Friday 14 December 2018

BAB 3 - CINTA MKS2



“K
AK AUNI," bisik Sufura.
Mulut Sufura rapat ke telinga Auni. Dia mahu berbisik ‘rahsia’ dengan Auni.
"Ya, laling... ada apa?" Auni yang masih tekun menekan di kalkulator langsung tidak berpaling memandang Sufura. Kerjanya harus disiapkan secepatnya.
"Kak Auni, pandanglah saya... ada hal nak cakap ni."
Sufura yang sudah menegakkan badan, sudah seakan-akan mendesak. Suara pula kedengaran merenget-renget. Dia mahukan perhatian daripada kakak kesayangannya.
Bibir Auni sudah tersenget dengan senyuman. Telatah Sufura amat dia kenal dan faham. Gadis kecil tunangan Anuar itu sememangnya seorang yang manja. Walaupun kini Auni bekerja dengannya, Sufura langsung tidak menunjukkan keegoan seorang bos terhadap pekerja. Mereka rapat seperti kawan dan adik beradik. Sufuralah sebaik-baik bos yang Auni kenali.
“Pandanglah Sue… nak cerita sesuatu ni… teramat penting ni.”
“Kak Auni busylah laling. Nanti bos akak marah kalau salah kira keluar masuk stock barangan kedai.” Auni masih tidak memandang Sufura. Dia makin menumpukan ke arah kalkulator dan sesekali mencatit sesuatu di atas kertas.
“Siapa bos ni, Kak Auni? Alaa, tak sukalah macam tu… nak merajuklah!” Sufura mengugut pula. Muncung mulutnya tiba-tiba dipanjangkan.
Auni ketawa kecil. Auni tahu bila Sufura beritahu dia mahu merajuk… gadis itu boleh merajuk berhari-hari lamanya.
"Eee… buruknya baby bos ni merajuk. Oklah… oklah, bos kecik. Ada apa?"
Jarinya sudah tidak ditarikan ke pemuka alat elektronik kiraan matematik itu. Auni kini menumpu ke arah Sufura. Gadis comel merangkap bos dan juga sahabatnya kini.
Kini barulah Sufura melebar dengan senyuman apabila Auni memberi tumpuan kepadanya.
"Akak perasan tak sejak akhir-akhir ni Abang Iskandar asyik melekat dekat SHE je. Macam tak ada kerja lain. Perasan tak?" Sufura yang masih berbisik, bersungguh menceritakan apa yang bermain dalam kepalanya.
Auni faham apa yang ingin diperkatakan Sufura. Sememangnya sejak hari pertama puasa, Iskandar akan tercongok di kedai mereka. Hari ni pula sudah masuk hari keempat. Namun Auni tergelak kecil dan dia menggeleng. Menyatakan secara isyarat, dia tidak perasankan tentang ‘luar biasanya’ kehadiran Iskandar.
Lelaki yang nampak santai tetapi dengan gaya yang tersendiri, duduk menghadap telefon bimbit di tangan, di sofa pejabat dikerlingnya. Lelaki itu seperti kebiasaannya bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri.
"Ala Kak Auni ni... tu pun tak perasan? Nak tau tak satu perkara?" Mata Sufura bersinar bersama satu senyuman. Kening sudah terjongket-jongket.
"Nak dan tak nak..." Sambil tergelak lebih besar, Auni sengaja mengusik.
"Apa ni Kak Auni. Main-main pulk. Nak ke tak ni?"
"Oklah adik manja. Hah, apa bendanya yang penting sangat? Yang sampai berbisik-bisik ni bagai ni? Dekat sini bukannya ada orang lain pun, kita bertiga dengan bos besar tu je…"
Sufura memuncungkan mulutnya seketika tanda protes dengan usikan Auni. Sesaat kemudian, dia kembali dengan sikap biasa.
"Saya rasa, kan…kan... Kak Auni, kan... Abang Iskandar tu seakan dah jatuh cinta!" Sambil menekup mulutnya mahu lebih perlahan bercerita, Sufura terus sahaja berkata tanpa memikir. Mata pula dibulatkan memandang Auni.
Dan mata Auni turut membulat setelah mendengar tiap patah kata yang terluncur cantik dari mulut Sufura. Seketika kemudian dahinya berkerut. Otak sudah ligat memikir beberapa perkara. ‘Jatuh cinta’, itulah kata-kata keramat yang bermain dalam fikiran Auni. Dengan siapa? Tak mungkin dengan Sufura tapi…
"Dia jatuh cinta dengan Sue ke? Ya Allah..." Dan-dan itu juga persoalan dalam kepala, keluar melalui mulut. Terpejam mata Auni memikirkan perkara yang bakal berlaku. Kenapa begitu jadinya? Dugaan apakah di bulan mulia ini?
