“K
|
AK
AUNI," bisik Sufura.
Mulut Sufura rapat ke telinga Auni. Dia
mahu berbisik ‘rahsia’ dengan Auni.
"Ya, laling... ada
apa?" Auni yang masih tekun menekan di kalkulator langsung tidak berpaling
memandang Sufura. Kerjanya harus disiapkan secepatnya.
"Kak Auni, pandanglah
saya... ada hal nak cakap ni."
Sufura yang sudah
menegakkan badan, sudah seakan-akan mendesak. Suara pula kedengaran
merenget-renget. Dia mahukan perhatian daripada kakak kesayangannya.
Bibir Auni sudah tersenget
dengan senyuman. Telatah Sufura amat dia kenal dan faham. Gadis kecil tunangan
Anuar itu sememangnya seorang yang manja. Walaupun kini Auni bekerja dengannya,
Sufura langsung tidak menunjukkan keegoan seorang bos terhadap pekerja. Mereka
rapat seperti kawan dan adik beradik. Sufuralah sebaik-baik bos yang Auni
kenali.
“Pandanglah Sue… nak
cerita sesuatu ni… teramat penting ni.”
“Kak Auni busylah laling. Nanti bos akak marah
kalau salah kira keluar masuk stock barangan
kedai.” Auni masih tidak memandang Sufura. Dia makin menumpukan ke arah
kalkulator dan sesekali mencatit sesuatu di atas kertas.
“Siapa bos ni, Kak Auni?
Alaa, tak sukalah macam tu… nak merajuklah!” Sufura mengugut pula. Muncung mulutnya
tiba-tiba dipanjangkan.
Auni ketawa kecil. Auni
tahu bila Sufura beritahu dia mahu merajuk… gadis itu boleh merajuk
berhari-hari lamanya.
"Eee… buruknya baby bos ni merajuk. Oklah… oklah, bos kecik. Ada apa?"
Jarinya sudah tidak
ditarikan ke pemuka alat elektronik kiraan matematik itu. Auni kini menumpu ke
arah Sufura. Gadis comel merangkap bos dan juga sahabatnya kini.
Kini barulah Sufura
melebar dengan senyuman apabila Auni memberi tumpuan kepadanya.
"Akak perasan tak
sejak akhir-akhir ni Abang Iskandar asyik melekat dekat SHE je. Macam tak ada kerja lain. Perasan tak?"
Sufura yang masih berbisik, bersungguh menceritakan apa yang bermain dalam
kepalanya.
Auni faham apa yang ingin
diperkatakan Sufura. Sememangnya sejak hari pertama puasa, Iskandar akan
tercongok di kedai mereka. Hari ni pula sudah masuk hari keempat. Namun Auni
tergelak kecil dan dia menggeleng. Menyatakan secara isyarat, dia tidak
perasankan tentang ‘luar biasanya’ kehadiran Iskandar.
Lelaki yang nampak santai
tetapi dengan gaya yang tersendiri, duduk menghadap telefon bimbit di tangan,
di sofa pejabat dikerlingnya. Lelaki itu seperti kebiasaannya bagaikan
tenggelam dalam dunianya sendiri.
"Ala Kak Auni ni...
tu pun tak perasan? Nak tau tak satu perkara?" Mata Sufura bersinar bersama
satu senyuman. Kening sudah terjongket-jongket.
"Nak dan tak
nak..." Sambil tergelak lebih besar, Auni sengaja mengusik.
"Apa ni Kak Auni.
Main-main pulk. Nak ke tak ni?"
"Oklah adik manja.
Hah, apa bendanya yang penting sangat? Yang sampai berbisik-bisik ni bagai ni?
Dekat sini bukannya ada orang lain pun, kita bertiga dengan bos besar tu
je…"
Sufura memuncungkan
mulutnya seketika tanda protes dengan usikan Auni. Sesaat kemudian, dia kembali
dengan sikap biasa.
"Saya rasa,
kan…kan... Kak Auni, kan... Abang Iskandar tu seakan dah jatuh cinta!"
Sambil menekup mulutnya mahu lebih perlahan bercerita, Sufura terus sahaja
berkata tanpa memikir. Mata pula dibulatkan memandang Auni.
Dan mata Auni turut
membulat setelah mendengar tiap patah kata yang terluncur cantik dari mulut
Sufura. Seketika kemudian dahinya berkerut. Otak sudah ligat memikir beberapa
perkara. ‘Jatuh cinta’, itulah kata-kata keramat yang bermain dalam fikiran
Auni. Dengan siapa? Tak mungkin dengan Sufura tapi…
"Dia jatuh cinta
dengan Sue ke? Ya Allah..." Dan-dan itu juga persoalan dalam kepala,
keluar melalui mulut. Terpejam mata Auni memikirkan perkara yang bakal berlaku.
