok tentu Is
akan bercerita panjang lebar.’ Anuar memujuk hatinya sendiri. Tidak lama
kemudian dia terlena dengan fikiran yang kosong. Empty.
##########
Makcik Ana membelek-belek kad di tangannya
dan membaca berkali-kali. ‘Nampak macam jawatan yang tinggi juga’, getus hati
Makcik Ana. Dia membandingkan rupa paras antara anak saudaranya Borhan dengan
kedua pemuda tadi. Borhan yang paling kacak di dalam kampung itu pun tidak
mampu menandingi kekacakan kedua pemuda tadi. Borhan yang berkulit putih,
tinggi dan kacak. Tambahan pula dengan susuk tubuh yang sasa, anak saudaranya
itu sebenarnya idaman gadis-gadis kampung. Cuma Auni sahaja yang menolak.
Gelaran Borhan adalah klon Shahrul Ridwan. Kacak dan tinggi.
Namun pandangan Makcik Ana bagaikan
teralih. Kedua pemuda tadi rupanya lebih kacak lagi. Keduanya berkulit putih,
tinggi, kacak dan sasa namun bagaikan ada sesuatu berlainan dengan rupa
keduanya. Mereka seperti berdarah kacukan. Yang agak peramah itu ada iras-iras
cina melayu tetapi yang seorang lagi lebih kacak. Dengan susuk tubuh yang lebih
sasa, dia punyai wajah yang tidak dapat diteka asal keturunannya.
Makcik Ana mencampakkan kad tadi di
atas meja kopi. Mujur tidak termasuk ke dalam gelas air kopinya yang terdapat
di atas meja yang sama. Cepat-cepat pula dia mengambilnya semula dan
meletakkannya ke dalam baju. Dicelahan sarung colinya. Tempat simpanan atau
kocek yang paling selamat.
“Esok nak suruh Borhan tengokkan kad ning. Kot-kot dia kenal sape dua orang budak tadi.” Sendirian Makcik
Ana bercakap.
##########
Iskandar
tenang dalam pemanduannya. Tidak terasa langsung rasa mengantuk walau tubuhnya
terasa letih. Sebenarnya mindanya yang terlebih letih. Otaknya itu sedari tadi
ligat sahaja bercakap dengan hati. Masing-masing mempersoalkan kelogikan atau
kepalsuan info yang baru dia ketahuinya sebentar tadi. Lampu idea tiba-tiba
menyala. Dia tahu bagaimana dia mahu mendapat jawapan yang pasti. Malik, itulah
nama yang terlintas difikiran tadi. Sahabat yang lebih muda daripadanya itu
sememangnya dipercayai. Malik pernah menjadi spy untuk dirinya. Kini sahabat itu telah membuka agensi
penyiasatan sendiri dan juga syarikat keselamatan.
Telefon ditekan satu nama dan dengan
menggunakan freehand Iskandar mula
berbual dengan si penerima panggilan. Hanya beberapa ketika sahaja perbincangan
itu namun kesepakatan telah tercapai. Senang, mudah dan ringkas. Itu adalah
cara perbincangan mereka. Cepat, tepat dan puas hati. Itu pula adalah motto
Malik.
No comments:
Post a Comment