Sufura ketawa kuat. Auni mula membuka matanya. Muka kehairanan dia pamerkan.
Iskandar yang tadinya tenang dan damai di sofa, mula berpaling memandang kedua-dua Sufura dan Auni. Dahinya jelas kerutan tanda hati turut tertanya-tanya kenapa dengan dua orang best friend tersebut. Namun ia seketika sahaja. Iskandar kembali menatap telefon bimbit di tangan.

"Syyyy... dia pandanglah tadi. Jangan dia tahu dahlah kita sedang membawang pasal dia." Sufura yang menahan tawanya, cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan.
“Sue tu ketawa kuat sangat.” Auni sempat menjeling seketika Iskandar sebelum menumpu semula ke arah Sufura yang di sisi.
“Akaklah tu buat Sue ketawa. Selalu Kak Auni buat kelakar tau,” balas Sufura dalam bisikan.
“Akak pula… emm Sue…”
“Ya?”
"Serius ke dia jatuh cinta dengan Sue?" soal Auni perlahan. Matanya sesekali menjeling Iskandar yang makin kerap memandang mereka. Hati pula berdebar mendengar kata-kata daripada Sufura.
"Bukan!" Sufura terjerit kecil.
"Mana Sue nak letak Abang Anuar, tunang kesayangan Sue kalau Abang Is jatuh cinta dengan Sue? Eeee… harap-harap mulut Kak Auni tak masinlah." Sufura tergelak-gelak lagi. Tidak dapat dia bayangkan dia berjodoh dengan Iskandar.
Dengan masih tergelak-gelak kecilnya, Sufura mula mencapai kerusi lain dan duduk di sebelah Auni. Dia meletakkan siku lengan kanan di meja Auni dan menongkat dagu. Kepala pula terteleng ke arah Auni. Skill membawangnya dipraktikan seadanya.
“Dah mulalah tu…” Auni seakan faham hint yang Sufura berikan.
“Akak bukannya tak tahu… kalau Sue dah mula tongkat dagu macam tu. Mesti ada banyak perkara yang Sue nak gossip-gosipkan ni…” Auni yang sudah masak dengan perangai Sufura, mula berleter.
“Alaaa… gossip je, ni tahap membawang paling rendah tau. Lagi pun bukan nak gossip orang lain. Kita-kita aje…” Sempat lagi Sufura mengajuk seakan-akan iklan di Astro.
“Kita-kita pun namanya gossip juga tu laling… oklah, akak dengar. Sikit je… Sue nak cakap apa sebenarnya?” Auni yang perasankan air muka kerut yang ditunjukkan Sufura, mula beralah. Dia tidak mahu Sufura merajuk. Susah!
“Abang Is tulah… dia dah jatuh cinta tapi bukan dengan Sue ya…”
"Habis tu, dengan siapa? Mana ada orang lain dekat sini. Takkanlah dengan Zuyyin yang baru lepas SPM tu."
Sufura tepuk dahi. Dia menggeleng sambil tersengih kecil.
"Dengan Kak Aunilah. Siapa lagi. Ni namanya cinta di bulan Ramadhan. Nanti dalam Syawal boleh saya merasa nasi minyak." Terjongket-jongket kening Sufura mengusik.
“Haish, ke situ pulak. Akak dengan dia tak padanlah laling. Dia dahlah orang berada, hansem, tinggi, putih pulak tu. Akak ni entah apalah yang ada… rupa tak ada, harta jauh sekali. Anak yatim piatu pulak tu.”
Walau cuba menyorokkan status diri sebenarnya sebagai seorang isteri kepada Iskandar, kata-kata yang Auni ucapkan sememangnya lahir dari lubuk hatinya. Dia sedar tentang perbezaan taraf dirinya dengan Iskandar. Ia bagai langit dan bumi.  Teringat juga bila baru-baru ni bila dia luahkan tentang perbezaan taraf itu.
“Antara langit dan bumi. Ada penyambungnya, Cinta. Tiada tingginya langit tanpa adanya bumi. Tiada cantiknya bumi tanpa dipayungi langit. Pelangi yang bersinar dan berwarna-warni adalah jambatan dan tali penghubung antara keduanya. Seperti abang dan Cinta, terjadilah kita.”