Kenapa begitu jadinya? Dugaan apakah di bulan mulia ini?
Sufura ketawa kuat. Auni
mula membuka matanya. Muka kehairanan dia pamerkan.
Iskandar yang tadinya
tenang dan damai di sofa, mula berpaling memandang kedua-dua Sufura dan Auni.
Dahinya jelas kerutan tanda hati turut tertanya-tanya kenapa dengan dua orang best friend tersebut. Namun ia seketika
sahaja. Iskandar kembali menatap telefon bimbit di tangan.
"Syyyy... dia
pandanglah tadi. Jangan dia tahu dahlah kita sedang membawang pasal dia."
Sufura yang menahan tawanya, cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan.
“Sue tu ketawa kuat
sangat.” Auni sempat menjeling seketika Iskandar sebelum menumpu semula ke arah
Sufura yang di sisi.
“Akaklah tu buat Sue
ketawa. Selalu Kak Auni buat kelakar tau,” balas Sufura dalam bisikan.
“Akak pula… emm Sue…”
“Ya?”
"Serius ke dia jatuh
cinta dengan Sue?" soal Auni perlahan. Matanya sesekali menjeling Iskandar
yang makin kerap memandang mereka. Hati pula berdebar mendengar kata-kata
daripada Sufura.
"Bukan!" Sufura
terjerit kecil.
"Mana Sue nak letak
Abang Anuar, tunang kesayangan Sue kalau Abang Is jatuh cinta dengan Sue? Eeee…
harap-harap mulut Kak Auni tak masinlah." Sufura tergelak-gelak lagi.
Tidak dapat dia bayangkan dia berjodoh dengan Iskandar.
Dengan masih
tergelak-gelak kecilnya, Sufura mula mencapai kerusi lain dan duduk di sebelah
Auni. Dia meletakkan siku lengan kanan di meja Auni dan menongkat dagu. Kepala
pula terteleng ke arah Auni. Skill membawangnya dipraktikan seadanya.
“Dah mulalah tu…” Auni
seakan faham hint yang Sufura
berikan.
“Akak bukannya tak tahu…
kalau Sue dah mula tongkat dagu macam tu. Mesti ada banyak perkara yang Sue nak
gossip-gosipkan ni…” Auni yang sudah masak dengan perangai Sufura, mula
berleter.
“Alaaa… gossip je, ni
tahap membawang paling rendah tau. Lagi pun bukan nak gossip orang lain.
Kita-kita aje…” Sempat lagi Sufura mengajuk seakan-akan iklan di Astro.
“Kita-kita pun namanya
gossip juga tu laling… oklah, akak
dengar. Sikit je… Sue nak cakap apa sebenarnya?” Auni yang perasankan air muka
kerut yang ditunjukkan Sufura, mula beralah. Dia tidak mahu Sufura merajuk.
Susah!
“Abang Is tulah… dia dah
jatuh cinta tapi bukan dengan Sue ya…”
"Habis tu, dengan
siapa? Mana ada orang lain dekat sini. Takkanlah dengan Zuyyin yang baru lepas
SPM tu."
Sufura tepuk dahi. Dia
menggeleng sambil tersengih kecil.
"Dengan Kak Aunilah.
Siapa lagi. Ni namanya cinta di bulan Ramadhan. Nanti dalam Syawal boleh saya
merasa nasi minyak." Terjongket-jongket kening Sufura mengusik.
“Haish, ke situ pulak. Akak dengan dia tak padanlah laling. Dia dahlah orang berada, hansem,
tinggi, putih pulak tu. Akak ni entah apalah yang ada… rupa tak ada, harta jauh
sekali. Anak yatim piatu pulak tu.”
Walau cuba menyorokkan
status diri sebenarnya sebagai seorang isteri kepada Iskandar, kata-kata yang
Auni ucapkan sememangnya lahir dari lubuk hatinya. Dia sedar tentang perbezaan
taraf dirinya dengan Iskandar. Ia bagai langit dan bumi. Teringat juga bila baru-baru ni bila dia
luahkan tentang perbezaan taraf itu.
“Antara langit dan bumi.
Ada penyambungnya, Cinta. Tiada tingginya langit tanpa adanya bumi. Tiada
cantiknya bumi tanpa dipayungi langit. Pelangi yang bersinar dan berwarna-warni
adalah jambatan dan tali penghubung antara keduanya. Seperti abang dan Cinta,
terjadilah kita.”
Ayat dan kata-kata itu
terngiang-ngiang di telinga Auni. Perlahan Auni mengukir senyum. Ada sisi lain
yang dulu tak ternampak tapi kini kian menyerlah daripada Iskandar. Lelaki yang
dulunya dia sendiri kategorikan sebagai ‘bad
boy’. Rupanya seorang yang agak romantik dan penuh kejutan. Auni tiba-tiba
teringatkan ‘Pelayar Senja’. Dia tidak menyangka betul, Iskandarlah orangnya.
“Kak Auni!” panggil Sufura
lembut.
Auni tersenyum-senyum.
Pandangannya jauh ke hadapan. Ke waktu-waktu yang dulu. Tika itu Iskandar
rupanya sudah romantis dalam caranya tersendiri. Ia terlindung dengan cara
kasar dan kata-kata sinis yang lelaki itu lemparkan. Sekarang baru Auni nampak
itu semua.
“Kak Auni…” Sufura masih
memanggil Auni. Dalam hati sudah kehairanan melihat Auni yang seakan berkhayal.
“Kak Auuuuniiiii!!!”
Jeritan Sufura di
telinganya, membuatkan Auni tersentak.
“Sakit telinga akak…” Telinganya
digosok-gosok. Auni menjeling marah ke arah Sufura yang hanya tersengih.
“Dah tu… Sue panggil
lembut-lembut, Kak Auni tak dengar. Macam berkhayal ya jugak. Kak Auni teringat dan angankan apa? Tersengih-sengih dari
tadi. Mujur kalau tersengih dan berangan ni tak batalkan puasa. Kalau tak, Sue
rasa dah batal tadi dah puasa Kak Auni…”
Sengaja Sufura
mengusik-usik Auni. Dia suka dapat mengusik kakak kesayangan dia itu.
Lebih-lebih lagi bila diusik, muka Auni mudah merona merah dan bibir yang suka
dikemam menampakkan lesung pipitnya di kedua belah pipi.
"Ehemmm... bulan
puasa ni menambah doooooo seeeee juga
ke?" Iskandar yang santai memeluk tubuh menyampuk. Tiba-tiba sahaja dia
terjongol di depan kedua Sufua dan Auni
"Ehh, Abang Is!"
Sufura mengurut dadanya. Terkejut.
"Tak apa, tak apa.
Abang ok je, kamu berdua mengata abang pun. And
yessss, I’m falling in love with someone. And Sue..."
"Ya, Abang
Is..."
"Sampaikan salam
rindu-rinduan abang dekat orang sebelah tu. Cakap, abang tak sabar nak bercinta
dengan dia..." Iskandar memandang Auni walaupun arahan itu adalah untuk
Sufura.
"Sue..."
"Ya, Kak
Auni..."
"Beritahu orang depan
tu. Ni ke caranya nak mengorat? Kalau bercinta agaknya macam manalah tu?."
Auni memandang Iskandar sambil mencebik.
"Arrrggg! Pening
Sue..." jerit Sufura tiba-tiba.
“La… kami yang berbalas
mesej, Sue yang pening ke?” tanya Iskandar. terjongket-jongket keningnya seakan
turut bertanya.
“Mesej apa macam tu. Ni
Sue yang jadi mangsa. Posman pun berbayar tau.” Sue menjawab dan bergilir memandang
antara Iskandar dan Auni.
“Nanti abang bayarkan tapi
Sue kena beritahu orang sebelah tu. Cakap kat dia, I’m waiting for your answer.” Iskandar memandang Auni. Senyuman
sengaja diukir selebarnya. Biar gadisnya itu jatuh cinta berkali-kali
kepadanya.
“Sue… beritahu lelaki
dekat sebelah tu. Kalau nak sangat, kenapa tak bercakap sendiri. Tak beritahu
sendiri tentang hati dan perasaan. Kenapa perlukan orang tengah a.k.a posman
yang bernama Sufura?” Auni cepat-cepat menjawab. Matanya redup memandang Iskandar.
“Sue… cakap kat orang
sebelah…”
Belum sempat Iskandar
menghabiskan ayat-ayatnya. Kedengaran jeritan Sufura sambil dia menutup kedua
belah telinganya.
“Sue?” Auni menyebut nama
Sufura.
“Kena sampuk ke?” Dan
Iskandar pula menyoal dengan nada mengusik.
“Arrrggghhh!” jerit Sufura
lagi.
Jeritan Sufura untuk kali
ketiga itu menyebabkan Auni dan Iskandar ketawa serentak.