Ayat dan kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Auni. Perlahan Auni mengukir senyum. Ada sisi lain yang dulu tak ternampak tapi kini kian menyerlah daripada Iskandar. Lelaki yang dulunya dia sendiri kategorikan sebagai ‘bad boy’. Rupanya seorang yang agak romantik dan penuh kejutan. Auni tiba-tiba teringatkan ‘Pelayar Senja’. Dia tidak menyangka betul, Iskandarlah orangnya.
“Kak Auni!” panggil Sufura lembut.
Auni tersenyum-senyum. Pandangannya jauh ke hadapan. Ke waktu-waktu yang dulu. Tika itu Iskandar rupanya sudah romantis dalam caranya tersendiri. Ia terlindung dengan cara kasar dan kata-kata sinis yang lelaki itu lemparkan. Sekarang baru Auni nampak itu semua.
“Kak Auni…” Sufura masih memanggil Auni. Dalam hati sudah kehairanan melihat Auni yang seakan berkhayal.
“Kak Auuuuniiiii!!!”
Jeritan Sufura di telinganya, membuatkan Auni tersentak.
“Sakit telinga akak…” Telinganya digosok-gosok. Auni menjeling marah ke arah Sufura yang hanya tersengih.
“Dah tu… Sue panggil lembut-lembut, Kak Auni tak dengar. Macam berkhayal ya jugak. Kak Auni teringat dan angankan apa? Tersengih-sengih dari tadi. Mujur kalau tersengih dan berangan ni tak batalkan puasa. Kalau tak, Sue rasa dah batal tadi dah puasa Kak Auni…”
Sengaja Sufura mengusik-usik Auni. Dia suka dapat mengusik kakak kesayangan dia itu. Lebih-lebih lagi bila diusik, muka Auni mudah merona merah dan bibir yang suka dikemam menampakkan lesung pipitnya di kedua belah pipi.
"Ehemmm... bulan puasa ni menambah doooooo seeeee juga ke?" Iskandar yang santai memeluk tubuh menyampuk. Tiba-tiba sahaja dia terjongol di depan kedua Sufua dan Auni
"Ehh, Abang Is!" Sufura mengurut dadanya. Terkejut.
"Tak apa, tak apa. Abang ok je, kamu berdua mengata abang pun. And yessss, I’m falling in love with someone. And Sue..."
"Ya, Abang Is..."
"Sampaikan salam rindu-rinduan abang dekat orang sebelah tu. Cakap, abang tak sabar nak bercinta dengan dia..." Iskandar memandang Auni walaupun arahan itu adalah untuk Sufura.
"Sue..."
"Ya, Kak Auni..."
"Beritahu orang depan tu. Ni ke caranya nak mengorat? Kalau bercinta agaknya macam manalah tu?." Auni memandang Iskandar sambil mencebik.
"Arrrggg! Pening Sue..." jerit Sufura tiba-tiba.
“La… kami yang berbalas mesej, Sue yang pening ke?” tanya Iskandar. terjongket-jongket keningnya seakan turut bertanya.
“Mesej apa macam tu. Ni Sue yang jadi mangsa. Posman pun berbayar tau.” Sue menjawab dan bergilir memandang antara Iskandar dan Auni.
“Nanti abang bayarkan tapi Sue kena beritahu orang sebelah tu. Cakap kat dia, I’m waiting for your answer.” Iskandar memandang Auni. Senyuman sengaja diukir selebarnya. Biar gadisnya itu jatuh cinta berkali-kali kepadanya.
“Sue… beritahu lelaki dekat sebelah tu. Kalau nak sangat, kenapa tak bercakap sendiri. Tak beritahu sendiri tentang hati dan perasaan. Kenapa perlukan orang tengah a.k.a posman yang bernama Sufura?” Auni cepat-cepat menjawab. Matanya redup memandang Iskandar.
“Sue… cakap kat orang sebelah…”
Belum sempat Iskandar menghabiskan ayat-ayatnya. Kedengaran jeritan Sufura sambil dia menutup kedua belah telinganya.
“Sue?” Auni menyebut nama Sufura.
“Kena sampuk ke?” Dan Iskandar pula menyoal dengan nada mengusik.
“Arrrggghhh!” jerit Sufura lagi.
Jeritan Sufura untuk kali ketiga itu menyebabkan Auni dan Iskandar ketawa serentak.

1 comment: